SHAH ALAM, 12 JAN: Noraini Roslan mengangkat sumpah jawatan sebagai yang dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang baharu hari ini.
Majlis pengakuan menerima jawatan itu berlangsung di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi MPK.
Usai angkat sumpah, Noraini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Taksiran Bil.1 2022.
Mesyuarat turut dihadiri sebahagian ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan ketua jabatan secara dalam talian.

Mantan Datuk Bandar Subang Jaya itu menggantikan Dr Ahmad Fadzli Tajuddin yang dilantik sebagai pegawai kewangan negeri berkuat kuasa 16 Disember tahun lalu.
Untuk rekod, sebelum berkhidmat di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini, 58, pernah menyandang yang dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang kini berstatus perbandaran dari 2011 hingga 2017.
Pemegang Sarjana Perancangan Wilayah dari Universiti North Carolina, Amerika Syarikat juga pernah berkhidmat sebagai ketua jabatan perancangan bandar di MPK dari 1989 hingga 2010 dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dari 2010 hingga 2011.