Categories
NASIONAL

Audit Negara Perlu Siasat Kontrak RM30.8 juta Kepada Anak Menteri

SHAH ALAM 21 JUN : PKR menggesa Jabatan Audit Negara menyiasat kontrak bernilai RM30.8 juta yang didakwa ditawar secara rundingan terus oleh Kementerian Belia dan Sukan kepada syarikat milik anak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek bagi membekalkan kelengkapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar Johor itu diberikan kepada Istijuara Sdn Bhd yang dimiliki oleh anak Raja Nong Chik, Raja Farhana Raja Nong Chik yang berusia 26 tahun.

“Ketua Audit Negara juga wajar mengesahkan keadaan peralatan yang dibekalkan oleh Istijuara kepada IKBN Bandar Penawar,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Nik Nazmi, jawapan Raja Nong Chik bahawa kontrak ini dianugerahkan sebelum beliau menjadi menteri tidak menjawab persoalan berkenaan kontrak dimeterai pada tahun 2010 itu ketika beliau sudahpun menjadi menteri.

“Pendedahan ini sendiri tidak dinafikan Raja Nong Chik apabila berhadapan dengan media baru-baru ini,” ujar Nik Nazmi.

Jelas Nik Nazmi, sewajarnya Raja Nong Chik boleh menjadi contoh kepada anggota kabinet yang lain dengan tampil ke hadapan bagi mengisytiharkan asetnya.

“Dengan ini beliau dapat memulihkan kewibawaan imej pimpinan Umno yang mendapat projek-projek kerajaan secara terus selama ini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Bina Kepercayaan Rakyat Untuk Laksana Perubahan

KUALA LUMPUR 9 JUN : Membina kepercayaan daripada rakyat merupakan aset penting bagi sesebuah kerajaan atau pemerintah untuk melaksanakan perubahan yang berkesan terhadap semua pihak.

Amanah itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu memberi ucapan dalam Majlis Perlancaran Buku ‘States of Reform’ hasil tulisan Tricia Yeoh di Central Market Annexe di sini pagi tadi.

“Jika sesebuah kepimpinan itu berkredibiliti dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat, maka kemajuan dan keharmonian akan berjalan seiring dan ini pastinya memberi manfaat kepada semua.

“Contohnya dapat dilihat di negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun terdapat pelbagai kekangan tetapi kita masih mampu melakukan pelbagai program untuk rakyat kerana kita komited dengan apa yang ingin kita lakukan biarpun terdapat halangan,” jelas beliau dihadapan kira-kira 100 tetamu.

Buku berkenaan merupakan kompilasi artikel tulisan Tricia yang membincangkan polisi dan program Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang sejak memerintah pada tahun 2008 yang lalu.

Buku terbitan Genta Media itu boleh didapati di mana-mana kedai buku dengan harga RM28 senaskah.

Selain kehadiran Abdul Khalid dan penulis buku Tricia Yeoh, majlis pagi tadi turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan reaksi pimpinan Kerajaan Umno-BN berhubung isu pembekuan PTPTN kepada pelajar Unisel baru-baru ini.

“Saya benar-benar kecewa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang memberi komen yang tidak wajar walaupun ia membabitkan isu pendidikan pelajar secara keseluruhannya.

“Pemimpin-pemimpin ini mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan mereka itu adalah untuk mengajar kita dalam isu pendidikan percuma tetapi ternyata apa yang mereka lakukan itu tidak matang dan bersifat dendam semata-mata serta sangat mendukacitakan,” ulas beliau.

Categories
NASIONAL

MB: Tubuh Jawatankuasa Bebas Selesai Isu Padang PKNS

SHAH ALAM 31 MEI : Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyelesaikan isu padang kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jawatankuasa itu akan diwakili panel bebas daripada kumpulan profesional.

Katanya, panel itu bukan terdiri daripada orang yang bekerja dengan Kerajaan Negeri atau negara bagi menyiasat percanggahan perkara itu.

Sebelum ini, isu terbabit dibangkitkan apabila padang PKNS di SS7 Kelana Jaya berhampiran dengan Lebuhraya Damansara Puchong itu ingin dimajukan oleh PKNS dengan projek komersial.

Hal itu menyebabkan penduduk membantah pembangunan itu kerana kawasan itu diwartakan sebagai kawasan hijau.

Bagaimanapun, semalam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan mengakui terdapat kesilapan cetak oleh MBPJ dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya(RTPJ2).

Oleh itu, Roslan memaklumkan pihaknya akan mengikut buku yang dicetak oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).

Malah, Roslan memutuskan kawasan itu kekal sebagai kawasan rekreasi.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri perlu mengadili perkara itu dengan adil sama ada ia benar atau tidak.

“Kalau ia disalah cetak, Kerajaan Negeri mesti mengadilinya dengan baik dan JPBD dan MBPJ mesti mengemukakan perkara-perkara yang menyebabkan terdapatnya perbezaan itu.

“Saya tidak akan menghalang sekiranya mana-mana pihak yang betul dan saya juga tidak akan membetulkan benda yang salah tetapi ia mesti dibawa ke pengadilan serta perkara ini perlu dikaji semula,” katanya ketika ditemui di Himpunan Pekerja Selangor di Kompleks Belia, Seksyen 7, di sini.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi peluang dan ruang kepada PKNS, JPBD dan MBPJ untuk menyelesaikan perkara itu.

Baru-baru ini, penduduk SS7 membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Putrajaya berikutan penemuan dua buah buku RTPJ2 yang mempunyai fakta berbeza tetang status tanah kompleks berkenaan.

Berhubung laporan itu, Abdul Khalid berkata penduduk boleh menghantar laporan itu kepada SPRM dan SPRM juga berhak untuk meneliti laporan itu.

“SPRM boleh melihat dan mencari perkara-perkara yang dianggap salah guna kuasa ataupun rasuah, saya juga sentiasa menggalakkannya dalam usaha kita membanteras rasuah dan salah guna kuasa dan maklumat yang diberikan itu adalah sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mahu isu itu disiasat oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Projek Wahyu”, Jual Tanah Rizab Melayu Gegar Dewan Negeri Selangor

ULASAN Sidang DUN kali ini melihatkan bukan sahaja lagi dedahan tentang salahlaku Umno-BN tetapi usaha pentadbiran Pakatan Rakyat yang baru untuk memperbaiki kelemahan dan ketirisan era sebelumnya.

Dua amalan yang menimbul banyak persoalan adalah amalan kerajaan Umno-BN yang menganugerahkan projek kerajaan secara rundingan terus dan penjualan tanah rizab Melayu.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pentadbiran Umno-BN telah membelanjakan RM759 juta dalam tempoh tiga tahun (2005-2007) dalam kontrak-kontrak yang dianugerahkan terus kepada syarikat tertentu.

Manakala kerajaan di bawah Pakatan Rakyat (PR) hari ini, hanya membelanjakan RM116.2 juta sahaja dalam empat tahun (2008-2011), suatu perbezaan yang amat ketara.

Tetapi ramai yang menyoal tentang kepentingan fakta tersebut dan apa makna dan kaitannya dengan kehidupan seharian orang ramai?

Ramai juga yang kurang faham dengan takrifan kontrak yang diberi secara rundingan terus berbanding yang diberi mengikut tender terbuka.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, rundingan terus mengundang pelbagai risiko yang mampu menyebabkan pihak pemberi projek mengalami kerugian.

“Rundingan terus akan menimbulkan risiko antaranya, ketirisan, pembaziran, terlebih pembayaran dan terbagi kontrak kepada syarikat yang tak layak atau tak berkemampuan.

“Semua risiko yang saya sebutkan tadi boleh berlaku berbanding tender terbuka.?

Di dalam proses tender terbuka, kerajaan akan menjemput syarikat untuk mengemukan cadangan bagi melaksana projek.

Setiap syarikat yang layak akan mengemukan permohonan yang lengkap tentang bagaimana ia akan menyiapkan projek termasuk kos yang akan ditanggung.

“Dalam cadangan itu juga kita dapat tahu jenis bahan dan berapa banyak bahan mentah yang terlibat, kita tahu berapa banyak yang kita kena belanja,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor pagi tadi.

Kata Azrul lagi, tender terbuka mengelakkan pembaziran dan amalan kroninisme.

“Kaedah terbaik yang boleh jamin ketelusan, akauntabiliti dan integriti hanyalah melalui tender terbuka.

“Kalau rundingan terus biasanya tentulah kroni atau pihak yang rapat dengan orang yang membuat keputusan biasanya akan dapat projek.

Pokoknya, tender terbuka dapat memastikan yang duit rakyat dimanfaatkan dengan berkesan dalam perlaksanaan projek.

Isu hak milik tanah rizab Melayu muncul di dalam perbahasan apabila ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali memberitahu sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN.

Tanah tersebut diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain.

Selain Azmin, ADUN Sri Muda Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan ADUN Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad turut mendedahkan salah laku berkaitan rizab Melayu yang dilakukan pentadbiran Umno-BN.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang lama bergelumang dengan  isu tanah rizab Melayu berkata Umno tidak pernah menjaga tanah milik komuniti itu.

“Semenjak bila Umno dah tak gadai tanah Melayu? Dari sebelum merdeka lagi sampai sekarang tanah milik orang Melayu semakin terhakis tetapi apa yang Umno buat. Jawabnya, tiada, sebabnya merekalah yang menggadainya.

“Umno gunakan isu Melayu untuk perangkap pihak lain tetapi mereka tak pernah pertahankan hak Melayu seperti tanah Melayu, tanah rizab Melayu dan saham-saham Melayu,” beliau berkata ketika dihubungi.

Belia mendakwa selama 54 tahun parti nasionalis Melayu itu memerintah Malaysia keluasan tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar berbanding 300 juta hektar pada awal kemerdekaan.

Bagaimanapun setelah Pakatan mengambil alih pentadbiran Negeri Abdul Khalid mengambil keputusan merampas kembali kesemua tanah rizab di parlimen Gombak yang diberi ke syarikat Triumph City Development Sdn Bhd.

Abdul Khalid juga menolak permohonan yang dibuat oleh Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada Lagi Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya  terdiri dari bukan bumiputera.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN Guna Taktik Kotor Tawan Selangor

SHAH ALAM 23 MAC : Barisan Nasional terutama Umno dilihat semakin resah gelisah dengan pencapaian cemerlang Kerajaan Negeri sehingga sanggup menjalankan taktik kotor bagi menawan semula negeri ini, demikian ujar Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Antara yang paling ‘ajaib’ menurut Nik Nazmi ialah pertukaran daftar pemilih yang ditukar tanpa pengetahuan pendaftar.

“Ada aduan yang saya terima daripada pemilih di Seri Setia yang namanya tiba-tiba ditukar ke Dun Damasara di bawah Parlimen Subang.

“Pendedahan sebelum ini juga melibatkan Menteri Besar kita yang berubah ke Parlimen Lembah Pantai, juga tanpa pengetahuannya,” jelas beliau.

Selain itu, beliau turut menambah, kejayaan Selangor cemerlang dengan gaya pentadbiran yang telus dan berpaksikan kebajikan kepada rakyat.

“Di Selangor kita ada Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang menyediakan pelbagai program yang menguntungkan rakyat yang dilancarkan hanya 100 hari selepas Pakatan Rakyat ditubuhkan di negeri ini.

“Perkara ini tidak pernah terbayang oleh pemimpin BN sebelum ini, malah mereka mengkritik kita. Tetapi akhirnya mereka mencontohi dan menciplak langkah yang kita jalankan seperti program Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BRIM),” jelas Nik Nazmi.

Bagaimanapun, beliau memberitahu pemberian gula-gula oleh BN itu hanya bersifat one-off tidak seperti program MES bawah Kerajaan Negeri yang berterusan.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mewujudkan Jawatankuasa Khas seperti SELCAT untuk menonjolkan sifat kebertanggungjawaban Kerajaan Pakatan terhadap rakyat,” kata Nik Nazmi.

Categories
NASIONAL

Azmin-Umno Pengkhianat Gadai Tanah Rizab Melayu

SHAH ALAM 23 MAC : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali hari ini mendedahkan kes kerakusan Umno-BN sebelum tahun 2008 dalam penjualan tanah rizab melayu di Sungai Sering.

Azmin dalam perbahasannya berkata sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN dan diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain.

Katanya, syarikat itu gagal membangunkan tanah berkenaan malah turut berdegil menjelaskan bayaran premium tanah biarpun status tanah itu telah ditukar.

Bagaimanapun setelah Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengambil keputusan untuk merampas kembali kesemua tanah itu dan mengembalikannya sebagai status tanah rizab melayu selepas meneliti kes itu.

“Ini membuktikan bahawa Umno-BN apabila diberi kuasa telah mengkhianati dan mencabuli kepentingan orang melayu di negeri Selangor,”katanya.

Pendedahan itu juga turut disokong oleh Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut mendedahkan permohonan Umno bahagian Puchong kepada Kerajaan Negeri untuk menjual tanah rizab melayu kepada syarikat bukan melayu.

Bagaimanapun permohonan pada tahun 2010 itu ditolak oleh Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jelas Azmin, perkara itu penting untuk didedahkan berserta fakta di DUN supaya rakyat tidak keliru kerana pihak Umno-BN hanya mendabik dada dan mendakwa mereka adalah pejuang melayu.

“Semua itu hanya sandiwara, apabila diberikan kuasa merekalah yang merampas hak orang melayu. Saya memohon Kerajaan Negeri memaklumkan terus kepada Sultan Selangor mengenai perkara ini,” katanya.

Tambahnya lagi, Umno-BN juga dalam menguruskan hal tanah rizab melayu seringkali dengan menukar tanah rizab dikawasan bandar dengan tanah dikawasan luar bandar yang bernilai jauh lebih rendah daripada harga tanah rizab yang asal.

“Hal ini menyebabkan tanah rizab melayu di Negeri Selangor susut nilai dan memberi impak kepada nilai aset orang Melayu. Inilah amalan khianat Umno kepada orang Melayu di Negeri Selangor ketika mentadbir negeri ini.

Tambahnya, PR berikrar akan terus menjaga hal dan kepentingan orang melayu tanpa mengorbankan kepentingan kaum lain.

“Kerajaan Pakatan Rakyat terbukti tidak menyalahgunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

“Oleh itu, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat merangka satu Pelan Strategik Pengurusan Tanah Rizab Melayu supaya dapat dibangunkan
secara tersusun dan dipelihara supaya terus mengekalkan status tanah demi kepentingan generasi masa depan,”katanya.