Categories
AGENDA NASIONAL

Azizulhasni, Pandelela antara calon Olahragawan, Olahragawati 2019/20

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Dua atlet elit, jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Datuk Pandelela Rinong adalah antara calon popular tersenarai bagi merebut anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2019/2020.

Mereka dijangka menerima cabaran sengit daripada atlet lain yang turut disenarai pendek pada Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) yang akan berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya pada 21 Disember ini.

Bagi kategori Olahragawan kebangsaan, pelumba yang diberi julukan ‘The Pocketrocketman’ menerima saingan daripada atlet bina badan Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Timmy Tan (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

Pandelela pula dicabar Tan Cheong Min (Wushu), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) bagi kategori Olahragawati Kebangsaan.

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, pemanah S Suresh mengetuai pencalonan diikuti Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Liek Hou (badminton), Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang) dan Chew Wei Lun (boccia), namun tiada pencalonan bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pada ASN kali ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi kenyataan berkata pemilihan calon dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang atlet tersebut di pentas antarabangsa sepanjang 2019 dan 2020.

“Jawatankuasa Pemilihan MSN yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Ramona Mohd Razali, menerima 68 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pemenang bagi kategori Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan membawa pulang sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain – Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Anugerah tahunan yang diperkenalkan sejak 1966, adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan, namun kali ini digabungkan bagi 2019 dan 2020 berikutan pandemik Covid-19.

– BERNAMA