Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif Data Raya bantu kumpul maklumat terkini, tingkat penyampaian kepada rakyat

SHAH ALAM, 10 DIS: Inisiatif Data Raya Selangor boleh membantu Kerajaan Negeri membuat keputusan tepat apabila berdepan situasi luar jangka yang memberi kesan kepada ekonomi seperti penularan Covid-19.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketepatan maklumat dikumpul menerusi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) boleh memperbaiki pemantauan dengan lebih baik.

“Kita perlu melihat keadaan ekonomi dan membuat keputusan berdasarkan waktu nyata supaya langkah tepat diambil dalam apa jua keadaan pada masa depan.

“Pelaburan Kerajaan Negeri untuk melaksana Data Raya Selangor yang menggunakan teknologi adalah satu langkah betul,” katanya pada program Table Talk menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan RM2 juta untuk melaksanakan inisiatif Data Raya Selangor.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, penjanaan dan perkongsian data raya secara masa nyata

Pelaburan itu juga membolehkan kerajaan menggubal dasar lebih tepat dengan lebih tersusun dan selaras menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar yang unggul di Asia Tenggara menjelang 2025.

Mohd Afzanizam berkata secara keseluruhan beliau melihat Belanjawan Selangor 2022 mengimbangi keperluan masa kini terutama dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat pasca Covid-19.

Jelasnya, setiap kelompok menerima manfaat seperti golongan berpendapatan rendah (B40) yang menerima bantuan RM3,600 setahun di bawah Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) selain penjagaan kesihatan rakyat dengan pelaksanaan saringan serta rawatan.

“Tumpuan juga kepada aspek memudahkan menjalankan perniagaan, pendigitalan dan usaha menarik pelabur dengan menekankan sektor tertentu seperti aeroangkasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntuk RM2 juta laksana Data Raya Selangor, sokong aspirasi negeri pintar

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bernilai RM2 juta bagi membangunkan Data Raya Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, penjanaan dan perkongsian data raya secara masa nyata.

“Ini menjadi antara asas sebuah negeri pintar selaras merealisasikan aspirasi Selangor sebagai negeri pintar unggul di rantau Asia Tenggara menjelang 2025.

“Usaha ini akan membolehkan kerajaan menggubal dasar lebih tepat dengan cara yang lebih efisien dan tersusun,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan dana berjumlah RM1 juta disediakan bagi penubuhan Unit Keselamatan Siber Selangor supaya keselamatan data terjamin.

Katanya inisiatif dengan kerjasama pakar keselamatan teknologi akan menilai tahap keselamatan dan penetapan beberapa garis panduan data harus dipatuhi agensi bawah program Smart Selangor.

Bagi menjamin keselamatan awam, Amirudin berkata sebanyak 200 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar ditambah melalui inisiatif Smart Selangor dengan peruntukan RM5 juta.

Menurut beliau, sebanyak 414 unit CCTV sedia ada dan sedang beroperasi menerusi inisiatif berkenaan setakat ini di Pusat Operasi Smart Selangor (SSOC) ibu pejabat Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kerajaan Negeri menganggarkan 2,000 unit CCTV akan dipasang dan beroperasi secara penuh menjelang 2025 selaras matlamat Selangor sebagai negeri pintar unggul serantau,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan RM316 juta percepat realisasi visi Selangor pintar unggul

SHAH ALAM, 26 NOV: Peruntukan RM316 juta disediakan tahun depan bagi merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar unggul menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata, agenda Smart Selangor dan pelan pendigitalan menjadikan negeri ini cekap dan pantas ketika berhadapan cabaran pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menjadi negeri paling hadapan melancarkan inisiatif berasaskan digital antaranya Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), PLATS dan e-Bazar.

“Inisiatif e-Bazar misalnya berjaya membantu 211,928 usahawan e-dagang mencapai jualan sebanyak RM100.5 juta serta menjana RM1.57 bilion kesan riak terhadap ekonomi negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, Pelan Tindakan Smart Selangor juga digariskan bagi mencapai sasaran negeri pintar pada 2025.

Katanya, berdasarkan laporan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), sebanyak 60 peratus daripada inisiatif direncana berjaya dibangunkan.

“Kita boleh berbangga sebuah pusat kawalan bersepadu atau Smart Selangor C5i Centre telah siap dan sedang beroperasi sepenuhnya di Dewan Jubli Perak.

“Pusat kawalan ini juga menjadi nadi menghubungkan data daripada Unit Pengurusan Bencana, polis, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta agensi lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri Pintar: Selangor bawa Malaysia ke mata dunia

BATU CAVES, 25 NOV: Selangor muncul negeri pertama di Malaysia yang membawa agenda Negeri Pintar ke mata dunia melalui Kongres Ekspo Bandar Pintar Sedunia (Smart City Expo World Congress) di Barcelona, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata dasar Kerajaan Negeri yang bermula pada 2015 itu sekali gus membuktikan agenda berkenaan berada pada kedudukan tepat.

Menariknya, beliau berkata Selangor adalah negeri pertama mewakili Malaysia pada persidangan yang turut membariskan negara besar dunia.

“Jika pada peringkat rantau ASEAN, Selangor duduk bersama Jakarta dan Bandung pada kongres yang turut membabitkan lebih 146 negara itu.

“Oleh itu, saya yakin kita berada di landasan serta kedudukan yang betul bagi membawa Selangor ke arah Negeri Pintar menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Dewan Siantan, di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shamsul Shahril Badliza.

Program yang turut diserikan dengan nyanyian serta tarian itu dihadiri hampir 1,000 penduduk.

Terdahulu Amirudin mengetuai delegasi Selangor termasuk Smart Selangor Development Unit (SSDU), Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) dan Smartsel Sdn Bhd menghadiri kongres di Sepanyol.

Pada kongres berkenaan, syarikat berkaitan kerajaan Selangor memeterai memorandum persefahaman bersama United Kingdom, Amerika Syarikat dan Turki.

Persidangan yang berlangsung dari 19 hingga 21 November itu turut dihadiri lebih 20,000 pengunjung dengan 1,010 pempamer.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU tekad realisasikan Negeri Pintar

SHAH ALAM, 5 NOV: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) terus komited dalam memastikan perancangan Smart Selangor direalisasi selaras hasrat Kerajaan Negeri.

Pengarah Urusannya, Dr Fahmi Ngah berkata usaha itu disokong melalui peruntukan RM50 juta dalam
Belanjawan #Selangor2020 yang dibentangkan pada 1 November lalu.

“Sebanyak 13 inisiatif melalui program Smart Selangor akan diperkenal tahun hadapan bagi memastikan negeri ini lebih produktif dan berdaya huni.

“Dato’ Menteri Besar juga berhasrat untuk membawa beberapa penciptaan terkini di bawah SSDU ke beberapa bandar ASEAN lain pada tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam pembentangan belanjawan lalu, sejumlah RM50 juta diperuntuk bagi merealisasikan hasrat Negeri Pintar dengan sasaran kemajuan projek 46 peratus menjelang akhir tahun 2020.

Pada masa sama, Dr Fahmi berkata belanjawan negeri membuktikan tekad Kerajaan Selangor untuk mengurangkan defisit tahunan dan terus menumpukan perbelanjaan pembangunan rakyat.

“Program pembangunan ekonomi seperti Smart Selangor dan beberapa inisiatif berkaitan dalam pelancongan serta pertanian juga tidak dipinggirkan.

“Di samping itu, agenda utama di bawah Inisiatif Peduli Rakyat juga masih diteruskan untuk keperluan berpendapatan rendah (B40),” katanya.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan Selangor negeri serantau menjelang 2025.

Sejumlah 60 inisiatif dibangunkan di bawah 12 domain Smart Selangor, antaranya Tadbir Urus Pintar, Pengurusan Sisa Pintar, Pengurusan Lalu Lintas Pintar, Insfrastruktur Digital Pintar dan Pendidikan Pintar.

Categories
SELANGOR

MB: Selangor rangka ‘blueprint’ jadi negeri pintar

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MEI: Kerajaan Negeri dalam proses menyediakan ‘blueprint’ bagi memenuhi hasrat menjadikan Selangor maju dan membangun hingga peringkat global.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu sebagai usaha menjadikan Selangor sebagai negeri pintar atau ‘Smart State’.

“Antara inisiatif yang akan dibangunkan adalah sistem pengurusan air pintar, pengawasan dan keselamatan juga pemantauan produk negeri seperti hasil perkilangan serta pertanian.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI)“Kita juga akan mewujudkan sprasarana untuk berinteraksi dengan rakyat secara real-time yang dipanggil Citizen Pulse.

“Antara manfaat utamanya adalah supaya setiap permasalahan di Selangor akan ditangani secara efisyen dan pantas,” katanya dalam ucaptama perasmian Agenda Makmur Selangor (Agenda) dan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG), di sini, hari ini.

Katanya, blueprint itu akan dijadikan landasan utama dan mampu menjadikan Selangor sebagai negeri pilihan di rantau ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut berhasrat meneroka bidang baru dan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

-NFN-