Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Jalan Raya Umno-BN Menyusahkan Peniaga di Semenyih

 

SEMENYIH, 3 SEPT: Projek penurapan jalanraya Kerajaan Umno-BN di sebuah kampung di sini menyusahkan penduduk apabila kedai mereka sering dimasuki air setiap kali ia hujan.

Peniaga dan pemilik kedai Kampung Sungai Jai, Beranang, mendakwa mereka terpaksa membersihkan kedai daripada air yang mengalir masuk daripada jalan tersebut yang berhadapan premis mereka.

Projek menaiktaraf laluan alternatif bagi Kuala Lumpur – Seremban itu didakwa diuruskan pejabat DUN Semenyih bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.

MP Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat berkata, banjir ini disebabkan keadaan jalan baru ini terlalu tinggi serta ketiadaan longkang bagi mengalirkan air daripada masuk ke kedai-kedai berhampiran.

“Jalan ini diturap setinggi hampir enam inci tetapi longkang yang sepatutnya penting bagi mengalirkan air terutama ketika hujan tidak dibina,” katanya ketika meninjau keadaan jalan di sini hari ini.

Tambahnya, penduduk di kawasan Beranang menghargai jalan yang diturap serta lampu isyarat baru namun biarlah ia dalam keadaan sempurna tanpa menyusahkan mana-mana pihak.

Seorang peniaga kedai gambar, Wan Mohd Zambri Wan Husin, mengadu kedainya sering dimasuki air sejak jalan ini siap diturap bulan lalu dan ianya menyusahkan urusan perniagaannya.

“Apabila datang musim hujan, saya terpaksa membersihkan kedai setiap hari kerana dimasuki air dan ianya benar-benar merumitkan saya,” katanya ketika ditemui.

Bagi peniaga kedai gunting rambut Sivarajan Muniandy, JKR sudah berjanji akan membina longkang di depan kedai-tersebut.

“Jurutera JKR ada berjumpa saya dan mereka berjanji untuk membina longkang bagi mengatasi masalah banjir tetapi tiada apa-apa perkembangan sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Dr. Che Rosli berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JKR untuk melihat pelan projek seterusnya mengatasi masalah ini.

Turut hadir ketika tinjauan dilakukan adalah Ketua Kampung Sungai Jai, Beranang, Mat Asnawi Mat Daud dan Penyelaras DUN Semenyih, Nor Azlan Mohamad.

Pekan Semenyih Perlu Lampu Jalan

SEMENYIH 7 MAC : Ketiadaan lampu jalan di sepanjang laluan utama pekan ini menimbulkan kebimbangan dari segi soal keselamatan pengguna selain kejadian jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat pelbagai usaha dilakukan pihaknya dan DUN untuk memohon lampu jalan namun kesemuanya tidak berhasil.

“Alasan yang kita terima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ialah tiada permohonan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi buat masa ini kita cuma bergantung harap pada lampu-lampu kedai sekitar sini dan juga lampu masjid. Namun sampai waktu tertentu keadaan menjadi gelap gelita bilamana kesemua lampu ini tadi sudah tertutup,” jelas Dr Che Rosli.

Sementara itu, Penyelaras DUN, Nor Azlan Mohamad berkata, keadaan gelap di sini ketika malam menyebabkan banyak kemalangan jalan raya dan ada antaranya kemalangan maut.

“Selain itu, kita juga risau keadaan gelap begini memberi ruang kepada kejadian jenayah yang berleluasa,” ujar Nor Azlan yang ditemui ketika tinjauan lokasi di sepanjang jalan utama sepanjang kira-kira 3 kilometer itu.

Bagi Fazil Zakaria ,40, penduduk dari Kampung Sungai Macang berkata, pekan ini sudah lama wujud dan kini laluan ini semakin sibuk. Jadi lampu jalan itu sepatutnya diadakan.

“Terutama waktu pagi penduduk keluar untuk bekerja, ibubapa hantar anak ke sekolah, keadaan yang gelap memang mampu mengundang bahaya,” beritahu Fazil.