Categories
BUDAYA RENCANA

Riko tercedera dengan pensel dan kertasnya sendiri

Oleh Nik Aidil Mehamad

Ilustrasi Matarojit

 

Riko tercedera dengan sekeping kertas berwarna kuning senja. Ia luka kecil seperti telapak kakinya yang tergores dengan pokok semalu. Merayap tumbuh liar di belukar belakang rumahnya di kampung. Pokok semalu akan menguncup apabila saja kaki bogel Riko memijaknya.

Riko juga terluka dengan sebatang pensel yang baru diasah dengan pisau cukur. Pensel jatuh dari meja dan menikam kaki kirinya.

Luka dari jari kakinya memancutkan darah.

Rutin pagi Riko selalunya adalah berdiri dalam elarti. Di mana dia temui penumpang dengan wajah emosi kosong. Kulit bersentuhan secara tak sengaja. Anak mata ke anak mata sehingga Riko dapat lihat warna kornea mata penumpang yang berdiri di sebelahnya dalam elarti. Cela-cela di muka bukanlah hal yang Riko endahkan.

Hubungan sosial ini terhenti untuk seketika. Rumah jadi tempat paling selamat.

Riko balik ke tempat yang paling selamat. Walau kadangkala rumah juga adalah neraka.

Namun rumah juga rahim paling aman. Rumah juga tempat dosa pertama lahir.

Pahala pertama diajar adalah seperti pada waktu kecil, Riko masukkan syiling 50 sen ke dalam mesin mainan di kedai runcit dan pecahkan telur plastik tanpa mengetahui isi di dalamnya. Ganjaran yang Riko tidak nampak tapi Riko percaya.

Tempat di mana Riko bebas untuk jadi apa sekalipun. Waktu kecil, rumah adalah syurga, taman permainan pertama yang terbesar dan bebas pernah Riko miliki.

Hari demi hari, keresahan pun masuk ke dalam rumah. Keluar mengalir dari peti suara televisyen. Menjelma dari paparan bercahaya telefon pintar, SMS pendek dari mana-mana kenalan atau individu yang Riko tidak kenali.

Meja tulis mula basah dengan darah.

Entah rasukan dari setan mana, kepercayaan Riko kini adalah untuk melayangkan cerekanya ke meja editor.

Barangkali seekor hantu menghuni dalam bilik menulis. Menghantui Riko sepanjang malam dengan mata terbuka, mulut terkatup. Sehinggalah Riko mula duduk di meja dan menekan papan kekunci komputer pelan-pelan.

Idea bergentayangan di siling bilik, di bawah meja tulis, bertinggung di atas meja. Berenang dalam akuarium di mana kura-kura tidur seharian. Juga tergantung di langsir.

Riko sepahkan cereka-cereka yang ditulisnya di atas meja editor.

Riko jarang sekali menulis menggunakan pen dan kertas, dan beberapa kali menggunakan mesin taip. Riko hanya mengangkut mesin taip dari bilik sewa ke bilik sewa yang baharu.

Rutin menulis adalah paling lama berbanding senaman kardio yang menjadi rutin Riko selain berlari di taman.

Darah dari luka di kakinya masih terpancut seperti replika ikan koi yang memancutkan air dari mulut ke dalam kolam ikan. Bilik hampir banjir dengan darah. Riko masih di meja tulis. Mengasah pensel baru dengan pisau cukur yang sama.

Riko pernah mengamati lelaki yang membesarkannya pada setiap pagi. Waktu itu, seingat Riko, dia belum mampu menulis patah-patah kata di atas kertas.

Bau minyak zaitun bertebaran dalam rumah yang dilumurkan di rambut ikal lelaki itu. Rambut ala Morissey berkilat. Kemas dengan bulu muka rapi terjaga. Setiap pagi, lelaki itu mencukur bulu-bulu yang tumbuh di muka dengan jenis pisau cukur yang sama untuk mengasah penselnya.

Pensel tetap juga Riko asah walaupun mengundang kecelakaan kepadanya. Diasah dengan baik agar matanya tajam. Patah-patah kata yang akan ditulisnya sekurang-kurangnya sedikit lancar.

Pernah juga berlaku kecederaan lain. Kertas tercedera apabila mata pensel ditekan dengan kuat akibat kedunguan Riko menulis surat cinta kepada Salma. Gadis yang tidak membawa tuah kepada Riko apa-apa pun sebenarnya. Emosi cinta mereka palsu. Sepalsu kasut-kasut di Petaling Street.

Bilik sewa sudah dibanjiri darah yang memancut laju dari jari manis dan kaki kirinya. Darah melimpah di lantai. Bau hanyir mengapung. Kertas–kertas yang bersepahan di lantai dihanyutkan arus darah ke muka pintu. Riko dapat lihat pantulan wajahnya apabila dia menunduk ke lantai.

Selalu juga pada waktu petang dia melihat kelesuan seperti ini. Arus darah dalam bilik ini selesu arus tali air berdekatan bilik sewanya. Riko berdiri di jambatan dan menjulurkan kepala sehingga kepalanya terbias dari permukaan air. Dia melihat kepala dengan leher panjangnya menari-menari di permukaan air.

Tanpa mengendahkan darah yang melimpah dalam bilik. Barangkali juga kerana kesakitan yang tidak dirasainya menyebabkan Riko meneruskan rutin malamnya dengan menulis cereka yang sudah beberapa minggu belum siap.

Kerusinya berlumuran darah. Papan putih yang tergantung di depan meja tulisnya terpercik darah dari luka di jarinya. Nota-nota kecil yang ditampal di papan putih tertanggal jatuh ke meja seperti daun-daun kering gugur di luar biliknya.

Seorang lelaki masuk ke dalam bilik Riko. Dia mengamati banjir darah. Riko tahu lelaki itu adalah Faris. Sangat akrab dengannya. Bekerja di kedai serbaneka tidak jauh dari bilik sewa mereka.

Faris selalu saja pulang dengan sepasang mata yang lesu dan berdengkur keras selepas itu seolah-olah protes terhadap kesunyian malam.

Dengkur tidur Faris akan menemani Riko menulis patah-patah kata di atas kertas dan seperti malam-malam sebelumnya. Kawan sebiliknya itu akan membancuh dua cawan teh hijau selepas pulang dari kerja jam 11 malam dan mengajaknya berbual sebelum Faris terlelap sendiri.

Tetapi tidak untuk malam ini.

Riko tahu, malam ini Faris tidak dapat tidur nyenyak.

Dan dengkurnya tidak akan kedengaran.

Categories
BUDAYA RENCANA

Tubuh Mel adalah puisi

Oleh Nik Aidil Mehamad

Ilustrasi Matarojit

BILIK sewa Jim terletak di bawah bilik Encik A. Jika Jim hulur kepala dari tingkap jendela bilik sewanya, Jim dapat bau aroma kretek yang kuat dihembus Encik A. 

Lelaki lewat 50-an yang akan mengetuk pintu rumah Jim apabila mendengar bunyi ketikan mesin taip yang mengalir keluar dari tingkap bilik Jim. 

Jim memberitahu saya bahawa dengan membebel tentang masa lampaunya, memori Encik A semakin pulih. Ia seakan ritual penyembuhan ingatan untuk diri Encik A.

Saya dengar Encik A menyanyi. Tona suara yang lembam namun liriknya jelas kedengaran. 

Ketika lagu Pink Floyd dinyanyikan Encik A, usia kematian ayah sudah 10 tahun, nyanyian Encik A melahirkan memori lama yang sudah luput dari ingatan saya, menemani saya yang berkeliaran dalam bilik tidur Jim. Kali terakhir saya mendengar lagu Wish You Were Here dari Pink Floyd bersama dengan Riko, menemani ayah dalam wad di hospital.

Separuh kegugupan saya bertempiaran lari terjun dari tingkap bilik. Kegugupan menceroboh ruang privasi Jim seperti saya menyelongkar almari pakainnya dan memakai seluar dalam miliknya.

Susunan pakaian dalam almari tanpa pintu milik Jim agak tersusun, barangkali memudahkan hal-hal rutin yang dilakukannya setiap hari. Hal-hal rutin itu secara tidak sedar akan dilupakan tanpa sengaja. Saya juga pernah lupa memakai pelembab muka apabila ada janji temu makan tengah hari dengan Mel dan saya terlupa mengucapkan kata-kata yang baik kepada Encik A sebelum keluar dari apartmennya.

Di dalam lif, sebelum saya masuk ke dalam rumah Jim. Saya mengamati kulit buku yang diberikan Encik A kepada saya. Judulnya, Letters To A Young Poet oleh Rainer Maria Rilke. Helaian buku dibuka secara rambang dan saya membaca kata-kata yang ditulis Rainer Maria Rilke;

“It is always my wish that you might find

enough patience within yourself to endure,

and enough innocence to have faith…

believe me, life is right in all cases.”

Riko baring di tilam bujang Jim. Dia mengamati saya yang sudah tumbuh susu. Susuk kematangan saya yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Kewujudan Riko diabaikan. Selepas kematian ayah, Riko terjebak dalam jenayah berat dan disumbat ke dalam jel. 

Riko pernah lihat susuk keanak-anakan saya dan susuk kematangan pula pada waktu itu belum tumbuh dalam diri saya. Bibir saya menghembuskan asap rokok Malboro pada tulang-tulang novel yang tersusun kemas di meja tulis Jim. Saya seolah pengintip upahan yang sedang diintip oleh pengintip upahan yang lain untuk membinasakan saya. Jelmaan Riko masih di tilam tidur jim. 

Meja tulis Jim kemas seolah-olah Jim jarang meluangkan masa di meja tulis. Beberapa batang pen kehabisan dakwat tidak dibuang, buku diari ditinggalkan Jim atau terlupa dibawa bersama selepas Jim menghantar sms kepada saya, “aku lari dari kota buat sementara waktu”. 

Helaian kertas A4 yang dicantumkan dengan klip kertas terletak di atas meja tulis. Saya belek catatan tangan Jim dari helaian pertama ke helaian yang lain, setiap selakan, saya akan menoleh ke arah Riko yang masih lagi baring mengamati saya. Bilik terlalu sunyi, saya dapat dengar degupan jantung saya sendiri. 

Pada helaian terakhir, tulisan yang bercampur aduk antara kemas dan tidak kemas, barangkali mengikut emosi Jim ketika menulis. Jim mencatat tarikh “1 Januari 2019” pada helaian terakhir catatan tangannya. Mungkin juga pada tarikh itu, hari terakhir Jim duduk di meja tulis ini. Meja tulisnya kemas. Objek mati juga perlu dilayan sebaik-baiknya, diletakkan pada tempat-tempat yang sepatutnya.

Ada bau yang terperangkap dalam bilik Jim, bau tubuh Jim. Tidak memualkan namun belum sampai sejam saya berada dalam bilik ini, ketakutan mencekik batang leher saya. Bau yang amat dekat di rongga hidung saya, seperti kulit saya dan kulit Jim bergeseran. 

Riko masih lagi baring mengamati saya. Susuk kematangan saya masih diamati Riko dan susuk kelemahan yang belum pernah dilihatnya sebelum ini – kegugupan saya yang bertambah apabila selesai membaca catatan tangan Jim.

Catatan tangan Jim saya catatkan dengan tangan gigil. Saya tidak mencatat kesemuanya kerana kegugupan yang bertambah.

1. Maya adalah sebuah rumah yang ada pintu masuk tetapi tidak ada pintu keluar. Tukang rumah lupa membina jendela yang ada dalam pelan rumah seorang pelukis pelan.

2. Maya seperti kelam malam; aku tersesat ke dalamnya dan memandang Maya seperti aku memandang cahaya pertama yang mencium telapak kaki. Aku bangun dari tilam nipisku dan kehidupan di luar bilikku diterangi cahaya yang menyala dalam tubuhku.

3. Maya adalah lagu yang tidak berlirik. Apabila aku mendengar lagunya yang menjelma dari tubuhnya; mengingatkan aku kepada debaran perasaan terperangkap dalam pusat membeli-belah waktu aku berusia tujuh tahun.

4. Maya adalah sebatang tubuh yang berantingkan fiksyen. Aku perlu menyiramnya agar tumbuh daun-daun cereka. 

***

Tubuh hangat Mel pagi ini adalah puisi. 

Dia memeluk saya dan berkata, “kau bukanlah cereka Maya tetapi sebuah puisi – ibarat rumah api untuk seseorang yang dalam kedinginan, kau menghangatkan penghuni dalam rumah itu” dan saya pula berada dalam kehangatan memori yang terlahir dari mulut Encik A malam kelmarin. 

Jelmaan Riko tidak lagi datang selepas saya keluar dari bilik Jim. 

Categories
BUDAYA RENCANA

Pisau, pemetik api dan seekor lipas

Oleh Nik Aidil Mehamad

 

Siang: “Matahari muncul, mengeringkan air mata yang membasahi langsir bilik”.

Katakan aku adalah pisau dalam laci almari di dapur. Aku adalah pisau yang melukakannya.

Luka di jari manisnya. Daging jarinya terhiris seperti dia menghiris bebola daging menjadi kepingan-kepingan nipis. Jarinya mengucurkan darah. Kesedaran kepada kesakitan luka itu tidak dirasainya.

Semangkuk soto untuk menu tengah hari kami. Tentunya dengan tambahan kepingan-kepingan bebola daging dalam soto.

Pisau di dapur menghiris jari manisnya lagi. Darah menitis-nitis dalam sinki seperti botol sirap sebelum kubaling ke dinding berada dalam genggaman tangan amarahku – menitis-nitis sirap pekat merah. Dia menahan pedih luka. Makan malam kami dibatalkan.

Ketika darah jari manisnya masih mengucur laju pada malam aku tiada di rumah. Panggilan telefon darinya kujawab. Suaranya gementar. Dia mengatakan kepadaku bahawa darah dalam tubuhnya berkurangan. Aku tidak percaya.

Telefon pintar terlucut dari genggaman tangannya. Kedengaran kepalanya terhantuk di bucu meja. Aku memanggilnya beberapa kali. Dia tidak lagi menjawab dan bunyi pancutan air akuarium dalam rumah kami masuk ke dalam corong telefon pintarku.

Jika dia masih tidak lupa, kejadian itu sering berlaku pada tahun pertama perkahwinan kami. Dia akan merengek meminta aku mencuci luka dengan iodin. Biarpun keghairahannya berada di dapur, memasak masakan yang selalu saja buat jiran sebelah kami lapar dengan tiba-tiba.

Sejak itu aku mengurangkan buku-buku fesyen dalam rumah dan melanggan lebih banyak buku masakan secara atas talian. Resipi masakan dunia yang kadangnya terasa agak aneh untuk lidah aku merasainya.

Pada pagi jerebu menggila, setelah agak lama aroma masakan tidak bertebaran dalam rumah ini. Dia mengejutkan aku lagi dengan kecelakaan baru. Apron putih susu yang melekat di badannya berlumuran dengan darah. Isteriku membelakangi Kanye West dalam kaca televisyen.

Kecelakaan baru pagi ini, katanya. Aku sambut kata-kata itu dengan merangkul tubuhnya. Tidak mungkin lagi aku dengar dari mulut doktor, “Tubuh isterimu kekurangan darah”. Badanku lemah apabila aku panik. Pemanduanku merosot apabila aku dalam kepanikan yang sarat di dalam dada.

Tiga puluh minit kemudian, selepas aku menekan butang merah pada skrin telefon pintar. Van ambulans datang dengan sirennya yang nyaring di hadapan rumah. Lantai mozek di bahagian dapur dan ruang televisyen berlumuran dengan darah. Bau hanyir darah bertebaran dalam rumah. Makan tengah hari kami ditunda hari itu.

Pemandu van ambulans panas hati denganku. Dia ingin maki aku pada mulanya, namun dia lupakan – rayuan aku dituruti. Van ambulans menuju ke sebuah restoran dan menunggu kami di hadapan restoran. Lampu siren tidak dimatikan. Cahaya siren menampar-nampar pipi kami yang berada dalam restoran ketika Maghrib baru lahir.

Kami menunggu pesanan sampai ke meja. Dia tidak lagi kepucatan. Darah di jari manisnya mula berhenti mengalir.

Ia menjeratku – seolah-olah aku adalah pisau di dapur yang selalu saja akan disimpannya dalam laci almari dapur selepas saja masakan siap terhidang di atas meja makan.

Malam: “Matahari menghilang, lipas dalam gerobok baju pun keluar berpesta”

Dia baling kasut tumit tujuh incinya ke arah lampu kalimantang dalam bilik.

Aku dan dia teraba-raba mencari pemetik api. Aku memarahinya berkali-kali dalam kegelapan. Kemarahan itu dibalasanya dengan dengusan nafas yang tidak putus-putus keras seperti dia diminta untuk sengaja membazirkan tenaganya untuk menggelapkan bilik ini.

Bilik tidur kami gelap dan emosi kami pelan-pelan padam.

Tololnya, aku lupa kali terakhir aku mengeceh pemetik api untuk sedutan rokok yang pertama malam ini. Dia memarahiku kerana aku lupa meletakkan pemetik api. Aku pula memarahinya kerana kasut hadiah ulang tahun perkahwinan dibalingnya untuk menggelapkan bilik ini.

Kami tidak pernah tidur dengan lampu tidur. Kami suka lena dalam gelap. Jika ada orang asing dalam bilik masuk seperti pencuri – kami tidak akan rasa takut kerana apa yang dilihat selalunya akan menambahkan ketakutan. Jadi kami biarkan lena kami dalam kegelapan.

Pada suatu malam, aku pura-pura dengkur kerana aku juga dengar apa yang dia dengar. Isteriku mendengar jejak kaki seseorang dalam bilik.

Dia menyiku perutku beberapa kali. Selimutnya ditarik membaluti seluruh tubuhnya. Juga kepalanya tenggelam dalam selimut seperti pocong. Aku jadi takut dengan isteriku pada waktu itu daripada susuk asing yang berlegar dalam bilik tidur kami.

Boleh jadi malaikat yang datang singgah bilik kami. Gampangnya bukan malaikat.

Dia bangun keesokan paginya dan menuju ke tandas dengan muka mamai. Isteriku sasau. Jeritannya menggegarkan apartmen kami. Aku terjaga dan bilik tidur kami sangat Zen – yang tinggal hanya tabung van Combi seramik kuning di atas meja solek.

“Awak ingat tak peristiwa malam pencuri mengosongkan bilik kita?” tanya aku kepadanya yang sedang duduk di hadapan meja solek.

“Saya tak lupa tetapi ada hal yang lagi penting untuk awak selesaikan malam ini, di mana awak letak pemetik api?” balasnya.

Seekor lipas merayap di pahaku. Masuk ke dalam pijama yang kupakai. Pijama sudah seminggu tidak dibasuh dan aku dapat rasakan lipas yang kupicit mengeluarkan jus – meleleh.