Categories
SELANGOR

Sikap Gigih Resepi Pelajar Terbaik Keseluruhan Unisel

Pelajar Terbaik UNISEL 01

SHAH ALAM 10 MAC : Sikap usaha gigih belajar dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah adalah antara resepi kepada kejayaan pelajar terbaik keseluruhan pada Majlis Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) Ketujuh Pada Sidang Kelima.

Mengambil jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (JAD), Noranugerahtul Akmal Abdul Malek,20, berkata, beliau akan menyambung pelajaran selama dua tahun di Universiti Tokyo dan seterusnya akan meneruskan ke peringkat sarjana.

“Hubungan dengan kita dengan Allah perlu dijaga disamping hormat kepada kedua ibu-bapa, semakin kuat hubungan antara kita dengan Allah semakin mudahlah kita mengharungi liku-liku kehidupan ini.

“Apa yang kita minat perlu diteruskan dan jangan mudah berputus-asa,” kata Noranugerahtul ketika ditemui yang merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik.

Pelajar Terbaik UNISEL 02Beliau yang bercita-cita menjadi pensyarah berkata, beliau bertuah dapat belajar di Unisel yang mempunyai kelengkapan pembelajaran yang terbaik disamping pensyarah yang berkaliber.

Dalam majlis itu, seramai 341 graduan termasuk 57 pelajar yang mengikuti program Diplima Kejuruteraan Jepun/Unisel Japanese Associate Degree Programme (JAD) akan menerima ijazah serta diploma masing-masing.

Sementara itu, Pelajar Terbaik Diploma Kejuruteraan Mekanikal dianugerahkan kepada Siti Aisyah Mohd Zaifuddin manakala Pelajar terbaik Bahasa Jepun dianugerahkan kepada Nur Atiqah Azlan

Pelajar Terbaik Diploma Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik pula dianugerahkan kepada Khairul Anuar Mohd Ariff.

Istiadat itu akan dirasmikan oleh Canselor Unisel, YAM Tan Sri Datuk Seri Raja Arshad Raja Tun Uda yang turut akan dihadiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kumpulan 57 pelajar cemerlang ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang dipilih daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program JAD di Unisel yang dijalankan sejak 2005.

Pelajar tersebut akan berlepas ke Jepun pada 25 Mac depan bagi menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang dibiayai sepenuhnya oleh YPM selama dua tahun yang bergabung di bawah 15 konsortium Universiti Jepun.

Sehingga kini seramai 547 graduan JAD sudah menamatkan pengajian di Unisel.

Program JAD adalah projek khas Kerajaan Malaysia menerusi konsep Dasar Pandang Ke Timur untuk pelajar Bumiputera menyambung pengajian mereka di Jepun.

Pelajar perlu mengikuti pengajian JAD di Malaysia dengan menguasai bahasa Jepun sepenuhnya selama tiga tahun bagi mengikuti program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Elektrikal dan Kejuruteraan Elektrik Teknikal Jepun.