Categories
EKONOMI

Pembeli NFC mempunyai kepakaran

PUTRAJAYA, 23 Mei: Pembeli baharu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) mempunyai kepakaran dalam industri ruminan dan diyakini tidak akan terjebak dalam salah laku seperti dahulu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, beliau diberi keyakinan bahawa isu NFC akan berakhir tidak lama lagi apabila syarikat itu bersedia membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFC kepada Kementerian Kewangan.

Beliau dalam pada itu berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan syarikat tempatan itu dalam membantu mereka meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran daging tempatan.

“Kita cuma mahu mereka patuhi semua syarat ditetapkan dan tidak menjejaskan kepentingan kementerian. Mereka diberi ruang sepenuhnya untuk membina industri ruminan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail baru-baru ini dilaporkan berkata NFC sudah mempunyai pembeli baharu sejak 25 Oktober tahun lepas yang bersedia untuk membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFC dalam masa tiga bulan daripada persetujuan kerajaan untuk penstrukturan semula NFC.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula dilaporkan berkata NFC belum melunaskan hutang pinjaman dengan kerajaan berjumlah RM254 juta termasuk faedah dan faedah lewat setakat 30 April dan kerajaan mahu menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman itu.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata proses pemberian Kelulusan Permit (AP) dan Permit Import (IP) akan ditambah baik bagi memastikan amalan ‘rent seeker’ atau perbuatan mengaut sewa oleh mereka yang tidak terlibat dalam industri pertanian dihentikan.

Beliau berkata, langkah itu perlu supaya hanya mereka yang layak dan berpotensi dianugerahkan dengan pemberian AP dan IP untuk melakukan aktiviti mengeksport dan mengimport produk pertanian.

“Apa yang kita ingin hapuskan ialah ‘rent seeker’. Kita dapati ada pihak yang tidak ada kilang dan tidak terlibat dalam industri tetapi dapat AP dan IP… ini yang kita tidak mahu,” katanya.

Selain proses permohonan yang kini perlu dibuat secara dalam talian, Salahuddin berkata kementerian juga akan mendapatkan pandangan dan saranan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) untuk menambah baik proses pemberian kontrak, AP dan IP supaya hanya mereka yang benar-benar layak dipilih.

Salahuddin berkata, beliau rimas dengan tindakan individu tertentu serta anggota politik yang menggunakan tiket politik untuk meminta projek, tender serta AP dan IP di bawah kementerian.

Selaku orang politik, katanya, beliau juga mempunyai anggota parti dan penyokong yang perlu dilayan tetapi perkara yang ‘direngekkan’ di telinga menteri tidak akan dilayan sekiranya permohonan itu tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Kita akan cari prosedur yang paling tepat dan terbaik bagaimana AP, IP dan semua tender yang diberikan menepati ciri-ciri dan indeks yang boleh menjadikan kementerian ini contoh kepada kementerian lain dalam melaksanakan integriti,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu NFC perlu selesai segera-Salahuddin

KOTA BHARU, 21 MEI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mahu isu National Feedlot Corporation (NFC) dapat diselesaikan dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, dalam masa terdekat iaitu beberapa bulan lagi sudah ada sebuah syarikat yang berminat untuk membeli NFC.

“Saya telah membuat kenyataan seawal berada di MOA, sebuah syarikat berminat untuk beli NFC, kita telah lihat syarat-syarat itu dan perkara ini telah diajukan kepada perdana menteri dan menteri kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga MOA Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, pihaknya menyambut baik sekiranya syarikat berkenaan dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk menyelesaikan pinjaman dengan Kementerian Kewangan.

“Menteri kewangan dah beri respon bahawa NFC perlu kembalikan semula pinjaman, itu terma yang perlu dipatuhi.

“Saya dimaklumkan syarikat ini memang amat berminat untuk ambil alih NFC dan sekiranya semua syarat dipenuhi, kita tak ada masalah. Syarikat baru boleh meneruskan projek NFC, mungkin kita tukar nama baru, ” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dalang NFC dibebas namun rakyat tetap marah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Walaupun Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporations (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dilepaskan dari tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta, rakyat tetap tidak merelakan dana itu digunakan untuk membeli kondominium mewah.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, hal ini kerana pembelian dikatakan mengikut prosedur dan mendapat kelulusan mesyuarat lembaga pengarah NFC itu kekal sebagai perbuatan tidak bermoral apabila membeli aset mewah untuk kegunaan peribadi dengan menggunakan dana rakyat.

NFC- Shahrizat & Salleh“Saya semakin gusar kerana hari ini penyelewengan sudah menjadi kebal. Setiap kali kita mendedahkan, rakyat respon dengan kemarahan kepada pihak terlibat tetapi kerajaan jawab tidak salah kerana mengikut peraturan dan prosedur.

“Jangan terlalu ghairah berselindung sebalik alasan mengikut prosedur kerana rakyat menilai kewajaran perbelanjaan itu berlaku yang berkaitan moral keputusan itu dibuat, bukan sekadar prosedur diikuti atau tidak.

“Contohnya membeli jet mahal dengan perbelanjaan RM80 juta setahun memang tidak salah bila mengikut prosedur tetapi dari segi moral tetap salah kerana kenakan cukai kepada rakyat termasuk miskin tetapi dibelanjakan begitu rupa,” kata Rafizi dalam sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan sejumlah wang untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di kompleks One Menerong di Bangsar.

Beliau juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat Livestock Corporation pada 2009.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Mohamad Salleh daripada dua pertuduhan pecah amanah itu.

EZY

Categories
NASIONAL

Rafizi tak terkejut Salleh terlepas tuduhan skandal NFC beli kondo

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak terkejut keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporations Sdn Bhd, Datuk Seri Salleh Ismail dari dua tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta.

Rafizi berkata, beliau menjangka keputusan melibatkan pembelian dua unit kondominium mewah di One Menerong, Bangsar itu dibuat dengan alasan Salleh terlebih sudah memperolehi kelulusan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah atau Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu.

NFC- Shahrizat & Salleh“Saya menunggu perincian perbicaraan sebelum boleh membuat komen lanjut tetapi saya boleh mengagak tertuduh mengemukakan bukti pembelian itu mendapatkan persetujuan diluluskan mengikut prosedur syarikat dan ini memberi tafsiran tidak berlaku sebarang pecah amanah.

“Jika ini yang berlaku, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak meluluskan supaya NFC boleh menggunakan dana diberikan untuk penternakan lembu bagi tujuan membeli kondominium,” kata Rafizi pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Jelasnya, keputusan ini juga secara tidak langsung memberi mesej pentadbiran Perdana Menteri sedikit pun tidak mempedulikan kemarahan rakyat mengenai skandal menyebabkan Datuk Seri Shahrizat Jalil meletak jawatan.

Katanya, keputusan ini juga mengesahkan skandal NFC ini bukan sahaja terpalit kepada keluarga Shahrizat tetapi Umno ekoran pemimpin Umno dalam kerajaan memberi kebenaran dana NFC digunakan untuk membeli kondominium.

EZY

Categories
NASIONAL

Suami Shahrizat gagal lagi batal tuduhan di mahkamah

SHAH ALAM, 26 FEB: Ketua Pegawai Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sekali lagi gagal membatalkan dua tuduhan pecah amanah terhadapnya dalam rayuan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Rayuan itu didengar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin.

NFC- Shahrizat & SallehMemetik Malaysia Kini, tahun lalu, Salleh gagal dalam percubaan pertama beliau untuk membatalkan pertuduhan itu di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tuduhan berkaitan penggunaan dana untuk projek kontroversi Fidlot Nasional.

Kegagalan projek NFC diuruskan Salleh yang juga suami Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan anak-anak merekadidedahkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara.

Salleh mempunyai peluang terakhir untuk merayu terhadap pertuduhan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Categories
NASIONAL

Perbicaraan kes NFC didengar 23 Jun ini, tertangguh sejak 2012

KUALA LUMPUR, 12 MEI : Perbicaraan kes Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta akan didengar 23 Jun ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi pada 5 Mei lalu mengarahkan kes itu dibicarakan segera selepas menolak permohonan Mohamad Salleh untuk menggantung prosiding perbicaraan kes itu.

“Saya bersetuju dengan pihak pendakwaan. Kita akan meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi pertama pada 23 Jun ini memandangkan kes ini tiada perkembangan sejak 2012,” katanya dipetik Bernama.

Terdahulu, Awang Armadajaya memohon supaya mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu dalam bulan Jun memandangkan kes Mohamad Salleh telah tertangguh sejak 2012.

NFC_grafikMahkamah juga menetapkan 26 Mei ini untuk rundingan prabicara bagi kedua-dua pihak serta 13 Jun ini untuk pengurusan kes.

Awang Armadajaya turut memaklumkan seramai 70 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan yang membabitkan 1,200 dokumen.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, 65, selaku pengarah syarikat NFCorp didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium ‘One Menerung’di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 Nov 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat itu, yang mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda.

Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat ‘double standard’ pinda Akta Cukai 1967

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 5 DIS : Kerajaan pusat didakwa bersikap ‘double standard’ apabila membentangkan pindaan Akta Cukai 1967 yang menetapkan sebarang pengeluaran simpanan daripada Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun akan dikenakan cukai penuh.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata tindakan itu jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan keuntungan dan pendapatan daripada skim itu akan dikecualikan daripada cukai untuk menggalakkan pendaftaran pekerja swasta, pada Julai 2012.

RafiziRafizi berkata, perkara itu sudah menjadi amalan Barisan Nasional (BN) sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkiri selepas tamat pilihan raya.

“Jawapan Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam skim itu mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat.

“Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan sehingga maksima RM3000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) tetapi tabungan di dalam skim ini kebnyakannya melebihi RM3000 setahun. Dengan pindaan ini, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi daripada pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, pindaan akta itu juga meluaskan kuasa kerajaan untuk mengutip cukai syarikat daripada pemegang saham melebihi 20 peratus atau individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sesebuah syarikat.

Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, pemegang saham juga terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun mereka tidak terbabit dalam sebarang urusan pengurusan.

“Pindaan ini seperti menghapuskan pemisah (“corporate veil”) antara liabiliti syarikat dan individu atau pemegang saham yang menjadi asas pensyarikatan. Ia bertujuan membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat dan syarikat walaupun meningkat secara purata 10 peratus setiap tahun, sejak tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Rafizi turut mencabar kerajaan supaya menggunakan pendekatan sama terhadap individu yang terbabit dalam skandal kewangan negara jika ingin menghapuskan pemisah antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai.

NFC- Shahrizat & Salleh“Ini termasuk menghapuskan pemisah antara Pengarah National Feedlot Corporation (NFC) daripada syarikat NFC dalam soal hutang RM250 juta yang diambil daripada kerajaan.

“Oleh kerana pindaan akta ini menghapuskan “corporate veil”, maka Pengarah NFC daripada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu segera membayar RM250 juta itu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR yakin kes NFC akan dilepas seperti PKFZ

Oleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 25 NOV : Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) tidak akan dibicarakan secara serius dan menjadi seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik bebas daripada pertuduhan.

Naib Presiden PKR, N Surendran, menganggap perbicaraan kes itu dijalankan hanya kerana desakan pembangkang yang mahu pencuri dana rakyat dihukum.

surendranBeliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes berkenaan apabila Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya, baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan keputusan itu dan yang penting di sini bahawa tuduhan berkenaan dilakukan disebabkan tekanan pembangkang.

“Jadi, kita minta pendakwaan dapat dijalankan bagi memastikan keadilan dilakukan dan pesalah tidak terlepas seperti yang berlaku dalam banyak kes antaranya PKFZ,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Beliau berkata, kes skandal itu akan dilepaskan kerana keengganan Barisan Nasional (BN) menghukum pemimpinnya yang terbabit dalam kes penipuan dana rakyat.

Katanya, hal itu dibuktikan dengan pengekalan isteri Mohamad Salleh, Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita Umno.

Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menolak permohonan Mohamad Salleh selepas mendapati pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui proses perbicaraan dan mahkamah menetapkan dua hari, bermula 20 Januari 2014 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, selaku pengarah syarikat NFCorp didakwa melakukan pecah amanah RM9,758,140 untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium dan memindahkan RM40 juta ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, pada 2009.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Zuraida : Batal saman, skandal NFC terus dibongkar

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR, 11 NOV : Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyifatkan keputusan Datuk Seri Shahrizat Jalil menarik balik saman RM100 jutanya terhadap beliau dan Rafizi Ramli akan memudahkan mereka terus membongkar salah laku dalam isu projek National Feedlot Corporation (NFC).

zuraidahBeliau berkata, rakyat masih tertunggu-tunggu faedah daripada projek penuh kontroversi itu yang gagal diselesaikan pihak kerajaan pusat meskipun berulang kali diasak mengenai perkara itu.

Katanya, ia dikuatkan lagi dengan kenyataan kerajaan pusat sebelum ini yang mengesahkan rundingan bersama sebuah syarikat dari luar negara untuk mengambil alih projek itu menemui jalan buntu.

“Kami akan terus memastikan usaha pemulihan ke atas projek ini dapat dilakukan kerana wang yang digunakan perlu dikembalikan untuk mengusahakan projek ini berikutan kegagalan kerajaan berbuat demikian.

“Rakyat masih menunggu faedah terhadap projek ini yang tertangguh sekian lama dan selaku ahli Parlimen, saya dan Rafizi akan meneruskan usaha itu,” katanya.

Kes saman Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dibatalkan setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik kembali saman yang dikemukakan.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari tahun lalu, Shahrizat mendakwa Zuraida dan Rafizi membuat kenyataan fitnah berhubung isu NFC.

Penarikan saman itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera tanpa sebarang syarat.

-EZY

Categories
SELANGOR

Batal saman NFC beri kekuatan gempur rasuah

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 11 NOV : Individu mengamalkan rasuah serta penyelewengan diberi amaran untuk tidak semberono mengancam menyaman pihak yang membongkar aktiviti mereka kerana tindakan itu adalah untuk keadilan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilam (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri, berkata tindakan Datuk Seri Shahrizat Jalil menggugurkan saman RM100 juta terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberi kekuatan kepada semua pihak untuk terus menggempur gejala rasuah yang membarah di negara ini.

azmizam luar pc 01Katanya, individu daripada parti atau badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang tampil membongkar aktiviti penyalahgunaan kuasa serta rasuah mempunyai maklumat mencukupi dan prosedur yang betul sebelum membuat tindakan berkenaan.

“Sekiranya undang-undang dijalankan dengan jujur, maka tiada individu yang kebal boleh terhindar daripada dibawa ke pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib AMK Pusat, berkata perkara itu jelas menunjukkan segala penat lelah dua pemimpin PKR berkenaan dibantu daya penggerak parti, NGO dan rakyat untuk membongkar penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC) mendapat kemenangan yang lebih besar.

“Justeru, tidak perlu wujud istilah takut terutama kepada anak muda seluruh tanaha ir yang masih terus cekal memperjuangkan pentadbiran egara yang lebih baik,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Shahrizat batal saman, Rafizi terus bongkar skandal NFC

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 11 NOV : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli akan terus menyiasat skandal penyelewengan RM250 juta dana Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang ada kaitannya dengan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Rafizi melalui laman twitternya menegaskan akan terus mencari pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam kes NFC itu, walaupun Shahrizat menggugurkan saman ke atas beliau dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, penarikan dilakukan Shahrizat itu berkemungkinan disebabkan akan lebih banyak lagi pendedahan terhadap skandal NFC itu di mahkamah.

rafizi“Saya akan terus menyiasat dan mencari kebertanggungjawaban isu NFC walaupun selepas kes saman ini digugurkan,” katanya.

Rafizi menyatakan demikian ekoran pembatalan saman RM100 juta oleh Shahrizat Jalil terhadapnya dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin setelah Ketua Wanita Umno itu menarik balik saman tersebut.

Shahrizat menarik saman berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera, pagi ini.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari 2012, Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida membuat kenyataan fitnah berhubung pendedahan mereka berkenaan projek NFC.

Rafizi dan Zuraida kemudian memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berhubung satu ucapan didakwa berbaur fitnah yang diujarkan beliau, pada 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan membabitkan pinjaman mudah perlu diteliti kabinet, terutama jika membabitkan “keluarga dan sekutu”.

SPRM menyifatkan langkah itu akan dapat menghindari masalah seperti yang berlaku dalam skandal NFC daripada terus berulang.

-NFN-

Categories
NASIONAL

NFC: Shahrizat tarik balik saman RM100 juta terhadap Rafizi, Zuraida

SHAH ALAM 11 NOV : Kes saman RM100 juta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dibatalkan setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik kembali saman yang dikemukakan.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari tahun lalu oleh Ketua Wanita Umno itu, beliau mendakwa Zuraida dan Rafizi membuat kenyataan fitnah berhubung dakwaan terhadap projek National Feedlot Corporation (NFC).

Menurut laporan The Malaysian Insider, penarikan saman itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera.