Categories
NASIONAL

PKR: NFC Perlu Beri Penjelasan bukan Upah NGO

SHAH ALAM, 23 JAN : Tindakan Perbadanan Fitlot Kebangsaan (NFC) yang cuba menutup pelbagai penyelewengan berhubung salah guna dana rakyat secara politik disifatkan sebagai tindakan menutup isu asal berhubung pemberian projek kepada kroni yang menjadi amalan Umno selama ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pihak NFC seharusnya menumpukan sedikit masa untuk mengemukakan bukti bagi menafikan dakwaan yang dibuat berhubung penyelewengan dana rakyat oleh syarikat berkenaan yang gagal dilakukan sehingga hari ini.

Namun sebaliknya menurut Rafizi, NFC sejak kebelakangan ini dilihat menggunakan agenda politik dengan membawa masuk ‘kaki-kaki pukul’ seperti Perkasa untuk membela mereka.

Sementara itu menurut Ketua Penerangan PKR, Dr Mohamad Nur Manuty, pihaknya tidak menolak kemungkinan NGO yang digunakan untuk memberi kenyataan kepada media dibayar untuk berbuat demikian.

Ikuti berita lanjut melalui vedio dibawah.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Enam Skop Audit Untuk Siasat NFC

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempertikaikan kesungguhan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melantik firma juru audit untuk menyiasat dan membongkar penyelewengan dana rakyat yang berlaku di dalam NFC.
Menurut kenyataan medianya, Rafizi berkata juru audit yang di pilih tersebut perlulah memenuhi enam (6) skop utama.

1) Menyiasat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta penganugerahan projek kepada keluarga menteri. Ini termasuklah menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya komersil untuk dibiayai kerajaan.

2) Menyiasat proses pemberian dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan untuk menentukan ia mengikut prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik (best practices). Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown) untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tidak ada penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat;

3) Menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan tepat (true and fair) dengan matlamat penubuhan NFC. Ini termasuklah memastikan bahawa setiap perbelanjaan adalah berpatutan, berpada-pada, diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu seperti yang dimandatkan kepada NFC;

4) Menyiasat setiap pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan tidak ada unsur penyelewengan. Ini termasuklah menyiasat segala pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC;

5) Menyiasat setiap pembelian aset oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil bermula dari tempoh kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan peribadi; dan

6) Menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil untuk menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan dengan NFC. Ini bertujuan memastikan dana NFC tidak digunakan bagi membiayai kegiatan politik Dato’ Seri Shahrizat Jalil atau mana-mana individu lain.

Menurut Rafizi, selain itu firma juru audit tersebut juga perlu membentangkan keputusan siasatan ketika sidang dewan Rakyat akan datang.

Dalam pada itu beliau juga bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk sebagaimana cadangan PAS dan DAP bagi menyiasat penyelewengan projek membabitkan RM250 juta wang rakyat tersebut.

Categories
NASIONAL

NFC : Polis Tak Faham Prosidur Siasatan

SHAH ALAM, 19 JAN: Tindakan Jabatan Peguam Negara (AG) memulangkan semula kertas siasatan berhubung penyelewengan syarikat penternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) membuktikan pihak polis tidak berintegriti serta tidak memahami prosidur siasatan.
Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata walaupun AG mempunyai hak untuk memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak polis namun tindakan ini memberikan persepsi buruk dimata rakyat.
“Pemulangan semula kertas siasatan kepada polis membuktikan pihak polis tidak profesional, lemah dan seolah-olah sengaja untuk melewat-lewatkan siasatan selain tidak faham prosiding siasatan.
“Ini juga bukti selama ini siasatan polis tidak menyeluruh dan mempunyai banyak kepincangan sehingga bila diserah kepada pihak yang lebih memahami prosidur siasatan seperti AG akan menolak kertas siasatan polis.
“Maka tak hairanlah sekiranya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar (gambar) pada 30 November lalu berkata siasatan awal menunjukkan tiada unsur pecah amanah.” jelas beliau yang juga bekas Setiausaha Agung PAS.

Menurut Idris, rakyat berhak mempertikai siasatan polis selama ini kerana pemulangan kertas siasatan tersebut memperjelaskan institusi keselamatan tersebut tidak profesional serta boleh dipertikaikan tindakan siasatan polis selama ini.
“Sebagai rakyat saya merasa amat kesal dan bimbang dengan masa depan rakyat negara ini yang diadili berdasarkan kelemahan siasatan polis.
“Kalaulah polis yang profesional setentunya siasatan mereka lengkap untuk di serahkan kepada AG sedangkan sememangnya polis ditugaskan untuk menyiasat.
“Kerja polis adalah untuk siasat sejak polis ditubuhkan lagi. Tak kan lebih 54 tahun buat kerja masih tak faham kaedah siasatan.” kata beliau.
Jelasnya, Polis telah hilang kredibiliti disebabkan oleh kekangan pihak kerajaan Umno/BN terhadap institusi keselamatan negara tersebut
“Polis ni kalau kes pembangkang memang pantas dan lengkap dengan siasatan cara mereka tetapi kalau kes-kes libatkan pemimpin Umno seperti kes libatkan Sharizat ini buat siasatan sambil lewa sahaja.
“Bayangkan kalau kita terima sahaja kenyataan Khalid dahulu, saya anggap tak akan ada siasatan pada NFC lagi. Tetapi bila pakatan kemukan bukti tambahan baru nak mula kelam kabut nak siasat sampai siasatan pun sambil lewa dan di tolak AG.
“Begitu juga kes libatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu pun macam-macam lapuran dari pihak polis yang dianggap tidak relevan dengan kes tetapi sengaja dilakukan untuk aniaya Anwar.” jelas beliau ketika di hubungi TVSelangor

Categories
NASIONAL

NFC: Rafizi, Zuraidah Sedia ke Mahkamah

SHAH ALAM, 19 JAN: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin sedia ke Mahkamah untuk membuktikan segala pendedahan yang dilakukan berhubung skandal NFC adalah benar dan bukan bermotif politik.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang tadi, Rafizi berkata berdasarkan laporan berita internet hari ini bahawa Shahrizat Jalil telah mengemukakan saman menuntut pampasan RM100 juta terhadap beliau dan Zuraidah.

“Saya yakin bahawa semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

“Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman.

“Oleh yang demikian, saya dan YB Zuraida Kamaruddin bersedia untuk berdepan dengan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak.” jelas beliau.

Katanya peluang ini memang telah ditunggu-tunggu supaya kuasa mahkamah boleh digunakan untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini.

“Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga perlu berdepan dengan mahkamah rakyat yang mual dengan pelbagai keborosan dan salahguna wang yang didedahkan setakat ini.

“Jika pimpinan Umno seperti Dato’ Seri Shahrizat Jalil beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar.

“Peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan dan bakal diikuti oleh lebih ramai rakyat.” kata beliau.

 

Categories
NASIONAL

PKR Gesa Kerajaan Lantik Pentadbir Korporat Bagi NFC

SHAH ALAM 14 Jan: Seorang pentadbir korporat perlu dilantik bagi mengambil alih pengurusan projek sakit National Feedlot Corporation bagi membuktikan kerajaan pusat serius dalam menyelesaikan kemelut projek RM250 juta itu.

Pengarah strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata seorang pentadbir korporat boleh mengambil alih pengurusan NFC bagi melaporkan kepada Dewan Rakyat penyelewengan yang telah berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Menteri Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Sekiranya tindakan membekukan aset tidak disusuli dengan perlantikan pentadbir korporat, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga seperti mana keputusan mengarahkan Datuk Seri Shahrizat Jalil mengambil cuti berbayar selama tiga minggu sahaja,” Rafizi berkata di dalam sebuah kenyataan di sini.

Kerajaan pusat semalam mengumumkan bahawa aset NFC akan dibekukan sementara menunggu siasatan penuh dijalankan. Shahrizat, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, juga diberikan cuti tiga minggu sementara siasatan dijalankan.

Keluarga Shahrizat, yang mendapat kontrak bagi menjayakan NFC, didakwa menyeleweng duit RM250 juta yang diberikan untuk menguruskan projek tersebut.

Rafizi turut membidas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan kawalan projek NFC kepada Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Dakwa Rafizi, keseluruhan penyelewengan berlaku dibawah seliaan mereka sebelum ini.

“Kejadian dana yang besar yang dipindahkan ke syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil berlaku pada ketika kedua-dua orang menteri ini sepatutnya memastikan dana hanya dibelanjakan bagi tujuan aktiviti perniagaan NFC sahaja.

“Kecuaian mereka sebelum inilah yang menyebabkan dana rakyat diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, tanah banglo, melancong ke luar negara dan lain-lain,” Rafizi berkata.

Categories
SELANGOR

Transaksi Beli Dua Kondo di Bangsar Bertarikh 2/12/09


SHAH ALAM, 5 Jan: Siri pendedahan penyelewengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dengan pemberian pinjaan mudah berjumlah RM250 juta daripada kerajaan diteruskan dengan pengedaran bukti transaksi kewangan yang berlaku sepanjang tahun 2009.
Berdasarkan dokumen transaksi kewangan NFC, terdapat empat transaksi pembayaran yang berlaku tarikh 2 Disember 2009 dengan jumlah RM9,758,140.

Transaksi ini melibatkan pembayaran yang dilakukan oleh NMLC kepada Bandar Raya Development Berhad berhubung pembelian Kondominium One Menerung, Bangsar.

Kesemua urusan ini berlangsung dari akaun semasa NFC sendiri di Bandk CIMB Cawangan Tun Dr Ismail.

Semalam, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menyerahkan dokumen asas berhubung isu kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada pihak polis.

Beliu hadir dan memberi keterangan berhubung isu berkenaan kepada bahagian siasatan jenayah komersial, Bukit Perdana.

Projek NFC yang diusahakan suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan juga anak-anak mereka, meraih kontroversi apabila projek berkenaan ditimbulkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2010.

NFC didakwa menyeleweng pinjaman mudah RM250 juta itu untuk perbelanjaan tidak berkaitan, termasuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar.

Categories
SELANGOR

Penyelewengan NFC: RM13 Ribu Untuk Main Golf

SHAH ALAM, 5 JANĀ  : Laporan kewangan sepanjang 2009 mendapati sebanyak RM 12,980.24 telah digunakan oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Salleh Ismail serta anaknya Wan Shahinur Izran dan Izmir untuk membayar keahlian kelab termasuk bermain Golf di beberapa kelab Golf sekitar Lembah Klang.

Berdasarkan lapuran kewangan yang didedahkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli sepanjang tahun tersebut sebanyak RM84 juta ringgit dari RM250 juta wang yang diperuntukan kerajaan telah dibelanjakan.

Perbelanjaan terbesar telah dilakukan pada 5 Mei 2009 dimana sebanyak RM 3,116.84 dikeluarkan dari akaun bagi membayar yuran keahlian di Kelab Taman Perdana Diraja Kuala Lumpur.

Satu lagi pembayaran dibuat ke atas Bukit Kiara Resort Berhad pada 4 Ogos 2009 untuk membiayai yuran keahlian Izmir dan Izran, anak-anak kepada Datuk Salleh dan Datuk Shahrizat Jalil iaitu sebanyak RM 2,040.30.

Jika dilihat dalam dokumen yang didedahkan itu, selain kedua-dua kelab tersebut, kelab golf lain yang sering dikunjungi oleh ketiga beranak ini ialah Tropicana Golf and Country Club, Berjaya Golf Resort Berhad, Kuala Lumpur Golf and Country Club serta The Royal Selangor Golf Club.

Petang semalam Rafizi telah membuat laporan polis berhubung penyelewengan wang rakyat yang dilakukan NFC kepada bahagian siasatan jenayah komersial, Bukit Perdana.

Dalam laporan tersebut Rafizi turut menyerahkan dokumen transaksi NFC sepanjang 2009 kepada pihak polis untuk membolehkan siasatan serius dilakukan.

Menurut Rafizi, Dokumen dalam bentuk senarai perbelanjaan terperinci dari akaun bank utama yang dimiliki oleh NFC diperoleh secara sulit dari seorang yang tidak dikenali.

Categories
NASIONAL

Shahrizat Terus Nafi Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 3 JAN : Status Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terus menjadi isu hangat dikalangan rakyat pada masa ini.

Ketua Wanita Umno itu sebelum ini didesak oleh kawan dan lawan dalam politik agar melepaskan jawatan bagi memberi ruang selesa kepada Umno-Barisan Nasional menghadapi pilihanraya.

Hari ini Shahrizat sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, pemimpin sayap wanita Umno itu menyerahkan segala keputusan berhubung status jawatannya didalam kabinet kepada Perdana Menteri.

“Semuanya terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukannya kerana jawatan Kabinet adalah kuasa di atas bahu Perdana Menteri Malaysia.

“Itu tidak benar. Saya tidak pernah beri surat peletakan jawatan. Banyak khabar angin kerana sebenarnya itu yang pembangkang hendak tengok berlaku,”tambahnya.

Shahrizat berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur, semalam.

Sehingga kini Najib masih belum memberi maklumbalas berkenaan status Shahrizat yang bertaraf senator itu. Hanya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengesahkan belum menerima surat perletakkan jawatan beliau.

Shahrizat sebelum ini dikaitkan penyelewengan dana awam membabitkan wang rakyat yang diamanahkan oleh kerajaan Pusat kepada Pusat Fidlot kebangsaan (NFC).

PKR sebelum ini mendedahkan, sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek tersebut dikatakan dalam ‘kucar-kacir’ seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

PKR kemudiannya mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

Selain itu, PKR turut mendakwa sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Selain PKR, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berpendapat siasatan awal mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

Kronologi pendedahan ini mendapat liputan hangat media dan reaksi daripada ramai pemimpin termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahadhir Mohamad mengesa Shahrizat melepaskan jawatannya sebagai tanda bertanggungjawab.