Categories
SUKANKINI

Northport taja FAS RM35,000

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JUL: Syarikat pelabuhan, Port Klang, Northport (Malaysia) Berhad memberikan tajaan RM35,000 kepada Pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, selain tajaan berbentuk wang tunai pihaknya turut membuat pembelian Pas Bermusim VIP, Pas Bermusim Terbuka, Red Giants Team Card dan tiket perlawanan secara pukal untuk diberikan kepada kakitangan mereka.

Katanya, tajaan itu bertujuan mengembalikan suasana di Stadium Shah Alam seperti suatu ketika dahulu bagi meramaikan lagi penyokong di stadium.

“Harapan kami adalah pasukan Selangor terus cemerlang pada masa akan datang sekali gus mengembalikan nostalgia kejayaan yang pernah dikecapi sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agong FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, beliau optimis lebih banyak lagi sektor korporat akan bergandingan bersama FAS untuk maju ke hadapan dalam sukan bola sepak.

Terdahulu, Dr Johan mewakili FAS menerima sumbangan terbabit daripada Northport selain beliau turut menyampaikan kit pas bermusim kepada pengurusan Northport.