Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dasar lulus 100 hari mesra pelabur, raih nilai pembangunan RM216 juta

SHAH ALAM, 3 DIS: Dasar Kelulusan 100 Hari dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak Januari lalu berjaya menarik nilai pembangunan RM216 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata dasar berkaitan proses kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah yang dikurangkan kepada 100 hari berbanding 270 hari itu dilihat lebih mesra pelabur.

“Sebelum itu, tempoh diguna pakai menyebabkan pelabur terpaksa menunggu selama enam hingga sembilan bulan untuk mendapatkan kelulusan.

“Namun sejak dasar ini diperkenalkan, permohonan projek telah diluluskan dengan nilai pembangunan mencecah RM216 juta. Hal ini merupakan satu perkembangan dan petanda sangat baik,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata dasar tersebut akan diteruskan serta ditambah baik untuk merancakkan pembangunan serta pemulihan sektor ekonomi sepanjang pasca Covid-19.

“Kita yakin pelabur gemar dengan dasar mesra pelabur diamalkan Kerajaan Negeri dan pada masa sama memberi kesan pembangunan sosioekonomi positif kepada rakyat,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Kerajaan Negeri menguat kuasa serta merta Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah membabitkan kebenaran merancang (KM), pelan bangunan (PB) dan pelan infrastruktur (PI).

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.