Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP Selangor keluar 4 notis kepada peniaga naik harga ayam

SHAH ALAM, 22 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan empat notis kepada pemborong dan peniaga pasar yang menaikkan harga ayam.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata notis tersebut dikeluarkan setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 210 premis sejak 8 hingga 19 November lalu.

“Sepanjang pemeriksaan dijalankan, lapan aduan diterima iaitu enam daripadanya berkenaan kenaikan harga dan selebihnya pula ayam mahal.

“Harga ayam yang ditetapkan di pasaran ialah RM9.50 sekilogram tetapi peniaga menjualnya pada harga lebih daripadanya sehingga mencecah RM10. Oleh demikian, kita telah meminta peniaga dan pemborong itu melengkapkan butiran berhubung kenaikan harga,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 di dua premis di daerah ini iaitu Kedai Buku MRKB Seksyen 19 dan Pusat Pakaian Hari-Hari Ole-Ole Seksyen 18 hari ini.

Majlis tersebut dihadiri EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Berhubung bekalan minyak peket, Muhamad Zikril Azan berkata pengguna tidak perlu risau tentang bekalannya kerana ia mencukupi dan stabil.

“Kita telah berunding dengan 70 pembungkus semula minyak masak supaya segera menghantar bekalan ke premis-premis terpencil yang tidak menerimanya,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Ribuan kilang tanpa kebenaran terima notis patuh syarat operasi

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak 1,800 notis program pematuhan syarat dan penguatkuasaan dihantar kepada pemilik kilang tanpa kebenaran sekitar Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Wakil rakyat Rawang berkata usaha mulai awal bulan ini susulan premis beroperasi tanpa lesen, tiada kebenaran merancang atau kelulusan bangunan dan masalah hak milik tanah.

“Pertemuan bersama Jabatan Perancangan Bandar MPS dibuat untuk memahami arahan tersebut sekali gus membantu memudahkan proses kelulusan kilang yang menjalankan pelbagai aktiviti.

“Mereka perlu diberi penjelasan terperinci sebelum tindakan lanjut supaya penyelesaian menang-menang dapat dicapai,” kata Chua Wei Kiat menambah sebahagian besar kilang berada dalam kawasan pentadbirannya.

Beliau berkata pengusaha kilang tidak perlu khuatir terhadap notis berkenaan sebaliknya dinasihat memberi kerjasama bagi mengelak tindakan lebih tegas.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan kilang berkenaan dapat dipantau sepanjang masa sekali gus mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar,” katanya lagi.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura singkat tempoh SHN kepada seminggu

SINGAPURA, 22 OGOS: Singapura akan memendekkan Notis Duduk Di Rumah (SHN) daripada 14 hari kepada tujuh hari bagi pengunjung yang datang dari enam negara dan wilayah berisiko rendah Covid-19 termasuk Malaysia.

“Langkah tersebut akan berkuat kuasa jam 12 tengah malam, 1 September ini, untuk semua pengunjung yang masuk atau keluar dari Singapura,” kata Pasukan Bertindak Pelbagai Kementerian Mengenai Covid-19, dalam kenyataan, di sini, semalam.

Selain Malaysia, negara lain ialah Australia (kecuali wilayah Victoria), Macau, China, Taiwan dan Vietnam.

Pengunjung dari negara-negara ini serta warga dan penduduk tetap Singapura perlu menjalani tempoh SHN selama seminggu di tempat kediaman mereka.

Sementara, pemegang pas jangka panjang boleh menjalani SHN selama seminggu di tempat kediaman mereka atau ahli keluarga atau sebagai penyewa tunggal atau di tempat penginapan yang sesuai seperti hotel.

Kenyataan itu menyebut kerajaan akan terus menjalankan ujian Covid-19 menjelang tamat tempoh SHN.

Bagaimanapun, pasukan bertindak itu berkata syarat perjalanan di bawah aturan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) akan diterus diguna pakai.

Berkuat kuasa 1 September ini, Singapura juga melonggarkan sebahagian sekatan sempadan bagi membenarkan pengunjung dari Brunei Darussalam dan New Zealand masuk ke republik itu.

Pengunjung yang memasuki Singapura dan telah menetap di Brunei atau New Zealand dalam tempoh dua minggu sebelum kemasukan mereka tidak perlu menjalani notis SHN.

Sebaliknya, mereka akan menjalani ujian Covid-19 apabila tiba di lapangan terbang serta hanya boleh meneruskan aktiviti mereka di Singapura setelah mendapat keputusan ujian negatif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Media Prima tamatkan perkhidmatan 300 pekerja

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu utama Malaysia, mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada kira-kira 300 orang pekerja, dengan tarikh akhir pekerjaan pada 31 Julai ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Media Prima memaklumkan kumpulan dan wakil-wakil daripada lima kesatuan sekerja mencapai persetujuan dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan seperti yang telah diumumkan pada 4 Jun lepas.

“Perbincangan tersebut bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

“Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisme pampasan yang adil serta saksama kepada para kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian-perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Media Prima mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya berikutan perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik Covid-19.

“Faktor-faktor ini memaksa kumpulan untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya. Ia merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.

“Inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul dari pertindihan kerja. Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan Kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

70 Notis Tawaran Kompaun dilaksana MSPJ hingga April

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 19 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengeluarkan 70 Notis Tawaran Kompaun (NTK) dan tujuh sitaan kenderaan dilaksanakan, sehingga April lalu.

Yang DiPertuanya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahalan, berkata tindakan itu dilakukan berdasarkan tindakan penguatkuasaan ke atas pembuangan sampah haram.

ydp mpsj“Sebanyak 13 NTK dikeluarkan di bawah Seksyen 4 bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam.

“Manakala, 29 NTK di bawah seksyen 6 bagi kesalahan tidak menyediakan tong sampah di premis perniagaan.

“Selain itu, 28 NTK di bawah seksyen 12 bagi kesalahan membuang buangan perindustrian dan dagangan yang ditetapkan MPSJ,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPSJ, di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, semua NTK itu dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (UUK PPPS) MPSJ 2007.

-NFN-