Categories
NASIONAL

SPR: Borang calon PRU14 dibuka hingga esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APR: Individu berhasrat menjadi calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) masih boleh mendapatkan borang pencalonan sehingga esok.

Timbalan Setiausaha Strategik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Norzawatil Amali Alias berkata, borang boleh didapati di SPR negeri masing-masing dan SPR ibu pejabat di Putrajaya sehingga jam 5 petang.

“Pembelian borang dibuka buat mereka yang ingin menjadi calon bagi kerusi Parlimen dan DUN.

“SPR juga sudah bersedia sepenuhnya untuk hari penamaan calon dengan menempatkan pegawai pengurus berpengalaman di 222 pusat pencalonan,” katanya.

Norzawatil menasihatkan, semua calon supaya datang awal ke pusat penamaan calon masing-masing kerana kelewatan menghantar kertas pencalonan boleh menyebabkan mereka tidak layak bertanding dalam pilihan raya kali ini.

“Pusat penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini dibuka selama sejam bermula 9 pagi sebelum ditutup untuk memberi peluang kepada pegawai pengurus pilihan raya menyemak setiap kertas penamaan calon.

“Ini bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan kemudiannya SPR boleh mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua semakan selesai,” katanya.

Dalam masa sama, Norzawatil turut berharap penyokong bagi calon-calon bertanding menjaga perlakuan dan sentiasa bersabar bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

Penamaan calon PRU14 ditetapkan pada Sabtu ini dan pengundian pada 9 Mei, manakala pengundian awal 5 Mei.