Categories
AGENDA NASIONAL

Penyeludup kini guna dron lakukan aktiviti jenayah

KOTA TINGGI, 23 FEB: Sindiket penyeludupan kini dikesan mengubah modus operandi mereka termasuk menggunakan teknologi dron dalam menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan barangan.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata taktik tersebut digunakan bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa yang menjalankan rondaan Op Benteng di perairan negara.

“Kita tengok dulu, trend mendarat mereka (sindiket penyeludupan) lebih kepada waktu tengah malam hingga awal pagi tetapi sejak sering berjaya dikesan pihak berkuasa, mereka telah mengubah modus operandi.

“Malah hasil laporan diterima daripada unit-unit yang melaksanakan Op Merpati di bawah Op Benteng dan sebagainya, mereka juga telah dikesan menggunakan teknologi dron dalam mengesan pergerakan atau atur gerak pasukan-pasukan keselamatan,” katanya pada sidang media selepas melawat Markas Taktikal Tanjung Sepang, Bandar Penawar bagi meninjau Op Benteng di perairan Johor hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata pihak risikan masih memantau situasi berkenaan dan sehingga kini pihaknya belum mengambil tindakan drastik seperti menembak jatuh pesawat dron yang dikenal pasti oleh radar tentera.

Sementara itu, mengenai Op Benteng, Muhammad Hafizuddeain berkata sejak operasi dilaksanakan pada 16 Mei tahun lepas melibatkan kawasan pesisiran pantai sepanjang 220 kilometer di Johor, pihak berkuasa berjaya menahan 26 tekong dan 1,252 migran selain merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM3.7 juta.

Katanya, angka ini meningkat sebanyak 200 peratus berbanding kejayaan yang pernah direkodkan sebelum Op Benteng dilaksanakan.

“Kejayaan ini kerana kita bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen. Jadi, boleh dikatakan kita lebih fokus dan efektif dalam menangani isu penyeludupan migran dan barangan berbanding bekerja secara berasingan sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD di Penjara Bentong, kuarters kakitangan mulai esok

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya bermula esok (25 Januari) sehingga 8 Februari, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam kalangan tahanan di penjara terletak di Pahang itu dengan sebanyak 615 kes positif direkodkan melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

“Tatacara operasi piawai (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan mengenai PKP hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 499 individu dikompaun, 42 direman manakala sembilan dijamin.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (130), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (112), tiada penjarakan fizikal (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44) dan lain-lain (142).

Menerusi Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, beliau berkata seramai 54 pendatang tanpa izin ditahan selain dua bot/kapal serta lima kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan 6,894 pekerja warga asing menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 154 orang disahkan positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah individu ingkar PKP turun, 82 ditahan semalam – menteri

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Bilangan individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menunjukkan penurunan berbanding 661 individu pada Ahad apabila hanya 82 individu ditahan semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kesalahan itu merangkumi 46 individu ditahan atas kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal, 23 individu tidak memakai pelitup muka, 12 individu gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri dan seorang ditahan ketika sedang berhibur di kelab malam.

“Daripada jumlah itu, 75 individu dikompaun, enam direman dan satu dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu bagi Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 29 pendatang tanpa izin dan dua penyeludup ditangkap, manakala sebuah bot serta empat kenderaan darat dirampas hasil 81 sekatan jalan raya yang diadakan semalam.

“Sejak 1 Mei lepas hingga semalam, seramai 7,389 individu ditahan melibatkan 750 tekong, 6,344 pendatang tanpa izin dan 295 penyeludup,” katanya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata pada masa ini terdapat 8,671 individu yang pulang dari luar negara sedang menjalani kuarantin di hotel serta institut latihan awam dan institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Mereka merupakan antara 37,133 individu yang pulang ke tanah air menerusi pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas hingga semalam.

Daripada jumlah itu juga seramai 106 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 28,356 telah didiscaj dan dibenarkan pulang, katanya.

Beliau juga berkata sejak 30 Mac hingga semalam, 10,153 operasi sanitasi awam melibatkan 13,062 premis dilaksanakan iaitu 2,716 pusat perniagaan, 1,601 kawasan perumahan antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR); 2,623 tempat awam; 354 pasar raya dan 5,768 bangunan kerajaan.

Bagi mengurangkan kegusaran orang ramai terhadap barangan keperluan harian, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa barangan itu mencukupi dan mampu menampung permintaan dalam negara secara berterusan selain mudah diperoleh.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tanggungjawab ATM berkembang, aset siap sedia pertahan negara

Oleh Anasathia Anak Jenis dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Tanggungjawab yang dipegang adalah besar iaitu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman luar, bermula dengan Perang Dunia Kedua menentang Jepun sehinggalah ancaman komunis ketika negara menghadapi darurat.

Kini setelah 87 tahun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan pada 1 Mac 1933, fungsi dan tanggungjawab yang dipikul berkembang selaras dengan perubahan zaman.

Merupakan benteng pertahanan negara, ATM yang mempunyai tiga cabang – Tentera Darat, Laut dan Udara itu sentiasa terlibat dalam pelbagai operasi sama ada di dalam atau luar negara dengan misi tetap sama iaitu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menyambut ulang tahun yang ke-87, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menggariskan empat teras utama sebagai panduan dalam meningkatkan imej pasukan iaitu memperkasakan kesiapsiagaan aset; memperkasakan warga ATM yang cemerlang; mengukuhkan keupayaan ATM dalam Domain Siber; dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

Kertas Putih Pertahanan yang menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah, akan terus menjadi panduan utama dalam membuat perancangan serta pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Domain maritim dan udara bakal diberi tumpuan khusus dalam Kertas Putih Pertahanan bagi pembangunan keupayaan ATM, pembangunan keupayaan kedua-dua domain ini akan mengambil masa yang panjang berdasarkan tempoh pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dari tahun 2021 hingga 2030,” kata Affendi dalam wawacara khas di Wisma Pertahanan, di sini, sempena Hari ATM ke-87 yang disambut 16 September setiap tahun.

Tahap Kesiagaan Aset Tertinggi Hadapi Ancaman

Affendi berkata demi menentukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat digalas dengan berkesan, amat penting bagi ATM mempunyai tahap kesiagaan aset bersesuaian dan fokus perlu diberi untuk memastikan aset-aset sedia ada berada pada tahap kesiagaan yang tertinggi dalam mendepani sebarang kemungkinan.

Anggota tentera memakai penutup muka dan sarung tangan ketika mengawal bangunan Selangor Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“ATM memerlukan aset yang sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi agar keupayaan ATM dapat dipamerkan setiap masa, di samping menonjolkan keupayaan ini sama ada semasa latihan, kesiagaan bertindak mahu pun keupayaan mobilisasi,” katanya.

Mengambil contoh Op Benteng di bawah Pasukan Bertindak Kebangsaan (NTF) yang dilaksanakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Affendi berkata cabaran utama operasi bagi memperkasakan kawalan sempadan negara itu sememangnya memerlukan ATM menambah aset bagi menangani kemasukan migran dan aktiviti penyeludupan.

“Pengesanan dan buat rondaan dalam Op Benteng ini tidak memerlukan aset yang besar tetapi lebih kepada kelengkapan seperti bot pemintas, kereta pacuan empat roda dan motosikal scrambler.

“Ini kerana migran dan penyeludup ini tidak akan mendarat di kawasan jeti besar tetapi memilih kawasan yang terpencil,” katanya sambil menambah penggunaan dron turut banyak membantu dalam hal ini, ditambah dengan tindakan licik migran yang sentiasa mengubah modus operandi untuk memasuki negara ini.

Tangani Pencerobohan Sempadan

Beliau berkata strategi penyeludupan masuk migran ini yang kadang-kala sukar dibaca kerana mereka sentiasa mengubah modus operandi untuk menyeludup masuk dan itu antara cabaran yang dihadapi ATM dalam usaha menjaga sempadan negara yang panjang serta perairan yang luas.

“Inilah kesukaran yang terpaksa dihadapi termasuk idea perubahan modus operandi yang turut melibatkan rakyat tempatan yang menjadi tekong atau pengkhianat negara namun pihak NTF berjaya mengatasinya,” katanya.

Anggota Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri bagi mengawal laluan keluar masuk di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur pada 4 Mei 2020. FOTO: BERNAMA

Beliau berkata sehingga kini operasi memburu tekong dan tali barut giat dilakukan dan turut membuahkan hasil dengan beberapa siri tangkapan terhadap mereka yang bersekongkol terutama dengan sindiket penyeludupan.

Op benteng yang diaktifkan sejak Mei 2020 adalah untuk mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi migran dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Affendi berkata pelaksanaan Op Benteng meliputi enam kaedah iaitu pencegahan, langkah pengesanan, tindakan penghindaran, tindakan pelencongan, pengurusan penahanan serta inisiatif pengusiran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

81 individu ditahan ingkar PKPP, 59 dikompaun

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Seramai 81 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 59 individu dikompaun manakala 22 individu pula direman dengan kesalahan yang paling banyak dikesan ialah gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk pelanggan serta tidak memakai pelitup muka.

“Sebanyak 68,310 pemeriksaan juga dilakukan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP. Ia melibatkan 4,881 pasukan pematuhan dengan 16,827 anggota pemantau yang memeriksa pasar raya, restoran, penjaja, serta terminal pengangkutan darat, air dan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa sama seramai empat orang pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng yang dilakukan bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Dalam tempoh itu 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilakukan di seluruh negara dan 28,481 kenderaan telah diperiksa.

Sementara itu sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 17,037 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta lima institut latihan awam (ILA).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 7,419 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 9,562 individu didiscaj dan dibenarkan pulang. Kesemua mereka pulang dari 32 negara termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan dan Arab Saudi,” katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata polis turut mengadakan 298 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman dan kesemua individu terlibat didapati mematuhi SOP.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Benteng diperhebat, elak sempadan negara dibolosi

BUKIT KAYU HITAM, 25 JULAI: Angkatan Tentera Malaysia bersama pasukan keselamatan negara di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) mengatur gerak aset masing-masing bagi memperhebat Op Benteng di sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta kemasukan pendatang tanpa asing terutama melalui lorong-lorong tikus.

Panglima Briged Keenam Infantri Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata aset-aset seperti kenderaan tempur infantri ‘Gempita’ dan dron digerakkan selain berkongsi maklumat risikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

“Dron digunakan untuk membuat pengawasan di kawasan sempadan, manakala ‘Gempita’ yang dilengkapi radar canggih juga telah diatur gerak ke Langkawi untuk memantau kawasan sekitar pantai.

“Menerusi Op Benteng, pihak tentera berkongsi maklumat risikan dengan pasukan keselamatan lain dalam memastikan cubaan menyeludup barangan seperti daun ketum serta pendatang tanpa izin dapat dipatahkan,” katanya kepada Bernama dalam liputan media eksklusif Op Benteng di sini.

Mohd Halim berkata pihaknya percaya sindiket penyeludupan akan mula menggunakan jalan darat untuk melakukan kegiatan mereka terutama pada musim tengkujuh.

“Sekarang keadaan laut sedikit bergelora, mungkin sindiket akan cuba masuk menggunakan sempadan daratan untuk masuk dan pihak tentera bersama agensi lain sentiasa memantau perkara ini.

“Cubaan untuk masuk dan keluar negara juga mungkin akan bertambah menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata selain rondaan jalan kaki di kawasan pagar sempadan oleh pihaknya bagi menutup ruang pencerobohan, PGA turut menerima bantuan Pasukan Gerakan Udara PDRM yang melakukan rondaan udara di sempadan Malaysia-Thailand di kedua-dua negeri.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata 2,105 pendatang tanpa izin, 572 tekong serta 126 penyeludup ditahan sejak 1 Mei hingga 23 Julai dalam Op Benteng bagi mengawal sempadan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

KPN: 372 tekong ditahan dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Polis menahan 372 tekong yang terbabit dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin ke negara ini sejak Op Benteng dilaksanakan pada Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata daripada jumlah itu, 80 kertas siasatan yang lengkap dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Sebanyak 80 tekong didakwa dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas antara Timbalan Pengarah JSJK Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang dilantik sebagai Pemangku Pengarah JSJK dengan Pengarah JSJK Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang bersara wajib Ahad ini (28 Jun).

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Mengenai penahanan tiga pegawai Imigresen yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Johor, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan dengan meneliti daripada setiap sudut.

“Terdapat beberapa dakwaan mengatakan pegawai itu tidak bersalah kerana pas lawatan atau pasport individu berkenaan sukar untuk diperbaharui berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, risikan yang diterima mendapati mereka ini memberi laluan mudah dengan licik kepada pendatang asing masuk ke negara ini,” kata Abdul Hamid.

Selasa lepas, seorang pegawai kanan dan dua pegawai Jabatan Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun ditahan di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor Bahru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

45 warga asing ditahan dalam Op Benteng di Selangor

KUALA LANGAT, 15 JUN: Seramai 45 warga asing ditahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan sejak April lepas sehingga hari ini, ketika cuba keluar dan masuk melalui lorong-lorong tikus di beberapa lokasi di Selangor.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Zulafendy Hassan berkata kesemua individu itu ditahan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang Utara, Klang Selatan, Kuala Langat dan Sepang dalam Op COVID-19 dan Op Benteng yang dijalankan dalam tempoh itu.

“Turut ditahan seramai 24 warga tempatan berkaitan kesalahan ingkar PKP, menjadi tekong darat, serta kesalahan berkait dadah dan jenayah. Kesemua mereka berumur antara 20 hingga 50 tahun.

“Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka berkaitan pelbagai kesalahan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pos-pos kawalan PGA di Kuala Langat dengan turut disertai oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor Superintendan Rudy Abdullah.

Sementara itu, Rudy berkata tinjauan itu dilakukan bagi melihat secara dekat keadaan sebenar beberapa lorong tikus yang dikesan di sekitar Kuala Langat.

“Sebelum ini, PGA mengesan 61 lorong tikus di pesisir pantai Selangor yang dipercayai menjadi laluan keluar masuk pendatang asing.

“Kita mengaturgerakkan kira-kira 200 pegawai serta anggota di enam daerah pesisir pantai di negeri ini bagi mengekang kemasukan pendatang asing.

“Pemantauan ini dilakukan sepanjang tahun, namun sejak penularan wabak Covid-19, kita pergiatkan lagi operasi untuk mengelakkan pencerobohan semasa tempoh PKP,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis, ATM laksana Op Benteng secara besar-besaran

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Polis akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguat kuasa lain untuk melaksanakan Operasi Benteng secara besar-besaran di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memburu tekong dan ahli-ahli sindiket pendatang tanpa izin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, pihak berkuasa berjaya menahan beratus-ratus tekong darat, ejen, ‘transporter’ (pengangkut) dan pemilik premis ‘penampungan’ (rumah yang menempatkan pendatang tanpa izin).

“Tangkapan ini pasti memutuskan aliran masuk pendatang tanpa izin menerusi lorong tikus,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 396 pendatang tanpa izin dan 108 tekong dilaporkan telah ditahan dalam Op Benteng sejak 1 Mei (sehingga Isnin lepas) atas cubaan memasuki sempadan negara secara haram.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam tempoh berkenaan, pihak berkuasa juga berjaya menahan 11 individu disyaki penyeludup serta menyita 13 kapal.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama ATM, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

– BERNAMA