Categories
NASIONAL SELANGOR

Selepas Suami, Shahrizat Juga di Dakwa Terlibat Salah Guna Dana Rakyat

SHAH ALAM, 2 MEI : Selepas skandal penyelewengan suaminya didedah kepada umum, Datuk Seri Shahrizat Jalil pula didakwa telah menyalahgunakan dana rakyat dalam membiayai program wanita Umno melalui Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) yang ditubuhkan pada 29 Jun 2001.

Perkara itu didedahkan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TV Selangor hari ini.

Menurut Zuraida, Shahrizat yang baru sahaja menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada ketika itu adalah individu bertanggungjawab yang menubuhkan MPWK.

Beliau berkata, keanggotaan MPWK terdiri daripada Exco wanita dari kerajaan-kerajaan negeri seluruh Malaysia.

Bagaimanapun, menerusi semakan yang dilakukan di bawah Pendaftaran Pertubuhan, organisasi itu disahkan sebagai pertubuhan haram dan tidak berdaftar.

“Malangnya, sejak penubuhan MPWK sehingga hari ini, ia disalahgunakan sebagai sebuah organisasi haram yang dianggotai oleh Ketua-ketua Wanita Umno dan pimpinan Wanita Umno di setiap kawasan parlimen.

Organisasi ini kemudiannya diberi peruntukan besar oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diketuai Shahrizat,” katanya.

Jelas Zuraida, MPWK mempunyai anggota di peringkat negeri dan parlimen, di mana Ketua MPWK peringkat negeri adalah Ketua Wanita Umno Negeri, manakala di peringkat parlimen adalah Ketua Wanita Umno Bahagian.

Ujarnya, KEADILAN juga mempunyai bukti mengenai perbelanjaan dan peruntukan yang disalurkan kepada kesemua bahagian Wanita Umno seluruh negara yang berselindung di sebalik pertubuhan haram itu.

“Hari ini, Wanita KEADILAN menampilkan bukti bagaimana kerajaan menanggung perbelanjaan yang tinggi untuk program mewah di hotel mahal yang dihadiri oleh keseluruhan jentera kepimpinan Wanita Umno seluruh Malaysia, atas nama MPWK.

Surat jemputan yang dilampirkan bersama dialamatkan kepada Normah Mohd Saman iaitu Ketua Wanita Umno Wangsa Maju.

Pembiayaan aktiviti parti dan perbelanjaan yang memberi manfaat kewangan kepada pimpinan parti dengan menggunakan wang rakyat dan dana kerajaan adalah satu kesalahan besar di sisi undang-undang. Ini adalah penyelewengan dan salahguna kuasa yang nyata yang telah dilakukan oleh Wanita Umno di bawah kepimpinan Shahrizat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Datuk Seri Najib Razak yang mengambil alih jawatan Shahrizat untuk membubarkan serta menghentikan perbelanjaan yang disalurkan kepada pertubuhan itu selain mengarahkan siasatan dalaman dilakukan.

Selain itu, beliau turut mendesak Shahrizat untuk meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno atas salah laku penyalahgunaan wang rakyat dan dikenakan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).