Categories
AGENDA NASIONAL

Terlalu awal isytihar lepasi kemuncak Omicron meski kadar boleh jangkit turun

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Malaysia berada pada tahap 1.06 semalam iaitu menurun 0.02 berbanding kadar 1.08 Rt yang dilaporkan, Sabtu lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di akaun Twitter berkata walaupun nilainya terus menurun, namun masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa Malaysia telah melepasi kemuncak jangkitan Omicron dengan 96 peratus kes aktif Covid-19 pulih di rumah dan kapasiti perkhidmatan hospital kini dalam keadaan terkawal.

“Rt harian kita terus menurun kepada 1.05. Terlalu awal untuk menyatakan kita telah melepasi kemuncak jangkitan Omicron. Sebanyak 96 peratus kes aktif pulih di rumah dan kapasiti hospital adalah terkawal.

“Jika trend ini berterusan, ia akan diikuti dengan pembukaan sepenuhnya sempadan dan kelonggaran langkah-langkah domestik yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kemas kini di media sosialnya berkata Perak merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.32, diikuti Labuan (1.27), Sarawak (1.24) dan Terengganu (1.22).

Malaysia merekodkan 24,466 kes baharu Covid-19 semalam, dengan hanya 105 kes dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala 24,361 kes kategori satu dan dua.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP kesihatan: Dos penggalak mampu lawan gelombang Omicron

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Keberkesanan dos vaksin penggalak dilihat mampu mengurangkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia yang dicetuskan oleh gelombang varian Omicron ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata data terkini dari empat minggu lepas iaitu dari 24 Januari hingga 21 Februari menunjukkan kumpulan individu tidak divaksin adalah yang paling berisiko dijangkiti COVID-19 yang serius terutama kategori empat dan lima bagi semua kumpulan umur.

“Perkara ini dibuktikan dengan kes Covid-19 per 100,000 populasi mengikut status vaksinasi meningkat kira-kira 10 hingga 80 kes direkodkan untuk kategori (3,4 dan 5) bagi semua kumpulan umur

“Kumpulan individu yang menerima dos penggalak adalah paling terlindung, apabila bawah 20 kes dilaporkan dan dilihat kurang kes jangkitan yang serius iaitu kategori 3, 4, dan 5 dan juga kes kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini sejumlah 14,078,456 atau 59.8 peratus dos penggalak diberikan kepada golongan individu dewasa dalam Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) sejak 1 Oktober 2021 hingga semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) hospital di Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Melaka menunjukkan pengisian lebih 50 peratus.

“Penggunaan katil ICU di Johor pada 70 peratus dikuti Kelantan (61 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), dan Melaka (54 peratus).

“Selain itu sejumlah 25,099 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,246,779 dan daripada jumlah kes baharu itu, 25,014 kes tempatan dan 85 kes import,” katanya.

Beliau berkata sejumlah 100 daripada kes baharu adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 24,499 terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Bagi kes sembuh pula sebanyak 17,749 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,955,404,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Bersama hadapi cabaran Omicron, lindungi diri dengan vaksin

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Rakyat Malaysia perlu bersama-sama menghadapi cabaran varian Omicron dengan mematuhi semua langkah kesihatan awam dan sosial termasuk tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di akaun Twitternya berkata banyak negara di rantau ini menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19.

“Sila dapatkan vaksinasi dan dos penggalak untuk melindungi diri anda dan orang tersayang,” katanya.

Malaysia merekodkan kes Covid-19 harian tertinggi hari ini sejak kes positif pertama dilapor pada Januari 2020 dengan 27,831 kes dilaporkan.

Daripada jumlah itu, 27.33 peratus atau 7,606 kes adalah dalam kategori satu, 72.32 peratus atau 20,128 kes kategori dua, 0.21 peratus atau 59 kes kategori tiga, 0.1 peratus atau 28 kes kategori empat dan 0.04 peratus atau 10 kes kategori lima.

Dalam satu ciapan lain, Dr Noor Hisham berkata walaupun semasa kes diuji dan baharu didiagnosis, kebanyakan pesakit adalah pada kategori rendah seperti contoh hari ini 99.65 peratus kes dilaporkan dalam kategori satu dan dua, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang merosot ke kategori yang lebih tinggi dan memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital.

Menurut beliau sehingga 5 petang hari ini, kes Covid-19 baharu dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes dan daripada jumlah itu 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 841 kes atau 66.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, bilangan pesakit Covid-19 di katil bukan kritikal dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat manakala pesakit di PKRC menurun hari ini berbanding semalam.

Beliau berkata penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 di dua negeri adalah lebih daripada 50 peratus iaitu Johor 61 peratus dan Kuala Lumpur 51 peratus.

Katanya bagi katil PKRC, sembilan negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus dengan Melaka mencatatkan kadar 100 peratus diikuti Selangor 82 peratus.

Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri lain yang mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus ialah Negeri Sembilan (79 peratus), Pahang (71), Kelantan (67), Sabah (64), Johor (63), Kedah (62) dan Perak (56).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Sakit kepala, loya antara gejala utama Omicron

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Varian Omicron virus Covid-19 tidak menyebabkan penghidapnya hilang deria bau seperti varian Delta.

Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi dan Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Masita Arip berkata itu merupakan satu daripada perbezaan ketara antara gejala varian Omicron dan varian Delta.

“Selain itu, varian Omicron juga tidak menyebabkan demam dengan suhu yang tinggi sebagaimana pesakit Covid-19 varian Delta sebelum ini. Antara gejala utama yang dibawa oleh varian Omicron adalah sakit kepala dan loya.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit kepala dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Menurut Dr Masita, gejala yang dialami oleh penghidap varian Omicron adalah lebih singkat iaitu kurang lima hari berbanding varian Delta.

Beliau berkata masyarakat Malaysia perlu bersikap matang dalam menghadapi situasi melawan pandemik Covid-19 dengan segera mendapatkan rawatan apabila bergejala, sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan mengambil dos penggalak supaya mempunyai imuniti terhadap varian berkenaan.

Individu yang melakukan ujian kendiri Covid-19 di rumah dan mendapati diri mereka positif perlu jujur dan bertanggungjawab dengan tidak keluar rumah dan membahayakan orang lain, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bazar Ramadan dibenar operasi tahun ini – perdana menteri

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk Bazar Ramadan pada tahun ini.

Bagaimanapn beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) bazar tersebut akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

“Kita tidak akan tutup perniagaan, saya dah sebut raya ke, bulan puasa ke, pasar Ramadan ke, pasar malam ke, masih akan dibuka seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan luahan peniaga Bazar Ramadan yang bimbang mereka tidak boleh berniaga akibat kes Covid-19 negara yang mengalami peningkatan mendadak, susulan penularan varian Omicron sejak lebih sebulan lalu.

Semalam, kes baharu Covid-19 mencatatkan 22,802 kes menjadikan kumulatif kes mencecah lebih 3 juta.

Minggu lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata penganjuran Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini dibenarkan, dan akan dilaksanakan seperti biasa SOP sedia ada.

Pada 2020, operasi Bazar Ramadan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan bagi mengekang penularan Covid-19, manakala pada tahun lalu pula, operasi Bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Omicron: Duduk rumah atas inisiatif sendiri, tak perlu tunggu arahan kerajaan, kata pakar

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lepas sepatutnya sudah ‘mendidik’ rakyat Malaysia tentang kesedaran kendiri serta mengambil inisiatif sendiri mengurangkan pergerakan di kawasan sesak selepas kenaikan mendadak kes jangkitan virus itu baru-baru ini.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata orang ramai tidak perlu menunggu arahan sekatan pergerakan daripada kerajaan sebaliknya mengambil langkah proaktif berbuat demikian dalam mengekang penularan varian Omicron yang merebak dengan pantas.

“Apabila kita nak menuju ke fasa endemik, kita tidak perlu tunggu kerajaan buat keputusan. Sebagai contoh, majikan yang bijak, bila dia nampak kes Covid-19 naik, mereka akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir ke pejabat dan membenarkan bekerja dari rumah.

“Kenapa nak tunggu Menteri Kesihatan Khairy (Jamaluddin) buat pengumuman baru kita nak ambil tindakan. Sepatutnya apabila kita dah dapat maklumat (kenaikan kes) tindakan itu datang secara spontan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan bahawa negara kini sudah sepenuhnya berdepan dengan gelombang varian Omicron serta kes harian Covid-19 yang dijangka terus meningkat.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata orang ramai perlu proaktif dan bertanggungjawab serta mengurangkan aktiviti sosial di luar sekiranya tiada keperluan dalam usaha menjaga kesihatan keluarga dan masyarakat sekeliling.

Beliau berkata sektor pendidikan juga perlu mengambil tindakan proaktif sekiranya kes di sekolah menunjukkan trend peningkatan tanpa menunggu pengumuman daripada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Survelan) Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Asiah Ayob berkata masyarakat dan semua pihak boleh membantu mengekang penularan Covid-19 dengan mendapatkan vaksin lengkap dan dos penggalak.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas adalah golongan yang berisiko tinggi dan harus mendapatkan dos penggalak dengan segera.

“Terus kekal SOP (tatacara operasi piawai) sedia ada dengan lebih rapi kerana ia terbukti berkesan untuk mencegah penularan jangkitan serta harus membudayakan tingkah laku baik ini iaitu mengamalkan 3W (‘Wear, Wash and Warn’) dan mengelakkan 3S (Sempit, Sesak dan Sembang Rapat),” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenaikan kes hari ini.

Berdasarkan laman sesawang Covid-19 KKM, kadar kebolehjangkitan (Rt) untuk seluruh negara pada Rabu, berada pada paras 1.39 dengan Sarawak merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.68.

Diikuti Perlis (1.65), Sabah (1.59), Labuan (1.51), Terengganu (1.40) Kedah (1.36), Putrajaya (1.35), Pulau Pinang (1.34), Pahang (1.28), Johor (1.26) dan Selangor (1.25).

Bagi Perak dan Kelantan masing-masing merekodkan Rt (1.24), Melaka (1.20), Kuala Lumpur (1.18) dan terakhir Negeri Sembilan (1.14).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin, dos penggalak bantu kurang kes masuk hospital, ICU dan kematian

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Vaksinasi dan dos penggalak telah banyak membantu mengurangkan kes-kes kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian ketika gelombang Omicron melanda negara ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi laman sosial Twitter rasminya beliau berkata bagaimanapun keadaan ini berbeza ketika negara dilanda gelombang Delta sebelum ini apabila kes harian mencecah lebih 10,000, dan indikator utama Covid-19 juga tinggi.

“Ketika itu masih ramai belum menerima vaksin Covid-19. Berlainan pula apabila gelombang Omicron melanda negara ketika ini,” katanya.

Menurut infografik perbandingan indikator utama Covid-19 semasa gelombang Delta dan Omicron yang turut dimuat naik, kes harian baharu adalah sebanyak 11,079 pada 13 Julai 2021, manakala semalam 11,034 kes baharu direkodkan.

Bagi kes kemasukan ke hospital sebanyak 1,988 kes direkodkan pada 13 Julai lepas dan 1,253 kes direkodkan semalam manakala bagi bilangan kemasukan kes Covid-19 ke ICU, sebanyak 1,436 kes direkodkan pada 13 Julai 2021 manakala semalam merekodkan sebanyak 135 kes.

Kes kematian harian pada 13 Julai tahun lepas adalah sebanyak 193 manakala semalam sebanyak sembilan kes direkodkan.

Berdasarkan infografik sama, kadar vaksinasi pada 13 Julai 2021 adalah sebanyak 3,940,548 manakala kadar vaksinasi yang direkodkan bagi semalam adalah 25,723,208 dengan jumlah yang lengkap divaksin dan dos penggalak sebanyak 12,473,139.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Boleh sambut Aidilfitri, gelombang Omicron dijangka turun sebulan lagi

PUTRAJAYA, 7 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan gelombang penularan Omicron dapat diturunkan sebulan atau dua bulan lagi sekali gus membolehkan sambutan Aidilfitri pada awal Mei depan tanpa sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia bergantung kepada pematuhan langkah pengawalan oleh rakyat termasuk mengambil dos penggalak dan mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.

“Ini semua tentang tingkah laku, saya tahu ramai risau tentang raya dan sebagainya, tetapi jika kita memainkan peranan penting, dapatkan dos penggalak, vaksin anak-anak, kita jangka akan dapat stabilkan pandemik dalam masa sebulan atau dua bulan lagi, kalau Omicron dapat diturunkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Ia mungkin memberi kelegaan kepada orang ramai yang mula meluahkan kebimbangan tidak dapat menyambut Aidilfitri tahun ini disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 akibat Omicron.

Pada 23 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya tahun ini.

Memberikan data mengenai penularan kes Covid-19 di beberapa negara lain, Khairy berkata peningkatan kes akibat Omicron bukan hanya berlaku di negara ini, tapi turut berlaku di beberapa negara seperti Singapura yang melaporkan lebih 13,208 kes baharu pada 4 Feb lepas, tiga kali ganda berbanding hari sebelumnya.

Pada 5 Feb, Korea Selatan pula melaporkan kes harian sebanyak 38,670 kes, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985 kes) dan Jepun 102,275 kes.

“Jadi gelombang Omicron, bukan hanya berada di Malaysia, bukan ‘konspirasi KJ’ untuk menafikan Hari Raya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy meluahkan keyakinan negara masih berada di landasan betul dalam menguruskan gelombang Omicron.

Tegasnya, peningkatan kes buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, walaupun negara kini berhadapan dengan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

Ini sebahagian besar disumbangkan oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Omicron: KKM aktifkan semula jawatankuasa khas kawal penularan Covid-19

PUTRAJAYA, 7 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa khas itu akan melaksanakan tindakan pantas mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.

“Antaranya tindakan awalan pantas berkenaan adalah menambah dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu, Khairy berkata KKM telah bersiap sedia dengan 120 hospital, sembilan hospital penuh Covid-19 dan 111 hospital hibrid serta 43 Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 buah katil setakat semalam.

Selain itu, Khairy berkata semua klinik kesihatan bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi susulan gelombang Omicron dengan 370 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan komuniti beroperasi bagi membuat penilaian pesakit positif Covid-19, setakat hari ini.

CAC antaranya berfungsi mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital.

Mengenai kontak rapat kepada kes posifif Covid-19, Khairy berkata individu berkenaan tidak perlu hadir ke CAC dan melakukan ujian saringan Covid-19 sekiranya tidak mengalami sebarang gejala.

“Kontak rapat akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman.

“Sekiranya bergejala, perlu lakukan ujian kendiri. Jika positif dan berada dalam kategori 2A, teruskan pengasingan di tempat kediaman tanpa perlu hadir ke CAC,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes positif Covid-19 dalam kategori 1 dan 2A serta tidak berisiko tinggi, tidak perlu hadir ke CAC namun perlu melakukan pemantauan kesihatan kendiri dengan melakukan pemantauan kesihatan harian kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.

Individu positif bagi kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mengalami simptom yang semakin teruk pula dikehendaki hadir ke CAC atau hospital berhampiran bagi pemeriksaan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Gelombang Omicron tidak lama jika dos penggalak 80 peratus

SHAH ALAM, 7 FEB: Gelombang Omicron diyakini tamat lebih pantas jika pemberian dos penggalak ditingkatkan sehingga 80 peratus populasi negara, kata pakar epidemiologi Universiti Malaya.

Langkah itu juga dapat mengawal jumlah kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan kematian meskipun kes harian terus meningkat, jelas Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud.

“Tumpuan ketika ini sepatutnya pada kadar kes teruk (kategori tiga hingga lima), penggunaan katil hospital, kes ICU dan kematian, bukannya bilangan kes baharu semata-semata,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

“Jika tahap imuniti penduduk dikembalikan ke tahap optimum menjelang hujung Februari, kadar kenaikan empat indikator ini tidak akan menyamai kenaikan kadar kes baharu dan gelombang kali ini tidak lama.”

Dr Awang turut menggesa kerajaan meningkatkan kapasiti pemberian dos penggalak kepada 360,000 dos sehari bagi memastikan imuniti penduduk kembali ke tahap optimum.

Jelasnya, vaksinasi kanak-kanak juga perlu dilengkapkan segera selain menganalisa data keberkesanan dos penggalak dalam mencegah kes kategori tiga hingga lima.

“Kerajaan perlu beri penerangan jelas keberkesanan vaksin dan dos penggalak kerana penjelasan yang diberi setakat ini kurang meyakinkan orang ramai,” katanya lagi.

Seramai 12,361,663 individu dewasa atau 52.8 peratus daripada populasi kumpulan itu telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjangka kes harian Covid-19 dalam negara mencecah 15,000 kes tidak lama lagi susulan gelombang Omicron.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara lebih bersedia hadapi lonjakan kes Omicron – Khairy

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Malaysia dilihat lebih bersedia untuk menangani lonjakan kes Covid-19 varian Omicron selain berpengalaman dalam melindungi golongan rentan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam tweetnya hari ini, Khairy berkata keadaan tidak sama seperti Jun hingga September tahun lepas kerana kini, negara lebih bersedia susulan pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Lebih sebulan lepas, saya berkata bahawa kita menjangkakan Omicron akan menjadi dominan di sini seperti yang berlaku di tempat-tempat lain dan apabila ia berlaku, kes akan meningkat. Itulah, sebabnya kita mempercepatkan program pemberian suntikan dos penggalak.

“Kini, kita dapat melihat ramalan peningkatan cepat kes. Bagaimanapun, tidak perlu panik. Terdapat petunjuk kukuh untuk penyahgadingan antara kesan yang teruk dengan jumlah kes,” katanya.

Beliau berkata program vaksinasi untuk orang dewasa, remaja dan tidak lama lagi untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun berjalan lancar dengan penggunaan hospital masih terkawal.

“Sebab itulah, kita boleh memendekkan tempoh kuarantin, membenarkan orang ramai mengawal diri dan mengawal gangguan pada tahap minimum,” tambahnya.

Khairy berkata dengan lebih 50 peratus individu dewasa dan hampir 70 peratus warga emas telah menerima dos penggalak Covid-19 masing-masing, beliau berharap semua pihak dapat mengharungi gelombang Omicron melalui pendekatan teliti yang ditentukur dan berkadaran.

“Ikut SOP (tatacara operasi piawai). #TRIIS. Dapatkan dos penggalak. Pastikan anak-anak anda divaksin. Kita boleh melakukan ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gelombang Omicron bermula, vaksin mampu kawal jangkitan

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Gelombang varian Omicron telah bermula di Malaysia dan dijangka meningkatkan kes jangkitan Covid-19 di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata keadaan itu bagaimanapun mampu dikawal dengan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Sistem kesihatan sudah bersiap siaga. Kes serius semakin kurang. Sama-Sama kita mengatasi gelombang ini,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan turut meliputi pelaksanaan langkah-langkah kesihatan awam dan liputan ujian kendiri berkala.

“… diharapkan (langkah ini) dapat mengurangkan keparahan kes dan kemasukan ke hospital. Kes akan meningkat dan kita bersama dapat mengurangkan kesan peningkatan serta keparahan jangkitan terutama kepada golongan rentan,” katanya.

-BERNAMA