Categories
AGENDA NASIONAL

Veteran tentera, polis dilantik renjer, kekang aktiviti buru hidupan liar

KUALA LUMPUR, 22 JAN:- Seramai 800 individu termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli hari ini dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju berkata mereka yang menerima watikah pelantikan itu terdiri daripada 224 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VET), 439 Orang Asli (OA), 112 orang awam, 15  Veteran Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan 10 pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Adalah diharapkan dengan pelantikan Renjer Hidupan Liar di bawah Program BP3 ini dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BP3 adalah program membenteras jenayah melibatkan hidupan liar di bawah Perhilitan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang bermula secara rasmi pada 29 Jun 2020.

Ia melibatkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau serta Sungkai.

Ali berkata kepakaran VET dan OA telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes-kes di kawasan panas dengan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram termasuk operasi pembasmian jerat.

Katanya, penglibatan VET dan OA juga dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti mereka.

Ali memaklumkan program BP3 itu turut melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM, agensi-agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO)

Beliau berkata antara NGO terlibat termasuk Malaysian Conservation Alliance for Tiger (MYCAT) yang terdiri daripada Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Tabung Hidupan Liar Malaysia (WWF), Persatuan Pencinta Alam, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia dan Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia.

Ali berkata program berkenaan merupakan kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilancarkan pada 3 Sept 2019 dan strategi terbaharu dalam meningkatkan rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan dan pemburuan serta pembalakan haram.

— BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Sukarelawan kongsi punca sukar bantu mangsa bah Sri Ehsan

BANTING, 21 DIS: Beberapa sukarelawan dari badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang ingin menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan perumahan Bandar Seri Ehsan, di sini berhadapan kesukaran berikutan jalan utama memasuki kawasan perumahan itu masih ditenggelami air.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati, pihak terbabit terpaksa menggunakan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bot yang dipinjamkan daripada orang awam, bagi mengangkut barangan itu.

Selain itu, lori tanah terpaksa digunakan bagi membawa mangsa banjir keluar dari kawasan perumahan terbabit.

Sukarelawan MyFundAction Shahidah Othman, 26, berkata NGO itu membawa kira-kira 1,000 Kotak Rezeki Ummat untuk diedar kepada mangsa terlibat, namun berhadapan kelewatan berikutan masalah logistik.

“Kami sudah dapat kebenaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk masuk ke kawasan perumahan itu. Ada barang yang kami masukkan dalam lori ATM, PDRM dan APM. Ada juga yang kami bawa masuk menggunakan bot.

“Bantuan lambat tiba disebabkan kekangan ini. Kami sukar untuk bawa barang bantuan ke kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata Kotak Rezeki Ummat mengandungi barangan makanan dan minuman selain lampin bayi serta tuala wanita.

Sementara itu, selebriti Nadzmie Adhwa Nor Adzmi, 29, bersama isteri Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana berkata sebagai sukarelawan yang tidak mewakili mana-mana NGO, beliau turut berhadapan masalah sama, namun ia tidak melunturkan semangat prihatin mereka.

Beliau berkata bantuan berupa makanan, minuman, lampin dan susu bayi yang menggunakan dana peribadi dan sahabat handai perlu diserahkan kepada mangsa banjir dengan segera, kerana ia merupakan amanah yang diberikan kepada mereka.

“Hari ini kami bekerjasama dengan ‘team Ayer Spot’. Mereka bersama-sama kami turun ke lokasi bawa kami dan bantuan menaiki bot mereka. Alhamdulilah semua barangan telah diserahkan di lokasi pengumpulan barangan bantuan iaitu di pondok Persatuan Penduduk Bandar Seri Ehsan,” katanya.

Wakil penduduk Bandar Seri Ehsan Nor Azizi Ismail, 47, berkata kira-kira 9,000 penduduk di kawasan perumahan terbabit bukan sahaja terputus hubungan dan bekalan barangan keperluan, malah berhadapan masalah komunikasi memandangkan stesen pemancar telekomunikasi tidak berfungsi setelah bekalan elektrik terpaksa ditutup sementara.

“Sudah tiga hari kami tiada bekalan elektrik dan rangkaian telefon. Jalan utama ini dinaiki air sejak Jumaat lepas. Namun pada hari Sabtu, kami telah keluarkan golongan wanita khususnya ibu mengandung dan menyusukan anak, kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NGO gesa henti gangguan seks, lindungi kanak-kanak di sekolah

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Engender Consultancy, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Kementerian Pendidikan agar menangani isu berkaitan gangguan seksual dan melindungi kanak-kanak di sekolah.

NGO itu dalam kenyataan semalam memaklumkan semua sekolah diminta untuk menerapkan dan menerbitkan prosedur menangani rungutan yang menyediakan penyelesaian segera dan adil terhadap aduan gangguan seksual.

“Ini perlu mengambil kira suara pelajar; apabila pelajar menimbulkan ketakutan atau kebimbangan, sekolah harus memberi perhatian dan bertindak balas bagi memastikan perlindungan dan kesejahteraan mereka (pelajar).

“Sekolah juga harus bertanggungjawab atas segala persekitaran permusuhan yang wujud, termasuk oleh kakitangannya sendiri. Gangguan berdasarkan gender di sekolah perlu dihentikan segera,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini seperti pemeriksaan haid di sekolah dan pelajar sekolah menengah mendakwa seorang guru membuat gurauan tentang rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.

Jelasnya, kejadian terbaharu itu menyebabkan pelajar terbabit menerima ugutan rogol daripada rakan sekelasnya, menunjukkan kelemahan sistemik terhadap sensitiviti gender di persekitaran sekolah.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

NGO disaran kenal pasti lokasi jadi Pusat Peduli Kanak-kanak

SUBANG JAYA, 24 OGOS: Badan bukan kerajaan (NGO) disaran mengenal pasti lebih banyak lokasi sesuai di negeri ini untuk dijadikan Pusat Peduli Kanak-kanak (PPKK).

EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemilihan lokasi harus mengambil kira faktor kepadatan golongan itu di sesebuah kawasan selain mengikut keperluan komuniti setempat.

“Walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya agak sukar untuk cari tempat, jadi sekiranya jawatankuasa NGO berminat (untuk wujudkan PPKK) dan sudah ada tempat maka mereka boleh sediakan kertas kerja lengkap kepada kita.

“InsyaAllah, kita cuba bantu bergantung pada kedudukan peruntukan Kerajaan Negeri dan (peruntukan) mungkin tidak banyak tetapi kita mahu hargai usaha murni mereka,” katanya selepas Majlis Pelancaran PPKK di Pangsapuri Angsana, USJ 1 semalam.

Setakat ini, dua PPKK diwujud di Selangor iaitu Pangsapuri Angsana, Subang Jaya dan Pangsapuri Bunga Raya, Hulu Selangor dengan masing-masing diperuntuk RM200,000 untuk menggerak aktiviti kepada kanak-kanak.

Dr Siti Mariah menambah penubuhan PPKK mampu mengelak kes pengabaian, kerosakan akhlak serta masalah sosial melalui penyediaan pelbagai program untuk mereka.

“Kanak-kanak yang datang ke sini akan dipantau oleh jawatankuasa NGO, sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk melakukan aktiviti berfaedah selepas pulang dari sekolah seperti belajar dan bermain.”

Categories
EXCO SELANGOR

NGO digalak bimbing golongan B40 di bandar bertani

PUCHONG, 20 JUN: Badan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk memberi bimbingan pertanian kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang tinggal di kampung dalam bandar, kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia membolehkan tanah dimilik dapat dimanfaatkan dengan aktiviti penanaman bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi golongan berkenaan.

“Mereka ada tanah sendiri dan boleh bela ikan atau bercucuk tanam untuk tampung pendapatan namun perlukan mentor bagi menyuntik motivasi ke arah itu.

“Maka NGO perlu datang dan lihat apa yang ada di persekitaran masyarakat supaya peluang tidak disia-siakan,” katanya selepas program Jom Jelajah Kampung Dalam Bandar MPSJ di Kampung Tengah Puchong di sini hari ini.

Beliau berkata taraf hidup golongan berkenaan perlu ditingkatkan walaupun memiliki akses mudah kerana dikelilingi kemajuan dan peluang pekerjaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hantar bantuan, NGO perlu rujuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk menghantar bantuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berada dalam jawatankuasa terbabit bagi menyelaraskan isu berkaitan untuk diagihkan kepada penerima.

“Saya percaya JKM sudah mengeluarkan peraturan kepada NGO iaitu berdaftar dengannya dan barangan dihantar mesti jelas penerimanya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, ada NGO menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan yang tidak membenarkannya menghantar terus kepada penerima sebaliknya diserahkan kepada JKM.

Namun Ismail Sabri menjelaskan arahan itu adalah bagi mengelak ahli NGO terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai juga diminta menyerahkan aduan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di kawasan masing-masing sekiranya ada isu berbangkit dalam tempoh PKP.

“Ada individu membuat aduan secara berswafoto dan merakam video kemudiannya dimasukkan ke YouTube, sebaiknya ia harus disampaikan kepada jawatankuasa dipengerusikan pegawai daerah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fomca: Elak belian panik, batas pergerakan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Orang ramai diminta melihat Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam daripada sudut positif dan memastikan aktiviti mereka seiring dengan objektif perintah itu untuk mengekang wabak Covid-19.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata orang ramai perlu membataskan pergerakan di luar rumah selain mengelakkan pembelian panik.

Tujuan membataskan pergerakan di luar rumah untuk mengelakkan orang ramai daripada berlakunya kontak dengan individu lain.

“Dalam keadaan sekarang, (masyarakat) perlu lebih banyak berada di rumah, kalau perlu pergi ke kedai, ia untuk membeli barang keperluan sahaja.

“Jangan ambil kesempatan untuk bersiar-siar bagi mengelakkan Covid-19 ini daripada merebak dengan lebih mudah,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan dan mengeruhkan keadaan dengan menaikkan harga barangan.

“Sepatutnya rantaian bekalan itu bergerak seperti biasa kerana setakat ini tiada kawalan dari segi pergerakan barangan, contohnya, lori membawa bahan dan sebagainya… tiada sekatan.

“Maknanya harga barang tidak sepatutnya dinaikkan. Peniaga perlu memainkan peranan supaya barang mencukupi kerana dalam keadaan sekarang pengguna tidak boleh nak bergerak jauh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

NGO tawar urutan badan guna pisau di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 3 APRIL: Menggunakan tangan, namun berbeza dengan perkhidmatan ditawarkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ‘Occupy Beach Street’, di sini apabila pisau digunakan untuk mengurut.

Sukarelawan ‘World Public Welfare Association’, Ong Chong Jin, 64, berkata urutan badan menggunakan pisau atau terapi urutan pisau itu berasal dari negara China, dan beliau mempelajari urutan itu di Taiwan pada tahun 2010.

“Ia satu teknik dari China, sangat traditional. Pada waktu Perang Dunia teknik ini telah wujud. Entah bagaimana ia dilupakan, hilang, dan ditemui semula beberapa tahun kebelakangan ini di Jepun.

“Jadi orang Taiwan pergi ke Jepun dan belajar, dan kita belajar dari Taiwan. Taiwan secara rasminya mengiktirafnya sebagai satu teknik. Perbezaan antara tangan dan pisau ialah pisau keras, tajam dan boleh menyerap apa juga tekanan yang kita kenakan pada badan,” katanya kepada Bernama.

Beroperasi setiap hari Ahad bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari sejak tahun 2015, beliau bersama lapan lagi sukarelawan persatuan itu mempelajari urutan berkenaan di Taiwan menggunakan dua bilah pisau yang ditumpulkan untuk mengurut belakang badan, bahu, kepala dan kaki mengikut permintaan pelanggan.

Ong berkata 20 anggota persatuan itu menjalankan perkhidmatan urutan berkenaan secara bergilir-gilir, dan kebanyakan daripada mereka yang terdiri daripada jurutera, pengurus pemasaran dan sebagainya menjadikan aktiviti itu sebagai kerja sambilan.

Menurutnya, separuh daripada kutipan bayaran yang diperoleh disalurkan kepada badan kebajikan, manakala selebihnya digunakan untuk menjalankan operasi di situ.

“Kami menyumbangkan perkhidmatan ini sebagai alternatif untuk membantu orang ramai jadi sihat. Puratanya, kira-kira 20 ke 30 orang sehari datang untuk urutan ini. Pada mulanya mereka takut sebab ingat pisau ini tajam. Kami bagi pelanggan cuba selama 10 minit dan tunjuk pada mereka.

“Kebanyakannya selepas menerima urutan ini akan menyatakan urutan ini melegakan kesakitan di bahagian tertentu di badan mereka,” katanya.

Ong berkata antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah urutan bahu, belakang badan, kaki, kepala dan urutan seluruh badan yang berharga antara RM13 hingga RM88 dengan tempoh masa antara 10 minit ke satu jam.

Katanya selain di Lebuh Acheh, beliau turut mempunyai sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan sama di Sungai Petani, Kedah dan dibuka setiap hari.

Ditanya sama ada pihaknya akan membuka sebuah kedai di sini, beliau berkata perancangan itu ada dan buat masa ini pihaknya mempunyai sebuah kedai yang disewakan kepada orang lain di Lebuh Acheh, di sini. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kelab Budayawan Aktif Gombak edar 500 bendera jalur gemilang

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 21 OGOS: Kelab Budayawan Aktif Gombak mengagihkan 500 ‘goodies bag’ dan bendera jalur gemilang kepada penumpang bas serta pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Pengerusinya, Syed Husain Fahmi Syed Ahmad berkata, program julung kali itu diadakan bertujuan menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

Katanya, setiap rakyat perlu menzahirkan rasa syukur dan gembira terhadap kemerdekaan, di negara ini.

“Selaras dengan tema hari kebangsaan tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku, maka program ini diharapkan dapat menyemai semangat sayangkan negara.

“Malaysia adalah negara kita semua dan harus tanam semangat cintakan negara,” katanya kepada SelangorKini, di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, turut hadir merasmikan program berkenaan.

Syed Husain turut mengajak rakyat pelbagai kaum supaya terus bersatu hati dan menyeru mengibarkan bendera Jalur Gemilang di semua tempat termasuk kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntukan RM100,000 setiap tahun perkasa NGO

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 APR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima peruntukan RM100,000 daripada Kerajaan Negeri bagi memperkasa penganjuran program badan terbabit bermula dari peringkat akar umbi.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Amirudin Shari berkata, inisiatif berterusan itu sekali gus mampu mewujudkan kerjasama antara NGO dengan entiti berkaitan untuk membangunkan pertubuhan berkenaan.

Katanya, selain mengupayakan pembabitan masyarakat dalam aktiviti organisasi, pelaksanaan aktiviti juga dapat digerakkan dengan lancar seiring pelan program dirangka.

“Walaupun ia bukan satu jumlah besar, namun saya percaya peruntukan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan menggalas peranan yang harus dilaksanakan NGO.

“Hal ini bertepatan dengan iltizam Kerajaan Negeri bagi memenuhi segala keperluan dan kehendak semua kelompok individu serta masyarakat ke arah meningkatkan pembangunan segenap sudut.

“Selain itu, kita juga mahu fokus terhadap pelan keseimbangan seterusnya mengaplikasi dasar kerajaan demi menjamin pembangunan lebih berkualiti, termasuk program pembangunan ekonomi, sahsiah, kebudayaan ritual, keagamaan serta sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek NGO di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, di Kelab Diraja Shah Alam, di sini, semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata, sebanyak 36 menerima sumbangan replika cek sebagai tanda sokongan terhadap badan yang dilihat mampu berdaya saing ke peringkat lebih tinggi.

“Ia termasuk empat pertubuhan khas untuk program komuniti India dan program kebudayaan,” katanya.

Bagaimanapun Amirudin menegaskan, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada perancangan rapi Kerajaan Negeri yang komprehensif dan bukan program khas dijelmakan, sempena 9 Mei 2018.

9 Mei merujuk kepada hari proses membuang undi rakyat Malaysia bagi menentukan mandat baru pentadbiran Putrajaya.

Categories
NASIONAL

Razak Baginda akui disiasat, NGO lega perkembangan terkini

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sekutu rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau didakwa oleh Kerajaan Perancis nerhubung isu pembelian kapal selam, 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, Abdul Razak Baginda mengakui beliau sedang disiasat berhubung isu berkenaan serta bertegas masih belum dihadapkan di mana-mana mahkamah dan menyifatkan media keliru dengan proses keadilan Perancis kerana bukan didakwa seperti penggunaan istilah itu dalam sistem kehakiman Malaysia.

“Istilah didakwa dalam konteks siasatan bermakna meletakkan seseorang di bawah siasatan rasmi. Proses perundangan Perancis berbeza daripada Malaysia.

.razak-scorpene-submarines-300x202“Dalam proses perundangan Malaysia, seseorang yang menjadi suspek jenayah disiasat. Dia akan didakwa di mahkamah jika ada bukti yang cukup,” katanya lapor Malaysia Insight.

Sementara itu, individu yang konsisten dalam usaha melaporkan kepada pihak berkuasa Perancis berkenaan pembelian kapal selam itu oleh Malaysia, Cynthia Gabriel, meluahkan rasa lega dengan perkembangan terkini siasatan itu ekoran langkah yang dilaksanakan perundangan, di sana, ke atas Razak.

“Saya berdepan gangguan dan intimidasi selain menerima ancaman kerana memberi maklumat, sejak lima tahun siasatan dibuka,” katanya yang kini mengetuai badan bukan kerajaan anti rasuah iaitu Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

Cynthia juga menyifatkan, langkah mendakwa Razak adalah kemenangan kepada kumpulan aktivis seperti SUARAM dan C4 yang komited dan bertahan dalam misi membawa individu korup ke muka pengadilan.

“Setiap yang terbabit juga perlu menjawab atas kelakuan mereka. Tak perlu untuk berdolak-dalih lagi,” katanya.

Cynthia berkata, Najib sebagai Menteri Pertahanan ketika pembelian itu juga perlu bertanggungjawab selain mengulangi gesaannya supaya Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberikan kerjasama kepada pihak pendakwaan Perancis.

Semalam, AFP melaporkan berhubung isu pembelian kapal selam membabitkan komisyen lebih €114 juta (RM570 juta) dibayar kepada sebuah syarikat kosong yang dengan dikaitkan Razak

Categories
SELANGOR

MBI, NGO & Selangor Kini ke Nepal misi bantuan gempa bumi

Oleh: AFEEQA AFEERA

SEPANG, 1 JUN: Seramai enam individu terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) termasuk media Selangor Kini berlepas ke Kathmandu, Nepal hari ini di bawah Misi Bantuan Kemanusiaan ke negara itu.

Misi anjuran Muslim Care Malaysia Society itu turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Maybank Foundation dan Persatuan Kebajikan Islam Malayan Banking.

MBI NEPALMisi berkenaan membawa sumbangan berupa ubat-ubatan, barang keperluan dan makanan serta selimut kepada warga Nepal yang menjadi mangsa bencana gempa bumi April lalu.

Misi bantuan berkenaan berlepas ke Nepal dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH0170 ke Kathmandu pada pukul 8.55 pagi.

Misi diketuai Exco Muslim Care Malaysia Society, Mohd Johari Ismail dan Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat MBI, Mohd Jaafar Farudin Md Ali.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) 25 April.

Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.

Tragedi gempa bumi berkenaan disifatkan paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun.

Berdasarkan laporan media, lebih 8,000 nyawa terkorban ekoran kejadian itu.

EZY