Categories
AGENSI SELANGOR

Rai Nuzul Quran, warga emas Bait al-Mawaddah anjur mini tilawah

SHAH ALAM, 4 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan sambutan Nuzul al-Quran di pusat jagaan warga emas Bait al-Mawaddah di sini, Jumaat lalu.

Antara program yang diatur ialah slot ceramah yang disampaikan Pencetus Ummah Nor Hamizi Jamaluddin secara maya dan pertandingan mini tilawah.

Turut diadakan, mini kuiz al-Quran, pentandingan melakar poster dan khatam al-Quran.

“Majlis ini kemuncak bagi aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan mulai 12 April yang dikendalikan oleh Unit Kerohanian dengan kerjasama warga kerja Bait al-Mawaddah,” menurut LZS di Facebook.

Agensi itu menambah pusat jagaan terbabit turut menganjurkan solat tarawih berjemaah, tadarus al- Quran, program literasi al-Quran dan bayaran zakat fitrah sepanjang Ramadan.

“Mudah-mudahan dengan aktiviti seperti ini ayahanda dan bonda Bait al-Mawaddah akan terus mencintai al-Quran dengan mengamalkan membaca dan mentadabbur sepanjang masa,” kata LZS.

 

Categories
RENCANA

Guna kanta pembesar tidak halang nenek 72 tahun khatam al-Quran

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Biarpun sudah lanjut usia dan mengalami masalah penglihatan, ia bukan penghalang bagi Rokiah Arshad, 72, untuk belajar sehingga berjaya khatam al-Quran, bersempena Nuzul al-Quran, hari ini.

Rokiah adalah antara 120 peserta program Jom Celik Al-Quran anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Institut Pengajian Al-Quran (Ipaq), yang diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan.

Nenek kepada 13 cucu itu berkata program tersebut banyak membantunya mempelajari ilmu agama serta memperbaiki teknik membaca kitab suci itu walaupun terpaksa menggunakan kanta pembesar akibat masalah selaput mata yang mengehadkan penglihatannya.

“Nenek sangat seronok, bertuah dapat khatam al-Quran hari ni dan tidak ada rasa segan dalam usia begini untuk terus mencari ilmu dan membaca al-Quran.

“Memang perlu guna kanta pembesar setiap kali membaca (al-Quran), tapi tidaklah terlalu sukar…cikgu yang mengajar banyak membantu nenek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata program tersebut dilaksanakan khusus bagi golongan asnaf yang buta al-Quran dan merupakan antara inisiatif ke arah menjadikan program agihan zakat MAIWP sebagai program berimpak tinggi.

Beliau berkata MAIWP mahu memastikan golongan asnaf itu bukan hanya dibantu dalam bentuk material dan kewangan, malah turut disantuni dari aspek rohani.

“Program ini satu kejayaan kerana kami berjaya mengajar mereka sehingga khatam dalam tempoh 17 hari (bermula 18 Julai 2020) dan majlis khatam al-Quran ini sepatutnya diadakan tahun lepas, namun tertangguh susulan penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata program itu akan diteruskan pada masa hadapan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 120 peserta berjaya khatam al-Quran setiap tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan, Permaisuri mahu umat Islam jadikan al-Quran sebagai panduan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta Tengku Permaisuri Selangor berkenan agar umat Islam sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Norashikin juga mahu muslimin dan muslimat mengambil pengajaran yang terkandung dalam kitab suci itu.

“Al-Quran telah mengangkat Islam sebagai sebuah agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi untuk kehidupan seluruh manusia.

“Bersempena sambutan Nuzul Quran hari ini, baginda berdua menyeru umat Islam agar menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa turunnya kitab suci Al-Quran itu,” kata kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Nuzul Quran disambut setiap tahun pada tanggal 17 Ramadan bagi mengingati peristiwa turunnya al-Quran ke muka bumi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hayati al-Quran, tingkatkan amal ibadah sempena Nuzul Quran

SHAH ALAM, 29 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengingatkan umat Islam supaya menghayati pesanan terkandung dalam al-Quran sempena sambutan Nuzul Quran hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut berharap mereka memanfaatkan saki baki Ramadan ini dengan meningkatkan amal ibadah serta membaca al-Quran.

“Nuzul Quran adalah peristiwa yang cukup bersejarah dan bermakna bagi umat Islam.

“Peristiwa mulia yang berlaku di bulan Ramadan ini harus menjadi pedoman dan dihayati, di mana mukjizat Nabi Muhammad SAW yang menjadi panduan hidup kita diturunkan,” katanya menerusi Facebook.

Nuzul Quran disambut setiap 17 Ramadan bagi mengingati peristiwa turunnya al-Quran ke muka bumi.