Categories
ADN SELANGOR

KDEBWM sedia pengorek kaut, lori 10 tan bersihkan Taman Kinrara pascabah

SHAH ALAM, 10 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menempatkan kakitangan dan asetnya selama seminggu di Taman Kinrara, Puchong bagi pembersihan kesan banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata tindakan mulai semalam membolehkan penduduk yang terkesan mengeluarkan sampah dan barangan yang rosak pada hujung minggu.

“Saya faham kesukaran dan dilema dihadapi rakan-rakan di Taman Kinrara. Baru beli perabot selepas banjir pada Disember tetapi tenggelam lagi.

“Perlukan masa pilih barang yang mahu dibuang atau masih bole digunakan. Jangan bimbang. Ambil masa anda,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Sze Han yang juga pengerusi KDEBWM berkata proses pembersihan bermula pagi semalam menggunakan dua pengorek kaut, enam lori tipper 10 tan dan 10 lori Roll On Roll Off.

“Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.

Hujan lebat pada petang Isnin menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air dengan 1,215 mangsa daripada 298 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara.

 

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Mangsa banjir Kinrara diminta hadir terima bantuan esok

SHAH ALAM, 28 FEB: Mangsa banjir di Taman Kinrara dan Kinrara Court yang masih belum mengambil Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diminta hadir ke Dewan Serbaguna MBSJ Taman Kinrara esok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han berkata penyerahan bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 itu bermula jam 3 hingga 6 petang.

“Penyerahan bantuan mangsa banjir untuk penduduk Taman Kinrara dan Kinrara Court dilakukan esok. Kepada penerima seperti yang tersenarai diminta hadir mengambil bantuan.

“Untuk Bantuan Wang Ihsan daripada Kerajaan Persekutuan (RM1,000), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) akan menguruskan pemberian ini melalui pemindahan ke dalam akaun,” katanya menerusi Facebook.

Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut berkongsi senarai nama penerima bantuan yang merangkumi 192 mangsa di Facebook.

Senarai nama penerima boleh dilihat menerusi telegram https://t.me/infosayangikinrara

Pada 26 Februari lalu, Sze Han memaklumkan seramai 353 mangsa banjir dari dua kawasan tersebut diminta hadir ke Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling untuk menerima bantuan Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

100 kedai serbaneka dilantik ejen e-kupon Smart Selangor Parking

KLANG, 22 FEB: Sebanyak 100 kedai serbaneka dilantik sebagai ejen bagi menjamin kelancaran pelaksanaan e-kupon melalui aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata ejen tersebut bertanggungjawab membantu pengguna terutama warga emas dan pelancong mendaftar dan membayar kupon parkir.

“Pengguna juga terdiri daripada warga emas dan pelancong. Ejen ini akan membantu proses pembayaran kupon dan pengguna tidak perlu berpatah balik ke kereta untuk membuat pembayaran.

“Setakat ini, hampir dua juta pengguna sudah memuat naik aplikasi SSP sejak dilancarkan pada 2019 dan menjadi aplikasi parkir nombor satu di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga akhir Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Kupon parkir bergores yang tidak habis digunakan boleh ditebus di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas Mac nanti.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612 atau e-mel [email protected].

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

EXCO: Lebih 10,000 peniaga terima lesen sementara, galak lebih ramai mohon

KLANG, 21 FEB: Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19 untuk menjalankan perniagaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata inisiatif tersebut adalah bukti Kerajaan Negeri sentiasa membantu serta memudahkan individu menjalankan perniagaan di tempat sesuai dan selamat.

“Kita mengalu-alukan peniaga kecil, peniaga di tepi jalan dan mereka yang berhasrat memulakan perniagaan memohon lesen sementara.

“Mereka hanya perlu datang ke pejabat PBT (pihak berkuasa tempatan) atau berjumpa ahli majlis. Pihak bertanggungjawab sedia membantu memberikan lokasi yang selamat dan sesuai,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Pada 17 Disember lalu, Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil untuk enam bulan lagi sehingga Jun tahun depan.

Sze Han berkata inisiatif itu sepatutnya tamat bulan ini namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen dan golongan terkesan pandemik bermula sejak Ogos tahun lalu. PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: PBT diminta tambah lokasi bazar Ramadan, elak sesak pengunjung

KLANG, 21 FEB:  Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengenal pasti lebih banyak lokasi bazar Ramadan serta tidak menumpukan satu kawasan sahaja bagi mengelak kesesakan pengunjung.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah tersebut bagi memudahkan pemantauan serta memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Lokasi-lokasi tersebut perlu dikenal pasti supaya dapat menentukan jumlah sebenar lokasi strategik untuk bazar Ramadan untuk mengurangkan kepadatan pengunjung.

“Kita memerlukan bantuan daripada PBT kerana mereka mempunyai maklumat dan kesesuaian lokasi untuk bazar Ramadan. Mungkin ada penambahan berbanding tahun lalu iaitu 11,773 tapak.

“Perkara paling utama kita mahu membantu peniaga dan pada masa sama memastikan SOP dipatuhi. Setakat ini, kita tidak dapat tentukan jumlah kerana terdapat permohonan bazar yang masih dibuka” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini.

Bagaimanapun beliau berkata SOP bazar tersebut akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Selangor guna data satelit kesan lokasi tapak sampah haram

KLANG, 21 FEB: Kerajaan Selangor akan menggunakan data satelit daripada Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi mengesan lokasi tapak pembuangan sampah haram di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kerjasama itu adalah hasil beberapa perbincangan antara Kerajaan Negeri, MYSA dan pihak berkuasa tempatan (PBT) minggu lalu.

“Berdasarkan data awal, kira-kira 1,400 lokasi pembuangan sampah haram dikesan di seluruh Selangor, namun tidak dapat disahkan lagi. PBT berkaitan diarahkan untuk meningkatkan memantau supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Kerjasama antara MYSA ini tidak membabitkan kos dan bukan terhad kepada usaha mengesan tapak pembuangan sampah haram tetapi memantau pelbagai aktiviti lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han berkata isu pembuangan sampah haram akan tetap berlarutan sekiranya masyarakat khususnya penduduk, pengusaha kilang dan tapak pembinaan tidak berubah sikap.

“Kebanyakan sampah yang dibuang di tapak pembuangan haram adalah hasil industri pembinaan dan institusi. Pembuangan sampah domestik diuruskan dengan baik.

“Buat masa ini, di Selangor ada enam pusat tapak penguatkuasaan sisa lengai manakala tiga tapak pelupusan sisa domestik iaitu di Jeram, Tanjung 12 dan Hulu Selangor yang diuruskan Worldwide Holdings Berhad,” katanya.

Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan adalah majlis untuk menghargai usaha berterusan komuniti Klang di dalam menyokong matlamat pembangunan mampan bagi mewujudkan persekitaran sejahtera dan berkualiti.

Antara kempen dijalankan ialah membudayakan kitar semula, pertandingan kebersihan dan keceriaan taman perumahan, kebersihan tandas dan juga program rendah karbon.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama penduduk mudahkan proses pemasangan paip Loji Rawatan Langat 2

SHAH ALAM, 21 FEB: Ahli Dewan Negeri Kinrara memohon kerjasama penduduk berhubung penutupan jalan di Persiaran Puncak Jalil bagi membolehkan pemasangan paip Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 berjalan lancar.

Ng Sze Han berkata terdapat rungutan daripada masyarakat sekitar namun projek perlu diteruskan supaya bekalan air terawat dapat diagih ke kawasan perumahan.

“Paip terpaksa dipasang pada bahagian kanan kerana terdapat aset utiliti lain di lorong kiri. Ini menyebabkan keseluruhan jalan terpaksa ditutup.

“Penduduk tidak perlu risau kerana semua pihak bersetuju untuk mengutamakan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya,” katanya di Facebook hari ini.

EXCO kerajaan tempatan itu berkata aliran trafik lebih sesuai akan diumumkan minggu ini sekali gus memudahkan pengguna jalan raya.

“Kontraktor juga akan berusaha menyiapkan projek sebelum April memandangkan ada bazar Ramadan yang beroperasi di kawasan berkenaan,” katanya.

Jalan berkenaan ditutup sejak Khamis lalu dan dijangka siap pada 17 April ini.

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelaksanaan parkir digital bantu kumpul data lokasi tumpuan, mudahkan rancangan pembangunan

SHAH ALAM, 21 FEB: Pelaksanaan sistem parkir digital Smart Selangor Parking (SSP) dapat membantu memudahkan Kerajaan Negeri mengesan lokasi tumpuan orang ramai.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata menerusi SSP pihaknya dapat memperoleh data raya (big data) bagi merancang pelbagai kemudahan pada masa akan datang.

“Manfaat daripada SSP adalah kita dapat kesan lokasi yang menjadi tumpuan awam.

“Daripada data ini juga, kita boleh merancang untuk membina tempat parkir bertingkat atau pelbagai kemudahan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bercadang melaksanakan kawasan parkir terhad atau sistem parkir bertempoh sekurang-kurangnya selama dua jam dalam masa terdekat.

“Dengan kaedah ini, semua orang dapat parkir. Sebagai contoh, di kawasan tumpuan orang ramai tempat parkir yang dipenuhidi sekitarnya sehingga sukar untuk pengguna lain meletak kenderaan.

“Kita mahu PBT yang menentukan lot parkir sesuai untuk dihadkan tempohnya sama ada di bank atau restoran popular,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected].

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

EXCO: Hampir RM20 juta dibelanja laksana operasi bersih pascabanjir

SHAH ALAM, 18 FEB: Hampir RM20 juta dibelanjakan Kerajaan Selangor setakat ini bagi melaksanakan operasi pembersihan pascabanjir fasa satu dan dua.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata peruntukan itu termasuk mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir.

“Kita belum tahu berapa banyak sudah dibelanjakan setakat ini, kemungkinan hampir RM20 juta sudah diguna termasuk yang akan diberikan kepada KDEB Waste Management, pihak berkuasa tempatan dan Worldwide Holdings.

“Kita bayar kepada Worldwide Holdings kerana sejak pembersihan banjir mereka terpaksa mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga merancang memperluaskan longkang dan meninggikan ban di beberapa kawasan terjejas bagi mengurangkan risiko banjir pada masa datang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Garis panduan pusat jagaan ibu bersalin diperkenal, PBT diberi kuasa pantau aktiviti

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Negeri memutuskan pusat penjagaan ibu bersalin dan bayi dilesenkan di bawah kategori pusat penjagaan kesihatan serta dikawal pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata PBT bertanggungjawab memantau aktiviti di pusat jagaan tersebut melibatkan bilangan, statistik dan pematuhan kepada syarat teknikal sebelum lesen dikeluarkan.

“Melalui pelesenan ini, Kerajaan Negeri dapat memastikan aktiviti pusat jagaan perniagaan dijalankan dengan selamat dan kondusif.

“Antaranya, premis tersebut tidak boleh beroperasi di kawasan berisiko tinggi yang boleh menimbulkan kacau ganggu seperti pencemaran bunyi, udara dan air,” katanya menerusi kenyataan pada 14 Februari lepas.

Beliau berkata garis panduan tersebut juga digunakan PBT untuk tindakan pengawalan dan penguatkuasaan.

“Pusat penjagaan dan rawatan ibu selepas bersalin serta bayi semakin berkembang yang tidak hanya tertumpu di kawasan perniagaan malah bercambah ke kawasan kediaman kepadatan penduduk tinggi,” katanya.

“Perkhidmatan ini tidak terhad kepada penjagaan ibu dan bayi tetapi turut merangkumi penjagaan secara menyeluruh termasuk aktiviti pemulihan dari segi spiritual dan fizikal.

“Sebagai contoh adalah aktiviti Yoga, terapi selepas bersalin dan juga penyediaan makanan berkhasiat kepada ibu semasa pantang,” katanya.

Justeru beliau berkata pelesenan untuk memastikan aktiviti perniagaan tersebut dapat dikawal dan mematuhi garis panduan serta syarat demi kebaikan semua pihak.

“Dengan langkah ini perkhidmatan penjagaan, rawatan ibu selepas bersalin dan bayi dapat beroperasi dengan lebih selamat dan kondusif di Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Sasar 33.3 peratus luas hutan simpan menjelang 2030

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Selangor menyasarkan 33.3 peratus kawasan di negeri itu sebagai hutan simpan kekal menjelang 2030.

EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian berkata buat masa ini hutan simpan kekal merangkumi kira-kira 32.5 peratus daripada keluasan negeri.

“Selangor komited memastikan kawasan hutan simpan tidak berkurangan sebaliknya semakin bertambah.

“Antara usaha diambil adalah melihat semula hutan berpotensi dan kita yakin boleh mengusahakannya. Namun, prosesnya bukan mudah dan mengambil masa untuk diwarta sebagai hutan simpan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor bagi 2021/2022 di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Selangor menambah tiga lagi kawasan hutan simpan kekal, keseluruhannya seluas 581.48 hektar, bagi menjaga khazanah alam termasuk sebagai menyimpan air dan mengawal kelembapan.

Hutan simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat) menyimpan pelbagai spesies flora dan fauna.

Selain tiga kawasan yang dirizabkan itu, Kerajaan Negeri juga mengekalkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas lebih 900 hektar walau 30 hingga 40 peratus kepelbagaiannya merosot akibat kebakaran hutan paya gambut itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bas percuma di Sri Muda diteruskan, sedia lanjut jika perlu

CHERAS, 10 JAN: Tiada tempoh ditetapkan bagi kemudahan laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini yang bermula sejak 1 Januari lalu.

EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata perkhidmatan bas itu diteruskan berikutan sambutan baik daripada penduduk di kawasan tersebut yang terjejas akibat banjir.

“Kita belum tahu lagi perkhidmatan ini sampai bila, ia masih berterusan sebab banyak kereta yang belum dibaiki. Sambutan diterima buat masa ini baik dan ada penumpang.

“Jika ada keperluan kita akan teruskan dan lanjutkan masa lebih panjang kerana tujuannya adalah memudahkan penduduk untuk bergerak,” katanya ditemui pada Program BAIK di sini semalam.

Laluan sementara Bas Smart Selangor itu bermula dari Hab Sri Muda diikuti Balai Polis Sri Muda, Hentian Jalan Hasrat, Pasaraya NSK, Petron Sri Muda dan Pangsapuri Andorra.

Perkhidmatan tersebut bermula dari 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan selama sejam.