Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Nyahkuman kawal jangkitan wabak di kawasan risiko tinggi

SHAH ALAM, 7 JUN: Seorang pakar kesihatan awam berpendapat proses nyahcemar bertindak mengawal risiko jangkitan Covid-19, bukan menghentikan terus perebakan wabak.

Prof Madya Dr Rosnah Ismail menjelaskan proses itu mengawal pemindahan virus dari pesakit positif kepada individu lain dengan membersihkan kawasan tercemar.

Pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia juga berkata penularan hanya boleh dihentikan apabila negara mencapai imuniti kelompok melalui suntikan vaksin.

“Kajian saintifik menunjukkan seorang dijangkiti membebaskan cecair pernafasan dalam pelbagai bentuk termasuk zarah sangat halus dan titisan air ketika bernafas, bercakap, batuk dan bersin.

“Kalau ketika itu dia berhampiran meja maka virus itu berada di meja, kalau cecair itu kecil ia terapung di udara yang mampu bertahan selama tiga jam…kalau titisan besar pula jatuh di kawasan sekeliling,” katanya dalam program Bual Bicara SelangorTV bertajuk ‘Sanitasi awam, benarkah satu pembaziran?

Dr Rosnah berkata titisan mengandungi virus yang mencemari kawasan sekeliling boleh menjangkiti individu lain yang menyentuhnya sebelum memasuki ruang pernafasan.

Beliau menambah proses nyahcemar sesuai di kawasan yang merekod jangkitan lebih 10 peratus dalam kalangan komuniti selain pemberitahuan mengenai peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, katanya, sukar menentukan sama ada kerja nyahcemar dianggap satu pembaziran seperti didakwa pakar perubatan dan menegaskan ia harus dilihat dalam pelbagai konteks.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Khidmat nyahkuman percuma buat warga Taman Templer

GOMBAK, 22 MEI: Penduduk sekitar Taman Templer yang memerlukan khidmat nyahkuman di kediaman masing-masing boleh memohon kepada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Wakil rakyatnya berkata tawaran percuma bagi mencegah penularan Covid-19 juga boleh dibuat melalui ahli majlis, ketua kampung, pengerusi badan pengurusan bersama dan kawasan rukun tetangga.

“Kita terima jika ada permintaan daripada masyarakat supaya rumah mereka dinyahkuman khususnya dalam kalangan ahli keluarga yang terkena jangkitan Covid-19.

“Dua pasukan petugas akan dikerah segera untuk melakukan kerja berkaitan,” kata Mohd Sany Hamzan menambah tumpuan turut diberikan kepada premis niaga, rumah ibadat dan dewan orang ramai.

Beliau yang ditemui selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua kelmarin turut menggesa masyarakat meningkatkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

Mohd Sany berkata angka maut akibat Covid-19 yang mencecah jutaan orang di seluruh dunia perlu dijadikan iktibar berikutan virus itu boleh mengancam nyawa sesiapa sahaja.

“Memang kita lihat pematuhan SOP semakin baik namun kita tidak boleh selesa sebaliknya perlu peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Selebihnya kita hanya mampu berdoa supaya wabak ini cepat dihantar pulang ke tempat asal dan kita sebagai hamba bebas melakukan kegiatan yang dilakukan selama ini,” katanya lagi.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kota Anggerik sedia khidmat nyahkuman percuma

SHAH ALAM, 18 MEI: Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik memberi bantuan proses nyahkuman  percuma bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Wakil rakyatnya, Najwan Halimi berkata kemudahan itu disediakan kepada organisasi komuniti, pengurusan surau dan sekolah dalam lokasi tumpuan.

“Bantuan ini bermula sejak tahun lalu. Kita akan bantu jalankan proses sanitasi sama ada melalui syarikat swasta atau sukarelawan.

“Langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain sekali gus mengelakkan penularan dalam komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Najwan berkata antara premis yang telah dinyahkuman adalah pangsapuri di Seksyen 7 dan 16 serta institusi pendidikan di Seksyen 6.

“Terbaharu pada minggu lalu. Kita lakukan sanitasi di Surau Masjid Jamek Raja Tun Uda Seksyen 16 selepas beberapa jemaahnya dilaporkan positif,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Staf positif Covid-19, ERL giat proses nyahkuman

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kerja-Kerja pembersihan dan disinfeksi secara menyeluruh telah dilakukan di Stesen Bandar Tasik Selatan dan Platform Transit KLIA di KL Sentral semalam susulan seorang pekerja wanita di kaunter tiket Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) didapati positif Covid-19.

Kenyataan ERL menyebut syif terakhir pekerja itu bertugas ialah pada 16 Januari lepas di Stesen Transit KLIA Bandar Tasik Selatan sebelum mula berasa tidak sihat keesokan harinya dan sejak itu, dia tidak melaporkan diri untuk bertugas.

Menurut kenyataan itu, pekerja tersebut tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana penumpang atau rakan sejak hari terakhir dia bertugas dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Oleh itu, kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi secara menyeluruh telah dilakukan selain lokasi terakhir di mana pekerja terbabit menggunakan perkhidmatan tren selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa adalah selamat bagi mereka melakukan perjalanan dengan menaiki tren ERL. Meskipun perkhidmatan tren tidak terjejas, ERL akan meneruskan amalan pembersihan, pensanitasian dan disinfeksi yang ketat bagi trennya,” katanya.

Selain itu, semua kawasan kontak tinggi termasuk susur tangan atau penggayut serta butang di pintu tren sentiasa disanitasi sepanjang hari dan pembersihan wap dilakukan ke atas tempat pada setiap malam.

Syarikat itu turut mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang Covid-19 di tempat kerja dan semua stesennya dalam usaha memastikan perlindungan maksimum kepada kakitangan dan perniagaannya termasuk pematuhan prosedur kerja yang selamat, latihan standard keselamatan dan langkah-langkah pengawalan risiko.

“Kami menyeru semua penumpang agar terus melindungi diri sendiri dan orang lain dengan mematuhi garis panduan kesihatan bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) apabila menggunakan pengangkutan awam, contohnya memakai pelitup muka dengan sempurna, daftar masuk dengan aplikasi MySejahtera atau buku log semasa memasuki sesebuah stesen, memeriksa suhu badan, meminimumkan interaksi semasa di dalam tren dan mengamalkan kebersihan serta penjarakan fizikal sebaik mungkin,” katanya.

KLIA Ekspres dan KLIA Transit ketika ini mengendalikan perkhidmatan bersama dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Orang ramai boleh melayari www.KLIAekspres.com atau Facebook @KLIAekspres untuk maklumat berkaitan waktu tren dan kemas kini perkhidmatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso tutup ibu pejabat hingga Jumaat untuk nyahkuman

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Ibu Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta semua pejabat dan premis perniagaan di Menara Perkeso, Jalan Ampang ditutup bermula Isnin (14 Disember) hingga Jumaat ini bagi kerja-kerja nyahkuman dan sanitasi.

Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan ia berikutan seorang kakitangan yang bertugas di ibu pejabat agensi itu dijangkiti Covid-19.

“Kesihatan dan keselamatan kakitangan serta pelanggan menjadi keutamaan dan Perkeso akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengekang penularan pandemik itu bagi menjamin keselamatan pelanggan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes ditangani dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh e-mel ke [email protected] atau menghubungi pusat khidmat pelanggan Perkeso di talian 1300-22-8000.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

LUAS tutup ibu pejabat dua hari untuk nyahkuman

SHAH ALAM, 9 DIS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menutup operasi ibu pejabatnya di Bangunan Darul Ehsan mulai hari ini hingga esok bagi kerja nyahkuman.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan langkah tersebut susulan pengesanan kes Covid-19 di bangunan tersebut.

“Bagaimanapun, Ops Sumber Air dan pemantauan sumber air 24 jam berjalan seperti biasa di tapak. Sehingga kini juga, semua kakitangan LUAS negatif Covid-19,” kata agensi itu.

LUAS memaklumkan pihaknya akan melaksana langkah ditetapkan untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pengunjung terjamin.

Categories
AGENSI SELANGOR

KWSP Klang ditutup sehari jalani proses nyahkuman

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup pejabat dan kaunter cawangan Klang pada hari ini untuk menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman dan sanitasi.

Penutupan sehari itu diambil selepas salah seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan.

“Anggota yang mempunyai temu janji di KWSP Klang yang dijadualkan pada 10 November 2020 diminta untuk memasuki kemudahan Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu) bagi menjadualkan semula lawatan mereka.

“Cawangan itu akan dibuka semula menjelang 11 November 2020, dari 9 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kakitangan KWSP Klang yang dikenal pasti sebagai kontak rapat telah melalui ujian saringan Covid-19 dan kini menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara.

Semua pekerja lain di cawangan berkenaan juga diarahkan untuk melalui ujian Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kekangan bahasa sukarkan proses nyahkuman kediaman warga asing

SHAH ALAM, 27 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berdepan kesukaran ketika melaksana operasi nyahkuman di penempatan warga asing.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata kebanyakan golongan itu tidak fasih berbahasa Melayu sekali gus menyukarkan pihaknya memberi arahan.

“Bila kita datang untuk sanitasi, kita beri arahan sepatutnya dan terangkan SOP (tatacara operasi piawaian), namun tidak dihiraukan kerana mereka tidak faham.

“Jadi kita perlukan masa untuk terangkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi sanitasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall di sini hari ini.

Norazam berkata proses nyahkuman bagi mencegah penularan Covid-19 setakat ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama baik masyarakat.

“Orang awam menyuarakan rasa selamat kerana tempat mereka disanitasi. Virus ini tidak nampak jadi langkah keselamatan perlu diambil,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ibu pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ditutup untuk nyahkuman

SHAH ALAM, 11 OKT: Bangunan ibu pejabat Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) yang menempatkan mahkamah rendah, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan akan ditutup esok bagi kerja
nyahkuman.

Unit Komunikasi Korporatnya berkata proses sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi pandemik Covid-19.

“Langkah ini juga bagi menjaga keselamatan orang awam yang datang berurusan dan kakitangan yang bertugas di bangunan tersebut.

“Bangunan akan dibuka semula dan beroperasi sepenuhnya kepada orang awam dan peguam mulai 13 Oktober,” katanya dalam kenyataan.

Susulan penutupan itu, Jakess memaklumkan semua operasi dan perkhidmatan termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh dan pendaftaran kes ditangguhkan.

Operasi lain turut ditangguhkan ialan wakalah peguam Syarie, pentadbiran afidavit dan janji temu pengambilan perintah bertulis.

“Mereka yang terlibat dengan penangguhan akan dihubungi mahkamah bagi penetapan tarikh baharu. Segala kesulitan yang timbul akibat penutupan ini amatlah dikesali,” kata jabatan itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Cawangan LZS jalani pembersihan sebelum dibuka 5 Mei

SHAH ALAM, 3 MEI: Beberapa cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menjalani proses pembersihan dan nyahcemar bagi menjamin keselamatan pelanggan.

Langkah itu susulan pembukaan semula enam cawangan agensi tersebut mulai Selasa ini.

Enam cawangan tersebut ialah Presint Alami Shah Alam (Ibu Pejabat), Seksyen 14 Petaling Jaya, Bandar Baru Bangi, Bandar Baru Ampang, Taman Melawati serta Masjid Mujahideen Damansara.

LZS menerusi kenyataan di Facebook berkata pelanggan yang akan berurusan di semua cawangan itu perlu mengamalkan saranan Majlis Keselamatan Negara.

Antaranya memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan menggunakan cecair pembasmi kuman, selain akan diambil bacaan suhu badan sebelum berurusan di kaunter.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dengan membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial beroperasi sepenuhnya mulai esok.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ laksana operasi nyahkuman di pangsapuri kos rendah

SHAH ALAM, 22 APRIL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini menjalankan operasi nyahkuman di pangsapuri kos rendah yang tidak berupaya menjalankan kerja pembasmian di kawasan masing-masing, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata terdapat 122 lot pangsapuri kos rendah dengan 40 daripadanya masih tidak berupaya menubuhkan badan pengurusan bersama dan MPSJ melaksanakan operasi itu dengan kerjasama Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Selangor.

“Inisiatif pertama kali ini untuk memastikan semburan nyahkuman dilakukan di kawasan pangsapuri kos rendah tidak mempunyai badan pengurusan yang baik dan lengkap.

“Bomba juga memberi tunjuk ajar kepada penduduk berhubung proses pembasmian supaya langkah ini dapat dijalankan setiap masa. Operasi akan diteruskan sehingga hujung bulan ini,” katanya hari ini.

Sementara itu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Petaling, Anuar Harun berkata pihaknya berharap operasi dilakukan itu dapat membantu mengurangkan kes sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor sedia terowong nyahcemar di IPD, IPK

SHAH ALAM, 4 APRIL: Polis Selangor akan menyediakan terowong nyahcemar di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) dan negeri untuk kegunaan anggotanya yang bertugas melakukan rondaan dan sekatan jalan raya serta mereka yang mempunyai urusan dengan pihak polis.

Jurucakap Op Covid-19 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ACP Ismail Muslim berkata Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Kontinjen Selangor sudah membuat permohonan untuk membeli 10 set berkenaan dan sedang menunggu kelulusan daripada Bukit Aman.

“Terowong nyahcemar ini penting terutama buat pegawai kami yang melakukan tugasan rondaan dan sekatan jalan raya agar mereka tidak terkena jangkitan Covid-19.

“Ia juga memandangkan Selangor merupakan negeri tertinggi yang merekodkan kes jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata pihaknya menutup 34 jalan alternatif di lapan daerah yang dikenal pasti digunakan oleh orang ramai bagi mengelak sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, pihaknya juga mengawasi jalan alternatif lain yang sering digunakan oleh pengguna jalan raya dan akan menutupnya sekiranya orang ramai masih enggan mematuhi perintah berkenaan.

-BERNAMA