Categories
AGENDA NASIONAL

Benih padi jenis NMR152 mampu hasilkan sehingga 10 tan sehektar

ROMPIN, 18 MAC: Agensi Nuklear Malaysia optimis pengeluaran hasil padi negara ini dapat ditingkatkan jika lebih ramai pesawah menggunakan benih padi nuklear NMR152 yang dibangunkan agensi itu.

Ketua Pengarahnya Dr Siti A’iasiah Hashim berkata benih padi itu berupaya menghasilkan lapan hingga 10 tan beras sehektar berbanding dua hingga tiga tan sehektar jika menggunakan benih padi biasa.

Beliau berharap dapat meningkatkan hasil padi negara dengan mengubah cara penanaman dan penggunaan benih padi berkeberhasilan tinggi seperti benih padi nuklear NMR152 dan beberapa variasi benih padi lain yang sedang dibangunkan.

“Usaha ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan pada negara luar seperti Thailand dan Vietnam untuk memenuhi permintaan beras dalam negara yang masih belum mencukupi.

“Saya percaya ini akan berjaya dicapai jika para penanam padi di negara ini bersedia menggunakan benih padi mutasi tersebut, apatah lagi benih berkenaan telah diiktiraf Jabatan Pertanian dan akan dijual pada harga subsidi kelak,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Siti A’iasiah sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Benih Padi Nuklear NMR152 di Sawah Skim Paya Laka yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Abdul Rahim Harun dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Rompin Mohd Faizul Miran.

Pada majlis itu, Nuklear Malaysia memberi sumbangan benih padi nuklear NMR152 dan baja Oligokitosan kepada lebih 20 penanam padi di sekitar kawasan tersebut yang terjejas oleh banjir beberapa bulan lalu, sebagai sebahagian daripada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi berkenaan.

Siti A’iasiah berkata selain boleh meningkatkan hasil pengeluaran padi, benih padi nuklear NMR152 dilihat berdaya tahan tinggi terhadap cuaca tidak menentu dan penyakit karah.

“Kelebihan benih padi NMR152 ialah boleh hidup walaupun air kurang atau banyak ketika musim hujan atau kemarau selain boleh menangani angin ribut kerana batangnya lebih kuat dan dapat bertahan jika terkena penyakit karah,” katanya.

Beliau berkata walaupun menggunakan teknologi nuklear untuk menghasilkan benih padi berkenaan, orang ramai tidak perlu risau untuk menggunakannya kerana teknologi itu terbukti selamat dan tidak memberikan kesan sampingan.

“Kita tidak mengubah benih padi dari segi genetik tetapi hanya mempercepatkan proses mutasi menggunakan sinaran gamma untuk menjadikannya lebih baik daripada induknya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

PBB harap perjanjian nuklear Iran dipertahan

WASHINGTON, 9 MEI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap perjanjian nuklear Iran dapat dipertahankan meskipun Tehran mengancam untuk menarik diri daripada kesepakatan itu, lapor agensi berita Anadolu.

“Pelan Tindakan Komprehensif Bersama itu merupakan pencapaian utama dalam isu senjata nuklear dan telah menyumbang kepada keamanan serta keselamatan serantau juga antarabangsa,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Kenyataan Guterres itu dibacakan jurucakapnya Farhan Haq dalam satu sidang akhbar pada Rabu.

Perjanjian itu mercu tanda antara Iran dan negara kumpulan P5 + 1 – yang mengenakan sekatan ketat ke atas program nuklear Tehran – sebagai balasan apabila Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan ke atas Iran.

Presiden Iran Hassan Rouhani pada Rabu mengancam untuk menarik diri daripada perjanjian itu dalam tempoh 60 hari jika kepentingan Tehran tidak dilindungi.

Iran juga bersedia meneruskan aktiviti pengayaan uranium apabila perlu, menurut ketua Agensi Tenaga Atom Iran Ali Akbar Salehi.

Tahun lalu, Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian terbabit selain mengenakan sekatan lebih ketat terhadap sektor tenaga dan perbankan Iran.

Trump turut mengumumkan untuk menamatkan pengecualian sekatan terhadap negara yang masih mengimport minyak dari Iran.

Pengecualian untuk China, India, Jepun, Korea Selatan dan Turki itu akan tamat awal Mei. Ia bertujuan untuk memberikan tekanan ke atas Iran.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Konflik nuklear dunia mungkin berlaku – Russia

MOSCOW 23 DIS: Russia memberi amaran bahawa pembatalan perjanjian nuklear era Perang Dingin mungkin membawa kepada perlumbaan senjata dan konfrontasi terus antara beberapa rantau dunia, hari ini, selepas cadangan Moscow ditolak undian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Moscow mengemukakan resolusi menyokong Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak-sederhana (INF) yang melarang Russia dan Washington daripada meletakkan peluru berpandu darat jarak sederhana di Eropah.

Kementerian Luar Russia berkata, PBB gagal mengundi memihak cadangan itu.

“Ia tamparan hebat kepada struktur keselamatan dan kestabilan global. Kini, tanpa INF, beberapa rantau dunia mungkin terjerumus dalam perlumbaan senjata atau konfrontasi langsung,” katanya.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Korea Utara musnah tapak ujian nuklear bulan ini

SEOUL 13 MEI : Korea Utara akan memusnahkan tapak ujian nuklear negara itu bulan ini sebelum sidang kemuncak bersama Amerika Syarikat (AS) dan berjanji untuk meletupkan terowong berkenaan di hadapan media asing yang dijemput khas.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji tindakan Korea Utara untuk memusnahkan tapak ujian Punggyeri dalam satu majlis dijadualkan antara 23-25 Mei.

“Terima Kasih, satu tindakan yang bijak dan baik hati,” kata Trump menerusi Twitter.

Dialog dicetuskan oleh Seoul itu menyaksikan bagaimana hubungan Korea Utara – Amerika Syarikat yang saling bertukar cercaan dan ugutan perang sejak tahun lalu bertukar kepada persetujuan untuk mengadakan persidangan antara Kim serta Trump di Singapura pada 12 Jun nanti.

Namun pengkritik memberi amaran, Pyongyang masih belum menyatakan sebarang komitmen dalam menyerahkan kesemua senjata milik mereka, termasuk peluru berpandu yang berkeupayaan untuk terbang hingga ke AS.

Washington menuntut Korea Utara menghentikan semua program nuklear negara terbabit dan menekankan bahawa pengesahan adalah kunci utama.

Punggye-ri di timur laut Korea Utara sebelum ini menjadi lokasi kesemua enam ujian nuklear termasuk yang terakhir dan paling kuat pada September tahun lalu, dikenali sebagai H-bomb. menurut Pyongyang.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Pemimpin Semenanjung Korea ikrar akhiri program nuklear

SEOUL 28 APR: Pemimpin Korea Utara dan Korea Selatan berikrar untuk bekerjasama ke arah misi menghentikan program nuklear di Semenanjung Korea, semalam tetapi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau akan mengekalkan tekanan ke atas Pyongyang menerusi sekatan sebelum pertemuan tidak dijangka dengan ketua Korea Utara, Kim Jong Un, beberapa minggu lagi.

Pertemuan antara Jong Un dan presiden Korea Selatan, Moon Jae In berjaya melahirkan imej dramatik dan deklarasi kebaikan namun masih kekurangan dalam beberapa komitmen spesifik serta gagal menjelaskan persoalan utama sama ada Pyongyang benar-benar bersedia menghentikan peluru berpandu nuklear yang kini menjadi ancaman terhadap AS.

Pada pertemuan di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara Semenanjung Korea itu selama lebih enam dekad, Jong Un dan Jae In mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan AS dan China tahun ini untuk menamatkan secara rasmi Perang Korea bagi memeterai perjanjian damai.

Dalam acara yang dihiasi dengan senyuman, saling bersalaman dan berpelukan, kedua-dua pemimpin itu turut berjanji meneruskan pengurangan senjata secara berperingkat, menghentikan tindakan keganasan, mengubah sempadan kepada zon damai dan mengadakan lebih banyak pertemuan bersama negara luar termasuk AS.

“Kami berikrar di hadapan 80 juta rakyat dan seluruh dunia bahawa tiada lagi peperangan di Semenanjung Korea dan era baru keamanan telah muncul,” kata kedua pemimpin terbabit.

Walaupun mereka saling sepakat dalam meneruskan misi semenanjung bebas nuklear, kedua-duanya masih tidak menjelaskan kaedah pelaksanaan atau maksud sebenar misi berkenaan.

Sementara itu di Washington, Trump ketika bercakap pada sidang media bersama Canselor Jerman Angela Merkel berkata, pertemuan bersama Jong Un nanti diharapkan mampu memberi keputusan produktif.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Trump, Macron bincang isu nuklear Iran

WASHINGTON 25 APR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan rakan sejawatannya, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyeru satu perjanjian baharu mengenai nuklear ditandatangani dengan Iran.

Trump menganggap perjanjian sebelum ini yang bertujuan membendung program nuklear Iran sebagai tidak masuk akal, sebaliknya beliau mahu perjanjian baharu bagi mengehadkan program peluru berpandu Iran, termasuk sokongan terhadap kumpulan militan di Asia Barat.

“Saya fikir kita mempunyai peluang untuk mengadakan perjanjian yang lebih baik dan ia perlu dilaksanakan atas landasan yang lebih kukuh.

“Perjanjian ini perlu merangkumi Yaman, Syria dan bahagian lain di Asia Barat, kerana tidak kira di mana sahaja kamu berada, kamu boleh lihat jejak Iran, di sebalik segala masalah di Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, Macron dalam sidang media bersama di sini, berkata beliau tidak mengetahui sama ada Washington akan mengelak daripada menandatangani perjanjian nuklear menjelang tarikh akhir pada 12 Mei ini.

“Apa yang boleh saya katakan, kami memang berbincang mengenai perkara ini (perjanjian nuklear), hanya kami berdua,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, pegawai kanan Amerika Syarikat dan Eropah mengadakan perbincangan bagi mencapai kata sepakat selepas Trump mendesak supaya perjanjian itu digubal semula.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL NASIONAL

‘Perang nuklear’ Trump-Jong-un berterusan

WASHINGTON, 3 JAN: Perbalahan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Korea Utara, Kim Jong-un berkenaan isu nuklear, masih berlangsung sehingga hari ini.

Terbaru, Trump menerusi laman mikro Twitter menegaskan butang nuklear miliknya berfungsi dengan baik, lapor Reuters.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Jong-un mengatakan beliau memiliki butang nuklear lebih besar dan berkuasa.

Terdahulu, pada Isnin, Jong-un secara sinis mengatakan AS kini berada di bawah kawalan senjata nuklear mereka dan butang itu hampir dengannya.

Jong-un turut mengakui apa yang didedahkan itu adalah kenyataan, bukan ancaman.

Categories
GLOBAL

Korea Utara ugut musnahkan Jepun

KOREA UTARA, 6 OKT: Pyongyang tidak teragak-agak menggunakan senjata nuklearnya keatas Jepun selepas negara matahari terbit itu cuba meyakinkan dunia supaya memaksa Korea Utara menghentikan program nuklearnya.

Korea Utara membuat ugutan tersebut melalui artikel yang disiarkan Agensi Berita Korea (KCNA), lapor International Business Times.

“Tokyo, mangsa pertama senjata nuklear mungkin akan menghadapi kemusnahan (melalui senjata nuklear) sekali lagi,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan KCNA lagi, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dituduh ‘mempunyai sasaran tidak elok dalam politik negaranya’ dengan menaikkan kos pertahanan negara Jepun dan mengadakan pilihan raya mengejut.

“Tiada siapa tahu bila situasi kecam-mengecam ini akan menjadi perang nuklear, jika ia terjadi, Jepun akan terbakar dalam masa sesaat,” kata kenyataan KCNA lagi.

September lepas, Shinzo Abe hadir ke mesyuarat agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat menggesa tekanan diberikan kepada Korea Utara dan bukannya diajak berdialog.

Ketika ini, PBB telah mengenakan beberapa sekatan terhadap Korea Utara sebagai tekanan untuk negara tersebut menghentikan program nuklearnya.

Categories
GLOBAL

Ujian nuklear Korea Utara 16 kali ganda ledakan Hiroshima

SEOUL 13 SEPT: Ujian nuklear terbaru Korea Utara kemungkinan menghasilkan letupan 250 kilotan, lebih tinggi berbanding anggaran rasmi, kata kumpulan pemerhati Amerika Syarikat (AS).

Laman web AS, 38 North, yang dikaitkan dengan Universiti Johns Hopkins, berkata ia menaikkan anggaran hasil letupan itu kepada 250 kilotan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Ia adalah 16 kali lebih besar berbanding saiz bom 15 kilotan yang memusnahkan Hiroshima pada 1945.

Anggaran kerajaan bagi hasil letupan itu berbeza daripada Korea Selatan iaitu 50 kilotan dan Jepun dengan 160 kilotan.

Kesan North1Pyongyang yang mengadakan ujian nuklear keenam dan terbesar minggu lalu, berkata ia adalah bom hidrogen yang boleh dimuatkan ke dalam peluru berpandu, mencetuskan kecaman antarabangsa dan meningkatkan ketegangan berhubung cita-cita nuklearnya.

Perkhidmatan Geologi AS (USGS) meletakkan ukuran yang menyebabkan gempa bumi itu pada 6.3 dan Pertubuhan Perjanjian larangan Ujian Menyeluruh Nuklear (CTBTO) dan agensi Norway, NORSAR, meletakkan ukuran awal pada 6.1.

Pegawai AS berkata, mereka masih menilai sama ada ia adalah bom-H, juga dikenali sebagai senjata termonuklear, tetapi setakat ini tiada yang tidak konsisten dengan dakwaan Korea Utara ia adalah bom hidrogen.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korea Utara mampu lancar serangan nuklear terhadap AS dan Eropah

GLOBAL 2 SEPT: Korea Utara mampu melancarkan serangan nuklear ke atas Amerika Syarikat dan Eropah hanya dalam tempoh beberapa bulan, kata Rusia dan Perancis.

Presiden Russia, Vladimir Putin menyuarakan secara keras Semenanjung Korea kini di ambang satu konflik yang amat besar.

“Masalah di rantau ini hanya mampu diatasi menerusi dialog secara terus di antara semua pihak terbabit, tanpa memberikan apa-apa prasyarat,” kata beliau dalam satu kenyataan Kremlin, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Putin memberi amaran bahawa ancaman, tekanan dan penghinaan serta retorik ketenteraan adalah petanda meniti ke arah jalan maut.

Beliau juga menggesa semua pihak terbabit menandatangani program pengantara dilakar oleh Moscow dan Beijing.

northkoreamapSementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian memberi hujah bahawa siri ujian peluru berpandu yang kerap dilancarkan rejim Pyongyang, baru-baru ini adalah petanda sesuatu yang serius bakal berlaku.

Katanya, sesi dialog khusus untuk meredakan ketegangan timbul perlu diadakan segera bagi mengelakkan sebarang perkara lebih buruk berlaku.

“Kami melihat Korea Utara berkemampuan untuk menggerakkan senjata nuklear mereka pada kadar segera.

“Dalam masa beberapa bulan, ia akan menjadi satu kenyataan. Ketika itu apabila ia mampu menyerang AS, Eropah dan Jepun serta China, keadaan akan menjadi tidak terkawal,” katanya dalam wawancara bersama radio RTL.

=EZY=

Categories
GLOBAL

AS, Rusia miliki 7,000 kepala peledak nuklear?

GLOBAL, 13 OGOS: Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mendahului senarai teratas daripada sembilan negara dipercayai memiliki senjata nuklear dengan masing-nasing dianggar mempunyai 7,000 kepala peledak.

Walaupun terdapat banyak laporan bertentangan tentang angka itu, data Persekutuan Saintis Amerika (FAS) pada Julai lalu mendapati Washington mempunyai 6,800 kepala peledak nuklear berada di tangga kedua selepas Rusia memiliki kira-kira 7,000 senjata sama.

Ia bagaimanapun berbeza dengan Korea Utara yang hanya mempunyai kurang daripada 20 kepala peledak.

Baru-baru ini, tentera AS mengisytiharkan Washington mempunyai 806 ICBM, peluru berpandu dilancarkan dari kapal selam (SLBM) dan pengebom berat serta 1,722 kepala peledak.

Bulan lalu, laporan Agensi Risikan Pertahanan AS mendakwa sehingga 60 senjata nuklear kini dikawal oleh Jong-un.

Laporan lain mendedahkan Pyongyang telah menyeragamkan kepala peledak nuklearnya kepada saiz kecil untuk disesuaikan dengan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mana jarak jangkauannya boleh mencapai sejauh New York atau Washington.

Perang retorik tercetus sepanjang minggu lalu turut menyaksikan Pyongyang mengancam untuk melancarkan serangan ke atas Guam yang merupakan wilayah Amerika Syarikat di Pasifik sebagai respons terhadap provokasi Presiden AS, Donald Trump.

-Sinar Online

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Laporan PBB: Risiko berlaku malapetaka nuklear kritikal

NEW YORK 22 APRIL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran risiko perang nuklear berlaku akibat ‘kesilapan malapetaka’ berada pada tahap kritikal dalam tempoh 26 tahun selepas era kejatuhan Soviet Union, kata Laporan Institut Kajian Perlucutan Senjata PBB (UNIDR)

Laporan setebal 100 muka surat itu menyakan keadaan itu diburukkan apabila sembilan negara di dunia memiliki kira-kira 15,000 senjata nuklear ditambah dengan peningkatan perbelanjaan untuk tentera dengan kapasiti keupayaan peralatan senjata nuklear.

Laporan itu yang dikeluarkan pada 10 April lalu turut menyatakan situasi itu boleh berlaku disebabkan kegagalan sistem automatik (senjata nuklear) yang rumit dan mencetuskan kejadian yang boleh meragut berjuta-juta nyawa.

Jelas laporan itu, program pencegahan nuklear masih bertahan sehingga tempoh tertentu.

“Risikonya sangat tinggi dan jika nasib tidak baik, malapetaka akan menyusul,” tambah laporan itu.

Selain itu, UNIDR memberi amaran bahawa sambungan antara alat pengesan, drone dan rangkaian sistem senjata menunjukkan satu kesilapan boleh memburukkan lagi keadaan dengan pantas.

Malah jelasnya, risiko insiden, salahfaham dan pertikaian yang tidak diingini terlalu tinggi.

“Kerumitan sistem interaksi yang menghubungkan senjata nuklear (seperti sistem amaran awal, kawalan perintah dan pelancaran) boleh mencetuskan insiden nuklear secara tidak sengaja.

“Kebergantungan kepada sistem automatik ini juga boleh mengkikis keyakinan, sekali gus mendedahkan dunia ini kepada ancaman baharu (perang nuklear),” tambah laporan itu.

UNIDR juga menekankan risiko negara kecil yang menjadi kuasa nuklear terdedah kepada ancaman pengganas memandangkan negara tersebut tidak mempunyai kawalan yang ketat terhadap senjata tersebut.

“Selagi senjata nuklear masih wujud, nyawa kita masih terancam sama ada senjata itu digunakan dengan tujuan atau secara tidak sengaja.

“Ancaman ini hanya boleh dihapuskan jika semua senjata nuklear dimusnahkan,” tambah laporan berkenaan memetik kenyataan pada Persidangan Agung PBB pada 2013.

Sebagai contoh, kata UNIDR, Perang Dingin hampir mencetuskan perang nuklear antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet (kini dikenali sebagai Rusia) termasuk insiden pada 1983 yang menyaksikan sistem senjata senjata Soviet.

=EZY=