Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan inkues Nora Anne 4 Januari – peguam

SEREMBAN, 24 DIS: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 4 Januari tahun hadapan sebagai tarikh bagi keputusan inkues remaja perempuan Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin.

Perkara itu dimaklumkan peguam S Sakthyvell yang mewakili keluarga Nora Anne, kepada Bernama di sini hari ini.

“Keputusan dijangka diumumkan pada 10 pagi di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban,” katanya ketika dihubungi.

Pada 10 Disember lepas yang merupakan hari terakhir prosiding inkues, Koroner Maimoonah Aid menetapkan keputusan inkues remaja perempuan itu akan diketahui pada 31 Disember ini atau 4 Januari tahun hadapan.

Prosiding inkues kes kematian remaja perempuan yang dijalankan sejak 24 Ogos hingga 10 Disember lepas itu membabitkan 47 saksi termasuk ibu bapa remaja berkenaan, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin.

Ia turut disiarkan secara langsung dalam talian melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook ‘The Malaysian Judiciary’ serta dikendalikan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Pada prosiding itu, Muhamad Iskandar Ahmad dan Ahmad Sazali Omar mengetuai barisan Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali inkues bersama tiga yang lain iaitu Nuralis Mat, Nurhafizah Haron dan Nur’atiqah Sapari.

Peguam Sakthyvell pula mengetuai barisan peguam keluarga bersama Louise Azmi dan Lydia Ng Huey Mei manakala The Dusun Resort diwakili peguam Alliff Benjamin Suhaimi dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas Nora Anne dilaporkan hilang, mayatnya ditemukan berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan yang didiami dia dan keluarganya, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues Nora Anne bermula hari ini

SEREMBAN, 24 OGOS: Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, akan didengar di Mahkamah Koroner di Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini.

Prosiding berkenaan akan dijalankan dihadapan Koroner Maimoonah Aid, bermula pukul 9 pagi.

Bagi perjalanan inkues, mahkamah menetapkan hanya sembilan wartawan dibenarkan berada di dalam galeri awam untuk mengikuti dan membuat liputan kes berkenaan setelah mengambil kira faktor penjarakan fizikal yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Wakil media tempatan dari pelbagai agensi dilihat mula berkumpul di pekarangan mahkamah seawal 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Turut kelihatan ialah Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Nor Marzukee Besar.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat lepas dipetik sebagai berkata Badan Kehakiman Malaysia akan menyiarkan prosiding berkenaan secara langsung di portal rasmi dan media sosial rasmi badan berkenaan dan orang ramai boleh menyaksikannya, mulai 9 pagi.

Prosiding berkenaan akan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini sehingga 28 Ogos dan bersambung pada 1 hingga 4 Sept dengan seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 13 Ogos lepas, Koroner Maimoonah bersama beberapa pihak berkepentingan dalam kes berkenaan meluangkan masa selama tiga jam melawat lokasi kejadian untuk melihat secara terperinci bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kejadian itu.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, kira-kira 60 kilometer (km) di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne, ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km dari resort penginapannya bersama keluarga pada 13 Ogos tahun lepas, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan.

Laporan awal bedah siasat menyatakan, kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus, yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan bedah siasat Nora Anne dalam masa terdekat

NILAI, 12 JAN: Laporan lengkap bedah siasat remaja Ireland Nora Anne Quoirin akan diperolehi dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada pasukan patologi sebelum pihak polis mengemukakannya kepada Pejabat Peguam Negara.

“Laporan penuh kita jangka dalam masa terdekat akan kita peroleh daripada (pasukan) patologi, lain-lain laporan tiada,” katanya kepada Bernama selepas perasmian penutup Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negeri Sembilan 2020 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman dan Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar.

Katanya berdasarkan laporan awal yang telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, setakat ini kes berkenaan dikategorikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Nora Anne yang berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos tahun lalu, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari ekoresort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Sementara itu, dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban memperoleh kemenangan ke atas pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1.

IPD Seremban membawa pulang piala pusingan Ketua Polis Negeri Sembilan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Nora Anne: Pejabat AG putuskan kes NFA

SEREMBAN, 8 JAN: Pejabat Peguam Negara sebelum ini memutuskan bahawa kes remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, yang ditemui mati selepas dilaporkan hilang dari vila penginapan keluarganya di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini, Ogos tahun lepas, sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memberitahu media bahawa ia berdasarkan laporan yang telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara berkaitan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“(Laporan) SDR itu telah kita hantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya berdasarkan (kepada) statement patologi yang telah kita rakam dan berdasarkan sijil kematian cause of death Nora Anne, yang menyatakan (kematiannya adalah) kerana disebabkan kebocoran pada usus.

“Pihak Peguam Negara telah memutuskan pada ketika itu kes ini telah di NFA. (Pasukan) patologi saya percaya dalam preparation untuk menghantar secara rasmi laporan (lengkap) post mortem,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Pada 17 Disember lepas, ibu bapa Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, 45, dan Sebastian Marie Philipe, 47, dilapor sebagai berkata kehilangan anak mereka pada Ogos lepas didakwa mempunyai unsur jenayah.

Mengenai tindakan saman sivil yang diambil keluarga berkenaan ke atas resort itu, Huzir menegaskan bahawa ia perkara melibatkan keluarga terbabit dengan resort berkenaan.

“Saya ingin menegaskan di sini, pihak Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bahagian Antarabangsa juga ada berhubung dengan keluarga mangsa dan peguam keluarga di UK (United Kingdom),” katanya.

Nora Anne berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos tahun lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km dari eko-resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi bawa keluarga Nora Anne jumpa kumpulan agama

SEREMBAN, 19 OGOS: Polis hari ini menafikan laporan media antarabangsa kononnya pihaknya telah membawa ibu bapa Nora Anne Quoirin, berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland itu dijalankan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pegawai untuk berbuat demikian.

“Tiada keperluan pun (untuk berbuat sedemikian),” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di sini, hari ini.

Media antarabangsa Daily Mail United Kingdom dalam laporannya hari ini melaporkan bahawa polis telah membawa ibu bapa Nora Anne, 15, untuk berjumpa dengan kumpulan agama selepas menemui jalan buntu dan tertekan selepas beberapa hari SAR dijalankan.

Laporan itu mendakwa ia dilakukan pada Isnin minggu lepas iaitu sehari sebelum mayat Nora Anne ditemui.

Nora Anne, bersama-sama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 3 Ogos, sehari sebelum kehilangannya.

Mayat Nora Anne, gadis istimewa itu ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran dijalankan sejak 4 Ogos lepas.

Laporan bedah siasat pada Khamis lepas mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Keluarga Nora Anne menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada Jumaat selepas proses dokumentasi selesai.

Sementara itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa keluarga Nora Anne telah pun keluar daripada resort penginapan mereka di Pantai, dekat sini pada Sabtu lepas dan telah meninggalkan negara ini untuk pulang ke negara mereka.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Kematian Nora Anne akibat kebocoran usus

SEREMBAN, 15 OGOS: Remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang ditemui mati pada 13 Ogos lalu, disahkan meninggal dunia ekoran kebocoran pada usus mungkin kerana ketiadaan makanan dalam tempoh yang lama dan stres berpanjangan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, hasil bedah siasat mendapati Nora Anne, meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai.

“Hasil bedah siasat dijalankan mendapati remaja itu mati ekoran kebocoran usus mungkin akibat stres berpanjangan dan tiada makanan dalam tempoh yang panjang,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Sementara itu, menurut laporan BH Online, Mohamad berkata, terdapat kesan calar kecil pada kaki Nora Anne, tetapi ia tidak menjurus kepada kematiannya.

“Mangsa dipercayai mati dua sehingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui dan tidak lebih daripada empat hari. Hasil bedah siasat juga mendapati tiada kesan dirogol. Tiada juga elemen dilarikan atau diculik,” katanya.

Katanya, beberapa sampel daripada tubuh Nora Anne diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Mengulas berhubung pejabat pendakwa raya Perancis yang membuka siasatan jenayah terhadap kes Nora Anne, beliau memaklumkan tidak mengetahui perkara itu.

Pada masa sama, Mohamad berkata, keluarga dibenarkan mengambil mayat Nora Anne yang kini masih berada di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, pada bila-bila masa.

Namun, katanya, setakat ini keluarga mangsa masih belum membuat sebarang persiapan.

Mayat Nora Anne, 15, ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian dua minggu dekat sini.

Proses bedah siasat mayat Nora Anne bermula 11.45 pagi semalam dan berlarutan sehingga malam tadi, diketuai pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dibantu pakar dari Jabatan Kimia, dan Jabatan Forensik Petaling Jaya.

Categories
AGENDA NASIONAL

AG akan tentukan sama ada perlu inkues kematian Nora Anne

SEREMBAN, 14 OGOS: Hasil laporan bedah siasat mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan inkues.

Peguam yang mewakili keluarga Nora Anne, Sankara Nair berkata, ia adalah prosedur biasa yang perlu dilakukan dan Peguam Negara akan menentukan tindakan lanjut.

“Secara prosedur apa yang akan berlaku ialah satu salinan laporan bedah siasat akan diserah kepada pejabat AG (Peguam Negara) dan terserah kepada AG membuat keputusan atau mengarahkan tentang keperluan mengadaka inkues.

“Biasanya kematian secara mengejut seperti ini akan membawa kepada inkues tetapi sekali lagi ia bergantung kepada bukti yang dibentangkan dalam laporan bedah siasat dan siasatan lain oleh polis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya kehadiran keluarga Nora Anne di Jabatan Perubatan Forensik HTJ pagi ini, Sankara berkata ia bertujuan mengesahkan identiti mayat itu sekali lagi sebelum bedah siasat dimulakan.

Mengulas mengenai keadaan keluarga Nora Anne, Sankara berkata setakat ini keluarga masih berada dalam keadaan trauma dan bersedih.

“Kami belum membincangkan rancangan seterusnya … Saya rasa mereka masih menimbangkan tindakan seterusnya dan mereka masih bersedih dan saya fikir ia belum ada dalam fikiran mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata proses bedah siasat mayat Nora Anne akan mengambil masa lebih 3 jam.

Semalam, mayat wanita berkulit cerah ditemui pada 1.57 tengah hari dan disahkan anggota keluarganya sebagai Nora Anne, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort, di Pantai, Seremban awal bulan ini.

Nora Anne,15, bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada pukul 8 pagi hari berikutnya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Polis buka talian hotline khas salur maklumat Nora Anne

NILAI, 11 OGOS: Polis hari ini membuka talian hotline khas bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang dari sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, talian itu dikendalikan bilik gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Balai Polis Pantai, Seremban dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian itu di nombor 0111-2285058.

Berhubung perkembangan operasi SAR, beliau berkata setakat ini pihaknya memeriksa kira-kira 30 rumah di sekitar resort berkenaan sebagai sebahagian daripada operasi. 

Katanya, sebelum ini pihaknya tidak pernah menerima kes orang hilang di mana-mana resort di kawasan itu dan kes Nora Anne adaah pertama sejak resort berkenaan beroperasi.

“Sepanjang tempoh 10 tahun, di kawasan ini tidak pernah ada masalah orang hilang yang dilaporkan, tetapi orang sesat ada di Gunung Berembun,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pantai, Seremban hari ini. 
 
Sementara itu, Mohamad berkata Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz hari ini turut berkenan mencemar duli bertemu petugas operasi SAR yang bertugas pada Hari Raya Aidiladha. 

Operasi bagi mengesan Nora Anne yang memasuki hari kelapan hari ini membabitkan 296 anggota. 

Terdahulu, Mohamad berkata polis tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana pengusaha resort di Pantai supaya menghentikan sementara aktiviti rekreasi luar seperti mendaki Gunung Berembun.

“Malah kita galak orang pergi ke bukit (gunung) Berembun, kalau mereka pergi…mereka terjumpa (petunjuk kehilangan mangsa), ia membantu (operasi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan jurucakap beberapa resort di kawasan itu yang mendakwa menerima arahan daripada pihak berkuasa supaya menghentikan sementara aktiviti rekreasi seperti mendaki gunung dan ‘jungle trekking’ buat pelancong yang menginap.

Mohamad berkata selain skala pencarian yang kini tertumpu di empat kilometer radius dari lokasi kejadian, polis juga bercadang untuk pergi ke kawasan gunung berkenaan namun belum dimuktamadkan.

Pemerhatian Bernama turut mendapati pergerakan keluar masuk kenderaan yang membawa pelancong ke resort berhampiran juga tidak putus-putus, sejak Isnin lalu.

Mereka turut singgah ke khemah petugas untuk bertemu anggota keselamatan dan media bagi menzahirkan simpati terhadap keluarga Nora Anne serta turut berminat untuk mengetahui perkembangan semasa operasi SAR berkenaan.

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi , 4 Ogos lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga Nora Anne ucap terima kasih kepada pasukan SAR

NILAI, 10 OGOS: Selepas seminggu berdiam diri, keluarga remaja perempuan berdarah campuran Perancis-Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akhirnya tampil untuk menyatakan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR), pada satu pertemuan di resort berkenaan, hari ini.

Video singkat dikongsi polis pagi ini menunjukkan ibu Nora, Meabh Jaseprine Quoirin yang diiringi suami, Sebastian Marie Philipe, membuat satu kenyataan ringkas.

Video berdurasi satu minit itu menunjukkan ibu Nora dengan genangan air mata menyatakan penghargaan kepada pasukan SAR yang bertungkus lumus mencari anaknya sejak hari dia dilaporkan hilang.

“Selamat pagi semua. Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap anda, kami mengetahui anda mencari Nora siang dan malam.

“Kami melihat anda bekerja kuat, juga berdoa untuk kami, bersama-sama kami. Kami tahu anda mengorbankan masa terutama menjelang perayaan istimewa ini (Aidiladha) untuk bersama-sama kami di sini, ia sangat bermakna kepada kami.

“Kami amat bersyukur atas setiap yang anda lakukan untuk kami, untuk semua orang di sini dan semua orang yang membantu dan tidak berada di sini,” katanya.

Difahamkan perjumpaan dengan pasukan operasi SAR itu diadakan di resort berkenaan. Video itu dirakamkan oleh polis dan dikongsi dengan media.

Operasi SAR memasuki hari ketujuh hari ini, yang diperkuatkan dengan pembabitan unit khas Polis Diraja Malaysia, komando VAT 69 dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) meneruskan usaha mencari remaja berkenaan.

Nora Anne tiba di resort berkenaan dari London pada 3 Ogos lalu untuk percutian selama dua minggu.

Remaja berkeperluan khas itu didapati hilang dari biliknya pada 8 pagi hari berikutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakaman suara keluarga bantu usaha jejaki Nora Anne

NILAI, 8 OGOS: Rakaman suara ahli keluarga rapat Nora Anne Quoirin akan dibuat bagi membantu mengesan remaja Ireland yang hilang ketika bercuti bersama keluarga di resort The Dusun, Pantai di sini, pada 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata, rakaman suara yang memuat naik nama panggilan manja Nora Anne oleh ahli keluarganya itu akan dimainkan melalui pembesar suara sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Usaha itu adalah strategi pihak berkuasa dalam usaha operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari kelima hari ini yang diketuai Unit Senoi Praaq.

“Hari ini pegawai perhubungan kami akan bertemu keluarga mangsa dan menemu bual mereka untuk kami dapatkan suara siapa yang lebih rapat dengan Nora Anne.

“Selain daripada memainkan rakaman suara itu, anggota operasi juga akan memanggil nama Nora Anne sepanjang operasi…mungkin jeritan atau panggilan nama ini akan kejutkan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nor Marzukee meminta pihak yang memaklumkan ternampak Nora Anne bermain di persisiran sungai berhampiran kandang rusa di sini tampil untuk memberi maklumat.

“Semalam, pencarian turut meliputi kandang rusa dan persisiran sungai yang dikatakan Nora Anne ada bermain di situ. Kami gerak ke lokasi itu tapi tiada petunjuk dan hari ini kami akan ke kawasan sama untuk ulangi pencarian dengan lebih teliti,” katanya.

Polis katanya turut mengalu-alukan sebarang maklumat, cadangan termasuk usaha alternatif mengikut kepercayaan agama masing-masing bagi membantu usaha pencarian remaja berkenaan.

Beliau berkata operasi hari ini yang melibatkan 247 anggota turut dibantu helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang ditambah dengan teknologi lebih canggih bagi tinjauan melalui udara selain penggunaan alat dron.

Pada 4 Ogos lalu, gadis Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba bersama ibu bapanya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya, pada 8 pagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi jejak Nora Anne tumpu di kawasan sungai

NILAI, 6 OGOS: Pencarian Nora Anne Quoirin, 15, yang masuk hari ketiga hari ini diteruskan secara bersepadu dengan tumpuan di kawasan lereng bukit dan sungai.

Polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta penduduk setempat menggembeleng usaha mencari remaja Ireland itu yang hilang ketika bercuti bersama keluarganya di negara ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof berkata, semua unit polis digerakkan termasuk Unit Anjing Pengesan dan Unit Senoi Praaq bermula 7.30 pagi membabitkan kekuatan 178 anggota.

Tumpuan pencarian masih di sekitar kawasan sekeliling resort berkenaan seluas empat hektar (12 ekar) dan dipecahkan kepada empat sektor.

Pencarian turut dibuat melalui tinjauan dari udara.

“Kami rasa tempat di atas (bukit) kami dah cuba cari banyak kali dan kalau secara logiknya, dia (mangsa) tidak akan naik lagi dan cuba turun ke kaki bukit mencari air.

“Jadi mulai petang ini dan sehingga malam, kami akan beri fokus kepada kawasan sungai di bawah. Setakat ini tiada maklumat yang tepat yang kami dapat dan setakat pukul 5 ini, keputusan negatif,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad berkata, anjing pengesan yang digunakan dalam operasi itu juga hanya dapat menjejaki bau mangsa pada hari pertama operasi dan sejauh 100 meter dari chalet yang diduduki remaja itu.

“Pada hari berikutnya, bau semakin lama semakin hilang. Kami percaya Nora Anne masih berada di kawasan sekitar,” katanya.

Mohamad berkata pihaknya masih mengklasfikasi kes kehilangan Nora Anne itu sebagai orang hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata PDRM telah melakukan empat kali tinjauan udara sepanjang operasi pencarian dilakukan bermula pukul 9 pagi.

“Selain pencarian di darat, kami juga menggunakan helikopter bagi pemantauan daripada udara,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dalam kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi sebarang berita tidak benar berhubung kehilangan remaja itu.

Katanya, ia demi menjaga sensitiviti keluarga dan bagi mengelak spekulasi yang boleh menjejaskan usaha pencarian.

-BERNAMA