Categories
SELANGOR

MPSJ Buat 5 Cadangan Kepada SPAD

SUBANG JAYA 26 SEPT : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mengenalpasti lima laluan sosial untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi merancang lebih laluan kepada syarikat bas.

Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, laluan cadangan itu dibuat sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri sebelum ini untuk memberi cadangan mengenai laluan pengangkutan awam, khususnya bas.

“Kita beri lima cadangan laluan berdasarkan kepada pemerhatian kita serta permintaan penduduk.

“SPAD mungkin mempunyai laluan cadangannya sendiri, jadi segala keputusan pada SPAD.

“Kita sudah hantar cadangan tersebut sebulan lalu kepada SPAD,” jelasnya dalam sidang media sejurus menyampaikan hadiah cabutan bertuah di sini tengah hari tadi.

Laluan pertama meliputi Zon Bandar Putra Permai iaitu daripada Bandar Kinrara Seksyen 6 ke Taman Puncak Jalil ke Taman Lestari Putra ke Pusat Bandar Putra Permai ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Laluan kedua pula di Zon Subang Jaya meliputi kawasan USJ 1 daripada Pasaraya Mydin dan Pusat Membeli Belah Summit ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ke LDP (Kawasan Komersial PJS 9) ke Lebuhraya Persekutuan (Kuala Lumpur).

Sementara itu, laluan ketiga juga di Zon Subang Jaya bermula dari LDP (Subang Jaya dan Puchong) ke Kampung Tengah A ke Kampung Kuala Sungai Baru.

Laluan seterusnya di Zon Subang Jaya USJ 14, Subang Jaya ke Putra Height dan laluan terakhir pula bermula di Batu 3 ke Persiaran Setia (USJ 3A) ke USJ 14, Subang Jaya.

Kerajaan Negeri sebelum ini bercadang memberi subsidi tiket bas kepada syarikat bas yang menjalankan perkhidmatan di kawasan yang kurang menguntungkan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tumpuan akan diberikan di kawasan perumahan pangsapuri kos rendah supaya penghuni boleh mengurangkan penggunaan kereta dan menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.