Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2021 dalam norma baharu di seluruh negara lancar

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Tahun 2022 menjadi tahun bersejarah buat 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 apabila menduduki peperiksaan itu hari ini, berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik Covid-19.

Biarpun di tengah-tengah peningkatan jumlah kes Covid-19, serta bencana banjir di negeri-negeri pantai timur, pelaksanaan peperiksaan SPM dalam norma baharu dilihat teratur dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan seramai 50,514 petugas peperiksaan ditugaskan di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Namun bagi 708 calon di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas yang terjejas akibat banjir di Kelantan, mereka terpaksa bersabar, kerana mereka hanya akan mengambil peperiksaan itu pada sidang kedua April depan, susulan banjir di pusat peperiksaan berkenaan.

Turut dibenarkan menduduki SPM 2021 pada sidang kedua nanti adalah calon-calon yang disahkan positif Covid-19.

Calon SPM hari ini merupakan kumpulan pelajar yang paling terkesan sejak pandemik melanda dan lebih banyak mengikuti sesi pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbanding secara fizikal di sekolah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Bernama di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati seawal 6.30 pagi, kumpulan pertama pelajar yang menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dijadual bermula 8 pagi ini mulai tiba di perkarangan sekolah dengan menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman berkata pelaksanaan SPM kali ini lebih rapi hasil pengalaman menguruskan SPM 2020 tahun lepas dalam norma baharu.

Beliau ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, di sini, berkata peperiksaan SPM di seluruh Kuala Lumpur kali ini melibatkan 20,311 calon dengan 161 pusat peperiksaan.

Di Putrajaya, seramai 1,797 calon merangkumi 1,631 calon sekolah dan 166 calon persendirian menduduki peperiksaan itu di 11 pusat peperiksaan dan tinjauan mendapati pelajar serta guru yang hadir mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya Farizah Ahmad berkata daripada jumlah itu 68 pelajar tidak dibenarkan mengambil peperiksaan hari ini apabila 46 daripadanya disahkan positif Covid-19 manakala 22 lagi merupakan kontak rapat.

MENYUSUL LAGI

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: Lebih 90 peratus responden faham, setuju SOP norma baharu

SHAH ALAM, 12 NOV: Kajian Impak Kempen Pembudayaan Norma Baharu oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendapati lebih 90 peratus daripada kira-kira 12,000 responden memahami tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu bagi mendepani pandemik Covid-19.

Ketua Penyelidik Kajian Impak Pembudayaan Norma Baharu Prof Dr Yarina Ahmad berkata rata-rata responden turut bersetuju SOP yang dilaksanakan oleh kerajaan bertepatan dalam mendepani wabak berkenaan.

Beliau berkata kajian ke atas responden daripada pelbagai latar belakang sosial serta ekonomi itu membabitkan kutipan data selama empat bulan bermula bulan Sept tahun lepas, dan kajian mendapati 94 peratus responden menyatakan kepatuhan terhadap pemakaian pelitup muka.

“Sebanyak 91 peratus didapati mematuhi arahan penjarakan fizikal, dan 90 peratus menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai alternatif mencuci tangan sekiranya tiada air dan sabun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records: Kajian Pandemik Covid-19 Pertama Berkaitan Impak Pembudayaan Norma Baharu kepada UiTM hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata Nadma diberi peranan bagi pengurusan norma baharu itu, dan pihaknya perlu mengkaji keberkesanan sistem pengurusan berkenaan menerusi kerjasama dengan UiTM.

“Sebab itulah kita bekerjasama dengan UiTM untuk memperoleh pendapat daripada rakyat dan orang awam, apa yang mereka rasakan dan ia bukan retorik. Mereka betul-betul amalkan SOP contohnya pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Kebangsaan dirai penuh semangat dalam norma baharu

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Lokasi-lokasi strategik di Putrajaya untuk menyaksikan pertunjukan udara sempena Hari Kebangsaan 2021 hari ini, menjadi tumpuan orang awam yang ingin menyaksikan secara langsung aksi dan formasi aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika berada di ruang udara Putrajaya.

Antara yang menjadi pilihan adalah Dataran Putra, Dataran Putrajaya dan Jambatan Seri Perdana, yang mampu memberikan pemandangan yang jelas dan peluang untuk merakamkan aksi berkenaan.

Orang awam yang hadir di lokasi-lokasi berkenaan dengan ada yang membawa Jalur Gemilang dilihat bersemangat meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu, dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) termasuk memakai pelitup muka, tidak berkumpul hingga mengabaikan penjarakan fizikal dan bersurai sebaik sahaja persembahan udara tamat.

Kereta peronda polis yang memantau turut memberi peringatan menerusi pembesar suara mengenai keperluan memakai pelitup muka dan menjaga jarak masing-masing, bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

Seorang pengunjung, Aza Abdul Murad, 39, berkata beliau datang ke Dataran Putra seawal 7.30 pagi, semata-mata untuk menyaksikan persembahan udara itu.

“Bunyi pesawat melintasi ruang udara seakan-akan bunyi kebebasan. Bunyi itu menakjubkan dan memberi semangat kemerdekaan,” kata anak kelahiran Pahang itu.

Aza yang mengalami kecederaan kaki baru-baru ini, namun tidak patah semangat untuk turun padang meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu berkata: “Mesej saya kepada anak muda supaya perasaan untuk menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun tidak sesekali luntur, walau apa rintangan sekali pun.”

Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108, diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman yang beraksi di ruang udara Putrajaya dalam cuaca yang baik selepas hujan dinihari berhenti, merupakan antara tarikan utama Hari Kebangsaan 2021.

Sarjan Mohd Raduwan bersama anaknya Muhammad Adam Rayqal yang berpakaian uniform tentera darat mengambil kesempatan pada cuti umum meluangkan masa bersama keluarga dengan mengunjungi Tugu Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Bagi Mohd Ashraf Mohd Noor, 52, walaupun hujan awal pagi tadi, tiga orang anaknya begitu teruja untuk datang ke Dataran Putra sejak semalam, untuk meraikan Hari Kebangsaan 2021.

“Setahun sekali kita meraikan kecintaan kepada negara dan setiap rakyat Malaysia perlu menzahirkan kegembiraan daripada dijajah sehingga mencapai kebebasan. Walaupun anak-anak tidak melalui sejarah itu, namun ibu bapa harus merangsang mereka, untuk menghargai nilai kemerdekaan,” katanya.

Bagi anak lelakinya Mohamad Mohd Ashraf yang berusia14 tahun, sebagai generasi muda erti kemerdekaan kepadanya adalah untuk bebas daripada pandemik Covid-19.

“Erti kemerdekaan itu adalah bebas daripada penjajah, tetapi sebagai anak muda erti itu pada kami ialah bebas daripada pandemik dan kembali kepada kehidupan seperti dahulu,” katanya.

Bagi pesara tentera udara Syamssul Anwar Zaini, 43, beliau dan keluarga lebih selesa menyambut Hari Kebangsaan di rumah, dengan menyaksikan acara sambutan menerusi televisyen, sambil menyorot kembali perjuangan terdahulu untuk negara bebas daripada penjajah, bersama ahli keluarga.

Menurut beliau sambutan tidak semestinya diraikan di tempat awam seperti tahun-tahun sebelumnya, malah ia boleh diraikan di mana-mana sahaja, dengan memakai pakaian kebangsaan atau pakaian yang melambangkan kemerdekaan.

“Perasaan saya dalam sambutan tahun ini mestilah disambut dengan penuh semangat yang tinggi, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19. Ia bukan alasan untuk tidak menyambutnya,” katanya.

Beliau turut berharap, generasi muda dapat meraikan Hari Kebangsaan setiap tahun dengan penuh bangga dan semangat patriotik yang tinggi.

“Walaupun kehidupan zaman ini serba mudah, namun tanpa pengorbanan orang-orang terdahulu, kita tidak akan merasainya pada hari ini,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Masyarakat digesa waspada ancaman Covid-19, jalani norma baharu

SHAH ALAM, 19 JUN: Orang ramai khususnya di Subang Jaya diseru terus mempraktikkan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian susulan kebimbangan terhadap ancaman Covid-19.

Datuk Bandarnya berkata masyarakat perlu mengelak ke tempat awam dan duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak selain mengamalkan budaya kerja pintar ketika melaksanakan tugasan.

“Ancaman Covid-19 adalah nyata dan sangat membimbangkan, malah yang sudah mendapat vaksin sepenuhnya bukan satu jaminan untuk tidak dijangkiti.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan

“Semua lapisan masyarakat harus mempunyai kesedaran tinggi dan sama-sama menyumbang kepada usaha melandaikan lekuk jangkitan dengan mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP),” kata Noraini Roslan menerusi kenyataan hari ini.

Ketika ini, Noraini sedang menjalani kuarantin kendiri mengikut SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas diuji positif wabak tanpa mengalami sebarang simptom.

Beliau yang lengkap menerima suntikan vaksin mendapat jangkitan daripada suami yang terdedah kepada kes positif di tempat kerja.

“Terima kasih atas doa dan ingatan pelbagai pihak. Hingga ke hari ini, saya masih bertugas serta berhubung dengan pengarah dan pegawai Majlis Bandaraya Subang Jaya dari semasa ke semasa sehingga selesai tempoh kuarantin,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap selamat menyambut Pesta Kaamatan

SHAH ALAM, 31 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada masyarakat Kadazan Dusun dan Murut terutama di Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sambutan perayaan tahun ini mungkin agak berbeza kerana dirai dalam suasana norma baharu berikutan penularan Covid-19.

“Seperti perayaan lain, Pesta Ka’amatan atau Magavau tidak dapat disambut dengan kawan ataupun keluarga secara berkumpulan.

“Namun, kini peluang untuk menghayati kepentingan musim menuai dengan cara lain dengan keluarga tersayang di rumah.

“Kepada masyarakat Kadazan Dusun dan Murut yang menetap di Selangor, Selamat Hari Ka’amatan kepada anda. Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan,” katanya menerusi Facebook.

Masyarakat tersebut menyambut pesta itu semalam disusuli dengan sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak esok.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak rakyat sambut Aidilfitri dengan semangat perangi Covid-19

SHAH ALAM, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar mengajak seluruh umat Islam khususnya warga Selangor untuk sama-sama menyambut Aidilfitri dengan semangat memerangi Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jika Aidilfitri tahun lalu dengan ungkapan norma baharu bagi menggambarkan sambutan yang tidak pernah dilalui, 1 Syawal kali ini membawa perasaan ‘déjà vu’ bagai mengulangi perkara sama.

“Dengan semangat kita jaga kita, kita membuktikan tahun lalu umat Islam mampu meraikan Aidilfitri dengan sederhana tanpa mengunjungi bazar, balik kampung atau berkumpul di rumah saudara-mara serta rakan.

“Pada waktu itu, kita berjaya menikmati detik perayaan dengan keluarga tersayang di rumah sendiri. Kita juga mengadaptasi diri kepada norma baharu dan menghubungi keluarga di kampung melalui panggilan video WhatsApp atau Zoom.

“Paling tidak, kita mempunyai kesempatan menyantuni jiran tetangga terdekat dengan berkongsi makanan atas kekangan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya menerusi kenyataan perutusan Aidilfitri.

Namun kata Amirudin, beliau melihat situasi kali ini tidak seperti sebelum ini di mana kelompok besar masyarakat kembali kepada kebiasaan lama dengan mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP).

Menurutnya, keadaan tidak menentu dari segi politik mahupun ekonomi mendorong Kerajaan Negeri untuk sentiasa menumpu segala usaha menangani impak kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

“Sejak PKP diisytiharkan Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri dipimpin Pakatan Harapan serta disokong penjawat awam bertungkus-lumus menggunakan teknologi seperti SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), kaedah inovatif seperti saringan bersasar serta Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) supaya wabak ini dapat ditangani.

“Dalam pada itu, saya menyedari betapa Covid-19 merupakan salah satu wadah terbaik untuk kita mengenal semula erti sebenar kehidupan; antara nilai diterapkan ibu bapa sejak usia muda lagi.

“Dengan fitrah kemanusiaan dan semangat #KitaSelangor, kita mesti menang dengan perang melawan Covid-19, sepertimana kita memenangi jihad melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan ini. Selamat Hari Raya. Selamat kembali kepada Fitrah. Minal Aidil Wal Faizin. Maaf zahir dan batin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Norma baharu Aidilfitri untuk perangi Covid-19 – Agong

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang perlu sekali lagi disambut dengan norma baharu adalah untuk kebaikan dan masa depan bersama dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Pengorbanan itu, titah Seri Paduka, menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun tanpa aktiviti kunjung-mengunjung dan balik kampung di samping menikmati juadah tradisi, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat perlu bersyukur kerana masih lagi dapat melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dan dikurniakan kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

“Beta menyedari rakyat terpaksa akur dengan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik Covid-19. Beta juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan melanda,” titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong tidak mahu kerukunan hidup bermasyarakat dilupakan menerusi tutur kata yang menanam benih-benih perbalahan sesama rakyat, dalam situasi semasa dihadapi negara.

Seri Paduka juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa atau agama yang telah bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah tidak lupa mengajak setiap rakyat bersama-sama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran.

“Teruskanlah melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan,” titah Seri Paduka.

Menerusi kesatuan seluruh rakyat Malaysia, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan keyakinan bahawa negara akan berupaya membendung penularan pandemik Covid-19.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.

“Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Syamsul, Sofizah dinobat johan tilawah al-Quran Selangor

SHAH ALAM, 9 APRIL: Qari Syamsul Abu Hassan Alshaari dan qariah Sofizah Mousin dinobat sebagai johan pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran (MTHQ) peringkat negeri semalam.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata tempat kedua dimenangi qari Abdul Najih Marwan dan qari Izzat Azizi Zainal (ketiga), manakala qariah Rosnani Mohmad (naib johan) dan qariah Kasmah Arshad (ketiga).

“Seramai tujuh qari dan empat qariah berentap bagi merebut gelaran johan sekali gus mewakili Selangor ke MTHQ peringkat kebangsaan pada 13 hingga 18 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Bagi kategori menghafaz al-Quran menyaksikan 30 huffaz yang masingmasing dengan lima hafiz dan lima hafizah bagi setiap kategori iaitu Tahap 1-10, Tahap 1-20 dan Tahap 1-30 memperdengarkan hafazan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Jais menambah kategori tilawah al-Quran diadili oleh 11 hakim manakala kategori menghafaz al-Quran melibatkan 17 hakim.

Katanya, majlis yang berlangsung pada 6 hingga 8 April di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah diadakan dengan membudayakan norma baharu.

“Selaras dengan SOP yang ditetapkan pihak kerajaan, majlis pada kali ini berlangsung dengan pematuhan garis panduan yang ketat dan jumlah penonton yang terhad.” katanya.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Daripada perniagaan khemah kepada kedai jual ikan

Oleh Nor Amirah Mahmuddin

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Amalan norma baharu dalam penganjuran majlis akibat wabak Covid-19 membuatkan Sani Shamsuddin yang mengusahakan perniagaan sewa khemah sejak 2013 bertukar arah menjadi peniaga ikan.

Pemilik Sani Canopy Marquee Tent sedar beliau mungkin tidak dapat meneruskan perniagaannya untuk jangka masa yang lama.

Ini memandangkan rata-rata masyarakat di negara ini hanya mengadakan majlis secara kecil-kecilan dan penganjuran sambutan serta perayaan yang lazimnya diadakan setiap tahun juga dibatalkan.

Tidak lagi hanya mahu menunggu rezeki datang bergolek, beliau membuat keputusan untuk meneroka bidang baharu sebagai penjual ikan segar kepada pelanggan di sekitar bandar Shah Alam di Selangor.

Sani yang berusia 35 tahun nekad untuk mencuba bidang perniagaan baharu itu meskipun tidak mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam perniagaan ikan.

Tekadnya berjaya membuahkan hasil sehingga mampu membuka ‘pasar mini’ yang dikenali sebagai Sani Freshmart.

Kini, kedainya tidak hanya menjual pelbagai jenis ikan segar seperti ikan merah, cencaru, pelaling, sardin, kerisi, tongkol, siakap, jenahak, bawal, kerapu, pari tuke, tetapi juga makanan laut yang lain serta sayur-sayuran dengan harga yang amat berpatutan.

Tidak kenal jenis ikan

Bermula dengan niat sekadar mahu mengisi lapang, Sani tidak menyangka perniagaan jualan ikannya sejak Oktober 2020 mampu mendatangkan hasil yang lumayan dengan jualan sehingga 500 kilogram ikan sehari.

Bercerita lanjut, Sani berkata, idea menjual ikan itu muncul apabila beliau bertemu rakan yang juga menukar kerjaya daripada pengusaha katering kepada ‘tauke ikan’ sejak tahun 2020.

Disebabkan keputusan untuk berniaga dibuat secara mendadak, beliau terpaksa membawa ayahnya ke jeti sekitar Sekinchan bagi membantu membeli bekalan kerana tidak mengenali jenis-jenis ikan.

“Hari pertama, saya beli ikan dengan harga keseluruhan RM4,000 dan sebenarnya saya sendiri kurang pasti sama ada stok tersebut boleh dijual sehingga habis ataupun tidak,” katanya dalam wawancara di Wisma Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, beliau tidak mempunyai tapak ataupun kedai dan hanya menjual di kawasan berdekatan rumah ibu bapanya. Sambutan menggalakkan yang diterima membuatkan beliau lebih bersemangat untuk mempelajari selok-belok perniagaan ikan.

“Sejak hari itu, saya banyak belajar daripada ayah sebab dulu ayah pernah buka restoran jadi dia lebih mahir tentang ikan dan penjual ikan di jeti tentang jenis ikan, teknik penjagaan, cara menyiang serta ikan mana yang lebih digemari oleh orang ramai,” tambahnya lagi.

Beliau juga sempat berniaga di tepi jalan menggunakan lorinya untuk tempoh yang singkat sebelum berpindah ke sebuah kedai yang disewa di Seksyen 7 Shah Alam pada Januari 2021.

Biarpun janggal pada mulanya, Sani akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan rutin pekerjaan baharu dan corak perniagaan yang berbeza.

“Tahun lepas (2020) adalah tahun pertama saya dapat beraya bersama-sama keluarga kerana sebelum ini, musim perayaan adalah paling sibuk bagi kerana banyak tempahan untuk majlis sambutan,” katanya.

2020 tahun sukar

Menurut Sani, beliau tidak pernah menyangka akan berdepan dengan situasi seperti tahun 2020 dan sokongan daripada keluarga terutama isteri menjadi penguat dirinya.

Tanpa sokongan mereka, beliau mungkin boleh mengalami kemurungan kerana tahun lalu merupakan tempoh kehidupan yang amat sukar berikutan perniagaannya mengalami kerugian sehingga ratusan ribu setiap sebulan.

Ini memandangkan perniagaan sewa khemah yang sebelum ini beroperasi di seluruh Semenanjung mampu memberikan untung bersih puluhan ribu sebulan, tetapi disebabkan pembatalan majlis, beliau mengalami kerugian kerana terpaksa memulangkan semula bayaran (refund) kepada pelanggan termasuk wang pendahuluan.

Beliau juga tetap membayar gaji pekerja seperti biasa dan memberi sedikit bonus sewaktu musim perayaan menggunakan wang simpanan yang ada kerana mahu mereka terus bermotivasi dan setia bersama perniagaannya.

Percaya bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah, beliau lebih banyak mempelajari agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan serta melakukan refleksi diri ketika menghadapi tempoh sukar tahun lalu.

“Betullah kata pepatah, ‘besar periuk besarlah keraknya’. Jadi, kita sentiasa perlu bersedia secara mental dan juga kewangan kerana perkara yang tidak pernah dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa,” tambahnya.

Beliau turut bersyukur kerana mempunyai wang simpanan hasil sikap cermat dalam berbelanja sepanjang perniagaan sewa khemahnya.

Promosi perniagaan dalam talian

Tidak mahu hanya menjadi ‘tauke ikan’ biasa, beliau turut mempromosikan perniagaan ikan secara dalam talian menggunakan iklan Facebook, Instagram, Whatsapp dan kini beliau telah memperkenalkan aplikasi Sani Freshmart yang boleh dimuat turun di Google Play.

Dengan menggunakan aplikasi tersebut, para pelanggan hanya perlu menempah secara dalam talian dan barangan tersebut akan dihantar ke lokasi yang diinginkan.

“Pada awalnya saya sedikit ragu-ragu mahu mempromosi perniagaan jualan ikan segar atas talian kerana kalau dahulu saya boleh muat naik gambar dan rakaman dron pelbagai jenis khemah di Instagaram tetapi gambar ikan ni bentuknya sama sahaja,” katanya.

“Tetapi apabila saya melanggan iklan di Facebook dan ada pelanggan yang sudah mula bertanya lokasi kedai, saya nekad untuk teruskan kerana modalnya pun tidak banyak serta boleh mencapai lebih ramai pelanggan di luar,” tambah Sani.

Beliau turut mengetepikan rasa malu dengan membuat ‘live’ di Facebook dan Instagram walaupun tidak begitu mahir dan berkeyakinan.

“Ada yang cakap takkanlah jual ikan pun nak ‘live’ di Facebook tetapi bagi saya media sosial mempunyai impak yang sangat kuat sebab kalau ada seorang yang menonton dan berkongsi, lama kelamaan ramai yang akan tahu tentang Sani Freshmart,” katanya lagi.

Mahu teruskan perniagaan

Menurut Sani, walaupun mungkin pada masa akan datang industri acara akan kembali beroperasi seperti biasa, beliau tetap akan meneruskan perniagaan ikan dan bercita-cita untuk membuka cawangan Sani Freshmart.

“Buat masa ini, saya merancang untuk memanjangkan waktu operasi kedai sehingga malam kerana sekarang kami hanya beroperasi dari jam 7.45 pagi hingga dua petang dan merancang akan menambah bekalan ikan serta pekerja,” katanya.

Sani turut menasihatkan supaya mereka yang terlibat dalam industri acara dan pelancongan supaya terus cekal dan keluar daripada zon selesa untuk berikhtiar mencuba sesuatu yang lain dalam mencari pendapatan sampingan.

“Jika kita berasa susah untuk memulakan sesuatu yang baru, maka belajarlah. Jangan malas dan takut kerana yakinlah setiap yang kita usahakan pasti akan mendatangkan hasil,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga sekolah mesti amalkan lapan perkara cegah Covid-19

SHAH ALAM, 28 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) mengingatkan warga sekolah supaya mengamalkan norma baharu apabila sesi persekolahan bermula esok.

Menurut KPM, guru dan murid perlu mematuhi lapan perkara bagi mencegah perebakan Covid-19 iaitu:

1. Saringan kesihatan di pintu masuk.
2. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta cecair pencuci tangan
3. Pematuhan jarak fizikal
4. Amalan etika batuk dan bersin yang betul.
5. Tiada aktiviti melibatkan perhimpunan.
6. Lakukan pembersihan permukaan yang kerap disentuh.
7. Buka tingkap dan pintu bagi pengudaraan yang baik.
8. Pastikan tandas sekolah sentiasa bersih.

Sesi persekolahan murid prasekolah, tahun satu dan dua bermula esok, diikuti tahun tiga, empat, lima dan enam pada 8 Mac.

Sekolah menengah pula pada 4 April bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala negeri lain pada 5 April.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 400,000 calon SPM 2020 duduki peperiksaan dalam norma baharu

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Hari ini, seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dalam suasana negara masih berdepan pandemik Covid-19 yang menuntut mereka membawa ‘perisai’ tambahan.

Selain berbekalkan pen dan ilmu pengetahuan seperti kebiasaannya apabila memasuki dewan utama peperiksaan, kelainan bagi calon SPM 2020 ialah mereka juga perlu membawa ‘perisai’ iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Pada hari pertama peperiksaan hari ini, calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula pukul 8 pagi dan 2 petang.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan, penyediaan 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Semua pelajar juga perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Selain itu, calon yang didapati positif Covid-19 atau calon yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada hari tersebut dan hanya boleh menduduki kertas peperiksaan yang dijadual semula selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat berserta surat pengesahan doktor.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.

Calon SPM pada hari ini juga merupakan kumpulan pelajar yang mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun, namun bagi 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

WHO ulangi amaran Covid-19 lebih parah jika abai norma baharu

SHAH ALAM, 10 OKT: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi amaran pandemik Covid-19 akan menjadi lebih teruk sekiranya rakyat tidak serius mengamalkan norma baharu.

Peringatan tersebut dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Twitter susulan peningkatan kes membabitkan belia terutama di negara Eropah setelah mengunjungi pusat hiburan yang sesak.

“Kes Covid-19 menjangkiti hampir 37 juta individu di seluruh dunia dan membunuh lebih 1.06 juta orang. Benua Amerika mencatat kes tertinggi melebihi 17.5 juta.

“Gelombang ketiga di Malaysia pula lebih mencabar kerana melibatkan penjara atau pusat tahanan dan virus mutasi, namun terkawal,” tulis kementerian itu.

Semalam, Malaysia merekodkan 354 lagi kes baharu Covid-19 menjadikan keseluruhan kes positif 14,722 dengan 3,863 daripadanya aktif.