Categories
AGENDA NASIONAL

Israel serang Palestin: Anwar gesa Putrajaya, OIC suarakan bantahan

SHAH ALAM, 12 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk keras tindakan rejim Israel menyerang penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa pada Sabtu lalu.

Ketua pembangkang menggesa Putrajaya dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengggunakan apa sahaja kuasa dan ruang yang ada bagi menyatakan bantahan terhadap serangan itu.

“Saya menggesa warga yang cintakan keadilan dan kesaksamaan untuk kembali menyikapi konflik ini dengan adil dan bertanggungjawab.

“Isu ini tidak hanya isu orang Islam, malah krisis kemanusiaan yang menjangkau persoalan ras ataupun agama,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga presiden KEADILAN berkata tragedi di Semenanjung Gaza bukan hanya soal diskriminasi malah usaha penghakisan hak asasi penduduk Palestin dengan pembantaian etnik sebagai matlamat.

“Senario terbaru ini juga terus mempamerkan sikap majoriti negara Islam yang lesu dan bisu dalam menyatakan yang hak dan batil,” katanya.

Pada Sabtu lalu, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah sehingga mencederakan sekurang-kurangnya 200 penduduk Palestin yang menunaikan solat terawih.

Tindakan itu mendorong Hamas yang menguasai Tebing Gaza dan pejuang Palestin melancarkan serangan roket sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel itu.

Sebagai balasan, Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada malam Selasa sehingga 20 orang awam terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang komander kanan Hamas serta lebih 65 lagi cedera.

 

Categories
AGENDA GLOBAL

OIC minta jemaah haji patuhi jarak sosial

JEDDAH, 30 JULAI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta jemaah haji tahun ini memberi komitmen untuk mengamalkan penjarakan sosial demi menjaga kesihatan semua pihak, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Al-Othaimeen, meminta jemaah haji mematuhi prosedur kesihatan yang dilaksanakan pihak berkuasa di Arab Saudi untuk melindungi mereka, anggota keluarga dan jemaah lain.

Beliau turut menasihatkan semua jemaah agar memanfaatkan perkhidmatan kesihatan dan peraturan yang disediakan kerajaan Arab Saudi.

Dr Al-Othaimeen menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, yang dipimpin Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota, atas kesungguhan untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini meskipun pandemik Covid-19 sedang melanda.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

OIC perlu penstrukturan semula untuk tangani cabaran umat Islam

MAKKAH, 1 Jun: Penjaga Dua Kota Suci Islam, Raja Salman Abdulaziz al Saud mahu melaksanakan penstrukturan semula terhadap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mampu menangani cabaran serantau dan antarabangsa yang dihadapi umat Islam ketika ini.

“Melalui jawatan pengerusi OIC yang disandang kali ini, Arab Saudi akan berusaha untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota bagi mempercepatkan pelaksanaan tindakan bersama untuk mencapai hasrat umat Islam sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak OIC ke-14 di Istana Royal Sofa di sini pada Sabtu pagi.

Raja Salman turut melahirkan rasa dukacita terhadap pelarian Islam di seluruh dunia yang mencatatkan bilangan peratusan tertinggi, yang berlaku akibat pergolakan dan peperangan, selain kehilangan nikmat keamanan di negara sendiri.

Baginda turut menegaskan negaranya sedang berusaha meraikan pelbagai pandangan daripada negara-negara Islam untuk mengatasi pergolakan dan peperangan yang berlaku.

“Pada masa yang sama juga, Arab Saudi terus menghulurkan bantuan menerusi badan kemanusian demi kedaulatan, keamanan dan kestabilan seluruh negara Islam,” katanya.

Raja Arab Saudi itu berkata isu Palestin adalah perkara asas dalam gerak kerja pertubuhan OIC.

“Ia (isu Palestin) menjadi tumpuan kami supaya rakyat Palestin mendapat semula segala hak mereka dan dijamin resolusi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab 2002.

“Kami sekali lagi menyatakan pendirian menolak sebarang langkah yang akan menjejaskan status sejarah dan undang-undang negara Palestin,” katanya.

Persidangan Bertemakan: “Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-sama menuju ke arah Masa Depan”, dihadiri para pemimpin dari 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang sedang melanda Dunia Islam.

Sidang kemuncak itu juga mengeluarkan ‘Deklarasi Makkah’ dan pernyataan akhir, untuk menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia desak OIC bersatu bantu Rohingya

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Malaysia mendesak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bersatu menghulurkan bantuan terhadap etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ia ekoran tindakan keganasan terhadap etnik itu di wilayah Rakhine, sejak 25 Ogos lalu semakin membimbangkan.

Katanya, pelakuan yang mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa itu mencetuskan krisis kemanusiaan sehingga menyaksikan lebih 400,000 etnik Rohingya melarikan diri mencari perlindungan di Bangladesh.

“Saya ingin mengambil kesempatan memuji usaha mulia Bangladesh kerana membantu masyarakat Rohingya susulan nasib yang menimpa etnik berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Mesyuarat Koordinasi Tahunan OIC di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor BH Online.

Anifah berkata, pelarian Rohingya yang ketika ini berada dalam keadaan terdesak dijangka menjadi sasaran mudah untuk direkrut dan radikalisasi puak pelampau jika kemelut di Myanmar tidak ditangani secara tuntas.

Sehubungan itu, Malaysia mendesak Myanmar menghentikan siri keganasan yang meruncing di republik berkenaan, selain memberi laluan kepada misi kemanusiaan menghantar bantuan di wilayah berkaitan.

“Punca sebenar konflik ini wajar dikenal pasti jika kita ingin memperoleh penyelesaian yang akan kekal selamanya,” katanya.

Categories
GLOBAL

Mesyuarat tergempar OIC di Istanbul bincang isu Baitulmaqdis

RIYADH, 31 JULAI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar di Istanbul, Turki, esok, bagi membincangkan isu Israel-Palestin di Baitulmaqdis, lapor agensi berita China Xinhua.

Menteri-Menteri Luar OIC akan membincangkan isu serta langkah bagi menyokong umat Islam di Baitulmaqdis dalam usaha memelihara identiti dan kesucian Islam termasuk di Masjid Al Aqsa, memetik laporan agensi berita Arab Saudi (SPA).

Mesyuarat diadakan susulan tindakan rejim Israel baru-baru ini, melarang umat Islam masuk ke masjid.

Al-AqsaSelain itu, BERNAMA melaporkan, mesyuarat bertujuan menghantar ‘mesej bersatu’ daripada dunia Islam kepada komuniti antarabangsa sebagai desakan menuntut Israel menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva dan semua resolusi berkaitan Palestin dan Masjid Al Aqsa.

Sebelum ini, pada 24 Julai lalu, OIC mengadakan mesyuarat tergempar wakil tetap negara-negara anggota OIC, manakala pada 20 Julai persidangan antarabangsa di Baku, Azerbaijan bersama dengan Jawatankuasa PBB diadakan bagi membincangkan isu sama.

Pertempuran antara Palestin dan pasukan keselamatan Israel meletus sejak 14 Julai lalu, selepas Israel melaksanakan langkah keselamatan di kompleks Masjid Al Aqsa ekoran insiden serangan maut membabitkan anggota polis Israel.

Langkah itu, termasuk pemasangan alat pengesan logam dan kamera pengawasan di pintu masuk masjid yang dianggap sebagai percubaan Israel menawan serta menuntut hak ke atas tapak ketiga paling suci umat Islam yang ditadbir pihak berkuasa Jordan.

Berikutan tekanan antarabangsa, Israel membuka semula alat kawalan keselamatan yang dipasang namun larangan lelaki Islam Palestin di bawah umur 50 daripada memasuki Masjid Al Aqsa kekal.

Categories
KENYATAAN MEDIA

OIC perlu suarakan bantahan larangan masuk ke AS

OLEH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Saya kecewa menerima berita arahan eksekutif Presiden A.S. Donald J Trump ditandatangani Jumaat yang melarang kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam ke Amerika Syarikat.

Walaupun isu imigresen dan kawalan sempadan adalah hak setiap negara, namun larangan umum seperti yang kita saksikan ini amatlah dikesali dan menampakkan tahap kepercayaan yang wujud pada waktu ini di antara pentadbiran A.S. sekarang dan dunia Islam.

oiclogoMalaysia selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang melibatkan 57 negara Islam termasuk negara-negara yang terkesan akibat arahan eksekutif Presiden Trump, perlu melibatkan diri dalam perbincangan dengan pentadbiran A.S. melalui kesemua saluran diplomatik sedia ada demi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Pada masa yang sama, OIC perlu memanggil perjumpaan tergempar untuk membincangkan serta merangka strategi dan langkah-langkah diplomatik yang perlu diambil untuk menjamin keadilan serta memupuk persefahaman di antara semua pihak yang terlibat.

* Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

Categories
GLOBAL

OIC gesa sidang tergempar khas Rohingya

SHAH ALAM, 14 DIS: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa mesyuarat tergempar berhubung isu Rohingya di Myanmar, dalam misi tetapnya di New York, Geneva dan Brussels.

Setiausaha Agung Yousef A Al-Othaimeen berkata, penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia ke atas masyarakat Rohingya tidak seharusnya berlaku.

“Kerajaan Myanmar mesti menyedari bahawa kedudukannya dalam masyarakat antarabangsa tidak hanya datang dengan peluang-peluang tetapi juga dengan tanggungjawab,” katanya.

Beliau juga menggesa siasatan antarabangsa mengenai laporan pembunuhan beramai-ramai dan penganiyaan terhadap wanita Rohingya yang didakwa dilakukan pasukan tentera.

“Kerajaan Myanmar menafikan tentera melakukan keganasan, dan sebaliknya menyalahkan militan tempatan,” katanya yang mengutuk penindasan terhadap Rohingnya.

 

=EZY=

Categories
GLOBAL

OIC: Hentikan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya

SHAH ALAM 16 NOV: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan kejam tentera Myanmar terhadap masyarakat Rohingya dan menyeru agar tindakan antarabangsa diambil bagi menamatkan perbuatan zalim itu.

Duta Khas OIC bagi Myanmar Tan Sri Syed Hamid Syed Albar dalam kenyataan hari ini, berkata keganasan itu diburukkan lagi apabila tentera Myanmar mendera secara beramai-ramai kaum Rohingya di Rakhine, sebuah negeri di utara Myanmar.

Sambil menyifatkannya sebagai pencabulan hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya dan penghinaan yang tidak boleh diterima terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, beliau berkata kekejaman itu merupakan perbuatan menghapuskan etnik secara zalim dan sistematik.

“Penggunaan kuasa dengan cara tidak sewajarnya terhadap masyarakat itu, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, tidak langsung mempunyai justifikasi dan tidak boleh diterima sama sekali atas apa alasan sekali pun,” katanya.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa tidak sepatutnya terus membisu ketika kaum Rohingya berada di jurang penghapusan.

“Berbuat demikian bermakna kita gagal dalam menunaikan tugas kita untuk menjunjung prinsip keadilan dan tanggungjawab memberi perlindungan bagi memelihara keamanan dan keselamatan global,” kata bekas Menteri Luar Malaysia itu.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu segera bertindak untuk menamatkan segala tindakan tidak berhati perut dan menyeru Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN khususnya, supaya mengambil langkah sewajarnya, sejajar dengan peruntukan termaktub dalam Piagam PBB bagi melindungi dan menghormati hak semua manusia dalam menikmati keamanan dan keselamatan.

Menurut laporan media, tentera Myanmar melancarkan serangan dengan helikopter terhadap perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine pada Sabtu, mengakibatkan lapan orang maut, termasuk dua tentera.

Laporan itu juga menyebut, tentera turut menembak mati sekurang-kurangnya 25 orang di kampung berkenaan pada Ahad.

BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zuraida: PBB-OIC mesti tangani konflik negara Islam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 JULAI: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin diberi peluang berucap di Simposium Budaya dan Diplomasi Negara-Negara Arab oleh Institute for Cultural Diplomacy, bermula 25 Julai hingga 30 Julai lalu.

Beliau satu-satunya panel wanita dalam kalangan delegasi Asia Tenggara diundang menghadiri simposium berkaitan kajian budaya di seluruh dunia yang digerakkan sebuah pertubuhan aktif di Jerman.

Ahli Parlimen Ampang itu dalam ucapatamanya memberi penumpuan terhadap isu keganasan dan peranan yang perlu dimainkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani konflik perang melibatkan negara Islam.

IMG-20160731-WA0023“Memandangkan penganut Islam mulaj berkembang di Asia Tenggara dan Malaysia adalah antara salah satu daripadanya, maka sudah tiba masa bagi negara Asia Tenggara untuk mengambil bahagian aktif bagi memberi pandangan dan cadangan mengenai krisis ini.

“Kita harapkan konflik pertelagahan negara Arab dapat diselesaikan dan kembali bersatu serta maju dalam mengangkat martabat agama dan masyarakat Islam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Zuraida turut memberi tumpuan kepada isu pemahaman khususnya masyarakat bukan Islam terhadap kecelaruan pengertian kesucian Islam yang kini disalah tafsir sesetengah pihak.

“Hentikan segala salah faham dan buruk sangka yang membawa kepada persepsi negatif agama Islam, kerana Islam itu sebenarnya adalah ajaran yang berlandaskan keamanan,” katanya.

Simposium itu insiatif ke arah perbincangan secara formal yang memberi tumpuan terhadap isu sedang berlaku di negara Arab.

Matlamat penganjurannya dibuat bagi memberi pencerahan kepada negara luar untuk mendalami pengertian dan pemahaman ajaran Islam sebenar.

EZY

Categories
NASIONAL

OIC: Tutup Masjid Al-Aqsa tindakan provokasi, langgar undang-undang antarabangsa

KUALA LUMPUR 31 OKT: Penutupan Masjid al-Aqsa oleh pihak berkuasa Israel adalah tindakan duluan dan provokasi secara terang-terangan terhadap umat Islam, kata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Setiausaha Agungnya, Iyad Ameen Madani, berkata OIC mengutuk tindakan yang mencabuli hak beragama umat Islam di salah sebuah masjid paling suci.

Masjid Al-Aqsa“Ini adalah satu pelanggaran semua perjanjian antarabangsa, konvensyen Geneva dan prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Madani berkata Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas akibat daripada perbuatan itu dan mengingatkan peningkatan amalan perkauman seumpama itu akan memburukkan lagi keadaan di rantau berkenaan.

Beliau menuntut supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) bertindak segera untuk mencegah pencerobohan berulang Israel di tapak suci umat Islam dan Kristian, di kawasan penempatan Baitulmaqdis.

Beliau juga meminta UNSC untuk menghentikan pelanggaran perkauman dan aktiviti keagamaan rakyat Palestin, oleh Israel.

Menurut laporan, Israel mengumumkan hari ini akan membuka semula Masjid al-Aqsa berikutan kemarahan antarabangsa selepas menutup kawasan beribadat itu kesan daripada kes tembak seorang aktivis Yahudi, pada lewat semalam.

Categories
NASIONAL

OIC gesa negara anggota timbang semula hubungan dengan Israel

SHAH ALAM, 5 OGOS: Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani mengutuk perbuatan biadab Israel menyerang masjid di Semenanjung Gaza.

“Kini semakin jelas bahawa jentera perang Israel tidak berpuas hati dengan hanya menyembelih orang awam, memusnahkan rumah, membakar ladang dan menghancurkan infrastruktur.

“Sekarang, Israel menunjukkan sikap babarismenya itu terhadap tempat beribadat, tanpa sebarang perasaan malu kerana melanggar semua kod moral serta tidak langsung memperdulikan undang-undang peperangan,” katanya ,” katanya yang dipetik dari BERNAMA.

GazaMadani juga menggesa mana-mana daripada 57 negara anggota OIC ‘yang mempunyai hubungan dengan Israel’ supaya menimbang semula hubungan mereka dengan sebuah kerajaan yang tidak menghormati sebarang undang-undang atau etika termasuk prinsip asas kemanusiaan.

Beliau merayu kepada semua negara yang terus memberi perlindungan politik dan justifikasi moral yang boleh diragukan serta membekalkan senjata pembunuh secara berterusan kepada Israel supaya menyedari bahawa mereka boleh dikaitkan melakukan jenayah perang yang amat dahsyat juga tidak terkira banyaknya.

Beliau berkata, Israel nampaknya bukan sahaja melancarkan kempen keganasan untuk mengusir rakyat Palestin, tetapi juga menakluk mereka daripada segi rohani dan menghalang mereka daripada menikmati kedamaian jiwa apabila berada di masjid.

Iyad-Ameen-Madani OICLaporan antarabangsa menyebut jet pejuang Israel terus membedil Gaza, mengebom sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Jabaliya, utara Gaza City serta menyerang beberapa masjid berhampiran sekolah itu.

Kementerian Kesihatan Gaza dilaporkan berkata jumlah kematian di Gaza kini mencecah 1,732, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas akibat serangan tentera Israel, sejak 8 Julai lalu.

Madani menggesa umat Islam dan rakyat semua negara supaya mempamerkan tanggungjawab mereka dengan menggunakan apa juga alat politik, ekonomi, budaya dan masyarakat sivil yang dimiliki untuk mempertahankan hak rakyat Palestin untuk terus hidup, bebas daripada ketakutan serta hak untuk beribadat.

“Membisu terhadap jenayah yang dilakukan Israel kini tidak boleh lagi dianggap suatu opsyen,” katanya.

Categories
NASIONAL

OIC perlu bertindak segera, desak Israel henti serang Gaza

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan berdiam diri pemimpin negara Islam dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berkenaan serangan terbaru rejim Zionis terhadap Semenanjung Gaza.

Dalam serangan itu, sekurang-kurangnya 12 terbunuh apabila pesawat tempur tentera Israel melepaskan bedilan roket yang bermula awal pagi semalam

gaza3“Kita mengutuk sekeras-kerasnya dan kesal kerana negara Islam lambat bertindak, bahkan OIC baru nak bersidang,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Menurut laporan media antarabangsa, di tengah Gaza seorang lelaki terbunuh berhampiran kem pelarian Nusseirat diikuti empat yang lain di dalam sebuah kereta maut selepas terkena bedilan roket Israel.

Sementara tujuh lagi terkorban dan 25 yang lain cedera apabila bedilan roket Israel terkena sebuah rumah di Khan Younis di selatan Gaza dan identiti mereka bagaimanapun belum dikenal pasti.

Presiden Mahmus Abbas mendesak Israel menghentikan segera kempen serangannya dan menggesa dunia mengenakan tekanan ke atas kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

gaza1Bagaimanapun, Kabinet Israel dijangka memanggil kira-kira 40,000 anggota pasukan simpanannya untuk meningkatkan serangan ke wilayah terbabit.

Pesawat tempur Israel membedil lebih 50 sasaran di Gaza awal pagi semalam selepas pejuang Hamas melancarkan roket merentasi sempadan.

-NFN-