Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pesawah minta subsidi padi dinaikkan kepada RM500

SABAK BERNAM, 27 APRIL: Kira-kira 1,000 petani di Sekinchan di sini meminta kerajaan Persekutuan menaikkan skim subsidi padi kepada RM500 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata jumlah RM360 diperoleh pesawah ketika ini tidak mencukupi selain ia juga sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan golongan berkenaan.

Ng Suee Lim berkata bantuan disalurkan terus kepada akaun petani juga dapat mengelak berlaku ketirisan dan secara tidak langsung membantu dengan kadar segera.

“Mereka berkorban tanam padi untuk kesejahteraan negara dan kerajaan Persekutuan perlu memberi ganjaran setimpal dengan usaha dilakukan. Kalau tidak siapa lagi nak bantu? Baik kita buat kilang di sini, petani pun tidak susah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan protes aman bersama 50 petani terhadap lanjutan konsensasi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Sekinchan di sini hari ini.

Suee Lim berkata pesawah yang tidak berpuas hati dengan Bernas turut meminta kerajaan Persekutuan mengkaji semula harga padi basah yang naik sehingga 28 peratus dan diturunkan semula pada kadar lama iaitu 17 peratus.

“Harga padi basah adalah padi dihantar ke kilang dan ia akan ditolak berdasarkan kandungan air. Kalau 1,000 kilogram (kg) ditolak 280 kg (28 peratus) maka akan menjejaskan pendapatan pesawah,” katanya.

Beliau berkata petani juga menyuarakan isu kadar harga beras import yang dijual RM3 sekilogram berbanding beras tempatan RM2.60 sekilogram sedangkan kedua-duanya mempunyai kualiti hampir sama dan ia hanya menguntungkan Bernas.

“Saya sudah menghantar surat kepada Menteri Pertanian Datuk Seri Ronald Kiandee dan berharap perkara ini diberi perhatian.

“Protes ini adalah salah satu kaedah tetapi penyelesaiannya menteri kena tolong, di peringkat Kerajaan Negeri kita akan bantu sedaya upaya namun kuasa pada kementerian,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Serahan milikan tanah untuk baki penduduk kampung diteruskan

SEKINCHAN, 23 MAC: Kerajaan Selangor akan meneruskan pemberian pemilikan tanah kepada 170 keluarga lagi di Kampung Bagan Sekinchan secara berperingkat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata kelulusan tanah berkenaan sudah diputuskan namun terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Semua tanah ini berkeluasan 31.16 hektar dengan 250 lot tanah. Hari ini kita beri 80 geran kepada penduduk dan bakinya akan diberikan menerusi fasa kedua serta ketiga.

“Penerima akan ditemuduga bagi memastikan mereka benar-benar layak menerima tanah didiami,” kata Ng Suee Lim selepas program penyerahan geran dilakukan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Penduduk Kampung Bagan Sekinchan, Hing Ai Long.

Menurutnya proses mendapatkannya agak rumit memandangkan tapak kawasan itu merupakan tanah rizab Melayu.

“Kita tidak kacau hak tanah itu sebaliknya menggantikan dengan lokasi berkeluasan sama di Sungai Panjang. Batalkan pewartaan tanah di sini, ganti dengan yang baharu,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang menerima geran, Hing Ai Long, 56, terharu dengan pemberian hak pemilikan itu selain menganggap kejayaan berkenaan sebagai satu sejarah.

“Kami tinggal sini sudah lama..lebih 50 tahun keluarga duduk sini. Kami tidak tahu cara uruskannya tetapi kerajaan banyak bantu walaupun terpaksa berdepan pelbagai masalah,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Pesawah digalak usahakan tanaman kontan

SHAH ALAM, 12 MAC: Pesawah di Sungai Panjang dan Bagan Terap disaran mencari alternatif seperti mengusahakan tanaman kontan sekiranya tapak sawah padi tidak lagi sesuai untuk tujuan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata bagaimanapun mereka diminta bersabar kerana perlu menunggu hasil kajian Agensi Nuklear Malaysia terlebih dahulu.

Ng Suee Lim berkata pihaknya memahami masalah yang dihadapi hingga menyebabkan golongan terlibat kerugian.

“Selepas isu tersebut dikenal pasti dan jika didapati ia tidak lagi sesuai, kita boleh benarkan mereka mengusahakan tanaman kontan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bersedia menjadi orang tengah membantu petani memerlukan bantuan mendapatkan khidmat nasihat berhubung tanaman sesuai sekiranya tidak boleh mengusahakan sawah.

Sebelum ini dilaporkan Agensi Nuklear Malaysia akan mengkaji tapak sawah bermasalah seluas 1,500 hektar sekitar di kawasan berkaitan sebelum proses menanam pada Julai.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata inisiatif Kerajaan Selangor bagi memastikan tapak tanaman kembali subur sekali gus pesawah tidak lagi mengalami kerugian.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: 86 pengusaha pelantar ikan Sekinchan terima lesen pendudukan sementara

SHAH ALAM, 10 JAN: Seramai 86 pengusaha pelantar ikan di Jeti Bagan Sekinchan menerima lesen pendudukan sementara (TOL) bagi membolehkan aktiviti perikanan berjalan tanpa gangguan.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan berkata permohonan itu diluluskan sementara menunggu proses Pewartaan Melalui Pajakan selama 21 tahun dan penstrukturan semula jeti selesai dijalankan tahun ini.

“Langkah ini akan memudahkan pemantauan pihak berwajib bagi memastikan tiada sebarang penipuan aktiviti di lapangan susulan sebelum ini tiada rekod inventori atau sistem khusus untuk mengawal dan mengemas kini aktiviti pelantar ikan di jeti berkenaan,” kata Ng Suee Lim ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pengusaha terbabit sudah lama menantikan pemberian lesen berkenaan supaya jeti dibina diperakui sah oleh kerajaan dan selamat beroperasi.

“Tidak seperti sebelum ini, mereka sentiasa dalam keadaan tertekan kerana perlu bayar. Saya percaya kerjasama antara persatuan nelayan dan Kerajaan Negeri akan menjadi lebih erat selepas ini,” katanya.

Pada 25 Mei 2016, Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam menerima 86 permohonan daripada nelayan pelantar ikan di Bagan Sekinchan bagi proses pewartaan jeti nelayan.

Perizaban itu dibuat mengikut Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 untuk kelulusan Dato’ Menteri Besar.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sidang DNS lulus Belanjawan 2021, usul penting libatkan rakyat

SHAH ALAM, 11 NOV: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan Belanjawan 2021 berjumlah RM2.32 bilion selepas berlangsung 13 hari, kata speaker.

Ng Suee Lim berkata tiga usul penting turut diluluskan iaitu pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999, penggantian saluran paip baharu dan mempertahankan hutan simpan kekal di negeri ini.

“Pindaan Enakmen Luas yang bakal diwarta mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah yang mencemarkan sumber air.

“Selain itu semua wakil rakyat turut bersetuju mempertahankan hutan simpan kekal di negeri ini sebagai kawasan tadahan air bagi tempoh jangka panjang,” katanya pada sidang media di lobi Annex DNS hari ini.

Beliau berkata biarpun persidangan kali ini berlangsung dalam suasana mencabar susulan peningkatan kes Covid-19, namun Kerajaan Negeri komited untuk membahas isu penting melibatkan rakyat.

“Ada negeri yang pendekkan waktu persidangan tetapi Selangor mengambil keputusan meneruskan bagi memastikan semua isu dapat dibahas serta mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Persidangan DNS bermula 30 Oktober mewajibkan Ahli Dewan Negeri, kakitangan kerajaan, pegawai dan petugas media menjalani ujian saringan Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM: Urus sampah di Sabak Bernam mudah, rakyat penting kebersihan

SHAH ALAM, 17 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) mudah menguruskan kutipan sampah domestik di Sabak Bernam selama beroperasi hampir dua tahun di daerah itu.

Pengarah urusannya berkata sikap masyarakat mengambil berat terhadap kebersihan dengan meletakkan sampah di tempat sepatutnya memudahkan pekerja kontraktor mengutip mengikut jadual.

“Sejak KDEBWM mengambil alih (pengurusan kutipan sampah), kita tidak berdepan masalah menguruskannya di kawasan parlimen Sabak Bernam khasnya dan Sekinchan amnya kerana ada pejabat di Pekan Sungai Besar selain pegawai akan memantau operasi (kutipan),” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan sumbangan 100 unit tong sampah jenis Mobile Garbage Bin (MGB) 240 liter kepada Ahli Dewan Negeri Sekinchan Ng Suee Lim di Tokong Sekinchan Xian Fa Shi Gong Gu Miao di sini semalam.

Katanya, KDEBWM akan memperluas pemberian tong sampah tersebut ke kawasan Dewan Undangan Negeri lain bergantung kepada permintaan wakil rakyat terbabit.

“Kita sebenarnya sudah membuat pengagihan di beberapa tempat dan selepas ini akan pergi ke kawasan diminta Ahli Dewan Negeri atau ahli parlimen mengikut kemampuan,” tambahnya.

Categories
EXCO SELANGOR

Peserta program ADN muda Selangor dibenar bahas politik

SHAH ALAM, 24 OGOS: Peserta Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor Virtual 2020 dibenarkan berbahas isu politik tetapi perlu secara beradab, kata speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Ng Suee Lim berkata perkara tersebut merupakan pendekatan untuk meningkatkan kefahaman fungsi, peranan dan kaedah demokrasi dalam kalangan generasi muda pada persidangan DNS.

“Setiap tajuk perbahasan sama ada melibatkan isu negara, masyarakat, sosial atau berkaitan orang muda itu sendiri sudah tentu sedikit sebanyak akan berkait dengan politik, jadi adalah sukar untuk kita halang peserta.

“Namun dalam keghairan berdebat atas paksi demokrasi, kita ingatkan peserta tidak menyentuh isu sensitif seperti berkaitan institusi diraja dan perkara ini akan kita ingatkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini.

Suee Lim berkata program tersebut melahirkan bakal pemimpin berkaliber, bertanggungjawab dan memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan peserta.

Selangor menjadi negeri pertama menganjur sidang DNS secara maya khusus untuk golongan muda iaitu pelajar sekolah seawal umur 15 hingga 35 tahun.

Program ADN Muda Selangor Virtual 2020 dianjurkan pada 3 Oktober bakal disertai 56 peserta mewakili setiap kawasan pilihan raya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor pertama anjur sidang dewan maya, peserta 15 tahun boleh sertai

SHAH ALAM, 24 OGOS: Selangor menjadi negeri pertama menganjur sidang Dewan Negeri (DNS) secara maya khusus untuk golongan muda termasuk pelajar sekolah seawal umur 15 hingga 35 tahun.

Speaker DNS Ng Suee Lim berkata Program Ahli Dewan Negeri Muda Selangor Virtual 2020 dianjurkan pada 3 Oktober bakal disertai 56 peserta mewakili setiap kawasan pilihan raya.

“Sebelum ini program ahli dewan negeri (ADN) muda merupakan persidangan khas untuk pelajar universiti di Selangor tetapi selaras dengan kelulusan had umur mengundi kepada 18 tahun, kita memutuskan peluang wajar dibuka kepada pelajar sekolah menengah.

“Kita berpandangan pelajar perlu diberi pendedahan lebih awal terhadap peranan dan fungsi ADN yang secara tidak langsung membantu golongan tersebut membuat keputusan ketika pilihan raya nanti,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini.

Ng Suee Lim menjawab pertanyaan ketika sidang media Pelancaran Program ADN Muda Selangor Virtual 2020 di SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Suee Lim berkata permohonan dibuka sejak Jumaat lalu hingga 4 September yang boleh dibuat menerusi :
http://bit.ly/ADNMudaSelangorVirtual‬ portal dewan.selangor.gov.my.

“Setakat ini kita menerima lebih 300 permohonan dan kualiti peserta menjadi keutamaan yang akan diputuskan jawatankuasa penganjur terdiri pejabat speaker, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis
Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 16 dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Undi18.

“Sebanyak 30 peratus peserta diperuntuk kepada golongan wanita dan orang kelainan upaya (OKU) selaras dasar Kerajaan Negeri untuk memartabatkan kedudukan golongan tersebut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan Sekinchan tingkat pendapatan penduduk

SHAH ALAM, 20 OGOS: Sektor pelancongan di Sekinchan berteraskan pertanian, perikanan, industri asas tani serta perusahaan kecil dan sederhana berjaya meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Wakil rakyatnya Ng Suee Lim berkata pendapatan kebanyakan peniaga kerepek dan kuih tradisional serta produk kraftangan suri rumah mencecah RM5,000 sebulan berbanding RM2,000 sebelum ini.

“Produk makanan di Sekinchan seperti kuih kapit, bahulu, dodol, kerepek pelbagai perisa atau tanaman seperti pisang, jambu, mangga dan kelapa mendapat permintaan tinggi.

“Ini yang kita hasratkan iaitu aktiviti pelancongan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan semua sektor seperti pengusaha inap desa, restoran, pengangkutan dan pembuatan,” katanya ketika temu bual bersama Media Selangor.

Suee Lim berkata pihaknya menganjurkan kursus usahawan percuma dalam tempoh terdekat bagi meningkatkan daya saing golongan tersebut terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Kita sedang merangka kursus untuk program ini dan buat permulaan seramai 30 usahawan di Sekinchan akan dipilih mengikutinya.

“Kita mahu usahawan meningkatkan kemahiran perniagaan dalam talian yang mampu menjana pendapatan berganda dan langkah ini selaras komitmen Kerajaan Negeri untuk memajukan bidang keusahawanan di kawasan luar bandar,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat tanam padi empat musim tarikan baharu Sekinchan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Sekinchan mewujudkan pusat tanaman padi empat musim sebagai tarikan baharu pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor 2021.

Wakil rakyatnya Ng Suee Lim berkata pengunjung juga boleh merasai pengalaman melihat kawasan tanaman pokok kelapa laut berhampiran bendang.

“Program Cuti-Cuti Sekinchan membawa pelancong ke pusat tanaman padi empat musim yang menunjukkan proses penghasilan beras bermula dari menuai, membanting, mengangin dan mengilang.

“Kita turut mewujudkan kawasan tanaman pokok kelapa laut sebagai salah satu produk pelancongan baharu di Sekinchan,” katanya ketika temu bual bersama Media Selangor.

Suee Lim berkata kawasannya semakin popular termasuk dalam kalangan pengunjung luar antaranya Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China.

Beliau berkata kebanyakan teruja melihat bendang, menyentuh dan merentas batas padi, berbasikal atau memancing sambil menunggu matahari terbenam.

“Kita akan bekerjasama dengan Tourism Selangor untuk mempromosi keunikan Sekinchan dalam usaha memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19, ” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Dewan Negeri Selangor beri ruang cukup ADN bahas isu rakyat

SHAH ALAM, 13 JULAI: Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memberi masa secukupnya kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk membahaskan isu rakyat pada persidangan kali ini, kata speakernya.

“Kita tidak akan pendekkan masa untuk mereka (ADN) bercakap, Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan belanja agak besar bagi persiapan sidang DNS sejak sebulan lalu.

“Jadi, ADN tidak perlu risau, mereka ada masa secukupnya berbahas dan membawa isu rakyat setempat,” kata Ng Suee Lim kepada SelangorKini.

Pada Mac lalu, sidang DNS hanya berlangsung selama dua hari bagi mengekang penularan wabak Covid-19 namun pada sidang kali ini, beliau berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dengan melakukan saringan kepada 678 petugas.

“Hanya individu yang disaring serta disahkan negatif dibenarkan menghadirinya dan mereka akan dikenal pasti menerusi mesin pengimbas wajah sebelum masuk ke dewan,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar, pegawai dan petugas media menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan keselamatan serta kelancaran sidang DNS.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata Kerajaan Negeri sentiasa berwaspada dengan Covid-19 kerana angka serta fakta menunjukkan lebih separuh kes dijangkiti tidak bergejala tetapi kelompok ini sebenarnya pembawa atau penyebar virus tersebut.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Semua individu hadir Dewan Negeri negatif Covid-19

SHAH ALAM, 10 JULAI: Semua individu yang bakal menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 13 Julai ini disahkan negatif Covid-19.

Speakernya Ng Suee Lim berkata saringan pada 7 Julai lalu membabitkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, 56 wakil rakyat, pegawai serta petugas media.

“Syukur kita terima berita gembira dan semuanya negatif Covid-19. Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama baik bagi membolehkan sidang dewan berjalan lancar.

“Kerajaan Selangor komited menggempur wabak ini walaupun berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan mengenakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat,” katanya ketika dihubungi.

Selangor mewajibkan saringan bagi memastikan persekitaran persidangan bermula Isnin depan dalam keadaan selamat serta bebas jangkitan wabak.

Kakitangan TV Selangor dan SelangorKini turut menjalani saringan sama.

Ikuti siaran langsung Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di saluran YouTube selangortv.my pada 13 Julai.

Persidangan DNS pada 13 hingga 24 Julai juga disiarkan secara langsung di saluran sama.