Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB luang masa dengar keluhan nelayan di Sungai Kerteh

PENGKALAN BALAK, 14 NOV: Persatuan Nelayan Melaka Barat mengambil peluang menyuarakan keluhan kepada Dato’ Menteri Besar ketika sesi lawatan ke Melaka dalam membantu persiapan calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kehadiran Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad disambut calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Zainal Hassan.

Amirudin yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama beberapa nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Kertah di sini.

Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Warung Tok Jaafar bersama calon DUN Sungai Udang Hasmorni Tamby.

Lawatan Amirudin ke negeri bersejarah itu adalah membantu persiapan calon HARAPAN yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN).

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Barat Ab Samad Ab Malik,59, mewakili nelayan berharap parti yang diberi mandat oleh rakyat dapat membela nasib golongan tersebut.

“Kita mempunyai lebih 300 nelayan tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya berbanding pemancing.

“Tidak kira parti mana sekalipun pertimbang dan utamakan nelayan yang hanya bergantung nasib dengan turun ke laut sahaja,” katanya.

Zainal berdepan dengan dua pencabar dalam pertarungan tiga penjuru pada PRN 20 November menentang Datuk Seri Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN).

Manakala Hasmorni berdepan pencabar Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada (BN), Dr Mohd Aleef Yusof (PN) dan Mohd Zahar Hashim (Bebas).

Categories
EXCO SELANGOR

Impian nelayan miliki enjin sangkut 40 kuasa kuda tercapai

SABAK BERNAM, 11 SEPT: Impian seorang nelayan dari Tanjung Karang untuk memiliki enjin sangkut 40 kuasa kuda (kk) akhirnya tertunai selepas menerima peralatan itu sumbangan Kerajaan Selangor, semalam.

Zainuddin Kondong, 53, bersyukur kerana penantian dua tahun untuk memperoleh enjin sampan jenis merkuri tidak sia-sia, apatah lagi belum menerima sebarang bantuan selama ini.

Bapa lima anak berkata sejak tiga dekad menjalankan pekerjaan itu, dia hanya bergantung dengan dua unit enjin 30 kk jenis sama dan sering mengalami kerosakan di tengah laut.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih atas bantuan ini. Kalau beli sendiri memang tidak mampu kerana kosnya mungkin mencecah RM10,000.

“Jadi dengan adanya enjin baharu berkuasa tinggi, saya boleh turun ke laut dengan selamat tanpa gangguan malah pergi lebih jauh dan pantas berbanding kebiasaan,” katanya kepada Selangorkini.

Zainuddin antara tiga nelayan menerima alat tersebut pada program penyerahan bantuan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 di Jeti Pengkalan Nelayan Batu 23, Sungai Nibong dekat sini yang disampaikan EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim.

Seramai 101 nelayan dari lima persatuan nelayan kawasan (PNK) memperoleh bantuan input merangkumi sistem kedudukan sejagat (GPS), kotak berinsulasi, jaket keselamatan, kit pertolongan kecemasan, lampu kelip-kelip dan beg kalis air.

Selain itu, tiga nelayan dari PNK Sungai Besar, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mendapat sampan fiber 21.

Sementara itu, Saaril Ahmad, 27, tidak menyangka dan berasa bertuah kerana terpilih menerima bantuan sampan sekali gus memudahkan aktiviti penangkapan hasil laut untuk dipasarkan.

Anak ke-11 daripada 12 beradik berkata sampan kayu sedia ada yang digunakan sejak 10 tahun lalu sering mengalami kerosakan sehingga membantutkan rutin hariannya.

“Saya mohon bantuan tiga bulan lepas dan agak teruja memandangkan tidak pernah terima apa-apa bantuan sebelum ini.

“Mungkin selepas ini saya boleh cuba tangkap ikan di kawasan tengah pantai pula, tidak lagi di pesisir kerana saiz sampan lebih besar,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Haji Dorani.

Bagi penerima peralatan perikanan Saini Roslan, 70, bantuan tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nelayan yang majoritinya tidak mampu membeli sendiri keperluan berkenaan.

“Sebenarnya saya tidak buat permohonan mendapatkan peralatan berkaitan, tetapi dua hari lepas pengurus PNK Sungai Besar hubungi agar tampil pada program ini. Syukur kerana Kerajaan Negeri sudi sediakan peralatan ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor belanja hampir RM1 juta, galak nelayan turun ke laut

SABAK BERNAM, 10 SEPT: Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM999,950 untuk membantu nelayan di Selangor meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik sejak awal tahun ini.

EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim berkata peruntukan terangkum dalam dua Pakej Kita Selangor meliputi pemberian baucar petrol berjumlah RM700,000 manakala bakinya ialah set peralatan nelayan.

“Peruntukan ini sebagai bukti kesungguhan kita untuk membantu nelayan supaya mereka terus berusaha walaupun berdepan kekangan akibat Covid-19.

“Kita berharap insentif diberi akan menggalakkan mereka untuk turun ke laut sekali gus membantu dari segi penyediaan bekalan makanan,” katanya pada program penyerahan bantuan nelayan di Jeti Pengkalan Nelayan Batu 23, Sungai Nibong di sini hari ini.

Ir. Izham Hashim meyampaikan cek cura bernilai RM 299,950 kepada Pengarah Veterinar Selangor, Dr. Hassuzana Khalil ketika program Penyerahan Bantuan Nelayan di jeti pangkalan nelayan Batu 23, Sabak Bernam pada 10 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada program itu, seramai 101 nelayan daripada lima persatuan nelayan kawasan (PNK) memperoleh bantuan input merangkumi sistem kedudukan sejagat (GPS), kotak berinsulasi, jaket keselamatan, kit pertolongan kecemasan, lampu kelip-kelip dan beg kalis air.

Selain peralatan perikanan, tiga nelayan dari PNK Sungai Besar, Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang diberi sampan fiber manakala tiga nelayan dari PNK Kuala Selangor, Kuala Langat serta Sepang menerima enjin sangkut.

Sementara itu, Ir Izham berkata pihaknya perlu lebih berhati-hati meneliti permohonan nelayan yang mahu mendapatkan sampan dan enjin bagi mengelak timbul isu salah guna bantuan input terbabit.

Jelas beliau, beberapa syarat harus diambil kira bagi melayakkan seseorang nelayan menikmati kemudahan tersebut antaranya lesen dan tempoh perkhidmatan sebagai nelayan.

“Kita menerima banyak permohonan untuk mendapatkan sampan dan enjin sangkut, namun pemilihan perlu dibuat secara berhati-hati kerana dianggap sebagai permohonan istimewa.

“Selain kosnya tinggi, pengurusan alat ini juga bukan sesuatu yang mudah. Insya-Allah, tahun depan kita akan teliti permohonan mereka dan yakin pemilihan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Data internet percuma mudahkan urusan perniagaan maya nelayan, petani

SHAH ALAM, 12 OGOS:Pemberian internet percuma kepada petani membantu golongan itu meluaskan perniagaan ke platform e-dagang, kata pengerusi Persatuan Agropreneur Selangor.

Mohd Bukhari Bachok berkata menerusi skim Data Internet Selangor (DIS) petani sentiasa mempunyai akses teknologi yang memudahkan urusan jualan dalam talian.

Pengerusi Persatuan Agropreneur Selangor, Mohd Bukhari Bachok

“Sekarang ramai petani terjejas akibat pandemik Covid-19 jadi bantuan ini dilihat membantu petani untuk cuba pasarkan produk mereka secara maya.

“Mereka boleh mempelbagaikan cara promosi malah pelanggan juga tidak terhad,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Langat melihat bantuan berkenaan akan memudahkan urusan kerja mereka.

“Bila ada internet setiap masa, urusan seperti nilai jualan dan jumlah tangkapan akan lebih cepat diketahui malah membolehkan jualan segar dibuat di media sosial.

“Saya akan menggesa semua ahli untuk rebut peluang ini. Kerja akan menjadi mudah selain dapat tingkatkan pendapatan,” kata Mat Jaman Haris.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim meminta petani memanfaatkan tawaran data internet percuma selama 12 bulan itu berikutan terdapat kuota 2,000 untuk golongan terbabit.

Mereka yang berminat boleh mengisi butiran diri menerusi pautan Tinyurl.com/DISWargaTani sebelum permohonan ditutup 31 Ogos ini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad modul pengenalan pelanggan (SIM) yang dilengkapi data internet secara percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel).

Beliau menjelaskan manfaat tersebut turut dinikmati pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
SELANGOR

Nelayan Banting jatuh dalam laut ditemui mati lemas

SHAH ALAM, 26 JULAI: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Batu Laut, Klang, empat hari lepas, ditemukan lemas di kedudukan 7.1 batu nautika barat daya Muara Sungai Langat, hari ini.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor Komander Maritim Norihan Ngah berkata mayat K Thineswaran, 27, yang merupakan nelayan tempatan berasal dari Banting ditemukan oleh orang awam pada kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

“Sejurus menerima maklumat berkenaan, Maritim Selangor menugaskan bot Pengawal 26 yang sedang dalam operasi Carilamat ke lokasi dan menemukan mayat lelaki dalam keadaan terapung.

“Ia disyaki mayat Thineswaran yang dikatakan telah keluar ke laut tanpa memakai jaket keselamatan dan menggunakan bot jenis pukat hanyut bersama seorang rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke laut akibat cuaca buruk pada 23 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pengawal 26 telah membawa mayat ke Jeti Nelayan Kanchong Laut bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut.

Norihan berkata orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Warga emas DUN Sungai Air Tawar terima sumbangan Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 12 FEB: Seramai 200 nelayan dan warga emas dari enam kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar menerima bantuan sempena Tahun Baharu Cina semalam.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata penerima makanan asas serta wang tunai itu merupakan golongan berpendapatan rendah (B40).

“Bantuan ini dapat meringankan beban mereka dalam menyediakan keperluan menyambut perayaan.

“Terpancar keceriaan di wajah mereka selepas menerima sumbangan ini. Semoga kedatangan Tahun Baharu ini memberi lebih banyak kegembiraan kepada semua,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Turut membantu dalam program agihan ialah wakil tok sidang, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar serta Pakatan Harapan (PAKATAN) Sabak Bernam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Nelayan harap segera agih baucar petrol RM300

SHAH ALAM, 26 JAN: Nelayan negeri ini berharap bantuan baucar petrol bernilai RM300 disegerakan bagi meringankan beban golongan itu yang terjejas.

Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor berkata insentif melalui Pakej Kita Selangor melegakan hampir 5,000 nelayan untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Insentif ini besar ertinya untuk menampung sedikit keperluan kami kerana hasil tangkapan kurang serta pergerakan menjual juga terhad sepanjang PKP,” kata Omar Abdul Rahman ketika dihubungi.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri mengadakan sesi dialog bagi membincangkan keperluan dan masalah golongan nelayan untuk tempoh jangka panjang.

Pada 20 Januari, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM2 juta untuk meringankan beban nelayan, petani, pengusaha ternakan dan industri asas tani.

Insentif baucar petrol diberikan kepada nelayan, barangan pertanian (petani), makanan haiwan (pengusaha ternakan) dan bahan mentah (industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1.5 juta rancak sektor bekalan makanan, bantu golongan terjejas

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM1.5 juta untuk merancakkan sektor bekalan makanan yang terjejas akibat Covid-19, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata insentif baucar petrol diberikan kepada nelayan, barangan pertanian (petani), makanan haiwan (pengusaha ternakan) dan bahan mentah (industri asas tani) dalam tempoh terdekat.

“Usaha ini diharap meringankan beban golongan tersebut selain memberi galakan untuk mereka terus berusaha meningkatkan hasil dan pendapatan.

“Kerajaan Negeri akan membantu golongan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan dan menyeluruh,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk membantu meringankan beban golongan tersebut.

Selain baucar petrol, barangan pertanian, makanan ternakan dan bahan mentah, sejumlah RM500,000 turut disalurkan untuk program bakul makanan kepada 7,000 individu dalam sektor tersebut.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Bantuan makanan kepada 7,000 petani, nelayan dan penternak dipercepat

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri bakal menyalurkan bantuan bakul makanan kepada 7,000 petani, nelayan dan penternak dalam tempoh terdekat, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata inisiatif melibatkan peruntukan sejumlah RM500,000 disalurkan secepat mungkin untuk mengurangkan beban golongan tersebut sejak penularan Covid-19.

“Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat dan kita tidak mahu ada golongan tercicir menerima bantuan.

“Insya-Allah selepas ini pelbagai bentuk bantuan akan disalurkan kepada warga agro untuk menangani kesan pendemik,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif diberikan antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
AGENDA NASIONAL

LKIM belanja RM1 juta bantu nelayan terjejas banjir

BUKIT GANTANG, 10 JAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan geran RM1 juta menerusi Skim Bantuan Bencana Alam, untuk membantu nelayan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia melibatkan bantuan kerosakan bot, peralatan dan rumah akibat bencana alam tersebut, namun setakat ini LKIM belum menerima laporan mengenai jumlah nelayan terlibat.

Katanya pegawai LKIM dan Persatuan Nelayan setiap negeri sedang membuat pemantauan, bagi mengesan dan membantu nelayan berdaftar, serta menilai kerugian yang dialami.

Menurut beliau, menerusi skim tersebut nelayan yang layak akan mendapat bantuan sebanyak RM10,000 jika bot mereka rosak, sementara kerosakan pukat dan lain-lain peralatan (RM3,000), rumah (RM10,000) dan lain-lain peralatan rumah (RM1,000).

“Selain itu bantuan bekalan makanan sebanyak RM20,000 dan peralatan pembersihan serta keperluan asas sebanyak RM20,000 juga akan dipertimbang kepada nelayan yang layak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan di Persatuan Nelayan Matang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 22 nelayan menerima bantuan antara RM300 dan RM1,000 setiap seorang membabitkan peruntukan berjumlah RM11,400, selepas rumah mereka di Kampung Matang Gelugor, Matang dan Kuala Sepetang dilanda banjir baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, LKIM percaya tidak ramai nelayan yang terjejas dengan banjir di Pantai Timur, kerana kebanyakan kawasan terjejas tidak melibatkan penempatan nelayan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata walaupun berlaku banjir di Pantai Timur, bekalan ikan adalah mencukupi.

“Pendaratan ikan berlaku macam biasa dan kita mempunyai bekalan mencukupi. Pendaratan ikan 60 peratus dari laut, 20 peratus dari ternakan akuakultur dan 20 peratus diimport.

Terdahulu dalam ucapannya, Syed Abu Hussin berkata LKIM memperuntukan RM1.066 juta bagi melaksanakan bantuan baik pulih rumah nelayan di bawah program khas perumahan, membabitkan 82 buah rumah di seluruh negara tahun lepas.

“Untuk bina baharu pula, sebanyak 30 dilaksanakan tahun lepas dengan peruntukan RM1.6 juta,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Lima pegawai kastam ditahan peras ugut nelayan RM20,000

SHAH ALAM, 10 DIS: Polis menahan lima pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membantu siasatan berkaitan jenayah pemerasan terhadap nelayan di perairan Tanjung Sepat pada 28 November lalu.

Lima pegawai berkenaan yang berusia 33 hingga 53 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, sekitar 9 malam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman dalam kenyataan berkata mangsa bersama abang saudaranya menaiki bot pada 6 petang dari sebuah Jeti Sungai Titip, Kuala Langat untuk menjual durian di perairan Tanjung Sepat (sempadan Malaysia-Indonesia).

Katanya, semasa dalam perjalanan, mangsa yang juga peraih durian mendakwa dihampiri sebuah bot kastam dan sebuah bot pancung warna biru yang dibawa oleh dua anggota kastam bersama tiga lelaki warga Indonesia.

“Mengikut keterangan mangsa, seorang daripada pegawai kastam tersebut kemudian berbincang dengan mangsa berusia 34 tahun serta meminta wang sebanyak RM20,000 jika tidak mahu ditahan namun mangsa tidak bersetuju.

“Anggota kastam itu seterusnya mengambil beberapa kotak durian serta mengambil duit pengadu sebanyak RM2,000 selain turut memindahkan tiga warga Indonesia ke bot pengadu.

“Tindakan anggota kastam tersebut memindahkan ketiga-tiga warga Indonesia ke dalam bot mangsa ini juga sedang disiasat.

“Selepas itu, anggota kastam berkenaan beredar menuju ke Port Dickson bersama bot pancung milik warga Indonesia itu,” katanya.

Azizan berkata, selepas bot kastam beredar, mangsa mendapati seorang daripada warga asing itu mengalami kecederaan di bahagian belakang badan akibat terkena tembakan dipercayai dari pihak kastam.

Katanya, semasa mangsa dalam perjalanan menuju ke darat, mereka telah ditahan anggota ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan seterusnya ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

“Mangsa dan abang saudaranya dibebaskan jaminan manakala tiga lelaki Indonesia direman mengikut Akta Imigresen selama 14 hari. Sementara lima pegawai berkenaan direman empat hari mulai Isnin lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 225A Kanun Keseksaan; Seksyen 384 Kanun Keseksaan; Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri pertimbang bantuan bot, enjin kepada nelayan

KUALA SELANGOR, 7 DIS: Kerajaan Negeri bakal memberi bantuan bot dan enjin kepada nelayan terpilih, kata EXCO asas tani.

Ir Izham Hashim berkata bilangan penerima inisiatif tersebut dihadkan bagi mengelak isu peralatan disalah guna termasuk menjual kepada pihak ketiga.

“Sebenarnya sudah lama kita tidak beri bantuan bot dan enjin kerana pengalaman lepas apabila beri kemudahan, mereka tidak manfaatkannya.

“Buat permulaan kita pilih tiga nelayan yang betul-betul perlukan bot dan enjin untuk tangkap ikan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya selepas menyampaikan bantuan baja kompos kepada petani sekitar Sungai Burong di sini semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Kerajaan Selangor meluaskan penerima inisiatif tersebut kepada golongan yang memerlukan.

“Kita mesti menyalurkan inisiatif secara berhati-hati bagi mengelak berlaku pembaziran.

“Apa guna jika kita beri bantuan tetapi taraf hidup tidak berubah. Sekiranya ini berlaku ia bermakna polisi Kerajaan Negeri gagal,” katanya.