Categories
AGENDA NASIONAL

Najib akan dipanggil beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan hadir memberi keterangan di Bukit Aman minggu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kenyataannya yang berbaur fitnah terhadap Anggota Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya telah berhubung dengan Najib bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata, Kor Ming juga akan turut dipanggil untuk memberi keterangan namun tidak memberitahu hari dan tarikh Pengerusi DAP Perak itu akan hadir ke Bukit Aman, katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada 29 September lepas, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi-bahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran itu dan menegaskan akaun itu sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan parti itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Prosedur pelantikan KP SPRM perlu dipinda

TELUK INTAN, 10 Jun : Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mencadangkan supaya Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipinda bagi menambah baik prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang.

Ketika mencadangkan agar pindaan itu dibuat pada sidang Dewan Rakyat akan datang, Nga berkata ketika ini seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik mana-mana individu menerajui agensi penguatkuasaan itu.

“Pindaan itu perlu memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat (individu yang dilantik) perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

“Oleh itu, proses pelantikan pada masa akan datang ialah (nama) individu yang dicadangkan oleh perdana menteri, diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi latar belakangnya kemudian perdana menteri membuat penilaian terakhir sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan,” katanya.

Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia cawangan Hilir Perak kali ke-21 di sini, hari ini.

Pada 4 Jun lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan peguam Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun.

Latheefa mengambil alih daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan kontrak perkhidmatan yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan. -BERNAMA