Categories
SELANGOR

Kenangan berbuka puasa dengan Allahyarham Awie

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JUN: Mengimbau kembali kenangan berpuasa semasa hayat Allahyarham Noor Azmawi Abdul Aziz menyebabkan bapanya, Abdul Aziz Sufaat, 73, sebak dan tidak dapat meneruskan kata-kata.

Bagi beliau, pemergian Noor Azmawi atau lebih mesra dengan panggilan Awie itu masih dirasai mereka sekeluarga terutama menjelang Ramadan.

“Kami sekeluarga masih sedih. Kalau sebelum ini setiap awal Ramadan dia akan berbuka puasa bersama tetapi sekarang…,” kata Abdul Aziz kepada Selangor Kini.

MB Lawatrumah arwah Noor Azmawi Aziz di Sungai Ramal (5)Allahyarham Noor Azmawi adalah Pengurus Kanan Perhubungan Pelabur di Pusat Pelaburan Negeri Selangor Berhad (SSIC) atau kini dikenali dengan Invest Selangor Bhd.

Allahyarham mula bertugas di SSIC sejak 15 tahun lalu dan bertanggungjawab merangka pelan sebelum dikemukakan kepada Menteri Besar bagi memastikan negeri itu mampu menarik pelaburan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham menyifatkan pemergian itu bukan sahaja dirasai ahli keluarganya tetapi seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dalam kalangan rakan sekerja, Allahyarham dianggap sebagai seorang yang sangat kuat berkerja, disenangi dan memiliki sikap tidak suka menunjuk.

MB Lawatrumah arwah Noor Azmawi Aziz di Sungai Ramal (9)Sikap merendah diri Allahyarham dapat dilihat apabila keluarganya sendiri cuma mengetahui beliau adalah individu penting dalam Kerajaan Negeri selepas mendapati ramai orang kenamaan menziarahinya ketika terlantar di hospital.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira jam 9.00 malam, pada 6 April lalu selepas menjalani pembedahan.

Beliau berumur 44 tahun, meninggalkan seorang isteri, dua putera dan dua puteri, bahkan anak bongsunya baru berusia dua bulan setengah.

-NFN-