SHAH ALAM, 20 FEB: Pemain perseorangan kedua negara tidak menyangka menjadi penyumbang mata kemenangan untuk skuad lelaki Malaysia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.
Ng Tze Yong berkata kata-kata semangat dari rakan berpasukan membantunnya meraih kemenangan mengatasi pemain Indonesia, Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay.
“Mereka beri kata-kata semangat selepas kita mendahului Indonesia 2-0 dan secara tidak langsung saya dapat bermain tanpa tekanan.
“Saya juga tukar strategi mengikut pesanan jurulatih iaitu jangan kerap melakukan ‘smash’ dan nampak ia mendatangkan hasil,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Dalam perlawanan berkenaan Tze Yong menang dengan meraih mata 21-14, 21-15 dalam kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini.
Sebelum itu, jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama menang mengatasi Chico Aura Dwi Wardoyo dengan mata 14-21, 21-12 dan 21-10.
Gandingan pasukan beregu negara Chia Aaron-Soh Wooi Yik pada perlawanan kedua berjaya menewaskan Leo Rolly Carnando – Daniel Marthin dalam perlawan tiga set dengan mata 17-21, 21-13, 21-18.
Kejayaan itu membolehkan negara merangkul kejuaraan sulung sejak BATC diperkenalkan pada 2016 dan lebih manis dihadapan penyokong sendiri.