Categories
KENYATAAN MEDIA

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pertahan Occupy UM dan UM8

Kami mengambil peluang untuk menyertai kumpulan siswa yang sedang berkhemah di depan Universiti Malaya pada pagi ini dalam solidariti menuntut hukuman ke atas pimpinan siswa UM8 digugurkan.

Atas inisiatif bersama-sama dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai YB Nurul Izzah Anwar, kami akan mengumpulkan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk menyerahkan nota bantahan kepada pengurusan Universiti Malaya pada hari Selasa minggu depan menuntut agar hukuman terhadap pimpinan siswa UM8 digugurkan serta merta.

Pengurusan Universiti Malaya seharusnya memberi tumpuan kepada soal meningkatkan mutu pendidikan dan manusiawi yang diterapkan oleh universiti itu, bukan mengekang suara dan kegiatan siswa.

Sebagai solidariti dengan siswa dan gerakan menuntut kebebasan akademik keseluruhannya, kami juga menyeru supaya pimpinan parti politik, NGO dan aktivis datang menyertai siswa yang berkhemah dengan bergilir-gilir tidur di sini.

Saudara Rafizi akan berkhemah bersama-sama siswa pada hari Ahad 14 Disember 2014 bermula jam 11 malam dan menjemput aktivis lain bergilir-gilir setiap hari selagi hukuman tidak digugurkan.

Malaysia memerlukan golongan muda yang kritis dan bebas bersuara.

YB Dr Hatta Ramli – Ahli Parlimen Kuala Krai
YB Rafizi Ramli – Ahli Parlimen Pandan