Categories
AGENDA NASIONAL

Perenang para kebangsaan mara ke peringkat akhir 100 meter gaya bebas S5

TOKYO, 26 OGOS: Selepas mengalami episod duka dalam aksi pertama semalam, perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli kini boleh menghela nafas lega, apabila layak ke final acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

Nur Syaiful yang bermula di lorong ketiga, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 1 minit 16.33 saat (s) pada saringan pertama, yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, di sini.

Atlet berusia 26 tahun dari Sarawak itu, menempah slot ke pusingan akhir selepas menghuni tangga ketujuh secara keseluruhan.

Hanya lapan perenang terbaik daripada kedua-dua saringan dijalankan hari ini mara ke akhir.

Juara bertahan dari Brazil Daniel de Faria Dias, muncul pemenang bagi saringan pertama selepas mencatat masa 1:13.02s manakala pemenang perak 200m gaya bebas lelaki (S5) semalam iaitu Antoni Ponce Bertran dari Sepanyol, di tempat kedua dengan masa 1:13.33s.

Saingan akhir dijangka berlangsung pukul 5 petang ini (4 petang waktu Malaysia).

Semalam, Nur Syaiful terlepas peluang untuk layak ke peringkat akhir acara 200m gaya bebas lelaki S5, selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal selepas didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya.

Nur Syaiful sebenarnya berpeluang untuk memecah rekod Asia dipegang perenang Thailand Phuchit Aingchaiyaphum, dengan catatan masa 2:58.11s dilakukan di Melbourne, Australia tahun lalu selepas menamatkan saingan di tangga kelima dengan masa 2:56.78s.

Beliau mendedahkan terpaksa menampal pita pelekat dan berenang dalam kesakitan susulan kecederaan dialami di bahu kirinya sejak Sabtu lepas, sebelum aksinya dibatalkan selepas dimaklumkan pengadil bahawa penggunaan objek itu tidak dibenarkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Nama Azizulhasni terpahat lagi dalam Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang semalam dianugerahkan dengan satu catatan rekod di dalam Malaysia Book of Records (MBR) selaku rakyat Malaysia pertama memenangi pingat perak dalam acara berbasikal trek di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 8 Ogos lepas.

Penghargaan yang diterima semalam merupakan ketiga dalam kerjaya beliau selepas direkodkan sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi gangsa dalam Sukan Olimpik di Olimpik Rio 2016 dan warga Malaysia pertama memenangi emas di dalam acara berbasikal trek Kejohanan Dunia 2017.

Pada penyampaian sijil MBR yang berlangsung secara maya dalam halaman Facebook MBR semalam, Mohd Azizulhasni yang juga dikenali sebagai “The Pocket Rocketman” berkata beliau berharap kejayaan cemerlang dikecapinya menjadi inspirasi buat atlet lain untuk mencapai kejayaan yang sama.

“Saya sungguh gembira dengan penghormatan ini dan ini bermakna saya perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan satu lagi pingat dalam tiga tahun seterusnya, dalam (Olimpik) Paris 2024,” kata atlet berusia 33 tahun dari Dungun, Terengganu itu.

Anugerah itu disampaikan Ketua Pegawai Operasi MBR Christopher Wong dalam siaran langsung itu dengan menunjukkan satu sijil penghargaan sebagai simbolik penyampaian anugerah berkenaan.

“Saya memohon maaf kerana perlu memaklumkan jika anda mahukan satu lagi rekod daripada MBR anda perlu mendapatkan emas itu,” kata Wong.

Sementara itu, Pengasas MBR Tan Sri Danny Ooi berkata Mohd Azizulhasni berhak ke atas penghargaan itu berdasarkan pencapaian cemerlangnya.

“Saya ucapkan tahniah atas dua perkara, satu ialah gelaran ‘Datuk’ yang diterima dan lagi satu kerana memenangi pingat perak di Tokyo, itulah sinar yang anda bawa kepada rakyat Malaysia pada hari itu,” katanya.

Terdahulu dalam sesi langsung itu, Mohd Azizulhasni juga berkongsi kisah perjalanan hidupnya dan cerita di sebalik basikal yang digunakan semasa beraksi di Tokyo.

Mohd Azizulhasni memperoleh perak dalam final acara keirin yang berlangsung di Izu Velodrom, Shizuoka, Ahad lepas dan muncul sebagai atlet berbasikal trek negara paling berjaya – memenangi sebutir perak dan satu gangsa dalam empat kemunculan berturut-turut di Olimpik sejak edisi Beijing 2008.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Dari basikal besi ke pingat perak Olimpik

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Daripada menunggang basikal biasa diperbuat daripada besi di kampung dan menjadikan bukit serta belukar sebagai gelanggang latihan, hari ini jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang seorang pemenang pingat perak Olimpik.

Mohd Azizulhasni yang diberi nama julukan “The Pocket Rocketman” kini merupakan pelumba berbasikal trek negara paling berjaya dengan rekod satu pingat perak dan satu gangsa sepanjang empat penampilan di pentas Olimpik sejak edisi Beijing 2008.

Malah, beliau merupakan atlet berbasikal pertama negara menaiki podium Olimpik.

Pingat perak diraih beliau dalam acara keirin pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga adalah pencapaian tertinggi dalam kariernya selepas memenangi gangsa dalam acara sama di Rio 2016 sebelum bergelar juara dunia keirin di Hong Kong lapan bulan kemudian pada April 2017.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut boleh berbangga selepas muncul antara dua atlet Malaysia yang berjaya memenangi pingat perak Olimpik dalam acara individu di samping legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei (Beijing 2008, London 2012, Rio 2016).

Atas pelbagai kejayaan dilakar dan bakti yang ditabur dalam mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2017, namun segalanya bermula daripada sebuah pengorbanan.

Selain pengorbanan, keberanian dimiliki pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan Universiti Deakin, Melbourne itu untuk mencuba sesuatu baharu turut melonjakkan potensi tersembunyi dalam diri beliau.

Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menunjukkan pingat perak kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas majlis penyampaian pingat acara akhir keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrom, Shizuoka pada 8 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Jurulatih pertamanya Rozimi Omar yang meninggal dunia pada 2015, adalah individu yang mengarahkan Mohd Azizulhasni untuk fokus kepada arena trek, biarpun beliau berkemampuan beraksi dalam hampir kebanyakan acara seperti BMX dan MTB.

Beliau bersama arwah jurulatihnya sering berulang-alik dari Dungun ke Kuala Lumpur untuk menyertai siri perlumbaan di Velodrom Cheras yang dirobohkan pada 2017 dan ketika itu beliau tidak mempunyai peralatan khas untuk bertanding di trek.

Ayah kepada dua cahaya mata itu juga pernah dibekalkan RM100 oleh ibunya untuk bertanding di Kejohanan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2002 dan meraih pingat emas kategori bawah 15 tahun dengan berbekalkan basikal yang dipinjam daripada pelumba lain.

Segala pengorbanan dilakukan beliau sewaktu remaja membawanya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil dan bakat serta potensi beliau lebih terserlah dan mula diserap ke dalam pasukan kebangsaan sebelum mencipta nama di Kejohanan Trek Asia 2008 – memenangi pingat emas keirin dan 200m pecut.

Nama Mohd Azizulhasni mula meniti di bibir peminat sukan tanah air selepas memenangi pingat perak acara pecut di Kejohanan Dunia 2009 di Poland diikuti kejayaan merangkul perak dan emas acara keirin masing-masing pada Kejohanan Dunia 2010 di Denmark dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Insiden kemalangan di Manchester, United Kingdom pada 2011 ketika beliau menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia yang menyaksikan betis kirinya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter membuktikan semangat wira yang tersemat dalam diri Mohd Azizulhasni.

Beliau menunjukkan semangat luar biasa apabila bangkit dan mengayuh basikalnya ke garisan penamat biarpun serpihan kayu masih tertusuk di betisnya untuk memenangi pingat gangsa acara keirin.

Di pentas Sukan Asia, beliau pernah merangkul pingat emas acara pecut dan perak (pecut berpasukan) pada edisi Jakarta-Palembang 2018 sementara pada penyertaan di Sukan Komanwel, beliau berjaya memenangi gangsa pecut berpasukan pada edisi Delhi 2010 dan keirin (Glasgow 2014).

Pada aksi final di Velodrom Izu di Shizuoka, yang berlangsung sengit, hari ini, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mengesahkan pingat emas untuk mengekalkan gelarannya sekali gus memecahkan rekod enam pingat emas legenda berbasikal trek Britain Chris Hoy.

Mohd Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah Azizulhasni raih perak di Tokyo

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Mohd Azizulhasni membawa pulang pingat itu buat kontinjen negara dalam kejohanan sukan terbesar dunia itu, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Datuk Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia.

“Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Datuk Azizulhasni,” menurut catatan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Seri Paduka berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara dan seluruh kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Seri Paduka berdua turut mendoakan semua atlet negara memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara pada kejohanan-kejohanan mendatang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Olimpik Tokyo: Azizulhasni bawa pulang pingat perak untuk Malaysia

TOKYO, 8 OGOS: Hasrat pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk merangkul pingat emas pertama negara di Olimpik berkecai apabila beliau hanya mampu meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki di Izu Veldorome di Shizuoka, di sini hari ini.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mempamerkan kayuhan luar biasa sejak di peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya.

Mohd Azizulhasni, 33, melintasi garis penamat untuk pingat perak, sekali gus meleburkan harapannya memenangi pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia, manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

Dikenali dengan gelaran “The Pocket Rocketman” yang disandarkan harapan untuk meraih pingat emas, Mohd Azizulhasni memenangi pingat Olimpik pertamanya pada Olimpik Rio 2016 dengan pingat gangsa dalam acara keirin, selepas gagal melayakkan ke peringkat akhir Olimpik Beijing 2008, dan menduduki tempat keenam dalam Olimpik London 2012.

Kejayaan Kenny menyaksikan dominasi Britain dalam acara keirin lelaki berterusan sejak Olimpik Beijing 2008 lagi.

Mohd Azizulhasni merupakan salah seorang daripada enam pelumba yang beraksi di peringkat akhir hari ini, selepas beliau mengharungi saingan peringkat suku akhir pada sebelah paginya, dan beliau menjadi satu-satunya pelumba dari Asia yang mara ke peringkat akhir acara keirin.

Pelumba yang berpengkalan di Melbourne itu memulakan kempennya di Tokyo dengan penuh bergaya apabila menduduki tempat kedua dalam Saringan Tiga suku akhir, dan memenangi Saringan Dua peringkat separuh akhir sebelum mara ke peringkat akhir.

Walaupun pingat perak, Mohd Azizulhasni tetap merupakan pelumba basikal trek terhebat negara, menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang memenangi pingat Olimpik dalam acara itu.

Pingat perak yang diraihnya itu merupakan pingat kedua Malaysia selepas pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki badminton.

Sementara itu Kenny, juara keirin dan pecut di Olimpik Rio 2016 kini berjaya mengumpul tujuh pingat emas Olimpik keseluruhannya, dan memecahkan rekod enam pingat emas yang pernah diraih seorang lagi pelumba basikal trek legenda Britain Chris Hoy.

Pelumba berumur 33 tahun itu turut membantu Britain memenangi pingat perak dalam acara pecut berpasukan lelaki bersama dengan Ryan Owens dan Jack Carlin, yang meraih pingat gangsa dalam acara pecut lelaki.

Terdahulu seorang lagi pelumba Malaysia Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat terakhir dalam Saringan Dua di peringkat suku akhir.

Pelumba berumur 25 tahun itu mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan pelumba Britain Jack Carlin dalam Saringan Dua pusingan pertama, yang menyaksikan beliau dibawa untuk mendapatkan rawatan di Juntendo University Shizuoka Hospital.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Azizulhasni layak ke peringkat akhir acara keirin

TOKYO, 8 OGOS: Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang kini semakin hampir melakar sejarah tersendiri, merangkul pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Tokyo, apabila berjaya mempamerkan persembahan cemerlang untuk mara ke peringkat akhir acara keirin lelaki di Izu Velodrome in Shizuoka, di sini hari ini.

Bekas juara dunia berumur 33 tahun itu yang menjadi harapan negara untuk merangkul pingat emas sejak dari awal temasya, mengungguli Saringan Dua di hadapan pelumba Jerman Maximilian Levy dan pelumba dari Belanda Harrie Lavreysen, yang meraih pingat emas dalam acara pecut lelaki.

Sementara itu penyandang juara Jason Kenny dari Britain, pelumba Australia Matthew Glaetzer dan pelumba Suriname Jair Tjon En Fa muncul tiga pelumba terbaik dalam saringan pertama.

Tiga pelumba terbaik dalam dua saringan akan berlumba di peringkat akhir, yang akan bermula pada pukul 11 pagi ini.

Terdahulu seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang untuk beraksi dalam saingan peringkat separuh akhir selepas menjadi pelumba terakhir sampai di garisan penamat dalam Saringan Dua peringkat suku akhir.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Azizulhasni, Shah Firdaus harapan akhir Malaysia di Olimpik Tokyo

Oleh Elmi Rizal Elias

TOKYO, 8 OGOS: Hari terakhir, peluang terakhir.

Setelah hanya meraih satu pingat gangsa ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal melabuhkan tirai pada Ahad (8 Ogos), kontinjen Malaysia mengharapkan kayuhan menakjubkan daripada jaguh lumba basikal negara Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menghadirkan pingat, hari ini.

Aksi kedua-dua pelumba negara itu pastinya mendebarkan jutaan peminat sukan tanah air apabila mereka dijadual turun bagi memburu pingat, sekali gus merealisasikan sasaran tiga pingat buat Malaysia pada temasya Olimpik kali ini.

Azizulhasni, 33, dan Muhammad Shah Firdaus, 25, mengesahkan slot di peringkat suku akhir acara keirin selepas masing-masing melepasi cabaran pusingan pertama di Velodrom Izu, Shizuoka, kira-kira 175km dari bandar raya ini, semalam.

Sekiranya kedua-dua pelumba berkenaan melepasi saingan di suku akhir pagi esok (hari ini), mereka akan bersaing di peringkat separuh akhir dan final yang akan berlangsung pada hari yang sama.

Berbekalkan pengalaman dan reputasi cemerlang meraih pingat gangsa pada temasya Olimpik 2016 di Rio, seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar Azizulhasni mampu menghadiahkan sebutir pingat terutamanya pingat emas pertama negara di temasya Olimpik.

Begitu juga, Muhammad Shah Firdaus, selepas bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke peringkat suku akhir walaupun terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua acara keirin hari ini, aksi pelumba kelahiran Muar, Johor itu sekali lagi ditagih untuk menyumbangkan pingat buat negara.

Terdahulu dalam saingan pusingan awal semalam, Azizulhasni mengungguli pusingan pertama saringan tiga untuk melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya tanpa perlu melalui repechages, seperti yang dilaluinya dalam acara pecut.

Sementara Muhammad Shah Firdaus yang terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua, bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke suku akhir selepas menduduki tempat kedua dalam Saingan Satu pusingan pertama repechages di belakang Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berumur 25 tahun itu melakar perkembangan membanggakan dalam penampilan sulungnya dalam acara keirin Olimpik, terutama apabila beliau ‘terselamat’ di Saringan Dua pusingan pertama selepas berlanggar dengan Jack Carlin dari Great Britain.

Detik yang mencemaskan sejurus pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terjatuh apabila berlaga dengan pesaingnya dalam pelumbaan peringkat saringan keirin pada temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrome, Shizuoka pada 7 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Kemalangan itu turut menyaksikan Muhammad Shah Firdaus mengalami kecederaan bahu kiri akibat perlanggaran dan terpaksa menarik diri daripada perlumbaan yang dimulakan semula, dan mengharungi cabaran dalam saingan repechages.

Dalam saingan suku akhir, Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Sementara, Muhammad Shah Firdaus akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Suriname) dan Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai perubatan kontinjen negara bahawa Muhammad Shah Firdaus berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami patah tulang rusuk seperti dilaporkan sebelum ini.

“Saya berada di sana (Velodrom Izu), pelanggaran yang berlaku itu impaknya kelihatan begitu menakutkan. Namun, kesungguhan Shah Firdaus bangkit semula dalam repechages dan akhirnya mara ke suku akhir, sebenarnya satu kekuatan yang ditunjukan oleh beliau.

“Di dalam ambulans pun dia masih minta dia nak turun bertanding. Tapi apa pun bagi saya, keselamatan dan keadaan kesihatan Shah Firdaus adalah keutamaan,” katanya dalam klip video yang dikongsikan kepada media daripada pejabat Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus dalam Instagramnya menyatakan beliau dalam keadaan baik dan berjanji akan mempamerkan prestasi terbaik pada perlumbaan hari ini.

Sementara itu, di Kasumigaseki Country Club, pemain golf wanita negara Kelly Tan mempamerkan persembahan baik untuk menduduki tempat ke-34 keseluruhan pada hari terakhir kempennya di Sukan Olimpik Tokyo semalam.

Keputusan itu bermakna Kelly berjaya memperbaiki rekod dalam penampilan kedua beliau pada Sukan Olimpik, selepas menduduki tempat ke-51 di Rio 2016.

Pemain golf berumur 27 tahun itu menamatkan saingan pusingan akhir dalam acara individu wanita dengan mendaki 14 anak tangga daripada kedudukan semalam, untuk berkongsi kedudukan di tempat ke-34 dengan Min Lee dari Taiwan, Celine Boutier (Perancis) dan Pia Babnik (Slovakia).

Setakat ini, Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang juga pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, dalam acara beregu badminton lelaki.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Shah Firdaus okey, boleh berlumba hari ini

TOKYO, 8 OGOS: Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo boleh menarik nafas lega selepas pelumba elit berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom disahkan cergas untuk berlumba dalam acara keirin lelaki hari ini.

Muhammad Shah Firdaus dalam satu hantaran di laman Instagram meyakinkan pengikutnya bahawa keputusan X-ray dan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada bahagian tubuhnya yang cedera mendapati ia masih berada dalam keadaan baik selepas beliau terjatuh dalam perlanggaran dengan pelumba Great Britain Jack Carlin semasa pusingan pertama perlumbaan keirin di Velodrom Izu semalam.

Pelumba berusia 25 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo, Shizuoka untuk rawatan lanjut.

“Hi semua, Alhamdulillah, saya okey. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan anda. Doakan saya kembali pulih dan akan cuba sebaik mungkin esok (hari ini),” katanya.

Atlet kelahiran Muar itu berkata pelanggaran tidak dapat dielakkan terutamanya dalam acara keirin kerana setiap atlet akhirnya berkongsi satu matlamat utama, iaitu memenangi perlumbaan.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta penyokongnya supaya tidak menghakimi mana-mana pelumba.

Terdahulu, dalam Saringan Dua pusingan pertama, Muhammad Shah Firdaus yang bertanding di Olimpik buat kali pertama cuba untuk meloloskan dirinya pada satu ruang antara pelumba ketika nahas itu berlaku. Pelumba Kazakhstan Sergey Ponomaryov turut terjatuh selepas tidak dapat mengelak pelumba Malaysia itu.

Perlumbaan itu terpaksa dimulakan semula selepas semua saringan selesai tetapi Muhammad Shah Firdaus dan Ponomaryov yang cedera terpaksa menarik diri.

Bagaimanapun, insiden semalam tidak menghalang Muhammad Shah Firdaus mempamerkan aksi yang bersemangat dan bertenaga dalam pusingan pertama repechage untuk berada di tempat kedua di belakang pelumba Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago untuk menyertI rakan sepasukan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam saingan suku akhir esok.

Jaguh keirin negara Azizulhasni sudah awal-awal lagi menempat slot ke suku akhir selepas memenangi Saringan Tiga pada pusingan pertama.

Dalam saingan suku akhir pada Ahad (8 Ogos), Azizulhasni akan berlumba dalam Saringan Tiga dengan Matthew Glaetzer (Australia), Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi.

Muhammad Shah Firdaus pula akan berentap dengan Carlin dalam Saringan Kedua dan Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Surinam) dan Nicholas Paul (Trinidad and Tobago).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kemalangan di trek, Shah Firdaus dikejar ke hospital

TOKYO, 7 OGOS: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terlibat dalam kemalangan ketika saringan acara keirin di Velodrom Izu, dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo di Shizouka.

Pelumba kelahiran Muar, Johor itu terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua acara berkenaan, setelah berlanggar dengan Jack Carlin dari Great Britain, yang memenangi pingat gangsa acara pecut semalam.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata Muhammad Shah Firdaus dikejarkan ke hospital berkenaan setelah pasukan perubatan penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 mendapati tahap oksigen pelumba berusia 25 tahun itu rendah.

“Setelah terbabit dalam kemalangan semasa perlumbaan saringan, Shah Firdaus mengadu sakit di bahagian tulang rusuk kiri, namun beliau mahu juga berlumba di pusingan repechages,” katanya ketika dihubungi di sini.

Amarjit, yang berada di Shizouka, kira-kira 175km dari bandar raya ini, bagaimanapun berkata pada masa ini, pasukan perubatan di hospital berkenaan masih menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas Muhammad Shah Firdaus.

“Buat masa ini, kita belum tahu keadaan Shah Firdaus,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus, yang terbabit dalam kemalangan pada saringan kedua acara keirin, bangkit menampilkan kayuhan bertenaga untuk mara ke peringkat suku akhir selepas menduduki tempat kedua dalam Saingan Satu pusingan pertama repechages di belakang Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berumur 25 tahun itu melakar perkembangan membanggakan dalam penampilan sulungnya dalam acara keirin Olimpik, terutama apabila beliau ‘terselamat’ di Saringan Dua pusingan pertama selepas berlanggar dengan Carlin.

Kemalangan itu turut menyaksikan Muhammad Shah Firdaus mengalami kecederaan bahu kiri akibat perlanggaran dan terpaksa menarik diri daripada perlumbaan yang dimulakan semula, dan mengharungi cabaran dalam saingan repechages.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang turut mara ke suku akhir selepas menamatkan saringan ketiga pusingan pertama acara keirin lelaki di kedudukan pertama.

Dalam saingan suku akhir esok, Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi.

Sementara, Muhammad Shah Firdaus akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Suriname) dan Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Olimipik Tokyo: Azizulhasni layak ke suku akhir

TOKYO, 7 OGOS: Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang berjaya menghidupkan peluang dan harapan untuk merangkul pingat emas negara pertama dalam Olimpik Tokyo hari ini di gelanggang Izu Velodrome di Shizuoka, di sini.

Bekas juara dunia berumur 33 tahun itu mengungguli acara keirin lelaki pusingan pertama – saringan tiga, untuk melangkah ke saingan suku akhir yang dijadualkan esok dengan penuh bergaya, tanpa perlu melalui repechage, seperti yang dilaluinya dalam acara pecut.

Bagaimanapun Mohd Azizulhasni menerima saingan sengit daripada lima lagi pelumba termasuk Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago, yang menduduki tempat keempat dalam acara pecut.

Mohd Azizulhasni yang merangkul pingat gangsa dalam acara keirin pada Olimpik Rio 2016 kelihatan selesa semasa tiba di garis penamat, di hadapan Paul, manakala Patryk Rajkowski dari Poland di tempat ketiga.

Malaysia setakat ini hanya memenangi satu pingat gangsa melalui acara badminton, dan kini usaha kontinjen negara untuk mencapai matlamat utamanya memenangi pingat emas, berterusan sehingga hari terakhir Sukan Tokyo 2020 yang secara rasmi menutup tirainya esok.

Sementara itu seorang lagi pelumba basikal trek elit negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyusul untuk bersama dengan Azizulhasni melangkah ke saingan peringkat suku akhir selepas menduduki tempat kedua dalam Saingan Satu pusingan pertama repechage di belakang Kwesi Browne dari Trinidad and Tobago.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba berumur 25 tahun itu melakar perkembangan yang membanggakan dalam penampilan sulungnya dalam acara keirin Olimpik, terutama apabila beliau ‘terselamat’ di Saringan Dua pusingan pertama selepas berlanggar dengan Jack Carlin dari Britain yang memenangi pingat gangsa dalam acara pecut semalam.

Kejadian berlaku semasa Muhammad Shah Firdaus cuba memasuki satu ruang yang terbuka dengan Matthijs Buchli dari Belanda di hadapan mengalami kemalangan, dan kemalangan itu turut menyaksikan Sergey Ponomaryov dari Kazakhstan terus tersingkir, dan perlumbaan harus dimulakan semula setelah semua saringan berakhir.

Kemalangan itu turut menyaksikan Muhammad Shah Firdaus mengalami kecederaan bahu akibat perlanggaran dan terpaksa menarik diri dari perlumbaan yang dimulakan semula, dan mengharungi cabaran dalam repechages.

Dalam saingan peringkat suku akhir esok, Mohd Azizulhasni berada dalam Saringan Tiga bersama dengan Matthew Glaetzer dari Australia, Stefan Boetticher (Jerman), Yuta Wakimoto (Jepun), Denis Dmitriev (Jawatankuasa Olimpik Rusia) dan Kwesi.

Sementara itu Muhammad Shah Firdaus pula akan bersaing dengan Carlin di Saringan Dua bersama dengan Maximilian Levy (Jerman), Callum Saunders (New Zealand), Jair Tjon En Fa (Suriname) dan Paul.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kelly Tan perbaiki satu kedudukan pada hari ketiga

TOKYO, 6 OGOS: Pemain golf wanita utama negara Kelly Tan memperbaiki satu kedudukan daripada tempat ke-49 ke kedudukan ke-48 hari ini, dalam permainan strok individu di Olimpik Tokyo hari ini.

Hari ketiga acara itu di Kasumigaseki Country Club di Saitama menyaksikan, pemain golf berusia 27 tahun itu melakukan satu atas par 72, untuk menjadikan lima atas par 218 keseluruhannya, dan berkongsi kedudukan ke-48 itu bersama Azahara Munoz dari Sepanyol dan Kim Metrauz dari Switzerland.

Pemenang Terbuka Malaysia tiga kali itu bermula dengan baik, dengan mencatatkan birdie pada lubang pertama sebelum melakukan empat bogey pada lubang ke tiga, lapan, 10 dan 11.

Kelly yang bertanding dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) kemudiannya berjaya melakukan dua lagi birdie pada lubang ke-12 dan 14.

Sementara itu Nelly Korda dari Amerika Syarikat kekal sebagai pendahulu, walaupun hanya melakukan dua bawah par 69 hari ini, selepas melakukan sembilan bawah par 62 semalam, bagi menjadikan keseluruhan 15 bawah par 198.

Aditi Ashol dari India di tempat kedua dengan 12 bawah par 201, manakala empat pemain yang mencatatkan 10 bawah par 203 berkongsi tempat ketiga iaitu Lydia Ko dari New Zealand, Hannah Green (Australia), Emily Kristine Pedersen (Denmark) dan pemain tuan rumah Mone Inami.

Permainan hari keempat akan berlangsung esok (7 Ogos).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Cabaran Azizulhasni, Shah Firdaus dalam acara pecut berbasikal berakhir

TOKYO, 5 OGOS: Cabaran Malaysia dalam acara pecut berbasikal trek berakhir hari ini, apabila kedua-dua pelumba negara yang bertanding hari ini, gagal melayakkan diri ke pertingkat suku akhir di Olimpik Tokyo di sini hari ini.

Selepas masing-masing tewas dalam perlumbaan pusingan ketiga 1/8 hari ini, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga tewas dalam perlumbaan Repechages 1/8 dalam saringan masing-masing, pada acara yang berlangsung di Veledrom Izu.

Juara bertahan dari Great Britain Jason Kenny, dengan kayuhan lebih bertenaga mencatatkan 10.066 saat (s) dan meninggalkan Azizulhasni di tempat kedua dan pelumba tuan rumah Yuta Wakimoto ketiga pada Saringan Satu perlumbaan Repechages 1/8.

Pada perlumbaan Saringan Dua, Muhammad Shah Firdaus menamatkan perlumbaan hari ini di tempat ketiga, di belakang pelumba Perancis Sebastien Vigier yang memenangi perlumbaan dengan catatan 10.169s, manakala Sam Webster dari New Sealand di tempat kedua.

Pemenang setiap saringan layak ke suku akhir.

Sementara itu dua pelumba Belanda Jeffrey Hoogland dan Harrie Lavreysen masing-masing memenangi perlumbaan ketika bertemu Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus pada perlumbaan Pusingan Ketiga 1/8 hari ini.

Hoogland yang memecahkan rekod Olimpik dengan masa 9.215 saat dalam pusingan kelayakan pada Rabu (4 Ogos), memenangi perlumbaan dengan mencatatkan masa 9.831s iaitu 0.040s lebih pantas daripada Azizulhasni pada perlumbaan saringan Saringan Satu.

Sementara itu Muhammad Shah Firdaus gagal membalas dendam kekalahan kepada Lavreysen pada perlumbaan Pusingan Pertama 1/32 semalam, apabila sekali lagi tewas kepada pelumba Belanda itu yang mencatatkan masa 9.635s untuk memenangi perlumbaan Saringan Dua hari ini.

Kedua-dua pelumba negara itu kini akan meneruskan perjuangan mereka di Olimpik Tokyo dalam acara keirin lelaki yang akan berlangsung pada Sabtu (7 Ogos).

Azizulhasni merupakan pelumba berbasikal trek negara pertama memenangi pingat Olimpik, apabila pelumba dari Terengganu itu memenangi pingat gangsa di Olimpik Rio 2016, lima tahun lepas.

-BERNAMA