Categories
AGENDA SUKANKINI

Cabaran Malaysia di Olimpik Musim Sejuk Beijing bermula

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Dua peluncur ski negara, Jeffrey Webb dan Aruwin Salehhuddin mengarak Jalur Gemilang masuk ke Stadium Nasional Beijing pada upacara perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 malam tadi sebagai tanda penyertaan Malaysia sebuah negara beriklim Khatulistiwa dalam temasya sukan berprestij itu.

Malaysia adalah kontinjen kelima memasuki stadium yang terkenal dengan nama julukan Stadium Sarang Burung itu dan turut menyertai perbarisan adalah Ketua Kontinjen Moira Tan, Pengurus Pasukan Salehhuddin Ayob, Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Fong Wan Hor dan dua jurulatih, Bezjak Mladen dan Ryan Shorter.

Kontinjen negara memperagakan persalinan musim sejuk berwarna hijau gelap serta hitam, selain dilengkapi topi salji berwarna putih tertera Jalur Gemilang di bahagian depan.

Aruwin yang merupakan atlet wanita negara pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk akan memulakan cabarannya dalam acara ‘Giant Slalom’ Wanita pada Isnin depan sebelum turun bertanding dalam acara ‘Slalom’ pada 9 Feb ini.

Atlet berusia 17 tahun itu mula bermain ski seawal usia dua tahun sebelum memasuki kelab lumba ski pertamanya pada usia lima tahun dan kemudian menyertai Akademi Lumba Ski Antarabangsa pada 2015.

Sementara itu, Jeffrey yang turut membuat penampilan di Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018 yang merupakan penyertaan sulung negara dalam sukan musim sejuk itu, dijadual turun beraksi dalam acara “Slalom” pada 16 Feb sekali gus berpeluang memperbaiki pencapaiannya pada edisi terdahulu.

Beliau yang merupakan atlet berpangkalan di Amerikat Syarikat adalah sebahagian daripada kontinjen negara yang mengambil bahagian pada Sukan Asia Musim Sejuk Sapporo 2017, selain mencipta sejarah menjadi atlet Malaysia pertama berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Malaysia mencipta sejarah dengan penampilan pertama di Olimpik Musim Sejuk empat tahun lepas di Korea Selatan itu menerusi peluncur ais Julian Yee dan Jeffrey.

Julian menamatkan acara pada kedudukan ke-25 bagi acara perseorangan lelaki, manakala Jeffrey menduduki tempat ke-68 dalam acara “Giant Slalom” lelaki, namun gagal menamatkan acara “Slalom”.

– BERNAMA