Categories
NASIONAL

PKR Kecam Serangan ‘Malam Berdarah Lembah Pantai’

SHAH ALAM 26 MEI : PKR menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno kerana mengganggu program Ceramah Perdana PKR Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai pada 24 Mei lepas.

Dalam kenyataan media bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan provokasi samseng Umno yang membaling batu bata, telur dan botol air mineral mengakibatkan dua orang yang menghadiri ceramah PKR mengalami kecederaan.

“Beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung dan tayar kereta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan media itu.

PKR menggesa supaya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menyiasat bagaimana kuarters tersebut dibenarkan untuk diguna pakai pihak Umno.

PKR melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam itu tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

“PKR menggesa pihak Polis untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” jelas kenyataan media itu.

Categories
NASIONAL

Ceramah PKR Lembah Pantai Kena Baling Batu, Telur, Letrik Dipotong

KUALA LUMPUR 24 Mei : Ceramah PKR di perkarangan pangsapuri di Lembah Pantai di sini menjadi kecoh apabila beberapa individu membaling batu, telur dan botol air ke arah hadirin yang berkumpul untuk mendengar ucapan daripada pemimpin kanan parti itu.

Seorang penonton ceramah yang diadakan di dalam perkarangan flat Pantai Permai, cedera selepas terkena batu yang dilemparkan daripada arah yang tidak diketahui.

Beliau dikejarkan ke hospital oleh petugas PKR.

Beberapa penonton lain terkena lemparan telur sejurus selepas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memulakan ucapannya pada kira-kira pukul 10.30 malam.

Serangan telur tersebut bermula sejurus bekalan elektrik kepada khemah ceramah itu dipotong dan keadaan menjadi gelap.

Peralatan Krew TVSelangor yang berada dilokasi tersebut untuk tujuan siaran langsung juga terkena serpihan telur yang dilemparkan.

Nurul Izzah, yang juga MP Lembah Pantai, dilihat memujuk beberapa penonton ceramah yang memaki hamun Umno kerana tindakan sabotaj tersebut, supaya bertenang dan bersabar.

Setelah beberapa minit, bekalan elektrik ceramah itu dapat disambung semula.

Nurul Izzah di dalam ucapannya berkata provokasi tersebut diadakan kerana Umno-BN takut akan kehadiran Pakatan.

“Masa saya berkempen dulu, tidak pernah seteruk ini, mereka boleh buat jahat tetapi ingatlah, rakyat akan bangkit lawan kejahatan ini.

“Umno-BN patut malu kerana melakukan provokasi sebegini, kita tidak akan takut tetapi mereka yang takut, ” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Atkin juga menyeru individu-individu yang membaling batu dan telur tersebut agar memberhentikan tindakan mereka.

?Saya mintak Pemuda Umno supaya jangan bertindak sedemikian. Hormati hak kita untuk berucap seperti kita hormati hak kamu untuk berucap.

?Berucaplah sekuat-kuat hati tetapi jangan sampai buat macam ini (bertindak ganas),? Shamsul Iskandar berkata.

Ceramah PKR yang bertemakan ?Halatuju Politik dan Ekonomi Negara? turut memuatkan majlis penyampaian hadiah pelajar cemerlang Ujian Penilaian Menegah Rendah oleh Nurul Izzah.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden PKR Tian Chua turut memberi ucapan pada malam itu.

Suasana bermula tegang dari pukul 8 malam ekoran sebuah lagi ceramah Umno-BN yang telah diadakan berhampiran tapak ceramah PKR.

Wartawan TVSelangor berkata beberapa kumpulan mat rempit yang berkeliaran di jalan ke flat tersebut bertindak membunyikan enjin motosikal mereka dengan kuat untuk menganggu ucapan.

Jalan ke flat Pantai Permai juga dikepong oleh pemuda yang dipercayai aktivis Umno-BN berbaju merah yang cuba menakut-nakutkan pengguna kenderaan dengan mengajukan banner perkataan kesat dan mengibar bendera Umno.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nurul Izzah Buat Laporan Polis Terhadap Ganguan Depan Rumah Ambiga

SHAH ALAM, 24 MEI: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semalam telah membuat satu laporan Polis terhadap kumpulan yang mendirikan gerai-gerai perniagaan secara haram di hadapan rumah Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Menurut Nurul Izzah, tindakan kumpulan tersebut mendirikan gerai perniagaan bukan sahaja menimbulkan gangguan terhadap Ambiga dan jiran-jirannya malah turut melakukan gangguan seksual terhadap mereka.

“Bukan mendirikan gerai-gerai sahaja, tetapi juga poster berbaur lucah melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Ambiga, yang tak boleh diterima langsung.

“Cara mereka tidak menunjukan akhlak yang begitu baik. Kita menghormati hak asasi rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan tetapi perlulah menghormati ‘privacy’ dan undang-undang tidak boleh hanya dikuatkuasakan kepada kumpulan yang anti kerajaan,” ujar Nurul Izzah kepada TVS hari ini.

Menurut laporan polis yang dibuat di Balai Polis Damansara itu, kumpulan tersebut turut mengeluarkan kenyataan yang berbaur amaran terhadap Ambiga, Anwar dan BERSIH 3.0.

Menurut laporan itu juga, pertubuhan pro-Umno, Pekida (Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia) dan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) juga bercadang untuk hadir esok untuk membuat kekacauan.

Nurul Izzah turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak berkuasa yang melakukan pendakwaan terpilih.

“Saya kecewa kerana pada masa yang sama mereka mendakwa Anwar, Azmin Ali dan Chegu Bard serta Ambiga yang baru disaman oleh kerajaan Malaysia.

?Tetapi membiarkan pelaku-pelaku yang membuat gangguan terhadap Ambiga walau telah dijelaskan ada peruntukan undang-undang untuk memaksa pihak berkuasa ambil tindakan terhadap mereka.

“DBKL bertanggungjawab mengguna duit cukai negara untuk memadam semula kerja-kerja vandalisma yang mereka buat atas jalan raya, tetapi kenapa vandalisma yang mereka buat itu tidak didakwa.

“Bayangkan semasa BERSIH 3.0, DBKL telah mengguna undang-undang kecil dan polis diarah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang kemasukan peserta BERSIH 3.0 ke Dataran Merdeka yang merupakan tempat awam yang tiada sesiapa yang tingga di situ.

“Saya bukan bercakap tentang pegawai bawahan. Saya cakap tentang Timbalan Ketua Polis Negara, saya bercakap tentang Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar, macam tiada peruntukan undang-undang yang boleh menghentikan perbuatan mereka itu,” ujar beliau lagi.

Turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat itu, kumpulan terlibat telah  melanggar beberapa akta termasuk Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Kanun Keseksaan.

Selain itu, kumpulan tersebut turut menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Disamping menghormati hak asasi rakyat, Nurul Izzah berkata pihak terlibat juga harus menghormati kenteraman pihak lain khususnya apabila melibatkan kawasan peribadi atau kediaman seseorang.

“Saya tidak tolak kalau hendak berdemo dan sebagainya, tetapi yang saya hendak persoalkan ialah bila mencerobohi kawasan ‘privacy’ yang bukan tempat umum berhampiran perkarangan rumah orang, kalau depan rumah menteri kabinet pun saya tak bersetuju,” beritahu beliau.

Menurut Nurul Izzah lagi selain beliau, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng turut membuat laporan polis berhubung isu sama terhadap kumpulan yang mendakwa kononnya mewakili para peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Categories
NASIONAL

PKR Mahu Kerajaan Telus Tangani MAFTA

 

SHAH ALAM 21 MEI : Sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) esok, PKR menuntut Kerajaan Pusat bertindak secara integriti dan telus demi kepentingan rakyat dalam memeterai perjanjian berkenaan.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, PKR menyokong mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas asalkan ianya dilakukan berdasarkan prinsip yang adil dan tidak merugikan.

“PKR menyokong mana-mana FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) andai semua pihak yang berkepentingan terlibat dalam proses selain perlunya laporan kajian dan ratifikasi oleh sidang Parlimen.

“Semua FTA juga haruslah berlandaskan perdagangan adil tanpa menjejaskan sfera sosio-ekonomi, alam sekitar, domain budaya, hak asasi buruh , keselamatan awam dan keselamatan negara,” jelas Nurul dalam kenyataan akhbarnya.

Dalam nada sama, PKR juga mendesak agar isu berhubung projek LYNAS dijalankan secara telus tanpa mengenepikan kepentingan awam.

“MAFTA yang diselubungi rahsia dan kurangnya ketelusan serta pendedahan penuh pasti akan menarik lebih perhatian ke atas kontroversi Lynas.

“Projek Lynas di Gebeng, Pahang, dijadualkan memulakan operasi pada suku ke-2 2012, dijangka akan mengimport bahan mentah bumi dari Barat Australia untuk diproses di fasiliti penapisan di sini.

“Oleh itu, PKR menuntut jawapan muktamad kepada soalan sama ada Australia, di bawah MAFTA, akan menerima eksport sisa dan produk hasil bahan-bahan bumi diproses dari Gebeng yang boleh dinamakan sebagai ‘produk perdagangan’,” jelas Nurul yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Di samping itu, PKR juga menuntut agar Parlimen Malaysia dapat memainkan peranan kali ini dalam meneliti serta mengesahkan semua keputusan dan pindaan bagi mengelak kesilapan lalu daripada terus berulang.

“Sejarah telah membuktikan kita kehilangan kepentingan dan kedaulatan negara dalam pelbagai kes.

“Antaranya kes Pulau Batu Putih (dengan Singapura), Blok L dan M (dengan Brunei), Perjanjian Air (dengan Singapura) dan Tanjong Pagar KTM (dengan Singapura),” tegas Nurul lagi.

Categories
NASIONAL

Memorandum Mansuh ISA Desak PM Tunai Janji

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Gerakan Mansuh ISA (GMI) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya melaksanakan janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) serta merta seperti yang diumumkan pada 15 September tahun lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keutamaan sekarang adalah membatalkan ISA yang digunapakai sehingga mengakibatkan tahanan terpaksa menunggu begitu lama tanpa mengetahui status bersalah atau tidak.

Katanya, jika penggubalan akta baru bagi menggantikan akta sedia ada masih mengekalkan tindakan tahan tanpa bicara,  beliau menyifatkan kerajaan sekadar melaungkan ‘cakap-cakap kosong semata-mata’.

Hampir 50 orang penyokong hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bertajuk Janji Ditepati Atau Mungkir Janji? dengan tujuh tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Tujuh tuntutan tersebut adalah :

* Segera memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1985-Langkah-langkah Pencegahan Khas

*Melupakan cadangan mewujudkan undang-undang baru yang mempertahankan konsep tahan tanpa bicara

*Melaksanakan rundingan awam yang benar dan munasabah terhadap penggubalan undang-undang baru yang melibatkan semua pihak

*Menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahanan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

*Menutup segera Kem Tahanan Kemunting ( KEMTA) dan diwartakan sebagai Warisan Negara atau muzium seperti mana Pulau Robben, Afrika Selatan.

*Membayar pampasan kepada semua mangsa ISA setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

*Mematuhi piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-keganasan dan membentuk mekanisme baru menangani keganasan tanoa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan. Oleh itu, kerajaan Malaysia seharusnya bersedia untuk menandatangani dan meratifikasi ‘International Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convrntion Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)’.

Tegas beliau, kewujudan ISA akan menyukarkan negara untuk mencapai status negara maju dan akan memberikan kesan kepada ekonomi khususnya pelaburan asing dan masa depan rakyat.

“GMI berpandangan kegagalan PM dalam mematuhi janji untuk memansuhkan ISA akan mencalar imej dan kredibiliti beliau.

“Malah lebih buruk lagi akan mencemar rasa hormat masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili pihak pembangkang menerima memorundum yang diserahkan oleh  Pengerusi GMI namun tiada wakil penerima daripada pihak kerajaan.

Anwar dalam reaksinya menyatakan sokongan terhadap pemansuhan ISA dan akan membawa perkara ini untuk dibahaskan di Parlimen.

Turut hadir sama memberikan sokongan adalah MP Pakatan Rakyat, Fuziah Salleh, Nurul Izzah, Dr Siti Mariah Mahmud, Michael Jeyakumar dan Datuk Mahfuz Omar.

Categories
NASIONAL

NFC: PKR Tidak Tunduk Ugutan Undang-Undang

PETALING JAYA, 31 MAC: PKR tidak gentar dengan ugutan undang-undang untuk mendakwa tiga pemimpin parti tersebut berhubung pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging NFC membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata beliau yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.

“Saya menghormati hak NFC dan pengurusan kanan mereka menggunakan ruang undang-undang untuk mendakwa kami, saya juga mengingatkan NFC supaya tidak cuba untuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kini semakin aktif mendedahkan penyelewengan di kalangan pimpinan dan golongan elit.

“Maqassid undang-undang di dalam sesebuah masyarakat adalah untuk menjamin keadilan dan mencegah kezaliman, bukannya untuk melindungi penyelewengan dan memberi ruang kepada si pesalah melepaskan diri.” kata beliau melalui sebuah kenyataan media.

Jelas Rafizi beliau dan pemimpin PKR lain bersedia  memberi sepenuh kerjasama kepada pihak penyiasat sekiranya ada pendakwaan.

“Saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.” ujarnya

Semalam NFC telah membuat satu laporan polis mensabitkan Rafizi, MP Lembah Pantai,Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dengan kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu didakwa ekoran PKR mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Dato? Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar 7 Mac lalu.

Categories
NASIONAL

Politik Gengster: Umno Harus Dipertangungjawabkan

SHAH ALAM 29 FEB : Umno disifatkan sebagai semakin terdesak apabila terpaksa membawa budaya politik tidak matang dengan menggunakan keganasan dan gangsterism bagi menggangu program Pakatan Rakyat bersama masyarakat.

Senario yang mengecewakan ini digambarkan oleh Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Redwan berhubung siri serangan ganas dibeberapa lokasi program Pakatan Rakyat bersama masyarakat yang turut mengancam keselamatan pemimpin tertinggi gagasan itu.

“Umno yang semakin lemah sedar mereka telah gagal untuk menggunakan otak bagi berhujah, lebih memalukan apabila (Perdana Menteri) Najib yang tidak berani berdebat, maka Umno menggunakan keganasan dan gangsterism mengganggu program pendidikan politik rakyat.

“Ditegaskan Umno lah yang bertanggungjawab atas keganasan yang berlaku. Ia merupakan keganasan terancang dan sememangnya menjadi strategi Umno mutaakhir ini,”jelas Edy Noor dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

Pada 20 Februari lalu, Ketua Umum PKR, Datuk  Seri Anwar Ibrahim menerima serangan fizikal ketika siri ceramahnya di Sembrong.

Dalam kejadian itu, kenderaan milik Anwar mengalami kerosakan akibat diserang

Terbaru, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menerima nasib yang sama apabila dirinya diserang oleh seorang lelaki ketika sedang menyampaikan ceramah di Gambang, Pahang.

Kisah yang sama turut dihadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang turut diserang ala-samseng yang melibatkan pimpinan Umno dan Perkasa sehingga mencederakan wartawan di Padang Kota Lama.

Begitu juga dengan serangan bersifat perkauman dibeberapa tempat sejak kebelakangan ini seperti di Jalan Kebun, Klang dan Rantau, Negeri Sembilan.

Penglibatan pemimpin Umno dalam siri serangan ini dikuatkan lagi dengan pendedahan gambar.

Antaranya, Senator Md Nor Ezam dilihat bersama dengan ketua penyerang di Jalan kebun yang konon sedang diburu polis.

Begitu juga gambar Datuk Helmi Yahya bersama dengan antara kumpulan penyerang yang menyerang Lim Guan Eng baru minggu lepas juga disertai pimpinan utama Umno Pulau Pinang.

Mengulas lanjut siri serangan ganas yang disifatkan sebagai suatu yang dirancang, SAMM menzahirkan rasa kesal dengan sikap polis yang dilihat seperti diperkuda oleh pemerintah.

“Yakinlah polis punya rakaman, bukti yang cukup bagi mendakwa gangster ini tetapi mereka tidak mampu kerana umno melindungi gangster ini.

“Walaubagaimanapun rakyat perlu tenang kerana perkembangan ini merupakan perkembangan biasa bagi regim hujung usia seperti mana di mesir ketika di hujung usia pemerintahan, regim Husni Mubarak menggunakan pendekatan keganasan dan kekasaran untuk menghalang kebangkitan rakyat Mesir,”

Tambahnya lagi, rakyat Malaysia seharusnya bangkit menolak regim Umno seterusnya mengekang politik ganas, samseng dan ugut-mengugut yang menjadi amalan Umno selama ini.

Categories
NASIONAL

DAP Minta Umno Hentikan Serangan Samseng

SHAH ALAM, 28 JAN : Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Jenice Lee hari ini mendesak Umno agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan perbuatan samseng ahli Umno yang sering menyerang pimpinan Pakatan Rakyat.

Desakan itu dibuat ekoran beberapa serangan ke atas beberapa pimpinan Pakatan baru-baru ini. Terbaru, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan dua orang wartawan diserang sekumpulan lelaki dipercayai ahli Umno Pulau Pinang apabila beliau menyertai Himpunan Hijau 2.0 di Pulau Pinang Ahad lalu.

Di dalam satu insiden yang berlainan, ceramah Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar di Felda Lepar Hilir 1, Pahang terpaksa dihentikan apabila ia diganggu oleh sekumpulan lelaki dipercayai dari Umno.

Janice yang kecewa dengan provokasi murahan seperti itu, meminta supaya Umno mengambil tindakan sewajarnya untuk mengawal dan mendisiplinkan ahli-ahli mereka.

“Kejadian ini bukan kali pertama tetapi sudah berulang kali terjadi. Itu juga bukan satu teladan yang baik buat masyarakat kita,” ulas Janice yang juga merupakan Adun Teratai.

Selain itu, mengambil contoh kejadian di Pulau Pinang, Janice melahirkan kekecewaannya terhadap sikap pihak polis yang gagal mengambil tindakan segera menghentikan serangan samseng Umno.

“Walaupun polis berada di tempat kejadian semasa Lim Guan Eng dan pemberita diserang oleh Umno tetapi polis berdiam sahaja.

“Ini jelas menunjukkan polis mengamalkan prinsip ‘double standard’, satu untuk ahli Umno, satu lagi untuk rakyat biasa dan pemimpin Pakatan Rakyat,” hujah Janice lagi.

Justeru, Janice meminta Ketua Polis Pulau Pinang untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalan pihak polis untuk melindungi keselamatan Lim Guan Eng dan juga rakyat.

Categories
NASIONAL

PKR Sokong Tuntutan CUEPACS

SHAH ALAM, 24 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan tuntutan CUEPACS agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM 700 hingga RM2500 bagi penjawat awam sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Menurut laporan United Nations (UN) Public Administration Network Public Service pada 2006, Malaysia merekodkan jumlah nisbah gaji tertinggi dan terendah di rantau ini dengan nisbah sekitar 19.5:1.” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah.

“Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah.

“Oleh itu, PKR menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini,” ujar puteri sulung Ketua Pembangkang ini.

Selain itu, Izzah juga menjelaskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, PR akan menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama selain insentif khas RM 500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana termaktub di dalam Buku Jingga.

“Sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam.

“Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000
penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada,” tambah Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Katanya segala komitmen Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan cadangan SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori Premier layak menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu hanya sebanyak RM1.70 sebulan.

“PKR menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji syor terbaru yang dibentangkan CUEPACS serta saranan Pakatan Rakyat.

“Kita juga menyarankan agar semakan gaji dapat dilakukan setiap 5 tahun supaya mudah diselaraskan dengan kadar inflasi semasa,” ujar beliau.

Categories
NASIONAL

PM Perlu Perjelas Projek Kepada Kroni

SHAH ALAM, 21 FEB: Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pemberian projek melibatkan pemberian konsesi RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) kepada Keluarga Bekas Ketua Hakim Negara dan Penasihat Undang-Undang UMNO.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan medianya berkata pemberian konsesi tersebut melibatkan Penasihat Undang-Undang Umno Datuk Hafarizam Harun yang pernah mewakili Datuk Seri Zamry Kadir ketika kemelut krisis perundangan di Perak pada 2009.

Harafizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

Sementara isteri Tun Zaki Azmi pula merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuhraya .

Pemberian konsasi kepada dua syarikat milik Harafizam tersebut didakwa sebagai ‘habuan’ ekoran kejayaan BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat.

Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula ketika itu adalah Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang dilantik secara mengejud bagi memudahkan Perak dikembalikan kepada BN.

Menurut Nurul Izzah kontroversi penganugerahan konsesi tersebut dan Perdana Menteri mestilah respon segera berkenaan isu-isu berikut;ini:

1. Pendirian PM berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009:

“Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan.”

Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Tan Sri Ariffin Zakaria mestilah meminta Tun Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini.

2. Mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail. Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?

3. Bagaimanakah pemberian konsesi dan pakej kontrak ini selari dengan dasar pentadbiran ini, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi?

4. Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?

Menurut Nurul Izzah, agihan projek kepada kroni ini Program Transformasi Kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran wang rakyat untuk pembangunan negara dan perbelanjaan operasi dengan memastikan ketelusan di dalam pemberian kontrak merupakan janji kosong.

MP Lembah Pantai itu menggesa jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak ‘bail-out’ dan penswastaan semula sebagaimana berlaku ketika Era Dr Mahathir.

Sementara itu Di dalam smsnya kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini.

Menjawab kenyataan tersebut Nurul Izzah berkata rekod buruk kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini jelas tidak berubah.

Katanya terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek ini tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.