Categories
NASIONAL

Peserta Tanaman Nanas Saman GEHSB

KUALA SELANGOR, 27 APR : Sekumpulan peserta tanaman nanas berkelompok memfailkan saman terhadap Grand Enity Holdings Sdn Bhd (GEHSB) di Mahkamah Majistret Kuala Selangor di sini hari ini.

Mereka adalah lima daripada 34 peserta program itu yang mendakwa menjadi mangsa syarikat tersebut apabila GEHSB didakwa  melanggar perjanjian yang dibuat antara kedua-dua pihak.

Kelima-lima mereka, Norziana Ahmad Tajudin, 27, Nurul Shuhada Ibrahim, 31, Mohd Noruddin Sanusi, 55, Sabli Sobron, 50, dan Noordayana Suhaimi, 31, yang akan diwakili peguambela, Ahmad Shuib Ismail.

Ahmad Shuib berkata, pihaknya membuat permohonan berhubung kes tersebut pada hari ini dan akan disebut di mahkamah sama pada 18 Mei depan.

Berdasarkan maklumat, katanya, GEHSB membuat perjanjian dengan kelima-lima anak guamnya berhubung projek penanaman nanas tersebut pada Mac 2010 dan ada di antara perjanjian tersebut yang didakwa tidak dipatuhi syarikat berkenaan.

Penanaman nanas berkelompok itu dijalankan di Taman Agroteknolgi (TKPM), Bestari Jaya dan bermula pada tahun 2010.

Antara butir perjanjian ialah GEHSB akan melaksanakan projek tanaman sehingga mengeluarkan hasil meliputi penanaman anak benih, hasil tuaian dan pemasaran, GEHSB akan membuat bayaran balik pinjaman sebanyak RM368.00 sebulan kepada Agro Bank sehingga tamat tempoh perjanjian iaitu empat tahun.

Peserta mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 untuk projek tanaman nanas, wang deposit ladang sebanyak RM2,000. Setiap peserta menanam 34 ribu pokok nanas dengan keluasaan tanah dua ekar seorang. Manakala agihan keuntungan 60 peratus kepada GEHSB manakala peserta hanya 40 peratus.

Bagaimanapun setelah lebih dua tahun projek tersebut berjalan dan sehingga masakini semua peserta tidak mendapat apa-apa hasil. Jumlah keseluruhan wang yang telah dilaburkan semua peserta ialah sebanyak RM408,000.

Salah seorang peserta, Nurul Shuhada, ketika ditemui berkata, kecewa dengan apa yang berlaku, beliau bersama beberapa kawannya membuat keputusan melantik peguambela bagi mendapat pembelaaan berhubung perkara itu.

“Rasa rugilah sebab pinjaman dah dibuat. Ingatkan dengan menyertai projek penanaman ini maka akan dapat hasil daripadanya tetapi setakat ini lain pula yang jadi dan dialami,” katanya.