Categories
AGENDA NASIONAL

NTF pertimbang tambah anggota di sempadan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan lain, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga sempadan negara di bahagian utara dibahagikan tugasan mengikut kawasan-kawasan tertentu.

“Berikutan insiden berbalas tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam, Op Benteng akan melibatkan kerjasama bersepadu secara menyeluruh dan tidak lagi membahagikan kawasan.

“Selain itu, dalam meningkatkan lagi kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita juga perlu menambah bilangan keanggotaan sama ada daripada pihak ATM atau PDRM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.

Ismail Sabri berkata kementeriannya akan berbincang bersama NTF supaya apa yang dilaksanakan di kawasan Op Benteng Sabah termasuk di Semenanjung, pantai barat sebagainya dapat digemblengkan di Op Benteng di kawasan utara.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan di bawah NTF terdahulu kerana melibatkan pelbagai unit beruniform yang memerlukan penyelarasan selepas ini.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden awal pagi itu, dua anggota Pasukan Gerakan Am mendiang Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah semasa berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu. Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai kos kuarantin sekiranya anggota Batalion Malaysia (MALBATT) pulang bercuti ke tanah air, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membiayai kos kuarantin mereka.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tanggungjawab ATM berkembang, aset siap sedia pertahan negara

Oleh Anasathia Anak Jenis dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Tanggungjawab yang dipegang adalah besar iaitu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman luar, bermula dengan Perang Dunia Kedua menentang Jepun sehinggalah ancaman komunis ketika negara menghadapi darurat.

Kini setelah 87 tahun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan pada 1 Mac 1933, fungsi dan tanggungjawab yang dipikul berkembang selaras dengan perubahan zaman.

Merupakan benteng pertahanan negara, ATM yang mempunyai tiga cabang – Tentera Darat, Laut dan Udara itu sentiasa terlibat dalam pelbagai operasi sama ada di dalam atau luar negara dengan misi tetap sama iaitu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menyambut ulang tahun yang ke-87, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menggariskan empat teras utama sebagai panduan dalam meningkatkan imej pasukan iaitu memperkasakan kesiapsiagaan aset; memperkasakan warga ATM yang cemerlang; mengukuhkan keupayaan ATM dalam Domain Siber; dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

Kertas Putih Pertahanan yang menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah, akan terus menjadi panduan utama dalam membuat perancangan serta pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Domain maritim dan udara bakal diberi tumpuan khusus dalam Kertas Putih Pertahanan bagi pembangunan keupayaan ATM, pembangunan keupayaan kedua-dua domain ini akan mengambil masa yang panjang berdasarkan tempoh pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dari tahun 2021 hingga 2030,” kata Affendi dalam wawacara khas di Wisma Pertahanan, di sini, sempena Hari ATM ke-87 yang disambut 16 September setiap tahun.

Tahap Kesiagaan Aset Tertinggi Hadapi Ancaman

Affendi berkata demi menentukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat digalas dengan berkesan, amat penting bagi ATM mempunyai tahap kesiagaan aset bersesuaian dan fokus perlu diberi untuk memastikan aset-aset sedia ada berada pada tahap kesiagaan yang tertinggi dalam mendepani sebarang kemungkinan.

Anggota tentera memakai penutup muka dan sarung tangan ketika mengawal bangunan Selangor Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“ATM memerlukan aset yang sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi agar keupayaan ATM dapat dipamerkan setiap masa, di samping menonjolkan keupayaan ini sama ada semasa latihan, kesiagaan bertindak mahu pun keupayaan mobilisasi,” katanya.

Mengambil contoh Op Benteng di bawah Pasukan Bertindak Kebangsaan (NTF) yang dilaksanakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Affendi berkata cabaran utama operasi bagi memperkasakan kawalan sempadan negara itu sememangnya memerlukan ATM menambah aset bagi menangani kemasukan migran dan aktiviti penyeludupan.

“Pengesanan dan buat rondaan dalam Op Benteng ini tidak memerlukan aset yang besar tetapi lebih kepada kelengkapan seperti bot pemintas, kereta pacuan empat roda dan motosikal scrambler.

“Ini kerana migran dan penyeludup ini tidak akan mendarat di kawasan jeti besar tetapi memilih kawasan yang terpencil,” katanya sambil menambah penggunaan dron turut banyak membantu dalam hal ini, ditambah dengan tindakan licik migran yang sentiasa mengubah modus operandi untuk memasuki negara ini.

Tangani Pencerobohan Sempadan

Beliau berkata strategi penyeludupan masuk migran ini yang kadang-kala sukar dibaca kerana mereka sentiasa mengubah modus operandi untuk menyeludup masuk dan itu antara cabaran yang dihadapi ATM dalam usaha menjaga sempadan negara yang panjang serta perairan yang luas.

“Inilah kesukaran yang terpaksa dihadapi termasuk idea perubahan modus operandi yang turut melibatkan rakyat tempatan yang menjadi tekong atau pengkhianat negara namun pihak NTF berjaya mengatasinya,” katanya.

Anggota Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri bagi mengawal laluan keluar masuk di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur pada 4 Mei 2020. FOTO: BERNAMA

Beliau berkata sehingga kini operasi memburu tekong dan tali barut giat dilakukan dan turut membuahkan hasil dengan beberapa siri tangkapan terhadap mereka yang bersekongkol terutama dengan sindiket penyeludupan.

Op benteng yang diaktifkan sejak Mei 2020 adalah untuk mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi migran dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Affendi berkata pelaksanaan Op Benteng meliputi enam kaedah iaitu pencegahan, langkah pengesanan, tindakan penghindaran, tindakan pelencongan, pengurusan penahanan serta inisiatif pengusiran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gali parit umpama idea perang khandaq kekang penyeludupan – ATM

KUALA NERANG, 26 JULAI: Diinspirasikan oleh peperangan khandaq, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggali parit di laluan tikus sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Durian Burung di sini bagi mengekang penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.

Panglima Briged Keenam Infantri Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata tindakan menggali parit yang kedalaman serta lebarnya 2.4 meter (lapan kaki) itu dibuat memandangkan sebelum ini penyeludup boleh terus ke pagar sempadan menggunakan motosikal atau kenderaan empat roda.

“Dengan adanya parit ini, kenderaan tidak boleh terus ke kawasan pagar sempadan namun mereka (sindiket penyeludupan) ini licik dan sanggup berjalan kaki umpama tentera semut untuk menyeludup barangan seperti daun ketum ke negara jiran.

“Oleh itu, pihak tentera masih meletakkan anggota untuk berkawal di 20 laluan tikus yang telah dikenal pasti di sempadan negara di Durian Burung ini,” katanya ketika ditemui semasa liputan media eksklusif Op Benteng di sini.

Op Benteng adalah operasi khas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) untuk mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin.

Tinjauan di kawasan batu sempadan 34 di Durian Burung juga mendapati pagar kawat duri yang dibina telah dirosakkan oleh sindiket penyeludupan dan kerajaan Thailand juga memasang pagar bagi membantu mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan itu.

Beliau berkata pihaknya kini memburu individu yang terlibat dalam sindiket penyeludupan yang dipercayai turut didalangi warga tempatan.

“Ada penduduk tempatan yang bersekongkol dan mengintip pergerakan anggota yang melakukan rondaan. Pihak tentera sedang kesan siapa dalang serta pemberi maklumat kepada sindiket penyeludupan barang dan pendatang tanpa izin.

“Hukuman setimpalnya akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Halim berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi keselamatan lain di bawah NTF bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan serta pendatang tanpa izin ke negara ini.

“Rondaan dan operasi akan terus dipertingkat malah perkongsian maklumat risikan antara agensi keselamatan berjaya mengagalkan cubaan menyeludup.

“Kerjasama ini akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi,” katanya menambah pihak tentera mempunyai teknologi canggih seperti alat pandang malam untuk menggagalkan cubaan menyeludup pada waktu malam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tekong perjudikan kedaulatan negara seludup Pati diburu – NTF

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Demi mengaut keuntungan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit, ada segelintir rakyat tempatan sanggup memperjudikan kedaulatan tanah air dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Tekong darat dan laut itu dikatakan menerima bayaran tinggi kira-kira RM13,000 hingga RM15,000 untuk setiap pendatang asing tanpa izin yang dibawa masuk secara haram.

Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan Pati yang didalangi kebanyakannya tekong terdiri daripada rakyat tempatan.

“Keuntungan diperoleh mereka (tekong) ini luar biasa, malah jumlah bayaran juga berbeza mengikut kawasan dan aktiviti,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di ibu pejabat NTF di sini baru-baru ini.

Contohnya, jika pendatang asing tanpa izin dibawa bergerak dari satu tempat ke tempat lain melalu sempadan yang dekat, tekong terbabit akan menerima bayaran antara RM800 dan RM1,500 untuk setiap seorang Pati.

“Jika sempadan yang (jaraknya) jauh, sudah tentu dikenakan bayaran tinggi sekitar RM13,000 hingga RM15,000 dan mempunyai harga tertentu,” katanya.

Pihak NTF telah mengenal pasti laluan masuk Pati terbabit melibatkan kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah; selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor; dan tenggara Johor.

“NTF mempunyai anggota yang bertugas 24 jam setiap hari di kawasan panas itu,” katanya.

NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak, yang dijadikan laluan untuk membawa masuk Pati.

Aris berkata lorong tikus di Malaysia di bahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif berjumlah 203; laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif (202); dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat (106).

Beliau berkata, pasukannya berdepan cabaran besar dalam mengesan dan mengenal pasti pergerakan PATI terutamanya etnik Rohingya yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus kerana didalangi tekong serta individu rakyat tempatan di sempadan daratan dan maritim negara.

“Selat Melaka dan Selat Singapura juga adalah laluan maritim yang sibuk dengan pergerakan kapal dagang.

“Maka, pendatang asing tanpa izin khususnya di barat dan selatan Semenanjung mengambil peluang dengan menggunakan laluan kapal dagang untuk masuk ke perairan negara,” katanya.

Walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan pendatang asing tanpa izin sehingga ke akar umbi, katanya.

-BERNAMA