Categories
SELANGOR

Selangor bina model e-perdagangan, bantu peniaga luaskan pasaran

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Selangor bakal membangunkan model pembangunan e-perdagangan bagi membantu peniaga atas talian di negeri itu mengembangkan perniagaan masing-masing.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, langkah ini diambil berikutan perniagaan atas talian yang semakin pesat berkembang itu masih tidak diberikan perhatian mana-mana pihak bertanggungjawab.

perniagaan-internet1“Sudah jadi satu trend masa ini suatu pasaran baru dibuka di mana pengguna bergantung kepada internet untuk membeli barang dan ini suatu perniagaan besar dengan pergantungan dan aspek ini tidak pernah diberi perhatian sebelum ini kerana agak baru.

“Saya lihat e-perdagangan ada potensi besar khususnya dalam keadaan Selangor ingin jadi pusat perdagangan antarabangsa.

“Sudah tentu aspek e-perdagangan tidak boleh diabaikan dan disebabkan itu saya tubuhkan satu majlis internet dan e-perdagangan Selangor supaya dapat mengumpulkan mereka dalam bidang teknologi, industri kecil sederhana (IKS) dan pendidikan supaya dapat membincangkan model e-perdagangan yang sesuai untuk Selangor,” kata Chang Khim.

Chang Khim berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Selangor Kini di Pejabat Exco Negeri Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

yb teng 1Chang Khim turut melahirkan keyakinan bidang perniagaan online dapat berkembang dengan sihat sekiranya diberi perhatian khusus oleh kerajaan.

Jelas beliau lagi, kertas kerja usaha itu sudah dibentangkan dalam mesyuarat exco sebelum diumumkan dalam Belanjawan 2015 nanti.

Perniagaan online semakin mendapat perhatian masyarakat peniaga di negara ini berikutan perniagaan itu menawarkan perniagaan modal rendah berbanding perniagaan konvensional.

Selain itu perniagaan online turut menawarkan pasaran luar berdasarkan liputan internet yang boleh dicapai di kebanyakkan tempat di negara ini.

EZY