Categories
AGENDA NASIONAL

20 lelaki ditahan dalam operasi samseng jalanan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Polis menahan 20 lelaki tempatan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar pusat bandar dan beberapa lebuh raya semalam.

Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal dari pukul 9 malam hingga 4 pagi itu bermula sejak Jumaat lepas dijalankan di Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut, Jalan Chow Kit, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata kesemua suspek berusia antara 20 dan 50 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, selain Seksyen 119(2) APJ 1987 dan Seksyen 45A (1) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Polis turut mengeluarkan 251 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita enam motosikal di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan. Motosikal yang disita akan diambil tindakan pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarah mengubah ke struktur asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan sekali gus menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mempunyai maklumat boleh menghubungi JSPT Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau talian utama JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kira-kira 1,200 pemandu positif alkohol ditahan sejak Januari

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kira-kira 1,200 pemandu mabuk dan positif kandungan alkohol melebihi had ditahan polis menerusi Op Mabuk sejak awal tahun hingga 15 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata jumlah itu direkodkan menerusi 507 operasi yang dijalankan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 14,949 individu diperiksa berbanding tempoh sama tahun lepas dengan hanya 6,426 pemeriksaan ke atas pemandu direkodkan.

“Peningkatan jumlah pemeriksaan menerusi operasi ini jelas menunjukkan usaha polis membanteras gejala pemanduan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Azisman berkata, dalam masa sama, polis masih giat menjalankan Op Mabuk setiap hari dengan tumpuan diberi pada hujung minggu berikutan dalam tempoh berkenaan didapati lebih banyak kes pemanduan bawah pengaruh alkohol dilaporkan.

“Hal ini menjadi keutamaan pihak polis dan sesiapa yang didapati melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol boleh didakwa mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azisman berkata 1,121 tangkapan dibuat menerusi Op Samseng Jalanan dalam tempoh yang sama.

“Kesemua mereka berumur 18-40 tahun ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk memandu secara melulu menerusi 324 Op Samseng yang diadakan sejak Januari hingga 15 Jun lepas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Op Samseng Jalanan: Polis keluarkan 69 saman

TELUK INTAN, 15 JUN: Sebanyak 69 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Hutan Melintang-Teluk Intan arah selatan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, kesalahan termasuk nombor plat tidak mengikut peraturan, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada lesen kenderaan motor dan ekzos tidak mengikut peraturan.

Katanya, sebanyak 50 motosikal diperiksa sepanjang operasi yang bermula pukul 1 pagi hingga 7 pagi itu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 18 motosikal ditahan kerana penunggang dipercayai cuba melarikan diri semasa operasi dijalankan.

“Dalam operasi itu, kita turut membuat pemeriksaan terhadap 34 orang penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Katanya, dalam operasi tersebut seorang remaja berusia 17 tahun turut ditahan selepas pemeriksaan saringan air kencing positif dadah jenis Methamphetamine.

Jajaran Seksyen 8 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat yang menghubungkan Hutan Melintang-Teluk Intan dibuka secara rasmi, pada 31 Mei lalu.

-BERNAMA