Categories
AGENDA NASIONAL

Akhbar The Edge Financial Daily henti operasi cetak hari ini

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Akhbar The Edge Financial Daily menuruti jejak langkah akhbar Malay Mail dengan memberhentikan edisi cetakannya selepas beroperasi selama 13 tahun hari ini, dan menumpukan sepenuhnya kepada edisi digital.

Akhbar yang dilancarkan pada 22 Mei 2007 itu terkenal dalam kalangan “orang ekonomi” dan dikatakan menerima tempias berikutan pandemik Covid-19, namun langkah pendigitalan dilihat sebagai mekanisme terbaik untuk terus bertahan dalam industri media negara.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ho Kay Tat serta Ketua Pengarang Azam Aris dalam satu nota kepada pembaca bertajuk ‘FD says goodbye after 13 years’ berkata, akhbar itu pada mulanya terus bertahan biarpun pernah terkesan dengan krisis ekonomi global dan kes penggantungan operasi pada 2015.

“Sedihnya, FD (Financial Daily) tidak dapat terus bertahan lagi dalam mengharungi cabaran peralihan kepada berita digital dan sekatan pergerakan semasa yang dilaksanakan dalam membendung penularan wabak Covid-19, yang turut memberi kesan kepada ekonomi.

“Sehubungan itu, ini akan menjadi cetakan terakhir FD, namun ia tidak akan menjadi berita terakhir yang akan dihasilkan oleh para pemberita kita untuk anda,” menurutnya.

Selain akhbar mingguan The Edge yang akan beroperasi seperti biasa, laman web www.theedgemarkets.com juga akan kekal memberikan maklumat terkini mengenai keadaan ekonomi semasa.

“Jadi lihatlah setiap pagi dan sepanjang hari, saluran ini bagi mendapatkan berita mutakhir dari wartawan kami,’ kata mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata keputusan penghentian cetakan ini merupakan satu lagi episod duka dalam sejarah kewartawanan Malaysia.

“… saya rasa sekatan perjalanan (Covid-19) memberikan tekanan hebat kepada mereka (The Edge Media Group). Susulan sekatan perjalanan, orang ramai tidak lagi membeli surat khabar, kerana mereka perlu duduk di rumah.

“Bagaimanapun media ini bukannya berhenti terus, mereka hanya menghentikan cetakan surat khabar, dan beralih kepada laporan berita dalam talian. Saya berpandangan masa depan media berita akan bertumpu kepada dalam talian, yang merupakan perkembangan yang baik dari satu segi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, beliau turut menitipkan penghargaan kepada akhbar itu yang sekian lama berjasa kepada komuniti ekonomi biarpun edaran hariannya tertumpu di Lembah Klang sahaja.

“Saya berdoa yang terbaik buat mereka dalam mengharungi perjalanan di masa depan, dan diharapkan komuniti perniagaan akan terus memberikan sokongan kepada The Edge,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial turut mendapati berita itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan komen sedih berbaur kecewa.

Seorang pembaca dikenali sebagai Beeja menulis: “Terima kasih The Edge terhadap sumbangan dan perkhidmatan hebat anda kepada komuniti industri kewangan. Anda menjadi akhbar pertama yang disemak terlebih dahulu sebelum memulakan kerja setiap hari.

“Anda sepatutnya mendapat penghargaan tinggi terhadap kualiti laporan yang baik, tidak berat sebelah dan berpendirian yang tegas lagi berani.

TK Low pula menulis : “Tiada yang lebih teruja daripada membaca dengan penuh penghayatan … akhbar dalam kewujudan secara fizikalnya memberikan interaksi untuk dibaca..”.

Seorang pengguna Facebook Jasper Tan pula menulis: “Amat sedih melihat perkara ini berlaku terhadap The Edge. Diharapkan mereka akan bertambah cemerlang di masa hadapan di media digital,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Netizen perlu waspada sebar berita palsu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 27 JAN: Pengguna media sosial (netizen) perlu lebih berhemah ketika menyebarkan sebarang mesej bagi mengelakkan sebaran berita palsu.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng berkata, hal itu kerana masyarakat kini mempunyai kuasa mencipta berita palsu dengan hanya menggunakan media sosial seperti whatsapp dan facebook.

Katanya, lebih membahayakan apabila segelintir masyarakat beranggapan penyebaran berita seumpama itu tidak akan mendatangkan mudarat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengesahkan berita berkenaan, jika kita dapat berbuat sedemikian mungkin undang-undang berita palsu tidak perlu diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Fiesta Kumpulan Star Summit USJ, di sini.

Michelle berkata, antara contoh penyebaran berita palsu yang berlaku terhadapnya ialah apabila ribuan warga emas datang ke pusat khidmatnya gara-gara maklumat tidak benar.

Katanya, mereka menerima mesej kononnya perlu ke pusat khidmat untuk mendapatkan kad platinum warga emas, kad kesihatan dan angpau Tahun Baharu Cina.

“Awalnya saya terima mesej berkenaan dari seseorang pada Ahad, namun tidak langsung memikirkan kesan yang akan berlaku, tetapi tidak sangka keesokan harinya pusat khidmat dipenuhi orang ramai.

“Sebenarnya tidak ada langsung skim sedemikian rupa yang ditawarkan kepada rakyat Selangor, disebabkan mesej palsu itu kami terpaksa menjelaskan perkara sebenar kepada orang ramai yang datang.

“Jadi, berfikirlah sebelum menyebarkan sesuatu perkara tidak benar,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Konvoi PBT Selangor jadi bualan netizen

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

PULAU PINANG, 7 NOV: Netizen melahirkan rasa gembira dengan komitmen Kerajaan Selangor yang menggerakkan anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri bagi membantu operasi pembersihan di Pulau Pinang ekoran banjir teruk, sejak 4 November lalu.

Aznil Hisyam Zabri dalam komen di laman facebook Penang La Nii berkata, beliau gembira kerana dapat turun padang dalan operasi pembersihan bersama PBT Selangor, semalam.

“Alhamdulillah, semalam ops bencana antara MBPP beserta PBT dari Selangor saya terlibat secara langsung dari menyambut kedatangan sehingga kerja pembersihan sekitar bandaraya Pulau Pinang.

“Pengalaman yang tak dapat dilupakan. PBT Selangor terima kasih sudi hulur bantuan,” katanya.

Sementara itu, laman facebook Penang La Nii turut memaparkan komen seorang lagi netizen, Kamarul Al’rauf, berhubung kehadiran konvoi PBT Selangor, di Pulau Pinang.

“Nampaknya seperti bantuan telah mula tiba dari Selangor. Terima kasih MBSA !!! Terima kasih MBPJ!!!

“Lokasi di depan The Light Hotel, Seberang Jaya,” tulis laman itu.

Siti Naqiyah Osman pula berkata, bantuan yang diterima amat bermakna untuk rakyat Pulau Pinang.

“Wooii terbaik la… bantuan yang tidak ternilai untuk warga penduduk penang.. tq kerajaan selangor.. terharu sangat-sangat tengok macam ni,” katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

#Selangor18: RM3.25 juta imarah muassasah haji

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan menyemarakkan program Imarah Muassasah Haji menerusi peruntukan RM3.25 juta untuk 6,500 jemaah Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program itu kesinambungan terhadap insentif RM500 yang disalurkan kepada jemaah haji muassasah yang menunaikan rukun Islam kelima, tahun ini.

“Tatkala saya bersarapan pagi di Warong Pak Mat, Sungai Jelok, Kajang pada 27 Oktober lalu, saya didampingi pengusaha warung, Haji Mohamad Baba yang tersenyum riang dan melahirkan rasa syukur kerana beliau dan isteri, Hajjah Zaiton Ahad atau Mak Ton menerima hibah Kerajaan Negeri dalam bentuk pembiayaan Imarah Muassasah Haji tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melancarkan insentif RM500 kepada jemaah haji muassasah Selangor yang menunaikan haji ke Makkah.

Insentif di bawah Program Jemaah Haji Muassasah Selangor itu dilaksanakan sebagai tanda kepedulian pentadbiran negeri dan MBI kepada bakal jemaah haji.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Bantuan anggota keselamatan naik setengah juta

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 NOV: Usaha menyantuni anggota keselamatan, khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Terbaru, menerusi pembentangan Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan program itu diteruskan dengan menaikkan peruntukan kepada RM1.5 juta.

Katanya, bantuan itu disalurkan terus kepada anggota veteran ATM yang memerlukan bantuan kesihatan dan kebajikan keluarga.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan besar anggota keselamatan, khususnya ATM dan PDRM yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara serta menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

“Mulai 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk Tabung Pahlawan Angkatan Tentera yang disampaikan sendiri oleh saya dalam program ziarah keluarga veteran ATM, di setiap daerah,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2017, RM1 juta diperuntukkan bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera.

Sebahagian daripadanya disampaikan secara terus menerusi program ziarah, pada setiap minggu menerusi Program Turun Padang yang diadakan secara bergilir di setiap daerah.

Sementara baki diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan ATM.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Netizen sambut baik #Selangor18, tiada ‘provokasi’ Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Pengguna media sosial Facebook, menyambut baik pengumuman cadangan Belanjawan Selangor yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Rata-rata, netizen menyifatkan pelaksanaan Belanjawan Selangor lebih menumpukan agenda berkebajikan kepada masyarakat negeri itu.

Antaranya pengguna Facebook, Yob Sojer yang memuji komitmen pentadbiran negeri menghargai kakitangan penjawat awam negeri.

“Tahniah Menteri Besar Selangor, bagi tiga bulan gaji kepada kakitangan awamnya, ketua kampung dan guru kafa,” tulisnya.

“Syabas kepada Kerajaan Pakatan dan akan sokong selama-lamanya,” tulis Ooi Aik Seng.

“Kenapa Belanjawan Azmin berbeza dengan bajet tipu rakyat dan tin kosong yang dibentangkan Najib?” tulis Azni Mohd Sariff.

Dalam pada itu, wujud juga kenyataan positif terhadap Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan dibuat.

“Terbaik Dato’ Menteri Besar, steady saja penuh dengan semangat. Tiada pun mengutuk orang lain,” kata Roslin Bakar dipercayai merujuk kepada tindakan Perdana Menteri, Najib Razak yang mencetuskan provokasi sindiran ketika pembentangan Belanjawan 2018 Persekutuan, 27 Oktober lalu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah RM3.12 bilion bagi Belanjawan Selangor 2018 dengan 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan.

Dato’ Menteri Besar berkata, belanja pembangunan merangkumi RM1.66 bilion sementara baki RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja pengurusan meliputi 46.8 peratus.

Katanya, ia adalah tahun keempat berturut-turut Kerajaan Negeri melebihkan belanja pembangunan daripada belanja pengurusan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kesederhanaan Tengku Permaisuri Norashikin tawan hati netizen

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JULAI: Keayuan dan kesederhaan imej dibawa DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bukan sahaja memukau setiap mata yang bertentangan tetapi turut menjadi bualan netizen.

Tinjauan SelangorKini di aplikasi Instagram rasmi keluarga diraja Selangor iaitu @selangorroyalofficial menunjukkan setiap gambar Tengku Permaisuri Norashikin menerima komen positif dan pujian netizen.

PERMAISURI (5)Kebanyakan mereka memuji kecantikan baginda yang disifatkan sebagai ‘natural beauty’ selain kesederhanaan dalam berpakaian yang menyerlahkan lagi kejelitaan Tengku Permaisuri Norashikin selaku kesayangan rakyat Selangor.

Mereka berpandangan, pesona dimiliki menyerlahkan lagi keluhuran hati dan keikhlasan baginda sebagai permata hati Istana Selangor.

Malah, kemesraan di antara DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mendapat pujian netizen.

Pasangan diraja itu disifatkan sebagai manis bersama dan didoakan supaya terus dilimpahi rahmat dan kekal bahagia serta terus memayungi rakyat negeri itu.

Pada 31 Ogos 2016, Sultan Sharafuddin selamat diijabkabulkan dengan Tengku Permaisuri Norashikin yang juga bekas personaliti televisyen di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Tengku Permaisuri Norashikin pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA2005).

PERMAISURI (2)

PERMAISURI (3)

Categories
NASIONAL

Salah laku netizen dalam media sosial serius

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JULAI: Selangor mendahului senarai aduan berkenaan salah laku netizen bagi keseluruhan media baru dengan 1,534 aduan, setakat Mei lalu.

Ketua Jabatan Perlindungan dan Biro Aduan Pengguna (CCB), Ratnawaty Talib berkata, ia diikuti Pahang (1,036), Johor (730), Kuala Lumpur (696) dan Wilayah Persekutuan Labuan (46), Putrajaya (46) dan Perlis (36).

Katanya, aduan diterima disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, manakala untuk penipuan (spam), pengelabuan (phishing) dan pengkomplotan(scam), SKMM bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Berdasarkan data dikumpul, kami merancang program jelajah pada masa akan datang ke negeri yang mencatatkan sedikit aduan seperti Perlis, Terengganu, Kedah, Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mereka tampil ke hadapan untuk melaporkan kepada SKMM,” katanya lapor Bernama.

social-media-logos-600x337Ratnawaty berkata, jumlah aduan berkenaan salah laku menggunakan media baru termasuk laman sesawang, media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram serta e-mel dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini.

Katanya, lima kategori aduan teratas yang direkodkan dari Januari hingga Mei tahun ini adalah ancaman (753 aduan), jenayah siber (555), maklumat palsu (482) fitnah (363) dan bahan lucah (346).

“SKMM mendapati 80 peratus daripada aduan diterima adalah berkaitan kandungan di landasan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram,” katanya.

Pada 2015, SKMM mencatatkan 1,908 aduan berkenaan salah laku netizen bagi keseluruhan media baru dan meningkat kepada 3,188, pada akhir 2016.

Untuk membuat aduan, orang ramai boleh hubungi SKMM menerusi portal aduannnya; complaint.cfm.org.my atau hotline nombor 1800188030, WhatsApp ke 0162206262, SMS ke 15888 atau e-mel kepada [email protected].