Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan kriket negara siap sedia kembali beraksi bulan depan

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Selepas setahun hilang dari pentas kejohanan antarabangsa, pasukan kriket negara sudah bersedia untuk kembali beraksi dalam Tri Nation’s T20i Series dari 17-24 April di Kathmandu, Nepal.

Persatuan Kriket Malaysia dalam satu kenyataan berkata pasukan kebangsaan bersama dua lagi negara, Nepal dan Belanda akan bermain di padang kriket TU (Tribhuvan University), dengan ketiga-tiga negara berentap untuk Bajaj Pulsar Tri Nations Series, Strength Partner Shivam Cement.

“Series ini berupa double round-robin, dengan dua pasukan terbaik bertanding di final.

“Malaysia akan bertanding menentang dua pasukan mantap; pastinya ketiga-tiga pasukan bekerja keras untuk persembahan terbaik, walaupun dengan pelbagai sekatan susulan penularan Covid-19 sejak setahun lepas,” menurutnya.

Seterusnya Persatuan Kriket Malaysia menyampaikan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkuasa berkaitan yang banyak memberi sokongan sehingga membolehkan mereka mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

“Skuad Malaysia akan berlepas ke Nepal di bawah gelembung keselamatan bio, mematuhi keperluan tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nepal cadang perkenal Bahasa Melayu di sekolah

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Nepal bercadang memperkenalkan Bahasa Melayu (BM) sebagai mata pelajaran elektif di sekolahnya bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa itu untuk menceburi bidang profesional di Malaysia.

Perkara itu, bagaimanapun, perlu dibincangkan lebih lanjut dengan Kabinet Nepal dan pihak berkuasa relevan, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Nepal, Giriraj Mani Pokharel semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

Giriraj turut menyambut baik syor Maszlee untuk Malaysia menubuhkan institut bahasa di negara Asia Selatan itu untuk mengajar BM kepada rakyat Nepal.

Bercakap kepada Bernama semasa ditemui di luar acara Sidang Kemuncak Inovatif Dunia bagi Pendidikan 2019, yang diadakan dari 19 hingga 21 November di Doha, Qatar, Maszlee berkata:

“Terdapat kira-kira 357,000 rakyat Nepal bekerja di Malaysia ketika ini, terutamanya dalam sektor keselamatan (pengawal keselamatan), pembuatan dan hospitaliti.

“Mengajar BM dan menubuhkan institusi akan memberi manfaat apabila rakyat Nepal mahu bekerja di Malaysia kerana mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan meningkatkan kerjaya mereka.”

Maszlee berkata, kedua-dua mereka turut berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Nepal.

“Menteri Nepal itu kagum dengan Sistem Latihan Berkembar dengan Jerman bagi TVET oleh negara kita dan bagi mereka, ia amat berguna.

“Ini kerana Nepal mahu mengeluarkan pekerja mahir untuk bekerja di luar negara dengan bayaran lebih baik dan mempunyai sijil TVET,” kata Maszlee.

Nepal sedang mencari peluang untuk menghantar pelajar mereka melanjutkan pelajaran peringkat ijazah lanjutan di Malaysia dan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti di Malaysia.

Giriraj turut mengundang Maszlee untuk melawat Nepal bersempena dengan Tahun Melawat Nepal 2020 dan menghadiri Persidangan Kecerdasan Buatan di Kathmandu tahun depan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Islami Sangh Nepal berdakwah sambil hulur bantuan

Oleh: AFEEQA AFEERA

KATHMANDU, 3 JUN: Populasi rakyat Nepal beragama Islam yang rendah di negara itu mendorong badan bukan kerajaan (NGO), Islami Sangh Nepal (ISN) berusaha menarik lebih ramai mendekati Islam.

Pelbagai cara dilakukan termasuk berdakwah ketika menghulurkan bantuan kepada mangsa kejadian gempa bumi yang menimpa ibu negara Nepal, Kathmandu pada April dan Mei lalu.

Presidennya, Nazrul Hussain Falahi, berkata hanya 4.42 peratus rakyat negara itu beragama Islam berbanding 27 juta populasi penduduk secara keseluruhannya sehingga kini.

IMG_20150602_173239“Kami percaya ada peluang bagus untuk menarik lebih ramai rakyat Nepal mendalami Islam jika usaha bersungguh-sungguh dilakukan.

“Usaha ini turut dipermudahkan melalui kerjasama dengan NGO lain seperti Muslim Care Malaysia Society dalam menjayakan misi mengislamkan lebih ramai rakyat Nepal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama wakil NGO Islam Malaysia ke Kathmandu yang diketuai Exconya, Mohd Johari Ismail.

Ketika ini, Nepal didominasi agama Hindu dengan 80 peratus populasi manakala selebihnya adalah Buddha, Kristian dan lain-lain.

IMG_20150602_173152Sementara itu, ketika mengulas berkenaan bantuan yang disampaikan kepada mangsa gempa bumi, Nazrul berkata 35,000 keluarga sudah menerima pelbagai jenis sumbangan.

Antara bantuan yang diberikan adalah makanan, khemah, selimut dan tilam serta perubatan.

“ISN turut menyumbangkan ubat-ubatan kepada tiga hospital iaitu Hospital Biro, Hospital Paten dan Pusat Kesihatan Komuniti serta pertubuhan perubatan lain.

“Bantuan ini turut melibatkan gabungan 31 NGO lain termasuk sumbangan daripada orang awam,” katanya.

Kira-kira 16 daripada 75 daerah di Nepal terjejas teruk ekoran kejadian gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang melanda negara itu.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBI salur RM35,000 untuk mangsa gempa bumi Nepal

Oleh: AFEEQA AFEERA

KATHMANDU, 3 JUN: Sejumlah RM35,000 diperuntukkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bagi membantu mangsa gempa bumi di Nepal, pada April lalu.

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafar Farudin Md Ali, berkata bantuan itu diberikan dalam bentuk keperluan makanan serta zink bagi membaiki kediaman penduduk.

Katanya, ia selaras dengan misi kebajikan MBI dalam membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira sempadan, kaum atau agama.

IMG_20150602_173152“Kita sangat menitikberatkan kebajikan masyarakat yang memerlukan walaupun saya ditugaskan untuk menjaga atau memberi tumpuan kepada Selangor khususnya, namun MBI mengorak langkah lebih jauh mengadakan misi kemanusiaan.

“Ini adalah kali pertama kita anjurkan misi kebajikan dan dakwah luar daripada Selangor dan Malaysia. Diharapkan ia mampu berjalan lancar pada masa akan datang,” katanya kepada Selangor Kini.

Misi Bantuan Kemanusiaan ke Nepal itu dianjurkan MBI dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia Society yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia.

Antara kawasan yang dilawati adalah Bhaktapur, perkampungan Kaleswor dan daerah Lalitpur.

IMG_20150602_173239Pada masa sama, Jaafar berkata, misi berkenaan tidak hanya mementingkan soal kebajikan tetapi turut diselitkan unsur dakwah.

Katanya, penduduk yang bersedih atas musibah diberi kekuatan dari sudut tarbiyah supaya mereka dapat mengenal Islam dengan lebih dekat.

“Semoga dengan kehadiran kita, mereka boleh lihat bagaimana solat jemaah dilakukan dan beramah mesra tanpa rasa kekok.

“Saya berharap MBI akan lebih memberi tumpuan untuk membuktikan kita bukan hanya menumpukan kepada urusan duniawi atau keuntungan sahaja tetapi turut mengagihkan keuntungan kepada mereka yang sedang diuji dengan musibah,” katanya.

-NFN-