Categories
NASIONAL

Ditawar Jawatan, Ajak Jumpa PM Agar Tinggalkan Pas

SHAH ALAM, 7 APR: Bukan sahaja ditawarkan jawatan sebagai Timbalan  Motivator dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO), bahkan turut dipelawa berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tawaran ini diterima Rabu lalu oleh bekas Ketua Umno Cawangan Kampung Melaka, Osman Shamsuddin dari dua individu yang mendakwa wakil kepada Setiausaha Sulit Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Jasman Anuar.

Menurut Osman yang juga merupakan bekas Ketua Kampung Melaka di Tanjung Karang memberitahu tidak mengenali secara dekat kedua-dua individu terbabit tetapi memberitahu salah seorang itu bernama Mazlan dan pemandunya.

“Cuma dia beritahu, mereka dihantar oleh Jasman, Setiausaha Umno Bahagian Tanjung Karang”, katanya kepada Media Selangorku.

Osman juga memberitahu, bahawa beliau akan dibawa berjumpa PM untuk mengadakan  satu rundingan yang tidak diketahui tujuan sebenarnya.

Mereka mendakwa dari sebauah NGO dan minta saya supaya tinggalkan perjuangan PAS.

“Sebagai ganjarannya saya akan dilantik sebagai Timbalan Motivator dalam NGO mereka, tapi saya terlupa pula nak tanya NGO apa,” terangnya.

Bercerita lanjut, Osman memberitahu beliau sudah lama diekori dan dihubungi melalui telefon tetapi selalunya beliau tidak menjawab panggilan berkenaan.

“Hari ini sahaja dah dekat enam kali telefon saya dan dia ada nyatakan saya akan dibawa berjumpa PM dalam masa terdekat untuk ‘rundingan’ lanjut.

“Apa yang dimaksudkan dengan rundingan itu, tidaklah pula saya tahu rundingan macamana dimaksudkan,” ujar beliau lagi.

Bagaimanapun Osman menegaskan setelah meninggalkan Umno selama kira-kira satu tahun tiga bulan, beliau tidak mungkin beliau kembali ke pangkuan Umno semula.

“Kampung ini sayalah yang teroka, nama Kampung Melaka ini pun saya yang beri dan Umno cawangan kampung ini antara yang terawal di Tanjung Karang.

“Tetapi saya takkan kembali kepada Umno sebab pemimpin Umno sekarang semakin angkuh, sombong, sebab itu lah saya keluar.

“Saya maksudkan ialah Ketua Umno Bahagian ini sendiri, (Datuk Seri) Noh Omar.

“Bila dah jadi menteri penuh, dah jauh berubah, sombong dengan orang kampung

“Tambah pula bila saya kenangkan pengorbanan saya semasa dalam Umno dahulu langsung tak hargai,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Guna Mahkamah Tutup Penyelewengan

KOMENTAR 31 MAC: Pada 22 Mac lalu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman terhadap akhbar rasmi Kerajaan Selangor, Selangorkini sebanyak RM10 juta.

Turut disaman Adun Skinchan, Ng Suee Lim yang didakwa menfitnah beliau berhubung isu penyelewengan RM110 juta oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani sebagaimana di dedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negera.

Menurut Ng ketika ditemui semasa berlangsung sidang Dun Selangor minggu lalu berkata, beliau gembira dengan saman RM10 juta terhadapnya kerana beliau berpeluang mendedahkan penyelewengan sebenar yang dilakukan Noh.

Noh mengambil tindakan mahkamah tersebut berikutan laporan Selangorkini berhubung Akhbar tersebut menyiarkan demontrasi petani di Sekinchan dan Tanjong Karang.

Petani mendakwa Noh telah melenyapkan RM110 juta wang peruntukan kerajaan untuk subsidi peningkatan hasil padi.

Banner yang digunakan oleh petani tersebut juga mengecam Noh sebagai seorang menteri yang dianggap mengkhianati amanah petani berikutan penyelewengan tersebut yang sepatutnya di terima sejak dua tahun lalu.

Lima hari susulan demontrasi tersebut Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan serta merta sebanyak RM117 juta bagi melunaskan bayaran kepada pesawah diseluruh negara.

 

Namun lesapnya RM110 juta dari kementerian Noh  masih tidak terjawab hingga ke hari ini.

Noh Tiada Fakta

Berdasarkan penilaian fakta, Noh tidak mempunyai isu untuk mengambil sebarang tindakan berhubung laporan yang di siarkan oleh Selangorkini.

Ini disebabkan foto atau gambar yang di siarkan jelas menunjukkan petani tersebut sememangnya mengadakan demontrasi bersama banner yang jelas pada muka belakang Selangorkini keluaran 25 November – 2 Disember 2011.

Begitu juga dengan muka 15 keluran yang sama turut memaparkan  temubual penduduk serta banner yang tertera tulisan “Noh Omar Khianati Petani, Lesap RM110 juta Bantuan Untuk Petani? ……..

Begitu juga dengan isu lesapnya peruntukan kerajaan kepada kementerian dibawah Noh sebanyak RM110 juta. Fakta ini bukan dari kenyataan pihak pembangkang atau musuh politik Noh tetapi didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

Berdasarkan kenyataan media Noh, beliau menyatakan tindakan saman beliau terhadap Selangorkini dan Ng kerana  menyiarkan tajuk  di muka belakangnya bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar Letak Jawatan’.

Andai berdasarkan cubaan Noh menyaman Selangorkini dan Ng disebabkan tidak ada bukti yang menunjukkan para petani yang berdemo pada 22 November 2011 dan menggesa beliau meletak jawatan mungkin ada sedikit asas.

Namun begitu, memang betul tidak terdapat banner yang tertera gambaran menggesa beliau meletak jawatan. Namun pada para keempat, muka 16, Selangorkini menjelaskan hal tersebut.

Pada para ke empat tersebut tercatat…. Bertempat di Site B Sekinchan, petani yang berkumpul memegang kain rentang sambil melaung slogan ‘Hidup Petani’,naik subsidi RM50 seratus kilo’ dan ‘Noh Omar letak jawatan’.

Tindakan Noh membawa isu ini kemahkamah bertujuan untuk menutup isu tersebut dari pengetahuan rakyat.

Menurut Ng Suee Lim, Noh terdesak dan terpaksa menggunakan mahkamah bertujuan supaya segala penyelewengan yang lakukan tidak boleh disiarkan dalam mana-mana penerbitan kerana dianggap kes yang sedang dalam pembicaraan.

Kata Ng, Noh amat bimbang kerana PRU 13 semakin hampir serta takut Pakatan Rakyat akan menggunakan isu penyelewengan beliau dalam kempen-kempen pilihanraya nanti.

Menurut Ng lagi, kes NFC yang melibatkan pemberian projek kepada kroni bernilai RM250 juta yang juga melibatkan kes di bawah kementerian juga digunakan taktik yang sama.

Selain itu kata Ng, Noh juga tidak mahu tembelang penyelewengan beliau diketahui oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk perdana Menteri kerana takut tidak terpilih menjadi calon dalam PRU 13 nanti.

Noh tertekan

Noh amat tertekan setelah dilantik sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor. Ini berikutan kesungguhan usaha Umno-BN untuk merampas kembali Selangor.

Bukan setakat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor. Najib juga pernah membuat kenyataan media bahawa Umno akan merampas Selangor walau dengan apa cara sekali pun.

Kenyataan Najib tersebut merupakan suatu bebanan berat dan besar yang terpaksa ditanggung Noh. Hidup dan mati kerjaya Noh dalam politik bergantung kepada PRU 13 ini.

Andai Selangor gagal ditawan, Noh dan Najib akan dihukum oleh Umno-BN Selangor. Dikalangan Umno Selangor pula, Noh bukan seorang yang disukai.

Kenyataan Noh hari ini yang mendakwa BN yakin memenangi 36 Dun dari 56 Dun Selangor tidak ubah sebagai mana laporan yang di terima Najib dari ketua-ketua Bahagian Umno seluruh negara.

Noh yang mendakwa Umno akan memenangi 30 kerusi Dun dari 35 kerusi yang dipertandingkan boleh dianggap sebagai usaha untuk memujuk diri sendiri.

Sebelum ini bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memberikan gambaran bahawa Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal ditangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada sebarang asas yang dijadikan rujukan oleh Noh untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Bancian PKR pada November 2011 lalu mendapati Pakatan Rakyat mendapat sokongan 816,000 undi dari sasaran 809,000 undi untuk memperoleh kemenangan mudah.

Noh di pilih menerajui Umno Selangor setelah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo gagal mempertahankan Selangor dalam PRU 12 lalu. Khir akhirnya dikaitkan dengan skandal pembelian harta yang akhirnya di denda penjara setahun oleh mahkamah.

Noh juga dikatakan tidak sebulu dengan Ketua Pembangkang Adun Selangor, Datuk Satim Diman. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid dalam sidang dun tahun lalu mendedahkan Satim didakwa terlibat dengan penjualan tanah milik kerajaan negeri kepada syarikat bukan bumiputra di Cyberjaya.

Menurut Abdul Khalid isu tersebut akan dibongkar setelah segala maklumat lengkap diperoleh dalam masa terdekat.

Lantaran itu Najib terpaksa bertindak mengetuai Umno Selangor kerana menyedari tidak terdapat anak negeri itu yang mampu memimpin Umno di negeri Jugra itu.

Manakala perpecahan Umno yang serius memaksa anak Pahang tersebut menerajui kepimpinan Umno Selangor.

Umno berpecah di Selangor

Noh tidak disenangi beliau dikelilingi oleh musuh-musuh politik dikalangan pemimpin Umno negeri sendiri.

Noh didakwa terlalu menjaga kroni-kroni politik beliau berbanding rakyat dan Umno bahagian lain.

Peruntukan dana rakyat sebanyak RM2,710,000,000 (RM2.71 bilion) kepada Umno Selangor sebagaimana diumumkan Najib pada 19 Disember tahun lalu juga menjadikan Umno Selangor semakin berpecah.

Noh didakwa lebih memihak memberikan projek-projek kepada kroni-kroni beliau berbanding Umno bahagian lain.

Ketika berlangsung Sidang Dun Selangor yang berakhir 27 Mac lalu, Adun Taman Templer, Datuk Subahah Kamal (BN) bertanya kepada Exco Pelaburan, Perindastrian dan Perdagangan, Teresa Kok berhubung peruntukan RM2.71 bilion yang diberikan kepada Selangor.

Soalan Subahah tersebut ternyata membuktikan adun BN tersebut tidak mengetahui bahawa RM2.71 telah diberikan untuk Umno Selangor dan bukan kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Persoalannya, kemanakah wang rakyat yang di kutip dari titik peluh rakyat jelata yang diberikan kepada Umno Selangor tersebut disalurkan Noh serta kroni-kroni beliau?.

Berapa ramaikah lagi Adun-Adun Umno-BN, ketua-ketua Bahahgian, ketua-ketua Cawangan atau ahli-ahli Umno seluruh Selangor yang tidak mengetahui aliran wang tersebut mengalir?.

Sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Noh adalah antara orang yang mengetahui ke poket siapa wang tersebut dipenuhkan.

Mungkin atas alasan tersebut  Noh mengeluarkan kenyataan Umno akan memenangi 30 kerusi Dun. Atau kenyataan tersebut untuk menjadikan Najib gembira dan mampu tersenyum.

Noh juga mungkin telah berpuas hati dengan laba dari wang rakyat tersebut mampu digunakan untuk memastikan kroni-kroni beliau berpuas hati.

Ataupun, apakah dengan wang titik peluh rakyat tersebut dimanfaatkan bagi beliau mengambil tindakan mahkamah terhadap musuh-musuh beliau termasuk Ng Suee Lim dan Selangorkini?.

Categories
NASIONAL

Suee Lim: PKPS Era Umno-BN Cagar Tanah Untuk Kroni

SHAH ALAM, 22 MAC: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 2005 yang membenarkan kerjasama dengan sebuah syarikat yang tidak mempunyai kewangan kukuh seperti yang berlaku dalam projek Taman Orkid Antarabangsa Serendah (Serendah International Orchid Park).

Katanya, kegagalan perlaksanakan ekoran pelbagai masalah serta kekangan pasaran orkid ditambah dengan sistem pentadbiran Umno-BN yang lemah dan tidak telus.

Dalam ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku, Suee Lim memberitahu, pihak Lembaga Pengarah PKPS telah membenarkan syarikat Baytown mencagarkan tanah tersebut kepada Bank Pertanian untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM8 juta sebagai modal untuk operasi Projek Orkid.

Projek ini dilakukan melalui kaedah usahasama dengan Syarikat Baytown Sdn Bhd dimana tanah yang diluluskan adalah seluas 168.8 hektar manakala tanah yang digunapakai untuk projek fasa pertama adalah seluas 42.29 hektar.

Bagaimanapun, memandangkan PKPS tiada kepakaran dan pengalaman dalam industri penanaman orkid maka PKPS hanya memegang 40 peratus ekuiti dalam projek tersebut.

“Sekitar tahun 2005, PKPS terpaksa membayar RM8 juta kepada Bank Pertanian untuk menebus kembali tanah yang dicagarkan oleh Baytown. Kalau tidak tanah tersebut akan dirampas oleh pihak bank,” katanya.

Lebih menghairankan, mengapa pihak Lembaga PKPS boleh membenarkan tanah milik mereka dicagarkan oleh syarikat berkenaan kepada bank untuk mendapatkan modal pusingan sebanyak RM8 juta, soalnya lagi.

Tegasnya, dalam konteks projek ini objektif utama yang diketengahkan bukanlah untuk memajukan industri orkid sebaliknya menggadaikan tanah bagi mendapatkan wang untuk syarikat kroni.

Jelas Suee Lim, beliau sempat meninjau beberapa projek lain PKPS yang bermasalah ketika menjadi adun pada penggal tahun 2004-2008 dan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor (PAC).

Categories
NASIONAL

Noh Cuba Tutup Penyelewengan Guna Mahkamah

SHAH ALAM, 22 MAC: Tindakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyaman Kerajaan Negeri Selangor dan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berjumlah RM20 juta dilihat sebagai usaha menghalang Pakatan Rakyat mendedahkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Tanjung Karang tersebut.

Menurut Suee Lim, saman ini sebenarnya tidak mampu menghalang semua pihak untuk memperkatakan isu ini kerana kawalan media terlalu meluas dan rakyat sudah pastinya lebih matang dalam membuat penilaian.

“Noh Omar cuba untuk menggunakan saluran mahkamah bagi menghalang saya atau mana-mana akhbar supaya tidak terus mengutamakan isu petani ini kepada rakyat dan segala gerak kerja beliau,” katanya.

Tegas beliau, hak petani akan terus dipertahankan terutamanya dalam isu bantuan dan subsidi agar segala peruntukkan dapat dirasai oleh semua pihak.

Kerajaan Selangor hari ini menerima writ saman RM10 juta daripada Noh berhubung laporan yang di siarkan Selangorkini mengenai Laporan Ketua Audit Negara.

Dalam laporan tersebut Ketua Audit Negara mendedahkan kehilangan RM110 juta dari Kementerian Pertanian dan Asas Tani dibawah Noh.

Sehubungan itu para pesawah di Sekinchan mengadakan demontrasi dan menggesa Noh meletak jawatan kerana wang tersebut diperuntukkan untuk pemberian subsidi harga padi kepada pesawah.

Setiausaha Politik Menteri Besar,Faekah Hussin berkata, tindakan saman ini sebenarnya membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk mendedahkan lebih banyak perkara untuk di bawa ke mahkamah.

“Pada saya ini perkara baik sebab dalam pada Perdana Menteri (Najib Razak) ingin mengambil Selangor, dia (Noh Omar) saman kerajaan Selangor. Nampaknya tindakan kedua-dua ahli politik ini bercanggah,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB : Tiada Projek Pembangunan Di Atas Tanah Rizab Melayu Sejak Tiga Tahun

SHAH ALAM 21 MAC : Kerajaan Negeri Selangor tidak menjalankan sebarang projek pembangunan yang melibatkan tanah rizab melayu melibatkan anak-anak syarikat Kerajaan Selangor sejak tiga tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut menjelaskan Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai perancangan yang khusus untuk membangunkan tanah-tanah rizab melayu.

Katanya lagi, kebanyakkan tanah-tanah rizab melayu yang terletak di kawasan strategik seperti di Klang, Hulu Langat dan Sepang ada dibangunkan untuk projek perumahan tetapi perlaksanaan itu demi meningkatkan tahap ekonomi orang melayu.

“Ianya dilakukan mengikut perancangan Kerajaan Negeri khususnya untuk membangunkan tanah rizab melayu yang strategik bagi meningkatkan tahap ekonomi orang melayu seperti juga di tanah-tanah yang bukan rizab melayu,” jelasnya.

Beliau berkata jumlah keluasan tanah rizab melayu di seluruh Selangor adalah sebanyak 456,754.247 ekar.

Bagi pecahan mengikut daerah, Sabak Bernam mempunyai tanah rizab melayu yang paling luas iaitu 172,823.647 ekar, diikuti daerah Kuala Langat berkeluasan 37,530.84 ekar.

Manakala daerah Hulu Langat sebanyak 33,093.86 ekar, Hulu Selangor sebanyak 31,530.84 ekar, Sepang sebanyak 22,865.06 ekar, Klang sebanyak 22,807.5 ekar, Kuala Selangor sebanyak 18,686.23 ekar, Gombak sebanyak 11,441.97 ekar dan Petaling sebanyak 2,733.09 ekar.

Dalam perasmian pembukaan Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-12 Isnin lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar tidak ada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri bertindak memindahkan pemilikan tanah rizab Melayu di negeri ini kepada individu atau syarikat bukan Melayu.

Titah baginda, sebarang perkara atau keputusan melibatkan tanah rizab Melayu harus mematuhi peruntukan-peruntukan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, tanah rizab Melayu perlu dipertahankan kerana ia merupakan khazanah dan amanah untuk kepentingan generasi akan datang.

Categories
SELANGOR

“Selangor Shines” Berjaya Menarik Lebih Pelancong

SHAH ALAM 20 MAC: Jumlah pelancong yang datang ke Selangor meningkat kepada 6.04 juta pada tahun 2011 berbanding 5.83 juta pada tahun 2010 selepas Kerajaan negeri melancarkan Tahun Melawat Selangor Selangor, “Selangor Shines”.

Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Yap Ee Wah, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping berkata peningkatan itu merupakan satu rekod baru bagi Kerajaan Negeri berbanding kerajaan sebelum ini.

Katanya, pada suku tahun 2012, jumlah kedatangan pelancong pula sebanyak 1.87 juta.

“Sepuluh kawasan khas yang menjadi tumpuan pelancong antaranya Masjid Negeri, I-City, Sunway Lagoon dan Hutan Lipur Congkak,” katanya.

Tambahnya, pada tahun ini Kerajaan Negeri turut memberi peruntukkan khas melalui Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kepada Sabak Bernam khususnya DUN Sekinchan.

“Dalam mesyuarat Exco Pelancongan baru-baru ini, kita mengesyorkan untuk menaiktaraf empat daerah yang menjadi tumpuan pelancongan antaranya Sekinchan dan Hulu Langat bagi kerja membaiki kawasan dan kemudahan.

“Kita juga akan mengindahkan kawasan Sekinchan sempena Bulan Melawat Sekinchan akan datang,” katanya ketika menjawab soalan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Umno-BN Pinggir Rakyat Miskin Sekinchan

SEKINCHAN, 17 MAC: Beberapa kawasan kubu kuat Umno-BN di Sekinchan masih mengalami masalah kemiskinan namun sehingga kini masih belum dapat pembelaan.

Meskipun dijanjikan pelbagai bantuan namun semuanya tinggal janji semata-mata walaupun permohonan telah dibuat setiap kali aduan telah diajukan kepada pihak berwajib.

TVSelangor dan Selangor Kini sempat mengunjungi sebuah keluarga yang dihimpit kemiskinan ditambah dengan keadaan rumah yang kurang sempurna.

Osthman Abdullah, 68 sudah 20 tahun menetap di Kampung Penerangan Parit 5 menceritakan kesusahan yang dihadapinya ditambah dengan keadaan isteri, Siti Zaimah Awang Yusop, 73 yang uzur akibat sakit tua.

Beliau memohon bantuan membaik pulih bumbung zink dan siling rumah yang rosak. Lebih menyedihkan beliau terpaksa menghamparkan kain ke tingkap bagi mengelakkan tempias pada hari hujan.

“Saya mintak bantuan kepada Yb Noriah Ahli Parlimen Sungai Besar dan juga Khir Toyo. Mereka cakap nak bantu dan minta saya tunggu. Masalahnya sampai bila nak tunggu,” katanya.

Beliau merupakan bekas pengawal keselamatan Pusat Giatmara berkata, pada bulan Oktober tahun lalu beliau memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun permohonannya di tolak.

Menurutnya lagi, beliau ada mendapat sumbangan zakat pada tahun lalu berjumlah RM600 namun tidak mencukupi.

Adun Sekinchan, Ng Swee Lim yang turut sama melihat sendiri kesusahan yang dihadapi penduduk setempat akan cuba membantu menyelesaikan perkara ini.

“Saya akan usahakan dan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) supaya mereka menyiasat keadaan ini dengan lebih terperinci.

“Kita akan buat gotong-royong membantu mereka dan langkah ini akan menjimatkan kos,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan menyediakan semua barangan termasuk zink dan kayu-kayu bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sebelum itu, Swee Lim turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 100 orang pelajar dan bantuan berupa barangan keperluan kepada 120 orang ibu tunggal dan fakir miskin.

Categories
NASIONAL

Suee Lim : Demi Rakyat Saya Tidak Gentar Saman Noh

SHAH ALAM, 15 MAC : Demi membela nasib dan menyatakan hak rakyat, saya tidak sesekali gentar dan tidak akan berundur walaupun setapak serta bersedia berhadapan dengannya di mahkamah pada bila-bila masa, kata ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Dalam satu laporan media semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memfailkan saman RM20 juta masing-masing kepada Kerajaan Negeri Selangor yang menerbitkan akhbar Selangor Kini dan Suee Lim berhubung penyiaran artikel berunsur fitnah terhadapnya.

Saman tersebut dikeluarkan berhubung laporan Selangor Kini bertarikh 25 November hingga 2 Disember 2011 itu yang bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan yang disifatkan beliau sebagai fitnah dan menjatuhkan kredibilitinya sebagai wakil rakyat.

Pada 9 Mac lalu saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pendengaran kes berkenaan akan diputuskan 22 Mac ini, turut dinamakan enam individu lain termasuklah Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin dan sidang pengarang akhbar Selangor Kini.

Suee Lim berkata, beliau tidak gentar kerana baginya tuntutan pesawah terhadap Noh itu benar dan tidak berunsurkan fitnah.

Hakikatnya ia merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan dalam parlimen yang mana penemuan RM110 juta yang hilang dalam kementeriannya.

“Noh sepatutnya menyalurkan peruntukkan sebanyak RM110 juta itu kepada petani sebagai inisiatif meningkatkan hasil padi.

“Contohnya, hasil pertanian petani sebanyak lima tan dan meningkat kepada tujuh tan, usaha gigih untuk menaikkan hasil pendapatan itu sebanyak dua tan sepatutnya dibayar, Noh kena membayar setiap tan iaitu bagi satu tan sebanyak RM650, tetapi Noh hanya memberi janji kosong sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, wang inisiatif peningkatan hasil padi itu tidak dibayar sejak tiga tahun lalu, kerana rasa tidak berpuas hati barulah petani tersebut membuat bantahan.

Tambahnya, susulan demostrasi itu dalam tempoh lima hingga tujuh hari, petani terbabit menerima sejumlah wang inisiatif itu yang dimasukkan secara terus ke dalam akaun mereka.

“Ini menunjukkan apa yang saya dan yang lain lakukan itu benar dan bukannya fitnah, tuntutan petani itu bererti benar, kita tidak tahu apa yang dilakukan Noh kerana beliau tidak memberi penjelasan apa-apa,” katanya.

” Dia sepatutnya menjelaskan duit rakyat, sudahlah tidak memberi sebarang penjelasan, ini maknanya dia sudah lesapkan duit itu ke tempat lain kenapa perlu pertikaikan perkara itu,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kes Samseng Umno Tg Karang Pukul YB Sekinchan Tiada Tindakan Polis

SHAH ALAM, 14 MAC: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim kesal dengan tindakan pihak polis yang masih gagal mengambil tindakan terhadap samseng Umno yang didalangi pemimpin Umno Tanjung Karang memukul beliau dua tahun lalu.

Dua tahun lalu Ng mendakwa dipukul kira-kira 30 hingga 50 ahli dan pemimpin Umno Tanjung Karang yang didalangi Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafiee Asmawi.

Menurut Suee Lim, sepatutnya kes tersebut dapat diselesaikan dengan cepat kerana pihak polis turut dibekalkan bukti bergambar dan nama-nama mereka yang terlibat dalam keganasan tersebut.

“Dah dua tahun saya buat laporan kes itu tetapi sampai sekarang pihak polis masih tak dapat selesaikannya.

“Sedangkan gambar berserta nama-nama orang terlibat ada diserahkan sama dan orang-orang itu juga mudah ditemui.

“Terutama Setiausaha Politik Datuk Seri Noh Omar, Datuk Shafiie Asmawi memang jelas dia turut bersama ahli-ahli Umno yang memukul saya,” beritahu beliau.

Suee Lim turut memberitahu pada peringkat awal siasatan, pihak polis ada memanggil beberapa orang yang terlibat dalam kejadian

tersebut tetapi tidak diendahkan oleh pihak terbabit.

“Tak lama lepas kejadian, pihak polis ada panggil beberapa orang yang terlibat untuk kawad cam, tetapi tak ada yang datang.

“Ini menggambarkan mereka ini memang tak hormati undang-undang dan berani engkar arahan pihak berkuasa.

“Sepatutnya pihak polis boleh dapatkan waren atau sebagainya mengikut saluran undang-undang untuk memanggil mereka datang ke balai untuk kawad cam.

“Tetapi ini tidak berlaku seolah-olah polis pun takut nak bertindak terhadap samseng-samseng Noh Omar ini.

“Saya harap polis dapat jalankan tugas mereka dengan lebih profesional tanpa memilih bulu atau tunduk kepada tekanan politik,” katanya lagi.

Suee Lim turut menafikan dakwaan Noh Omar bahawa kedatangan beliau ke Kampung Sawah Sempadan pada 4 November 2010 bertujuan untuk membuat demontrasi di kampung itu.

Sebaliknya menurut beliau kedatangan beliau ke kawasan terbabit atas undangan beberapa penduduk untuk minum pagi sambil berbincang tentang harga jualan padi yang rendah dan potongan basah yang terlalu tinggi yang dihadapi oleh pesawah di kawasan terbabit.

“Tak masuk akal saya datang cuma tiga, empat orang termasuk pemandu nak buat demontrasi, itu cuma alasan dia sahaja nak letakkan kepada kesalahan orang lain.

“Sebenarnya penduduk yang pelawa saya bersarapan di sana sambil berbual tentang masalah harga padi rendah dan potongan basah terlalu tinggi yang dihadapi pesawah di kampung itu,” kata beliau lagi.

Dalam kejadian terbabit Suee Lim telah dipukul dan ditendang oleh sekumpulan kira-kira 30 hingga 50 lelaki di bahagian perut, kepala dan tangan berhampiran kunci air di Kampung Sawah Sempadan.

Selain itu, dua pembantunya turut mengalami kecederaan ringan dan kereta milik pengiringnya juga kemik di bahagian pintu belakang.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Takut Sesi SELCAT Sebab Tiada Bukti

SHAH ALAM, 13 MAC: Kegagalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hadir dalam sesi SELCAT untuk mengemukakan bukti wujud penyelewengan dalam isu penjualan pasir di Negeri Selangor membuktikan pemimpin Umno tersebut telah kehabisan modal untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, ketika dihubungi Selangorku hari ini.

Beliau juga berkata, tindakan Noh hanya menggambarkan bahawa pemimpin Umno dan BN hanya berani melemparkan tuduhan tanpa bukti dihadapan media arus perdana sahaja.

“Noh cuma berani bercakap depan Utusan dan TV3 sahaja tetapi bila SELCAT  panggil untuk kemuka bukti bantu kita siasat, dia tak datang.

“Adakah dia takut sebab kalau dia betul-betul ada bukti tentulah dia datang ke sessi pendengaran SELCAT untuk kemukakan bukti.

“Ini sebenarnya menunjukkan apa yang dia cakap tu hanya cakap kosong untuk memburukkan imej kerajaan negeri, bukanlah sebab ada isu pun.

“Saya yakin, Umno-BN mati akal, dah habis idea nak berhujah dengan PR sebab itulah mereka main tuduh melulu sahaja,” kata beliau.

Suee Lim turut membandingkan pemimpin PR yang bertindak berserta fakta dan mengemukakan bukti apabila membuat sebarang

tuduhan terhadap mana-mana pihak.

“Kalau pemimpin PR, apabila buat tuduhan selalunya ada sertakan bukti contohnya isu cincin (Datin Seri) Rosmah dan yang terbaru majlis pertunangan anak PM, kita tak cakap kalau tak ada bukti.

“Umno dan BN patut contohi pemimpin PR yang bercakap benar dan disertai dengan bukti,” ujarnya lagi.

Sebelum ini Noh mendakwa terdapat penyelewengan dalam isu penjualan pasir di negeri Selangor.

Noh juga selepas itu mendakwa banyak berlaku pemberian projek dibawah PR tidak melalui tender terbuka.

Noh juga sebelum ini berkata rela mendedahkan segala penyelewengan di Selangor akan didedahkan melalui mahkamah terbuka.

Bagaimanapun, Noh telah tidak hadir ke sessi SELCAT apabila diminta hadir ke sessi pendengaran SELCAT untuk mengemukakan bukti tuduhan beliau.

Sesi SELCAT adalah sesi pendengaran awam yang dibuka untuk didengar oleh sesiapa sahaja yang berminat dan ditubuhkan ketika kerajaan Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor.

SELCAT adalah Jawatankuasa Khas dibawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri Selangor bertujuan memantau dan mendedahkan pelbagai masalah berkaitan pentadbiran di Selangor.

Segala persoalan dan kemuskilan yang timbul ketika sesi SELCAT  dibawa untuk dibahas di sidang Dun akan datang.