Categories
NASIONAL

BN batal rizab tanah Taman Tasik Taiping untuk komersial

TAIPING, 25 MEI: Kerajaan Perak pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini didakwa membatalkan rizab tanah seluas 8.04 hektar di Taman Tasik Taiping di sini untuk dibangunkan bagi tujuan komersial.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming ketika mendedahkan perkara itu berkata pembatalan rizab tanah terlibat yang dianggar bernilai RM50 juta sebagai taman reakreasi dibuat Kerajaan Negeri pada 1 Mac 2017.

“Pembatalan ini untuk pembangunan komersial akan memberikan impak kepada Taman Tasik Taiping yang merupakan tapak warisan negara.

“Sekiranya kita tidak dedahkan dan (tanah) dijadikan pembangunan komersial kita bimbang Taman Tasik Taiping yang tersohor seluas 200 ekar (80 hektar) akan tinggal tasik sahaja diambil oleh pihak yang rakus,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Nga, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Aulong berkata, jika pembangunan komersial di kawasan itu diteruskan ia dibimbangi akan menjejaskan status Taiping sebagai antara destinasi terbaik di dunia.

“Kita bimbang pengiktirafan Taiping sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2019 di Berlin, Jerman Mac lepas akan ditarik balik.

Menurut Nga, tapak tanah rizab itu terletak bersebelahan dengan Penjara Taiping.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tanah itu dirizabkan semula dan diwartakan sebagai Taman Tasik Taiping.

Taman Tasik Taiping yang menjadi ikon kebanggaan warisan negara sudah berusia 139 tahun setelah taman itu diwujudkan pada 1880.

Categories
NASIONAL

Kembalikan autonomi Parlimen, badan bebas eksekutif

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini dalam usaha mengukuhkan lagi institusi itu dan mengubah persepsi yang badan itu sekadar tempat meletakkan “rubber stamp”, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Katanya, usaha ke arah mengaktifkan semula akta itu yang dimansuhkan pada 1992 sedang giat dijalankan dan merupakan sebahagian penting manifesto Pakatan Harapan bagi mengembalikan autonomi Parlimen, lantas menjadikan Parlimen badan yang bebas daripada eksekutif.

“Saya yakin dengan iltizam politik yang kuat dalam penggal ini, kami akan berjaya melakukan pembaharuan Parlimen secara komprehensif dan menjadikannya institusi yang disegani dan bukan lagi digelar (tempat) rubber stamp seperti dulu, “ katanya ​dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (saluran Astro 502) baru-baru ini.

Katanya, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen akan menjadikan institusi itu sebagai institusi bebas, mempunyai ​​​​​​​belanjawan dan kakitangan awamnya sendiri yang tidak tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan ​​​​​​​Awam.

Pada masa ini, Parlimen masih tertakluk di bawah Jabatan Perdana Menteri dan belanjawannya tertakluk kepada garis ​​​​​​​panduan kementerian, dan Anggota Parlimen Teluk Intan itu yakin langkah-langkah reformasi yang dilakukan akan ​​​​​​​mencerminkan kedudukan atau status sebenar Parlimen Malaysia.

Mengulas lanjut reformasi yang sedang dilakukan dan bakal membawa sistem Parlimen negara ini ke era yang matang dan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, Nga berkata penambahbaikan sudah dilakukan terhadap sesi soal jawab di mana kini jumlah soalan yang dijawab meningkat kepada 15 berbanding lapan sahaja dahulu.

Malah, menurut beliau, janji Kerajaan PH untuk memperkuatkan mekanisme semak dan imbang juga semakin terserlah apabila kini sudah ada 15 Jawatankuasa Pilihan Khas berbanding tiga hingga empat di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Dalam matlamat kita ada, semua kementerian akan dipantau oleh jawatankuasa pilihan khas yang terdiri daripada wakil pembangkang dan juga wakil kerajaan, maka ia akan melahirkan satu sistem semak dan imbang yang lebih sihat dan komprehensif,” kata Nga.

Menurut Nga, satu lagi pembaharuan yang sedang dikaji ialah mengadakan “The Ministry Day” memandangkan dalam ​​​​​​​amalan sedia ada, setiap hari soalannya bertaburan di antara semua kementerian dan menteri.

“Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan di mana kita mencadangkan The Ministry Day, sebagai contoh setiap Isnin, ​​​​​​​Kementerian Kewangan, setiap Selasa, Kementerian Pendidikan dan seterusnya. Kita akan tahu hari untuk kementerian siapa, mereka wajib hadir,” katanya.

Nga juga berkata Parlimen bercadang mencontohi “The House of Common UK” iaitu dicadangkan supaya diadakan “Masa Soalan Perdana Menteri” yang akan dijawab sendiri oleh Perdana Menteri.

Satu lagi pembaharuan Parlimen yang sedang dipertimbangkan ialah untuk mengadakan “Hari Untuk Pembangkang” di mana agenda mesyuarat Dewan Rakyat tidak ditentukan oleh kerajaan tetapi oleh Pembangkang,

“Ini memerlukan kematangan berpolitik kedua-dua belah pihak sama ada pembangkang atau wakil kerajaan perlu ​​​​​​​meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan politik,” kata Ng, 46, yang menjadi Ketua Pembangkang pada usia 27 tahun di Dewan Undangan Negeri Perak.

Dalam janji 16 manifesto Pakatan Harapan untuk mengembalikan wibawa institusi Parlimen, jawatan pengerusi ​​​​​​​Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kini dikhaskan untuk Anggota Parlimen pembangkang. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Menteri tidak dibenar jaga Parlimen

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Menteri tidak lagi diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal Parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen kembali berkuat kuasa.

Perkara itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pada Persidangan Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, hal itu dipersetujui kerajaan dan pembangkang bertujuan meningkatkan status Akta Perkhidmatan Parlimen kepada Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen.

“Apabila wujudnya akta ini, Parlimen pasti akan mempunyai kewangan sendiri sekali gus menteri tidak akan sesekali bertanggungjawab apa sahaja urusan berkenaan Parlimen.

“Speaker akan menjadi Ketua Dewan, yang akan mempengerusikan Dewan,” katanya.

Malah, katanya, apabila akta terbabit diwujudkan, parlimen tidak akan diletakkan di bawah JPM.

“Daripada segi autonomi kewangan, ia tidak lagi berada di bawah JPM,” katanya.

Terdahulu, kerajaan melantik anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertujuan menguruskan urusan Parlimen.

Malah, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerajaan Barisan Nasional turut melantik 11 anggota Parlimen menjadi menteri di JPM.

Namun, selepas PRU14 kerajaan Pakatan Harapan cuma melantik tiga menteri dan tiga timbalan menteri di bawah JPM.

Categories
NASIONAL

Provokasi melampau, lumrah budaya Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JUL : Provokasi melampau dicetuskan peserta baju merah di hadapan Ibu Pejabat DAP pada semalam bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kata Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Min.

Menganggap amalan sedimikian sebagai kelaziman dalam budaya politik kotor Umno, beliau berkata, pimpinan tertinggi Parti Ketuanan Melayu itu lebih selesa mengambil pendirian untuk berdiam diri.

ong-kian-ming“Kita tidak menghalang ruang untuk berhimpun dan menyatakan pandangan, namun apabila keadaan bertukar kepada situasi melampau, ia sudah keterlaluan.

“Lebih malang apabila pemimpin tertinggi Umno seolah-olah membiarkan budaya di peringkat akar umbi ini terus berlaku dalam parti mereka.

“Lihat sahajalah video keganasan penyokong itu, saya kira ianya sudah menjadi kebiasaan Umno sebagai parti yang bersifat provokasi melampau,” katanya.

Semalam, kira-kira 200 peserta baju merah berkumpul di hadapan ibu pejabat DAP membuat bantahan terhadap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berhubung kenyataan dikeluarkan pemimpin DAP itu.

Demostrasi berkenaan menjadi kecoh apabila berlaku tolak menolak antara peserta dan anggota polis yang membuat kawalan di kawasan itu.

BAJU MERAHLebih memalukan, peserta turut melemparkan ‘duit neraka’ sebagai simbolik kepada sentimen perkauman mengkritik amalan persembahan adat kaum Cina.

Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pimpinan tertinggi Umno berhubung insiden itu.

Sementara itu, memetik kenyataan di MalaysiaKini, Nga menganggap tindakan biadap penyokong Umno itu mencerminkan wajah sebenar parti itu.

“Mereka ketinggalan zaman dan muflis dari segi moral. Malaysia layak menikmati masa depan yang lebih baik.

“Saya percaya orang ramai akan menghakimi dan mengutuk kelakuan mereka yang tidak munasabah itu,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Konsesi tol untung berganda, rakyat tanggung derita

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Persekutuan lebih mengutamakan syarikat konsesi berbanding memikirkan nasib rakyat yang sedia terbeban dengan ekonomi semasa.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata perkara itu jelas tergambar apabila Kerajaan tetap dengan keputusan menaikkan kadar tol meskipun kebanyakan syarikat konsesi mencatat keuntungan luar biasa, sebaliknya rakyat menanggung tambahan kos kehidupan.

nga kor ming web 01“Syarikat untung ratusan juta tiap tahun tapi kerajaan tidak peduli derita rakyat, malah menaikkan kadar tol.

“Keputusan ini menambah beban hidup rakyat, selain memungkiri janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13,” lapor RoketKini.

Manifesto Barisan Nasional pada PRU 13 lalu berjanji menurunkan kadar tol secara berperingkat selain memberi jaminan menurunkan harga kereta sebanyak 30 peratus yang turut dimungkiri mereka.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Taiping itu turut mempersoalkan kewajaran Kerajaan Persekutuan melanjutkan tempoh kutipan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang sepatutnya berakhir 2018 kepada 2038.

Menurutnya, kos pembinaan PLUS yang bernilai RM6.4 bilion itu sudahpun mencapai kutipan RM52 bilion.

“Apakah logiknya (lanjut tempoh kutipan tol) menguntungkan rakyat?” katanya.

Menyifatkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di Lembah Klang pada 15 Oktober lalu sehingga 220 peratus sebagai tidak masuk akal, beliau juga mencadangkan Cukai Windfall dikena ke atas syarikat konsesi tertentu.

Cukai Windfall ialah cukai yang dikenakan terhadap syarikat terpilih dalam industri tertentu yang mendapat manfaat kerajaan dan mencatat keuntungan melebihi purata.

-NR-

Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat didakwa gagal bayar insentif nelayan

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 3 DIS : Kerajaan pusat gagal melangsaikan tunggakan bayaran insentif hasil tangkapan lebih RM100 juta kepada nelayan seluruh negara, sejak Julai lalu.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani didapati gagal menjelaskan bayaran subsidi hasil tangkapan sebanyak 10 sen sekilo seperti yang dijanjikan.

nga kor ming web 01Beliau berkata, kementerian menerima peruntukan RM6.03 bilion dalam Bajet 2014 dan mempunyai kemampuan untuk menanggung bayaran kepada nelayan terutama Jabatan Perikanan yang diberi peruntukan RM240.5 juta untuk pelaksanaan program itu.

“Saya menerima aduan daripada nelayan di kawasan Hutan Melintang, Pantai Remis, Sungai Besar dan Kuala Sepetang bahawa kementerian gagal menjelaskan tunggakan bayaran insentif ini.

“Nelayan sudah mengemukakan tuntutan tetapi kerajaan gagal menjelaskan bayaran seperti yang dijanjikan dan kini sudah masuk bulan kelima,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen,di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya mengambil tindakan segera terhadap bayaran tertunggak itu kerana bakal menjejaskan pendapatan nelayan.

nelayanKor Ming berkata, warga nelayan terpaksa menanggung tekanan hidup yang tinggi akibat kenaikan diesel, dasar pukat keroncong 38 milimeter (mm) dan larangan mengupah buruh asing untuk menangkap ikan.

“Selain bayaran tunggakan insentif tangkapan ikan, saya juga menggesa kerajaan supaya mengumumkan laporan pakar berkecuali ke atas dasar pukat keroncong 38 mm yang membabitkan nelayan pulau laut, pada November lalu.

“Tanpa laporan pakar berkecuali, nelayan tidak mempunyai keyakinan bahawa pelaksanaan dasar itu dapat membela sumber laut. Satu kajian pakar berkecuali juga harus dijalankan untuk meyakinankan nelayan, selain kementerian perlu terus berdialog dengan mereka kerana perikanan adalah sumber protein utama rakyat negara ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Iktiraf jawatan Ketua Pembangkang setaraf menteri

nga

KUALA LUMPUR 23 OKT : Kerajaan Pusat digesa mengiktiraf jawatan dan peranan Ketua Pembangkang di Parlimen dengan menawarkan status bertaraf Menteri Kabinet ketika membentangkan Bajet 2014, pada 25 Oktober ini.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata, selain pengiktirafan rasmi, jumlah emolumen dan elaun yang dinikmati Menteri Kabinet juga perlu diberikan secara saksama kepada Ketua Pembangkang.

Katanya, kakitangan yang mencukupi juga perlu disediakan di pejabat Ketua Pembangkang bagi membolehkan tugas dapat dilaksanakan ke atas Kerajaan Pusat secara efektif.

“Layanan kepada institusi Ketua Pembangkang amat ketinggalan berbanding negara lain yang mengamalkan sistem ?Westminister? iaitu demokrasi berparlimen yang sama. Bukan sahaja tiada sebarang peruntukan, pejabat Ketua Pembangkang juga hanya mempunyai tiga orang pembantu.

?Ini menyukarkan beliau menjalankan pemeriksaan ke atas kerajaan kerana jika dibandingkan dengan Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai lebih 90,000 pekerja dengan jumlah bajet pengurusan melebihi RM4.2 bilion setahun,? katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Kor Ming berkata, institusi Ketua Pembangkang harus diberi pengiktirafan rasmi, emolumen dan elaun setaraf menteri seperti yang diamalkan di Britain membabitkan perbezaan empat peratus, manakala Australia pula memberikan peruntukan tahunan dan pasukan petugas seramai 39 orang, selain status Menteri serta kakitangan tetap.

“Kerajaan Pusat perlu mengamalkan sistem demokrasi yang adil dengan mencontohi Selangor dan Pulau Pinang yang mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang dengan baik.

“Kerajaan Selangor memutuskan untuk memberi elaun tetap, pemandu, setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan lain-lain elaun berjumlah RM8,620 sebulan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri daripada Barisan Nasional (BN). Pulau Pinang pula memberikan 10 Adun pembangkang BN peruntukan untuk projek pembangunan kecil sebanyak RM40,000 setahun bermula tahun depan,” katanya. -NFN-

 

Kerajaan digesa siasat kehilangan RM2 bilion hasil cukai akibat penyeludupan rokok

Nga Kor Ming rokokKUALA LUMPUR 23 OKT : Kerajaan Pusat digesa meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas kes penyeludupan rokok kerana negara kehilangan hampir RM2 bilion hasil cukai duti dalam tempoh setahun.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata kehilangan itu tidak termasuk kerugian cukai akibat penyeludupan minuman keras ke dalam negara yang dijangka lebih besar daripada jumlah berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan penyelidikan British American Tobacco Co, Malaysia mempunyai kadar penyeludupan rokok tertinggi di dunia iaitu satu pertiga rokok di pasaran adalah hasil produk daripada lambakan aktiviti penyeludupan secara haram.

“Memandangkan harga rokok di pasaran RM12.50 sekotak, ramai perokok memilih untuk menghisap bahan yang diseludup masuk kerana dianggap lebih murah walaupun menjejaskan kesihatan mereka.

“Fenomena itu jelas membuktikan langkah kerajaan menaikkan duti cukai sama ada rokok atau arak adalah kurang berkesan dalam mengawal kegiatan penyeludupan membabitkan barangan berkenaan,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Kor Ming berkata, harga rokok yang mahal secara tidak langsung mempergiat lagi aktiviti penyeludupan hingga menyebabkan pengguna dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat kelemahan pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kerajaan disaran supaya menempatkan ejen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap agensi penguatkuasaan bagi mengatasi masalah terbabit.

“Berdasarkan kepada pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Robert Low, kerajaan akan mengupah 500 pegawai integriti mulai tahun depan untuk ditempatkan di agensi kerajaan.

“Bagi membanteras kegiatan penyeludupan, badan penguatkuasa undang-undang harus diberi keutamaan menerima penempatan pegawai terbabit sebagai semakan dalaman supaya mereka dapat memberi maklumat berguna bagi mencegah kegiatan penyeludupan yang kian membimbangkan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kos jet peribadi RM86.4 juta, Najib dicadang guna MAS

Grafik Najib Jet

KUALA LUMPUR, 3 OKT : Kerajaan Pusat berbelanja lebih RM100 juta dalam tempoh tiga tahun untuk kos sewaan dan penyelenggaraan jet peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi program jelajah dan lawatan rasminya.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkata, kerajaan mengaku membelanjakan RM86.4 juta untuk kos sewa pesawat, kos penyelenggaraan (RM16.515 juta) dan untuk kos penambahbaikan jet (RM3.32 juta)

Selain itu, katanya, kerajaan juga menanggung perbelanjaan RM44.02 juta untuk membiayai kos lawatan luar negara Najib sejak 2008.

“Sebagai bandingan, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menaiki kelas pertama Singapore Airline ketika membuat lawatan ke luar negara dan ia menjimatkan jutaan wang rakyat.

“Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula sentiasa duduk kelas ekonomi ketika menjelajah atau membuat lawatan.

“Teladan baik harus dicontohi. Dicadangkan Najib membuat pertimbangan menaiki penerbangan kelas pertama Malaysia Airlines (MAS), bukan jet peribadi eksklusif,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ketika negara mengalami defisit 17 tahun berturut-turut, beliau berkata, kerajaan Umno BN gagal menunjukkan contoh baik dari segi pengurusan kewangan berhemah.

Katanya, kerajaan Umno BN juga terpaksa mengemukakan belanjawan tambahan sebanyak dua kali di Parlimen ekoran kegawatan ekonomi.

Beliau turut meminta Ketua Audit Negara menjalankan pengauditan ke atas Jabatan Perdana Menteri yang mengeluarkan bayaran emolumen dan gaji melebihi RM4 bilion setahun.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Belanja RM 44.07 Juta Tampung Kos Lawatan Najib ke Luar Negara

najib mugshot interview 01

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Kerajaan Malaysia dilaporkan telah membelanjakan kira-kira RM 44.07 juta dalam tempoh lima tahun untuk menampung kos lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke luar negara dari Mac 2008 hingga Mei tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas perkara itu, Kor Ming berkata, perbelanjaan itu menunjukkan bahawa Najib membelanjakan lebih RM 8 juta setahun dan RM 734,000 sebulan untuk menampung kos lawatannya ke luar negara.

“Saya ingin tanya kepada Perdana Menteri, apakah yang beliau berjaya capai untuk negara selepas berbelanja sebanyak itu?

“Dengan perbelanjaan melampau begini, Kerajaan akan mengalami defisit sebanyak RM 55.3 bilion tahun ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya lagi, perbelanjaan Najib ini jauh berbeza dengan kos lawatan ke luar negara oleh mantan Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jelasnya, sewaktu Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau hanya membelanjakan kurang RM 30 juta dalam tempoh lima tahun.

“Apakah hasil daripada lawatan ke luar negara itu? Perdana Menteri perlu perjelaskan perkara ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Mengapa 1MDB Beli IPP?

nga kor ming web 01

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Kerajaan Persekutuan harus memperjelaskan mengapa dana awam sebanyak RM 12 bilion digunakan untuk membeli penjana kuasa bebas (IPP) menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini berbeza dengan matlamat 1MDB yang bertujuan menjadi pemangkin kepada idea-idea baru dan pemacu pembangunan ekonomi jangka panjang negara.

MP Taiping, Nga Kor Ming mempersoalkan mengapa Kerajaan Persekutuan membeli IPP biarpun mengetahui sesetengah syarikat IPP masih di bawah kajian semula dan bakal menamatkan perjanjian konsesi tidak lama lagi.

Jelasnya, keputusan itu juga meragukan kerana 1MDB dikhuatiri tidak memiliki pengalaman, kepakaran dan teknologi lengkap untuk mengendalikan loji tenaga elektrik di negara ini.

“Sumber tenaga merupakan sumber utama kepada perkembangan ekonomi dan manusia. Tiada siapa boleh ambil sambil lewa ketika mengendalikannya,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, 1MDB didakwa membeli Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd yang dimiliki jutawan Tan Sri Ananda Krishnan dengan nilai RM 8.5 bilion.

Paling mengejutkan, 1MDB didakwa menawarkan RM 1.2 bilion untuk membeli Jimah Teknik & Jimah O&M yang mempunyai rezab negatif berjumlah RM 367 juta.

“Ini bermakna jumlah liabiliti yang dimiliki mereka (Jimah Teknik & Jimah O&M) adalah lebih daripada jumlah aset,” ujar Kor Ming.

1MDB turut membeli Genting Sanyen dengan nilai RM 2.3 billion yang menyebabkan syarikat berkenaan meraih keuntungan luar biasa sebanyak RM 1.9 billion.

Sehingga tahun lalu, Kor Ming mendakwa 1MDB menjadi salah satu pengeluar utama tenaga di negara yang ternyata berbeza daripada matlamat asal penubuhannya untuk mencari sumber kepada perkembangan ekonomi di Malaysia.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nga : Kerajaan Pusat Didesak Untuk Tidak Mendiskriminasi Antara Graduan Kelas Pertama

KUALA LUMPUR, 17 APR : Kerajaan Pusat harus adil dalam penukaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama.

MP Taiping, Nga Kor Ming mendakwa kerajaan pusat bersikap tidak adil kepada graduan dari kumpulan tersebut berdasarkan aduan diterima dari lebih 50 graduan dari seluruh negara.

“Kementerian Pengajian Tinggi pernah membuat pengumuman bahawa mulai 2010, semua mahasiswa yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama akan dikecualikan bayaran pinjaman PTPTN kerana ianya akan dianugerahkan menjadi biasiswa.

“Bagaimanapun, golongan yang tamat pengajian dari 1 Julai 2005 hingga 2010 tidak layak menikmati layanan tersebut.

?Adalah dianggarkan kepentingan lebih kurang 8,000 graduan ijazah kelas pertama telah terjejas akibat diskriminasi itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Kerajaaan Pusat menurutnya, diharap mempertimbangkan suara graduan dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berkaitan isu itu.

Nga berkata satu memorandum berkenaan isu itu akan dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau juga meminta kerajaan pusat mempertimbangkan permohonan graduan di mana faedah tiga peratus pinjaman itu dimansuhkan bagi meringankan beban lepasan universiti.

“Perbalahan yang timbul kini adalah kesan dari dasar kerajaan untuk memkorporatkan Institusi Pengajian Tinggi khususnya universiti awam.

?Akibatnya jumlah yuran dan kos sampingan lain telah melambung tinggi mengakibatkan majoriti graduan lepasan universiti terpaksa menanggung beban hutang PTPTN dan pelbagai hutang pinjaman lain.

“Disebabkan pendapatan lepasan graduan universiti di pasaran tempatan jauh lebih rendah maka negara kehilangan pelbagai modal insan berkelayakan dan berbakat kerana golongan ini terpaksa mencari mata pencarian di luar negara dan mengejar kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nga turut mengesa Khaled mengadakan lawatan ke Dataran Merdeka untuk berjumpa dengan mahasiswa yang berkhemah di situ untuk memnuntuut pemansuhan PTPTN.

Lebih 500 mahasiswa telah membuat rapat umum di Dataran Merdeka pada Sabtu bagi menuntut pemansuhan pinjaman itu dan sistem pendidikan percuma di negara ini.