Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Hujan lebat punca air naik di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 24 JAN: Longkang tersumbat menjadi punca air bertakung di beberapa kawasan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini berikutan hujan lebat sejak 4 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata keadaan paras air yang naik itu bagaimanapun mulai surut kira-kira 5 petang tadi.

“Tiada laporan (banjir) yang diterima, pihak Bomba dan Penyelamat Shah Alam juga turun ke lokasi berisiko tinggi untuk banjir bagi meninjau. Setakat ini tiada laporan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, keadaan terkini setakat 6 petang, keadaan rumah bersebelahan Sungai Klang di Jalan Masyhur 25/50 Taman Sri Muda Seksyen 25 di sini terkawal dan tiada siren amaran banjir kedengaran selepas hujan sejak 4 petang hingga kini.

Antara jalan utama seperti Persiaran Budiman serta Bulatan Budiman berhampiran kawasan jambatan di Taman Sri Muda Seksyen 25 yang terkesan teruk akibat banjir pada 19 Disember lepas masih dapat dilalui oleh kenderaan dan pihak polis kelihatan melakukan rondaan bagi memastikan keadaan selamat serta terkawal.

Beberapa penduduk Taman Sri Muda juga kelihatan mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan kenderaan mereka di atas jambatan tersebut.

Mengikut statistik polis, banjir yang bermula 18 Disember lepas merekodkan jumlah kematian tertinggi di Selangor iaitu 25 orang termasuk 12 orang di Taman Sri Muda.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Anggota bomba cedera ketika operasi padam kebakaran

SHAH ALAM, 6 JAN: Seorang anggota bomba cedera selepas simen konkrit jatuh menimpanya ketika sedang memadamkan kebakaran sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22 di sini petang semalam.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata kejadian pada jam 4.45 petang itu menyebabkan Yunuslie Julius, 28, cedera di bahagian tengkuk.

“Sewaktu operasi Yunuslie di tingkat bawah dan simen konkrit sebesar dua batu bata jatuh atas topi keledarnya.

“Pegawai perubatan yang ada di lokasi merawat mangsa sebelum dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. Mangsa dalam keadaan sedar,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Norazam berkata kilang tiga tingkat berkenaan musnah 70 peratus selepas terbakar kira-kira jam 3 petang.

“Anggota seramai 26 orang termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.15 petang.

“Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan. Siasatan lanjut termasuk punca dan kerugian masih disiasat,” katanya.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Enam keluarga terlibat banjir di Banting dipindahkan

SHAH ALAM, 2 JAN: Seramai 15 mangsa membabitkan enam keluarga di Kampung Sungai Nangka, Banting dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Sri Langat susulan banjir lewat petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.30 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bersama jentera, van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS), kembara serta bot bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 8 malam didapati purata paras air setinggi dua kaki (0.6 meter) dan menunjukkan trend peningkatan.

“Hampir semua keluarga di kampung terbabit sudah berpindah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota bomba menjalankan kerja menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Nangka, Banting pada 2 Januari 2022. Foto Bomba Selangor

Norazam berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan di sekitar lokasi terbabit.

 

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Air pasang besar: Bomba Selangor tempatkan anggota di kawasan berisiko

SHAH ALAM, 2 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menempatkan anggota di kawasan berisiko bagi melakukan rondaan susulan fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan bermula hari ini.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata seramai enam anggota dari setiap balai ditempatkan di kawasan dikenal pasti berisiko seperti Sabak Bernam, Tanjung Karang, Sungai Besar, Kuala Langat, Banting, Kuala Selangor dan Sepang.

“Anggota kita sudah mula menjalankan tugas pagi tadi dengan rondaan dilakukan secara berkala. Bagi penduduk berada di kawasan ini saya nasihatkan mereka sentiasa berwaspada,” katanya kepada SelangorKini.

Norazam berharap orang ramai khususnya di kawasan terlibat agar patuh dengan arahan apabila diarah berpindah jika air naik secara berterusan.

“Segera tinggalkan rumah jika air mula masuk dengan anggota kita sedia membantu, namun biasanya situasi air pasang ia hanya sementara dan air akan surut tidak lama kemudian.

“Bagaimanapun langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana kita khuatir jika berlaku hujan ia akan mengakibatkan banjir,” katanya.

Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung disaran lebih berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka melanda selama empat hari mulai hari ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kawasan terlibat adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Categories
AGENSI SELANGOR

113 mangsa banjir ditempatkan di tiga pusat pemindahan

SHAH ALAM, 17 DIS: Seramai 113 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir di sekitar Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Pelabuhan Klang petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tiga PPS dibuka iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, SRA Pulau Indah dan Sekolah Kebangsaan Telok Gong.

“Rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter akibat hujan berterusan. Kampung Nelayan Telok Gong mencatatkan jumlah mangsa seramai 106 orang.

“Pihak bomba juga memindahkan dua keluarga termasuk empat kanak-kanak di Jalan Nangka, Banting dan Taman Dato’ Hormat, Telok Panglima Garang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata piihak bomba memantau keadaan dari semasa ke semasa sekiranya ada mangsa banjir terperangkap.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pergerakan bawah tanah punca hakisan, paip pecah di Jalan Sungai Tekali

SHAH ALAM, 24 NOV: Runtuhan tanah yang berlaku di Jalan Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat dekat sini berpunca daripada pergerakan bawah tanah hingga menyebabkan terjadi hakisan serta paip pecah, kata pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 7.37 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada 8.06 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota telah membuat pemantauan dan mendapati berlaku hakisan bawah tanah sehingga terdapat pergerakan serta mengakibatkan paip pecah.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada projek membaiki tebing lereng bukit di kawasan tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Norazam, laporan telah dihantar kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika melalui kawasan tersebut,” katanya.

Runtuhan sepanjang 20 meter tersebut menyebabkan jalan tersebut terpaksa ditutup satu lorong dan ditutup bagi kenderaan berat di laluan Seksyen 5.00.  Kenderaan berat boleh melalui Laluan B19 Jalan Sungai Lui untuk ke Semenyih, Sungai Lalang dan Jelebu.

Sementara itu, Air Selangor memberitahu, paip pecah tersebut siap dibaiki pada jam 11 malam.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Bomba selamatkan sembilan lelaki terperangkap di Sungai Kedondong

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyelamatkan sembilan lelaki yang terperangkap di kawasan batu di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu, dekat sini malam tadi, ekoran kejadian kepala air.

Kesemua mangsa yang berusia 16 hingga 20 tahun terperangkap di sungai berkenaan akibat arus deras.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.55 malam.

Beliau berkata sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota tiba pada 8.27 malam dan mendapati dua daripada sembilan lelaki terbabit berjaya melepasi sungai berkenaan manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata pihaknya berjaya menyelamatkan kesemua mangsa dan dibawa ke tempat selamat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

19 rumah teres dua tingkat terjejas akibat tanah runtuh

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.33 malam dan tiba di lokasi 11 minit kemudian untuk operasi menyelamat.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba bertindak memindahkan semua mangsa bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Tiada mangsa yang cedera dilaporkan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Farouk Eshak pula berkata semua mangsa akan ditempatkan di dewan sekitar Ampang.

Beliau berkata pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya menyediakan dua lokasi sebagai penempatan sementara.

“Jika mereka tidak mahu berpindah ke tempat yang disediakan, mereka diberi pilihan untuk menetap di rumah saudara-mara.

“Setakat ini, bomba sedang memantau lokasi tanah runtuh jika berlaku sebarang pergerakan tanah,” katanya.

Seorang mangsa, Muhd Zulfaqar Jamaludin, 20, berkata dia dikejutkan oleh bunyi dentuman kuat dan gegaran.

“Selepas itu, saya bergegas melihat apa yang berlaku di belakang rumah saya dan mendapati beberapa pokok tumbang disertai tanah runtuh.

“Ekoran itu, saya segera menyelamatkan kedua ibu bapa saya dengan membawa mereka ke depan rumah,” katanya.

Nurhafizah Zolkifli, 28, pula berkata dia turut merasai gegaran kuat dan segera melihat kawasan belakang rumah serta mendapati banyak ranting pokok jatuh menimpa tingkap rumahnya pada 9.30 malam.

“Ibu bapa saya segera memanggil bomba dan terus mengambil anak saya untuk menyelamatkan diri.

“Selain itu, saya dapat lihat beberapa rumah jatuh dari tebing,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua pekerja Bangladesh cedera dalam runtuhan konkrit lebuh raya

SHAH ALAM, 19 JUN: Dua pekerja warga Bangladesh cedera ringan susulan insiden runtuhan konkrit lebuh raya yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) Sungai Buloh-Kota Damansara hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan jam 7.14 malam tadi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.

“Mangsa masing-masing berusia 20-an dan 40-an yang bekerja di bawah tapak pembinaan setinggi 12 meter itu cedera akibat terkena serpihan batu konkrit serta kerangka besi.

“Mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh menaiki ambulans,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Norazam, tiada mangsa lain terbabit dalam insiden berkenaan dan operasi tamat pada jam 7.34 malam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Seorang maut, tiga cedera apabila dua tangki minyak mentah terbakar

SHAH ALAM, 1 MEI: Seorang lelaki warga Indonesia maut manakala tiga lagi cedera ringan apabila dua tangki minyak mentah terbakar di kilang Emery Oleo Chemical di Kawasan Industri Telok Panglima Garang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.36 petang.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang, Banting dan Andalas bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa maut ketika melakukan kerja kimpalan dan akibat letupan, beliau terjatuh dari aras tinggi lebih kurang 10 meter,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Salleh manakala rakan senegaranya yang cedera ialah Mohamad Farid serta penduduk tempatan iaitu Mohammad Faizal Ebbah, 38, dan Mad Nasir, 40, kedua-duanya berasal dari Sabah.

Katanya mengikut laporan, kebakaran itu menyaksikan dua tangki minyak mentah terbakar sebanyak 50 peratus dan terletak di kawasan kilang berkeluasan 100×100 kaki persegi.

Norazam berkata pemadaman api selesai sepenuhnya pada 6.45 petang.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

60 peratus anggota bomba Selangor terima dos pertama vaksin

SHAH ALAM, 31 MAC: Hampir 60 peratus anggota bomba negeri ini yang mendaftar pengambilan vaksin Covid-19 telah menerima suntikan dos pertama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata jumlah itu melibatkan 979 daripada 1,642 anggotanya yang bersetuju menerima imunisasi terbabit.

“42 anggota pula lengkap mendapat vaksin selepas menerima suntikan dos kedua. Kita jangkakan suntikan dos pertama semua anggota akan sempurna sepenuhnya dalam masa terdekat,” kata Norazam Khamis kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, terdapat anggota tidak mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berikutan berdepan masalah kesihatan selain alahan terhadap ubat.

Sementara itu, ketua pengarah kesihatan menerusi Facebooknya memaklumkan sebanyak 85,848 suntikan membabitkan dos pertama dan kedua diberi kepada individu di Selangor setakat semalam.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata lebih dua juta pendaftaran direkodkan di negeri ini dengan peratusan sebanyak 42.09.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hutan simpan terbakar, pekerja Indonesia ditahan

SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang pekerja warga Indonesia ditangkap kerana melakukan pembakaran terbuka di kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) memaklumkan pihaknya menahan lelaki itu dan menyerahkan kepada polis Sepang untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, aktiviti pekerja itu dikesan selepas menemui kawasan kebakaran baru di kompartment 38 yang menyebabkan kejadian tersebut seluas 2.43 hektar.

“Selain itu, kita juga mengesan satu lagi lokasi dengan insiden sama di Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara yang meliputi 4.05 hektar,” kata Norazam Khamis ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara keseluruhan 60 peratus api berjaya dipadamkan di kedua-dua kawasan itu termasuk di lokasi kebakaran sebelum ini.

“Saya jangkakan seminggu lagi diperlukan untuk memadam sepenuhnya. Diharapkan petani tidak melakukan aktiviti pembakaran untuk pertanian bagi mengelak api kembali merebak,” katanya.