Categories
AGENSI SELANGOR

Kilang minuman lepaskan sisa industri melebihi had didenda RM76,000

SHAH ALAM, 25 JAN: Sebuah kilang minuman yang beroperasi di bandar raya ini didenda RM76,000 kerana didapati bersalah melepaskan enfluen perindustrian melebih had ke longkang awam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berkata keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rasyihah Ghazali selepas pengarahnya mengaku bersalah.

“Kilang itu dituduh melakukan kesalahan pada 31 Disember 2020 mengikut Seksyen 16(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 10(3) Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2009 akta yang sama.

“Berdasarkan fakta kes, kilang itu melepaskan parameter keperluan oksigen kimia (BOD), keperluan oksigen kimia (COD) dan pepejal terampai pekat melebihi had dibenarkan,” kata Nor Aziah Jaafar menerusi kenyataan.

Jelasnya, kilang itu turut dituduh menjalankan operasi sistem rawatan efluen perindustrian tanpa orang yang berwibawa.

“JAS tidak akn berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan sentiasa mengambil tindakan tegas,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Syarikat kitar sisa pepejal plastik tanpa kebenaran JAS didenda RM60,000

SHAH ALAM, 21 JAN: Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini, selepas didapati menjalankan aktiviti membina serta mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata syarikat itu didakwa menjalankan aktiviti tanpa mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diluluskan.

“Syarikat itu juga gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS mengenai pemasangan peralatan yang menjadi punca pengeluaran pencemar udara.

“Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan kepadanya,” katanya menerusi kenyataan.

Nor Aziah berkata syarikat itu dituduh melakukan dua kesalahan pada 11 Ogos 2020 di sebuah premis di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

“Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 akta yang sama,” katanya.

Katanya, membina dan menjalankan aktiviti mengitar sisa pepejal plastik termasuk dalam Jadual Pertama Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 di mana laporan EIA perlu dikemukakan dan diluluskan terlebih dulu oleh JAS.

“Terima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Laporan mengenai aktiviti pencemaran alam sekitar boleh terus dibuat di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my ,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kilang sarung tangan getah cemar longkang awam ditutup

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah kilang sarung tangan getah yang dibenarkan beroperasi dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh diarah tutup selepas dikesan melepaskan sisa buangannya ke longkang awam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata dalam pemeriksaan di premis di Beranang, Hulu Langat itu pihaknya mendapati air cucian dan bilasan bahan berkaitan bercampur asid telah dibuang ke saliran berhampiran tanpa dirawat.

“Kilang itu sepatutnya merawat sisa tersebut mengikut Sistem Pengolahan Efluen tetapi tidak melakukannya dan ini boleh menyebabkan risiko pencemaran di punca rawatan air untuk kegunaan ramai.

“Pemeriksaan juga mendapati premis berkaitan tidak mempunyai sistem rawatan air yang wajib dibangunkan sebelum dibenarkan beroperasi,” kata Nor Aziah Jaafar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyita peralatan di kilang itu dan sudah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menyiasat dari aspek pelesenan.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atas pelbagai kesalahan antaranya tidak merawat sisa kilang dan tiada sistem rawatan,” katanya.

Beliau berkata JAS Selangor akan meneruskan pemeriksaan di kilang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP menyeluruh bagi memastikannya mengikut peraturan dan tidak menyebabkan pencemaran.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

JAS Selangor patahkan cubaan seludup lapan kontena e-sisa

SHAH ALAM, 18 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk lapan kontena berisi barangan buangan elektrik dan elektronik terpakai (e-sisa) di Pelabuhan Barat dekat sini hari ini.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata serbuan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menemukan barangan elektrik dan elektronik terpakai seberat kira-kira 145.1 tan yang dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari tadi kami telah menemukan papan litar tercetak dan mesin pencetak terpakai yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik terpakai seberat 147,147 kilogram dan dipercayai dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Siasatan awal mendapati barangan buangan ini diimport dari Amerika Syarikat dan Hong Kong tanpa kelulusan JAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata kesemua barangan buangan itu dipercayai akan dibawa ke beberapa premis di Lembah Klang untuk dilebur bagi mendapatkan logam berharga seperti timah dan tembaga bagi pasaran tempatan.

“Kita telah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvesyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya Dan Pelupusan,” katanya.

Beliau berkata JAS Selangor terus komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing.

– BERNAMA