Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hijrah tawar biaya patuh syariah, caj pinjam rendah

SHAH ALAM, 16 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan pinjaman pembiayaan patuh syariah kepada usahawan bermula 1 Januari depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Normaiza Yahya berkata inisiatif berkenaan menjadikan Selangor sebagai negeri pertama membuat tawaran terbabit.

Normaiza Yahya

Jelasnya pembiayaan berkonsep tawarruq itu memberi manfaat besar kepada peminjam antaranya tiada unsur riba, kualiti tidak diragui selain caj pinjaman rendah.

“Perkhidmatan ini memberi keyakinan dan  kepercayaan kepada usahawan. Bila patuh syariah semua proses dikaji termasuk kesesuaian kadar caj mengikut jumlah pinjaman,” katanya dalam sidang media program Fam Trip Media Promosi Industri Halal hari ini.

Program berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dekat sini turut dihadiri EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Normaiza berkata pihaknya yakin tawaran berkenaan menarik minat ramai usahawan termasuk bukan Islam.

“Bank yang mengamalkan konsep ini seperti Bank Islam contohnya turut mendapat perhatian kaum lain. Bukan hanya orang Islam sahaja.

“Konsep ini diteliti oleh Universiti Selangor melibatkan segenap aspek. Kita mahu pelaksanaannya memberi faedah,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 mengumumkan tujuh penambahbaikan dilaksana dalam skim Hijrah dengan salah satunya mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM30,000 ke bawah.

Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah Selangor jangka 3,000 usahawan terima biaya Go Digital

SHAH ALAM, 13 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyasarkan 3,000 usahawan mendapat manfaat melalui skim pembiayaan Go Digital antara RM1,000 hingga RM5,000 tahun ini.

Pemangku ketua pegawai eksekutifnya berkata pinjaman pembelian alat telekomunikasi seperti gajet dan tablet selaras matlamat melahirkan lebih ramai usahawan digital di negeri ini.

“Skim pinjaman ditawarkan bukan memfokuskan usahawan sedia ada malah juga kepada peniaga di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Komuniti Belia Selangor (SAY).

“Kita akan cuba dapatkan sistem penjualan dan inventori melalui perkakas telekomunikasi bagi memudahkan pemantauan serta melihat peningkatan jualan,” kata Normaiza Yahya pada sidang media selepas sesi pembentangan hala tuju pembangunan usahawan 2021 diketuai Exco Kerajaan Negeri Rodziah Ismail di Hotel De’ Palma di sini semalam.

Sementara itu, Normaiza berkata pihaknya akan memastikan produk usahawan mampu dipasarkan secara dalam talian melalui platform Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH).

“Latihan akan diberikan kepada usahawan terlibat supaya mereka memiliki pengetahuan dalam aspek teknologi maklumat (IT) selain mengadakan Jelajah Usahawan Digital dengan kerjasama Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (Sitec),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

100 sertai ‘Zero To Hero’, langkah awal ceburi bidang niaga

SHAH ALAM, 20 NOV: Hampir 100 individu menyertai program ‘Zero To Hero’ sebagai langkah menjana pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana Mac lalu.

Pemangku ketua pegawai eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berkata peserta terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk golongan terkesan pandemik Covid-19.

“Sebanyak 98 permohonan diterima hingga Oktober. Bilangan ini meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sejak ditubuhkan 2016 hingga bulan lalu, 694 peserta menyertai program ini dengan melibatkan 56 syarikat bertanggungjawab memberi latihan dan kursus kepada peserta mengikut kepakaran bidang masing-masing,” kata Normaiza Yahya kepada SelangorKini hari ini.

Dengan dibantu syarikat pakar dan berkebolehan, beliau menasihati peserta mengenal pasti minat serta kecenderungan terlebih dahulu bagi memudahkan potensi diri dikembangkan serta menjamin kejayaan dalam perniagaan diceburi.

Program ‘Zero To Hero’ melaksanakan konsep melatih dan memantau peserta yang dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Selepas tamat tempoh, peserta layak diberi peluang membuat permohonan pinjaman HIJRAH sementara syarikat peneraju membekalkan peralatan dan bahan perniagaan.

Categories
SELANGOR

Koperasi NEGM & KOHIJRAH tangguh program belanja durian

SHAH ALAM, 26 JUL: Karnival Foodtruck HIJRAH dan Kedai Serbaneka De’Variety Koperasi NEGM yang berlangsung sejak 14 hingga 28 Julai dirancang sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Pengerusi Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH), Normaiza Yahya berkata, bagaimanapun Program Belanja Durian yang dijadual berlangsung pada hari terakhir karnival ditangguh sehingga berakhirnya PRK.

Katanya, ketetapan itu diambil ekoran ia bertentangan dengan peraturan pilihanraya dan menjamin ketelusan serta integriti HIJRAH.

“KOHIJRAH dan Koperasi Kakitangan NEGM Berhad mengambil maklum teguran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berkenaan Program Belanja Durian.

“Justeru, kami juga mengucapkan terima kasih atas teguran daripada BERSIH yang menyuarakan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Normaiza berkata, Program Belanja Durian itu diadakan pada hari terakhir karnival yang berlangsung selama dua minggu itu.

“De’Variety Koperasi NEGM sebagai penaja utama mempromosi jualan peralatan dapur food truck, mobile cart serta sewaan rak.

“Atas kejayaan karnival yang berlangsung selama dua minggu itu, Koperasi NEGM berbesar hati menaja Program Belanja Durian,” katanya.

Dalam pada itu, Normaiza turut memaklumkan jemputan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Calon KEADILAN bagi PRK Sungai Kandis, Zawawi Mughni diadakan secara ad-hoc serta ia tidak mendapat sebarang pengesahan daripada pihak mereka.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Selangor mengeluarkan kenyataan tidak mengetahui mengenai penganjuran festival durian berkenaan dan menafikan memberi kebenaran agar imej Menteri Besar digunakan.