Categories
AGENSI SELANGOR

Pinjaman Hijrah beri impak positif, usahawan kini bergelar ikon

SHAH ALAM, 9 FEB: Peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) tidak menyangka keputusan meminjam RM5,000 pada 2016 memberi impak positif sehingga berjaya dinobat sebagai Ikon Usahawan Sukses Hijrah yang pertama.

Pengusaha rangkaian restoran Mios Kitchen Mior Amin Badalishah, 32, berkata pada awalnya pinjaman dibuat untuk menambah baik perniagaannya di beberapa medan selera.

Mior Amin berkata ia seterusnya meningkat kepada RM30,000 sehingga RM100,000 dan digunakan untuk membuka rangkaian restoran di Bandar Kinrara, Seksyen 13 Shah Alam, Putrajaya dan Bandar Baru Ampang.

Pemilik restoran Mios Kitchen, Mior Amin Badalishah bercakap kepada SelangorKini ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Laman Seri, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Hijrah bukan sekadar memberi pinjaman wang tetapi turut membimbing usahawan dengan menyediakan kursus sehingga perniagaan berkembang. Sokongan ini membolehkan saya menerima anugerah Usahawan Sukses sebanyak tiga kali berturut-turut sehingga dipilih Ikon Usahawan Sukses Hijrah.

“Saya berterima kasih dan bersyukur dengan pengiktirafan diberikan. Ini bukan usaha saya seorang tetapi adalah kerjasama semua kakitangan dan setiap perniagaan diceburi bermula dari bawah,” katanya ditemui di cawangan Mios Kitchen di Laman Seri di sini.

Semalam, Hijrah mengunjungi tiga usahawannya yang berjaya dalam perniagaan menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2022 termasuk restoran Mios Kitchen.

Dua lagi usahawan ialah Norliza Aizul Zulkifli, pengusaha produk kesihatan dan kecantikan serta Mahmud Mastam (pengusaha produk makanan).

Usahawan produk kesihatan dan kecantikan, Norliza Aizul Zulkifli menunjukkan produknya ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Norliza, 42, berkata beliau memulakan perniagaan menghasilkan dua jenis jamu untuk wanita di kediamannya bersama suami sembilan tahun lalu tanpa modal.

“Namun, kawan memperkenalkan skim Hijrah dan di peringkat awal membuat keputusan meminjam RM5,000. Dengannya, saya dapat menambah lebih banyak produk kesihatan untuk wanita dan lelaki.

“Sekarang pinjaman meningkat RM100,000 dan dimanfaatkan membeli mesin baharu dan pemasaran. Alhamdulillah, kini saya mempunyai 400 ejen serta perniagaan sudah memasuki pasaran Brunei, Singapura dan Australia,” katanya.

Mahmud Mastam memberi makan arnab ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mahmud, 46, pula berkata pinjaman Hijrah dapat mengembangkan perniagaan kerana membantunya membuat modal pusingan.

“Hijrah tidak membiarkan peminjamnya malah membantu dalam segala aspek. Proses juga mudah berbanding agensi lain dengan bayaran mingguan tidak membebankan,” katanya.