Categories
KENYATAAN MEDIA

Dakwaan Kerajaan Oman menampakkan lompong sistem pendidikan tinggi

OLEH NURUL IZZAH ANWAR

Saya memandang serius tindakan kerajaan Oman yang melarang rakyatnya untuk melanjutkan pengajian ke beberapa buah institusi pengajian awam dan swasta di Malaysia.

Hal ini dibangkitkan atas masalah pendaftaran pelajar dan penyalahgunaan visa pelancong yang dibenarkan oleh institusi terlibat, meskipun ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

Oleh itu, saya mendesak pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dengan usaha sama Agensi Kelayiakan Malaysia (MQA) serta institusi pengajian tinggi yang tersenarai agar menjelaskan situasi sebenar dengan kadar segera.

Langkah ini mustahak agar memastikan imej institusi pengajian tinggi di Malaysia tidak terus tercemar dan dipandang remeh.

Isu berkaitan pengurusan dan kebajikan pelajar di institusi pengajian tinggi sewajarnya diberikan perhatian utama oleh pihak pentadbiran, tidak kira sama ada ia membabitkan pelajar tempatan mahupun pelajar warganegara asing.

Bahkan pihak KPT sepatutnya menghargai keberadaan pelajar asing yang melanjutkan pengajian di bumi bertuah ini, kerana mampu menjadi duta kecil Malaysia apabila mereka pulang ke negara asal mereka.

Dalam usaha kita untuk bergelar hub pendidikan tinggi di rantau Asia, kualiti pengurusan dan kaedah kemasukan pelajar daripada negara luar adalah antara komponen yang wajar diperhalusi.

Di pihak pelajar, khususnya mereka yang berasal dari negara luar, kos pengajian yang sememangnya terlalu tinggi tidak perlu dihimpit dengan masalah pendaftaran serta dakwaan melulu disebabkan kelemahan pengurusan institusi yang terbabit.

Maka, saya menyeru Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pengajian Tinggi agar dapat mengemukakan kenyataan balas terhadap larangan negara Oman, di samping mengetatkan prosedur kelulusan dan pantauan di bawah MQA.

Juga, saya menyarankan kementerian berkenaan agar tampil dengan sistem pengesanan dan pengesahan pelajar yang lebih inklusif, dan tidak bersikap lepas tangan 100% terhadap tanggungjawab ke atas 640 institusi pengajian tinggi tempatan (merangkumi IPT awam dan swasta).

Sesungguhnya pencapaian IPT tempatan bukanlah tertakluk pada peningkatan hasil penyelidikan (yang dilaporkan meningkat sebanyak 7.2% dalam tempoh 6 tahun lepas) atau pun kedudukan global IPT semata-mata.

Isu-isu pelajar, termasuk kadar kenaikan yuran pengajian yang berterusan dan bebanan hutang kos pengajian, serta kontroversi yang timbul (seperti dakwaan pemalsuan sijil diploma dan sarjana muda oleh pihak IPT) juga perlu diselesaikan dengan penuh ketelusan.

Di samping itu, saya menggesa pihak MQA agar meneliti aspek-aspek akademik dan pentadbiran di IPTA / IPTS melalui proses audit yang lebih terperinci. Krisis yang berlaku ini menampakkan kelemahan dalam sistem yang sedia ada sehinggakan kerajaan Oman perlu mengeluarkan larangan terhadap warganya.

Alangkah sipunya jika kita berputih mata dengan istilah ‘Soaring Upwards’, tetapi gagal dalam meyakinkan komuniti global tentang kualiti dan integriti pendidikan tinggi di Malaysia menerusi tatakelola dan urus tadbir MQA yang lebih transparen dan telus.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA, PARTI KEADILAN RAKYAT

Categories
NASIONAL

Najib gagal faham agenda reformasi – Izzah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran mengkaji istilah Reformasi sebelum membuat sebarang kenyataan dangkal berhubung pelaksanaan agenda itu.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, agenda Reformasi kekal dipertahankan di bawah gabungan Pakatan demi kelangsungan kebajikan rakyat Malaysia.

“Kami tidak memulakan agenda Reformasi itu dengan merujuk khusus kepada Dr Mahathir kerana ia bersifat jelas sebagai institut pembentukan pemerintahan negara yang lebih baik.

REFORMASI“Justeru, Perdana Menteri perlulah membuat sedikit kajian berhubung (pelaksanaan) agenda itu sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Nurul Izzah berkata, agenda Reformasi berperanan sebagai institusi perubahan yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan agenda berkenaan juga mampu membawa perubahan kepada pengukuhan pembinaan negara yang lebih maju.

Sebelumnya, Nurul Izzah diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak pada lawatan Perdana Menteri itu di Permatang Pauh yang meminta rakyat di kawasan itu tidak lagi menyokong agenda berkenaan.

Najib dilaporkan berkata, Reformasi disifatkan ‘mati’ lantas memerlukan pusingan u-turn warga Permatang Pauh untuk tidak lagi menyokong agenda itu.

Reformasi sinonim sebagai simbol perjuangan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Permatang Pauh merupakan kawasan kubu kuat KEADILAN selepas penyingkiran Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, pada 1998.

Categories
NASIONAL

Lancar aplikasi ‘Spera’ bantu pengundi semak status

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 OGOS: KEADILAN melancarkan aplikasi ‘Spera’ membantu pengundi menyemak status daftar pemilih selain membantu mendapatkan maklumat terkini kawasan mengundi serta data pengundi baru.

Pengarah Pilihan Raya Bersamanya, Nurul Izzah Anwar berkata, aplikasi itu dilancarkan dengan matlamat melawan penipuan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam proses pilihan raya aka datang.

Katanya, aplikasi dibangunkan Institut Darul Ehsan (IDE) itu akan membantu menjadikan sistem pilihan raya lebih bersih dan adil.

Nurul Izzah“‘Spera’ merupakan aplikasi pangkalan data yang membolehkan pengundi menyemak sendiri status pengundian.

“Ia juga membolehkan penguna mengenal pasti jika wujud pengundi hantu di mana-mana pusat membuang undi.

“Memang sukar untuk kita bendung SPR atau kerajaan Barisan Nasional (BN) dari terus menyalahgunakan kuasa namun kita tidak boleh terus akur atau mengalah,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, aplikasi itu penting bagi memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk teribat sama dalam ‘perang’ melawan manipulasi SPR dan regim UMNO BN.

“Paling jelas dan terbaru melalui proses persempadanan semula, SPR dengan sengaja menolak ribuan pengundi baru mendaftar. Kita juga kabur mengapa tiba-tiba terlalu ramai pengundi baru yang wujud di satu-satu kawasan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, aplikasi ‘Spera’ juga boleh dimuat turun secara percuma di semua peranti Android, telefon pintar dan tablet dari Google Playstore.

Categories
NASIONAL

Izzah: Kerajaan giat lumpuh demokrasi, bukan keganasan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: KEADILAN mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menyekat kebebasan berpolitik bukannya memerangi keganasan di negara ini.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, sejak Sosma diperkenalkan 5 tahun lalu, seramai 979 orang ditahan di bawah akta itu.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 177 orang sahaja yang ditahan di negara ini kerana kaitannya dengan IS.

izzah“Saya percaya jumlah itu adalah sebahagian daripada 43 warga asing ditahan kerana kaitan mereka dengan IS seperti mana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Hakikat ini bermakna hampir 800 orang yang ditahan tidak ada kaitan dengan IS. Mereka adalah penggiat dan aktivis demokrasi yang berjuang memerangi salah laku kerajaan dan rasuah.

“Maka, terbukti gerak kerja Kerajaan Persekutuan lebih tertumpu untuk melumpuhkan demokrasi di negara ini, bukannya memerangi keganasan dengan sepenuh hati,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu sebagai membalas kenyataan penuh Menteri Pertahanan yang mendakwa Pakatan Harapan tidak mampu menghalang pengaruh IS dan aktiviti keganasan di Malaysia sekiranya memerintah negara.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mempersoalkan bagaimana Hishammuddin boleh mendabik dada mengakui kerajaan mampu melawan ancaman IS dengan berkesan.

Katanya, hal itu kerana fakta sebenar menunjukkan umat Islam negara ini enam kali ganda lebih ramai daripada warganegara Indonesia yang menyertai IS.

“Saya sekali lagi menantikan detik dan ketikanya Hishammuddin menjemput kami di barisan pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan.

Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihati rakyat memilih parti yang mampu berdepan ancaman pengganas dan hanya BN mempunyai pengalaman berdepan pengganas dan menangani keganasan.

Categories
NASIONAL

Sukar kesan penipuan pilihan raya tanpa RDPT

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 3 MEI: Penipuan dalam pilihan raya kini sukar dikesan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti politik.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan itu dianggap sebagai penipuan SPR baagi memanipulasi undi rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, langkah berkenaan jelas melanggar Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk mendapatkan maklumat.

“Ia juga melanggar ketetapan kerana SPR sepatutnya wajib menyediakan salinan RDPT kepada calon pilihan raya atau pihak berkuasa.

“Langkah mengehadkan akses kepada RDPT akan membuka ruang kepada penipuan dan memudahkan BN yang menjadi sarang rasuah untuk menang tanpa kerelaan majoriti pengundi dalam PRU akan datang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi ini.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata, penipuan terbabit juga sekali gus memberi kesan kepada kelangsungan ekonomi rakyat apabila negara terus ditadbir kerajaan yang tidak mengutamakan kebajikan.

izzah“Ia menyukarkan ketelusan dalam proses demokrasi dicapai dan natijahnya rakyat secara majoriti yang sudah menolak BN pada pilihan raya 2013 terpaksa terus merana dalam negara yang mengamalkan dasar menekan.

“Penipuan ini menyebabkan rakyat terus terbeban dengan cukai GST dan kegagalan pengurusan ekonomi negara yang menyumbang kepada kenaikan mendadak kos sara hidup,” katanya.

Terdahulu, SPR memutuskan hebahan RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat tidak lagi diedarkan kepada parti politik bermula suku tahun pertama 2017 seluruh negara.

SPR dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat memandangkan terdapat proses pameran yang memadai bagi membolehkan pihak berkepentingan memeriksa nama pemohon terbabit.

Categories
NASIONAL

Najib cakap tak serupa bikin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 APRIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disaran merujuk kejayaan dasar pendidikan dilaksanakan di negeri pimpinan PAKATAN dalam menawarkan askes pendidikan terbaik kepada rakyat.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Najib tidak sewajarnya membuat kenyataan dangkal dengan mempolitikkan isu pendidikan demi kepentingan tertentu.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sebenarnya tidak mempunyai kesungguhan tinggi memartabatkan aspek pendidikan negara ekoran pemotongan peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2017 lalu.

“Dakwaan ini jelas berniat jahat dan dibuat tanpa merujuk kejayaan kami di negeri pimpinan PAKATAN terhadap usaha memaju dan meluaskan akses pendidikan kepada semua rakyat terutamanya anak Bumiputera daripada keluarga memerlukan.

“Hakikatnya, Najib semasa membentangkan Belanjawan 2017 lalu mengumumkan pemotongan peruntukan untuk universiti awam berjumlah RM1.5 bilion tetapi kemudian mendabik dada sebagai pejuang pendidikan Bumiputera.

“Jika benar Najib ikhlas memperjuangkan pendidikan Bumiputera, beliau selaku Menteri Kewangan tidak akan memotong sesen pun peruntukan universiti awam,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika merasmikan program pendidikan pada satu majlis baru-baru ini mendakwa PAKATAN akan menghentikan semua program biasiswa seperti ini jika mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan kerajaan.

izzahMembidas kenyataan itu, Nurul Izzah mempersoal peranan sebenar Kerajaan Persekutuan dalam membantu meningkatkan imej pendidikan negara apabila Putrajaya mengehadkan peruntukan biasiswa Mara dan JPA yang menyukarkan pelajar berkelayakan melanjutkan pelajaran di luar negara.

“Situasi ini jelas membuktikan Najib hanya ‘cakap tak serupa bikin’ dalam hal pendidikan Bumiputera dan pelajar miskin,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut percaya, pendidikan percuma boleh dilaksanakan di negara ini jika amalan pentadbiran telus dan bebas rasuah diamalkan pentadbiran Putrajaya.

“Jika ia dapat dilakukan, maka impian rakyat Malaysia untuk mendapat akses pendidikan secara percuma seperti di negara Eropah akan semakin menjadi nyata,” katanya.

Untuk rekod, Selangor merupakan satu-satunya negeri melaksanakan dasar pendidikan percuma di bawah Skim Dermasiswa yang dilaksanakan di Universiti Selangor (UNISEL).

-AA-

Categories
NASIONAL

DBKL perlu tegas hentikan pembangunan tidak bertanggungjawab

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak tegas menghentikan segera projek pembangunan tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan banjir kilat.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan sudah membelanjakan lebih RM600 juta untuk mengatasi masalah ini tetapi kejadian sama tetap berulang.

“Saya melihat seolah-olah tidak ada tindakan efisyen menangani masalah ini.

izzah“Saya juga nampak seolah-olah ada kelulusan mudah bagi setiap pembangunan berkepadatan tinggi,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan fungsi pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang sepatutnya digunakan apabila berlakunya lebih air takungan akibat hujan.

Nurul Izzah sebelum itu mengemukakan soalan punca banjir kilat yang berlaku di sembilan jalan di Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam jawapannya berkata, antara punca banjir kilat itu adalah taburan hujan tinggi hingga mengakibatkan kapasiti takungan longkang berkurangan disebabkan faktor keuzuran.

Selain itu, saluran dari longkang ke jalan terhalang kerana mendapan pasir serta terdapat kelodak tanah akibat kerja pembangunan.

Menurutnya, kontraktor pembangunan di Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail sudah dilantik manakala kerja-kerja di Jalan Pantai Bharu yang akan dilakukan bersekali dengan naik taraf kolam takungan banjir Universiti Malaya masih dalam proses tender.

Bagi lokasi lain, ia masih di peringkat kerja reka bentuk dan dokumen tawaran.

-nR-

Categories
NASIONAL

Izzah desak jelas isu salah guna tanah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 FEB: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak sesi pendengaran membabitkan semua pihak dijalankan berhubung cadangan projek bercampur 350 unit hotel di Bangsar.

Katanya, hal itu ekoran pembinaan terbabit yang dilakukan di atas tanah syarikat utiliti bercanggah dengan syarat guna tanah.

Beliau mendakwa tapak berkenaan sepatutnya hanya digunakan untuk pembinaan kuarters kakitangan syarikat terbabit.

“Lebih membimbangkan projek yang dimulakan dengan kerja perobohan bangunan sedia ada itu terletak bersebelahan dua buah sekolah.

“Saya mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memantau perkara ini dan tidak memberi kelulusan membina bangunan berskala tinggi untuk tujuan keuntungan semata,” katanya dalam lawatan ke tapak projek, semalam.

Pada masa sama, Nurul Izzah turut menggesa DBKL mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan di kawasan pembinaan.

“Kita juga mahu laporan kajian trafik diberikan. Setakat ini, kita hanya mendengar sahaja setiap kali kesesakan tidak berlaku. Jika yakin, berikan kami salinan kajian trafik,” katanya.

Cadangan pembangunan berkenaan membabitkan kerja merobohkan bangunan sedia ada dan pembangunan bercampur 45 dan 54 tingkat mengandungi pejabat korporat, pangsapuri juga hotel.

-AA-

Categories
NASIONAL

Izzah: Analisis pembangkang tak mampu tawan Putrajaya dangkal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JAN : Dakwaan kononnya komponen Pembangkang tidak berupaya menawan Putrajaya disifatkan dangkal tanpa merujuk situasi politik dan sokongan rakyat terhadap pentadbir Kerajaan kini.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kejayaan besar sokongan rakyat pada pilihan raya lalu menjadi manifestasi sebenar ke arah kejayaan komponen pembangkang.

Beliau percaya, keadaan sama dibuktikan menerusi tuntutan rakyat kini secara jelas mahukan pimpinan adil dan tampil dengan pelaksanaan dasar berkebajikan.

izzah“Saya terpanggil memberi respon terhadap tulisan salah satu penganalisis politik yang menjangkakan ajaiblah jika pembangkang boleh memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Pasca PRU13 menyaksikan bahawa pimpinan negara kini adalah mereka yang mempunyai peratusan sokongan paling tipis.

“Bahkan kemenangan 47 peratus menjadi manifestasi dan unjuran kepada penyalahgunaan segala ruang yang sedia ada untuk memenangi pilihan raya akan datang.

“Arakian, menyorot kembali setiap desakan berkali-kali diangkat rakyat jelas mahukan pemimpin wibawa dan tampil dengan dasar-dasar sempurna dengan keperluan rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam kenyataannya berkata, pembinaan dasar lebih berkebajikan juga mampu menjana kepada pembinaan negara yang lebih holisitik.

“Dasar negara mampu berubah. Sekiranya mandat dipegang oleh kerajaan prihatin, maka keutamaannya mengurangkan jurang miskin kaya dan mengawal inflasi yang menekan ekonomi rakyat.

“Bahkan, tuntutannya untukmelawan gejala rasuah dan salah guna kuasa dan menjaga kebajikan rakyat menerusi pentadbiran yang anti ketirisan, pro kesihatan dan pendidikan.

“Namun, sekiranya negara dipegang perompak, makanya dasar tentu akan pro-inflasi, rasuah berleluasa,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Universiti perlu bebas cengkaman kleptokrat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 DIS : Halangan dan hukumun dikenakan terhadap mahasiswa, aktivis politik, kartunis dan Ahli Parlimen Pembangkang untuk mengkritik pentadbiran Kerajaan memperlihatkan demokrasi di Malaysia semakin terhakis.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata demikian merujuk kepada tindakan dikenakan ke atas mahasiswa Universiti Malaya (UM) susulan penganjuran demostrasi himpunan tangkap ‘Malaysian Official 1’.

“Universiti Malaya (perlu) serta merta menarik balik tindakan yang dikenakan terhadap mahasiswa #Malaya4.

“Jelas tiadanya panel bebas dalam prosiding melibatkan mahasiswa yang kesemuanya dilihat menjadi pak turut UMNO-BN.

izzah“Di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini jelas kelihatan mahasiswa daripada pelbagai kampus secara jelas berpartisipasi dalam parti politik.

“Adakah mereka tidak dikenakan tindakan kerana menghadiahkan puji-pujian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?” soalnya dalam kenyataan.

Lembaga Disiplin UM memutuskan Anis Syafiqah dan tiga lagi aktivis mahasiswa bersalah susulan penglibatan mereka dalam perhimpunan “Tangkap MO1” di Kuala Lumpur, pada Ogos.

Nurul Izzah berkata, tindakan tersebut jelas membuktikan wujudnya pendakwaan terpilih dalam kalangan inidividu yang lantang mengkritik kerajaan.

“Tuntas, kelaziman pihak pentadbiran universiti berterusan menghakis kebebasan akademik harus dihentikan serta merta.

“Utamakan urus tadbir mengangkat nilai aktivisme dan intelektual murni seperti motto KPT #SoaringUpwards, dan bukannya bertindak cetek rasional dengan mengambil tindakan terhadap mahasiswa,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Izzah: Tanggungjawab DBKL, siasat runtuhan jambatan KL Eco City

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 DIS : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajib mengutamakan kebajikan mangsa dan melindungi keselamatan penduduk setempat bagi memastikan kejadian runtuhan bangunan tidak berulang.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa siasatan menyeluruh tragedi insiden jambatan runtuh KL Eco City disiasat sebagai jaminan kredibiliti DBKL sebagai penjaga kepentingan rakyat.

“Menjadi kebimbangan utama adalah keselamatan orang awam khususnya rakyat Lembah Pantai seperti penduduk Apartmen Putra Ria yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

izzah“Isu ini bukan pertama kali dibangkitkan, bahkan seringkali diutarakan apabila kawasan pembangunan yang terlalu hampir dengan kawasan orang awam.

“DBKL perlu bertanggungjawab serta memantau keselamatan orang awam dalam kawasan pembangunan projek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas insiden runtuhan jambatan KL Eco City yang menghubungkan laluan jalan kaki ke Mid Valley yang mengorbankan seorang pekerja binaan.

Sementara tiga orang cedera parah serta empat mangsa dilaporkan masih belum ditemui dalam insiden jambatan runtuh di laluan pejalan kaki tersebut.

“Umum mengetahui,KL Eco City adalah projek usaha sama antara SP Setia melalui KL Eco City Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), terletak di sepanjang Jalan Bangsar bertentangan Mid Valley City.

“DBKL harus menjelaskan dengan kadar segera memandangkan terdapat konflik kepentingan dalam isu ini kerana ia bukan hanya membabitkan pemaju.

“Projek usahasama ini melibatkan pelaburan kadar nisbah (80:20) bersama DBKL,” katanya.

15267735_1752692785057095_1404021347855308015_nKatanya, DBKL perlu memandang serius isu kebajikan awam walaupun giat melaksanakan projek pembangunan yang bakal memberi manfaat kepada umum.

“Pembangunan tumbuh ibarat cendawan selepas hujan ini harus selari dengan jaminan keselamatan terhadap penduduk tempatan.

“Apalah ertinya lapisan konkrit tanpa keyakinan rakyat terhadap kredibiliti pemaju dan keselamatan projek yang akan datang,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah syukur KPN, Menteri diheret ke mahkamah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menganggap kejayaan mengheret Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perbicaraan penuh kerana memfitnah beliau sebagai satu kemenangan moral.

Hal itu ekoran Mahkamah Rayuan semalam memutuskan menolak rayuan Khalid dan Ismail Sabri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 17 Jun lalu menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman fitnah itu.

“Ini satu permulaan baik kemenangan moral kepada kami,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Peguam R Sivarasa berkata, Mahkamah Rayuan sudah mengesahkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi sebelum itu adalah tepat kerana Nurul Izzah mempunyai hak untuk meneruskan saman terbabit.

“Saya difahamkan kes ini ditetapkan pada Mei tahun depan dan pada masa itu saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada mahkamah. Khalid dan Ismail Sabri wajib hadir ke mahkamah nanti.

izzah“Mahkamah menerima hujah kami kerana perkataan dikeluarkan kedua-dua mereka jelas bersifat fitnah kerana menuduh Nurul Izzah menderhaka kepada negara dengan perkataan menderhaka itu sesuatu yang serius dan berat,” katanya.

Nurul Izzah sebelum ini memfailkan saman itu apabila Khalid mengeluarkan kenyataan memfitnahnya ketika sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman, pada 22 November 2015.

Beliau turut mendakwa Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan fitnah kepadanya, pada hari sama dalam satu acara di Bera, Pahang.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah berkata, kenyataan itu dibuat Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram.

-AA-