Categories
AGENDA GLOBAL

Wartawan Filipina, Rusia menang hadiah Nobel Keamanan

SHAH ALAM, 8 OKT: Dua wartawan dari Filipina dan Rusia menerima anugerah Nobel Keamanan kerana memperjuangkan keberanian dengan mempertahankan kebebasan bersuara di negara masing-masing.

Maria Ressa dan Dmitry Muratov yang digelar “wakil semua wartawan yang memperjuangkan ideal tersebut” memenangi hadiah bernilai 10 juta krona Sweden (RM4,768,784), lapor BBC News.

Maria yang merupakan pengasas bersama portal berita Rappler dipuji apabila mendedahkan penyalahgunaan kuasa, penggunaan kekerasan dan peningkatan autoritarianisme di negara asalnya.

Manakala Dmitry yang juga pengasas bersama dan editor akhbar bebas Novaja Gazeta mempertahankan kebebasan bersuara di Rusia dalam keadaan yang mencabar selama beberapa dekad.

“Kewartawanan bebas dan berdasarkan fakta berfungsi untuk melindungi daripada penyalahgunaan kuasa, penipuan dan propaganda perang,” kata jawatankuasa pertandingan yang memilih kedua pemenang itu daripada 329 calon.