Categories
NASIONAL

PR Perlu DiLibatkan Dalam Cadangan Perkhidmatan Awam

SHAH ALAM,27 MAC : Pakatan Rakyat mencadangkan satu Jawatankuasa Tetap Parlimen ditubuhkan agar semua pihak berkepentingan termasuklah Pakatan Rakyat diberi peluang untuk mengemukakan cadangan dan penambahbaikan perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Rakyat menyokong penuh gesaan Cuepacs untuk dijadikan salah satu pihak berkepentingan (?stakeholder?) isu perkhidmatan awam.

Izzah menyeru agarĀ  kerajaan tidak lagi melakukan tindakan bersifat ?unilateral? seperti Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dahulu, yang telah gagal akibat tentangan yang begitu kuat dari pelbagai pihak.

“Sekali lagi rakyat gelisah mendengar berita bahawa Cuepacs, seperti yang disebut presidennya Datuk Omar Osman, tidak dimaklumkan tentang siapa yang akan menyertai suruhanjaya untuk mengkaji penyelaran gaji perkhidmatan awam selepas pembatalan tiba-tiba skim SBPA.

“Kerajaan juga perlu meneruskan dan menambahbaik sistem Skim Saraan Malaysia (SSM) sedia ada, termasuk menubuhkan suruhanjaya khas untuk melaksanakan penambahbaikan yang ?komprehensif dan menyeluruh? terhadap perkhidmatan awam negara,” kata Izzah yang juga Naib Presiden PKR dalam kenyataan medianya.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tekanan PR Paksa Najib Batal SPBA

SHAH ALAM, 8 MAC: Kesan tekanan hebat dari Pakatan Rakyat yang mahukan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) dihapuskan kerana tidak membantu golongan berpendapatan rendah akhirnya tercapai apabila Perdana Menteri bertindak memansuhkannya hari ini.

MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata PKR mengalu-alukan pembatalan skim terbabit dengan mengguna pakai kembali Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Katanya pembatalan ini jelas menunjukkan kegagalan berterusan Kerajaan Umno-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan sesuatu dasar.

“Kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah. Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

“Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya ?sudah terhantuk baru terngadah? diambil oleh Perdana Menteri hari ini.” Jelas beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah turut menggariskan lima prinsip yang seharusnya diterima pakai bagi membantu nasib golongan pekerja.

1) SSM yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji “sara hidup” (“living wage”), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2) SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3) SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4) SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5) SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Pagi tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman membatalkan SPBA yang dijangka dilaksanakan Januari lalu dan menerima kembali SSM.

Categories
NASIONAL

Izzah : Kembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan

SHAH ALAM, 1 FEB : Sistem pilihanraya kerajaan tempatan perlu dikembalikan semula untuk memberi peluang dan hak kepada warga kota memilih pemimpin untuk menerajui dan menentukan masa hadapan kerajaan tempatan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata sejak tahun 1965, pilihan raya ahli-ahli majlis tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pada 1961 diwujudkan sebagai Suruhanjaya Ibu Kota tidak lagi dijalankan.

“Sudah pasti pada mulanya wujud sebab-musabab yang munasabah kenapa langkah ini diambil, tetapi masanya telah tiba ,setelah 47 tahun berlalu, untuk dikembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula.

“Kita cuma perlu lihat belanjawan 2012 DBKL yang berjumlah RM2.3 bilion , ia bersamaan dengan jumlah belanjawan 2012 Kerajaan-kerajaan Negeri Selangor (RM1.6 bilion) dan Pulau Pinang (RM740 juta) , Adakah jumlah ini benar-benar diguna dengan sebaik mungkin?,” kata Izzah dalam kenyataan media sempena Hari Wilayah yang diraikan pada 1 Februari.

Izzah juga berkata DBKL perlu memperjelas penggunaan wang rakyat dengan jumlah yang besar kepada pembayar cukai pintu untuk memastikan ia digunakan dengan yang paling berkesan dan cekap.

“Tanpa sistem pilihanraya kerajaan tempatan, kesemua soalan di atas hanya tinggal soalan. Masanya telah tiba untuk kita nikmati sebuah DBKL yang benar-benar bertanggungjawab kepada para pembayar cukai pintu, dan boleh diganti mereka yang enggan mendengar suara rakyat,” kata beliau.

Justeru menurut Izzah, masanya telah tiba untuk warga kota Kuala Lumpur didampingi seorang Datuk Bandar yang benar-benar dipilih sendiri oleh penduduknya, dan boleh diganti apabila mereka yang dilantik tidak berani untuk menyuarakan hati nurani rakyat.

“Masanya telah tiba untuk kita alami sebuah Kuala Lumpur yang lebih maju, yang lebih mesra, yang lebih baik .Selamat Hari Wilayah,” ujar Izzah.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mendesak kerajaan pusat dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar sistem kerajaan tempatan dikembalikan semula bagi memberikan hak demokrasi kepada penduduk membuat pilihan terbaik yang menjadi pembayar cukai.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tindakan Ke atas Adam bermotif Politik

SHAH ALAM, 10 JAN : Tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung mahasiswa Adam Adli selama tiga semester merupakan tindakan yang opresif,bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa daripada menyuarakan pandangan mereka.

Naib Presiden Keadilan Nurul Izzah Anwar berkata jika suatu kesalahan telah dilakukan oleh mahasiswa, tindakan yang diambil harus bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda.

“Sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang. Di mana kah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jikalau bukan di universiti,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Izzah , jawatankuasa disiplin yang menjatuhkan hukuman ke atas Adam Adli sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri, yang mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaya mengecapi kemerdekaan.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan kita demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

SPAN Dan SYABAS Digesa Tukar Paip Air Usang

KUALA LUMPUR,6 JAN : Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) diseru mempercepatkan penggantian paip-paip yang sudah berusia hampir 25 tahun di siekitar Bangsar.

Sebagai rekod dalam dua bulan mutakhir ini sebanyak 27 kejadian paip pecah dilaporkan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata kejadian itu tidak wajar berterusan berlaku khususnya di kawasan seperti Bangsar kerana kawasan ini merupakan kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Saya juga dimaklumkan sehingga 1 Januari lepas masih lagi berlaku kejadian ketiadaaan air, isunya yang utama ialah ketiadaan notis yang mencukupi daripada pihak Syabas dan menyusahkan penduduk-penduduk tempatan,” kata Izzah semasa lawatan turun padang ke tapak takungan air di Bukit Bandaraya di sini.

Menurut Izzah, beliau banyak menerima aduan daripada penduduk di Taman Lucky Garden di Bangsar berkenaan masalah gangguan bekalan air akibat daripada paip milik Syabas yang menyalurkan bekalan air ke kawasan berkenaan pecah.

Masalah itu jelas Izzah, menyukarkan aktiviti penduduk di kawasan tersebut dan sepanjang tempoh pembaikan tidak ada alternatif untuk membekalkan sumber bekalan air kepada penduduk.

“Walaupun masalah ini sudah lama dikenalpasti, jawapan Syabas menyatakan pihak SPAN belum lagi meluluskan untuk penggantian paip di kawasan Bangsar walaupun mereka sudah melakukan lawatan tapak pada 13 Disember yang lalu.

“Arahan pihak SPAN ialah untuk menangguhkan pelaksanaan semua program pengurangan air tanpa hasil termasuklah penggantian paip-paip lama sehingga cadangan penstrukturan semula perkhidmatan air Kuala Lumpur dan Putrajaya selesai sepenuhnya,ini membimbangkan,” kata Izzah.

Izzah berkata, penduduk yang mengalami gangguan bekalan air tidak diberikan sebarang notis gangguan bekalan air yang menjejaskan kehidupan harian penduduk.

” Alasan hendak menunggu sehingga penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air dilakukan di negeri Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya tidak munasabah, pada saya Kuala Lumpur tidak ada masalah kerana ia di bawah kerajaan pusat termasuk pengurusan sisa pepejal yang juga di bawah kerajaan pusat , takkan tidak boleh selesai dan kita perkara ini tidak boleh tunggu,” tegas Izzah.

Beliau mengesa SPAN meneliti perkara ini dan jangan korbankan masa depan penduduk Kuala Lumpur khususnya berkaitan dengan perkhidmatan air.

Categories
SELANGOR

Nurul Izzah : Rakyat Diseru Hadir 9 Jan

KUALA LUMPUR , 6 JAN: Kehadiran rakyat pada Perhimpunan Aman pada 9 Januari di padang letak kereta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta adalah amat penting kepada negara sebagai sokongan padu untuk mengembalikan sistem keadilan dan kehakiman.

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang ditemui TVSelangor/Selangorkini berkata perjuangan membela nasib Anwar Ibrahim bukanlah sokongan hanya kepada jasad pemimpin ketua pembangkang itu.

Namun yang lebih penting adalah Anwar Ibrahim merupakan simbol kepada perjuangan rakyat dalam menuntut sistem kehakiman yang adil dan saksama kepada semua.

“Pada saya apa yang akan berlaku pada 9 Januari ini, kita akan teruskan perjuangan ini, dan terus terang saya katakan sebagai seorang anak memanglah beliau 64 tahun yang mempunyai dua orang cucu, dengan kecederaan tulang belakang yang amat serius , jadi kita tidak mahu beliau menanggung kezaliman dan penderitaan ini untuk kali kedua, tapi apapun pada saya yang penting adalah masa depan Malaysia.

Kita bukan untuk melarikan diri , kita bukan untuk menyelamatkan kita satu keluarga, kita nak selamatkan Malaysia secara bersama, kalaulah ini pengorbanan yang terpaksa diambil dan dilaksanakan ,kita buat dengan keyakinan bahawa kita perlu berjuang dalam peperangan pilihanraya umum yang seterusnya mengembalikan keadilan,” jelas Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Menurut Izzah, rakyat Malaysia dan pihak antarabangsa telah memberikan sokongan mantap dan padu kepada Anwar Ibrahim sejak pemecatan beliau pada 1998.

” Pada saya Alhamdulillah, sokongan pihak antarabangsa itu wujud kerana saya masih ingat lagi dalam kes pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Guan Eng ada laporan daripada lawatan fakta yang dibuat oleh BAR National Association yang bertajuk Justice in Jeopardy Malaysia 2000 .Sudah ada dalam rekod International Commission Jurist yang menyatakan pengaruh eksekutif ditemui dalam keputusan penghakiman Anwar Ibrahim dan juga Lim Guan Eng.

“Jadi saya merasakan itu dijadikan sebagai asas untuk membantu kita , tetapi segala-galanya berakar dan bermula daripada negara sendiri, rakyat Malaysia yang menentukan masa depan Anwar Ibrahim dan juga Pakatan Rakyat dan bukannya pihak antarabangsa.

“Pihak antarabangsa hanya memberikan dokongan , kita bukan seperti pimpinan Najib TunRazak yang menggunakan konsultan daripada Britain dan sebagainya, itu bukan tujuan kita, kita sudah ada tenaga dan kepakaran dalam negara yang kita perlukan adalah dokongan mereka isu kemanusiaan sejagat.Mereka dokong keadilan kerana kita menolak kezaliman secara sejagat seperti perjuangan Aung San Suu Kyi di Burma,” jelas Izzah.

Himpunan aman 901 akan berlangsung sebagaimana dijadualkan setelah mendapat kerjasama daripada pihak polis.