Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM300,000 diperuntuk pasang 90 lampu solar perkampungan Orang Asli

SEPANG, 27 OGOS: Sejumlah RM300,000 diperuntukkan bagi memasang 90 lampu solar di perkampungan Orang Asli, kata EXCO teknologi hijau.

Hee Loy Sian berkata pemasangan secara berperingkat dilakukan sejak tahun lalu bermula di Gombak dan dibuat mengikut permintaan penduduk.

“Hari ini kita pasang 30 lampu solar di lima kampung, tiga membabitkan penempatan Orang Asli di Dengkil manakala dua lagi di Pulau Carey, Kuala Langat.

“Dengan pemasangan ini, kampung mereka akan jadi terang dan ceria. Usaha akan diteruskan pada masa depan kerana kita mahu mereka mendapat hak dan tidak rasa terpinggir,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pemasangan Lampu Solar di Kampung Orang Asli Jambu, dekat sini hari ini.

Hee Loy Sian pada Majlis Perasmian Kemudahan Lampu Solar Di Kampung Orang Asli Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Orang Asli Jambu, Dengkil pada 27 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Loy Sian, kampung yang dipasang lampu solar itu sudah mempunyai bekalan elektrik namun terdapat lampu jalan tidak berfungsi.

“Jadi kita pasang lampu solar di jalan utama untuk mudahkan penduduk,” katanya.

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan modal insan dan kebajikan Orang Asli seperti baik pulih rumah, pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan dan ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Orang Asal tak dilupakan, 74 kampung dapat manfaat pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sebanyak 5,941 keluarga Orang Asal seluruh negeri mendapat manfaat pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua berikutan ancaman Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian dan menitik berat kebajikan kaum itu selain menganggap mereka antara kelompok penting.

“Jumlah itu membabitkan penduduk suku Temuan, Mahmeri dan lain-lain di 74 kampung.

“Semoga kita tidak lupa setiap kaum memainkan peranan dalam membentuk identiti dan keutuhan semangat Selangor Darul Ehsan,” katanya sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2020 yang disambut hari ini.

Melalui pakej rangsangan diumumkan 1 April lalu, Selangor memperuntukkan RM297,050 bagi mengagihkan bantuan kepada 22,992 Orang Asal seluruh negeri.

Bantuan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, susu, minyak masak dan sebagainya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM297,050 diperuntuk, hampir 23,000 Orang Asli dapat manfaat

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kira-kira 22,992 masyarakat Orang Asli menerima manfaat langsung bantuan Kerajaan Negeri melalui peruntukan RM297,050, kata EXCO hal ehwal Orang Asli.

Hee Loy Sian berkata pemberian bantuan kepada masyarakat Orang Asli itu bagi meringankan beban kehidupan harian dihadapi sepanjang Perintah Kawalan pergerakan (PKP).

“Bantuan meliputi barangan keperluan asas harian seperti beras, tepung, gula, susu dan minyak masak RM50 itu diberikan kepada ketua isi rumah,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat EXCO hari ini.

Beliau berkata jumlah ketua isi rumah terbabit adalah 5,941 merangkumi kesemua 74 kampung Orang Asli.

Katanya peruntukan disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama pejabat DUN atau penyelaras DUN, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan dua Pakej Rangsangan Selangor Prihatin bagi mengurangkan beban rakyat berhadapan penularan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Orang Asli perlu peka soal kesihatan, kebersihan dan pendidikan

BANTING, 3 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya mengambil berat berhubung kesihatan dan kebersihan serta memberi tumpuan kepada bidang pendidikan.

Baginda bertitah, Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diharap dapat bekerjasama bagi memastikan masyarakat Orang Asli berada dalam keadaan sihat dan persekitaran yang baik.

“Penjagaan kebersihan diri dan kawasan sekitar adalah perlu bagi memastikan tidak ada wabak penyakit berjangkit yang boleh membahayakan masyarakat.

“Beta menyeru kepada semua Tok Batin dan masyarakat Orang Asli menghantar serta memastikan anak mereka bersekolah untuk mendapat pendidikan sempurna.

“Ini amat penting pembangunan generasi masyarakat Orang Asli pada masa akan datang. Beta tidak mahu anak Orang Asli ini tercicir dan tersisih daripada arus pembangunan di Selangor,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Program Perjumpaan Dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba pasangan diraja itu sekitar jam 10 pagi disambut Tengku Amir Shah; Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar.

Baginda kemudiannya dibawa ke Pusat Kraf Orang Asli Sungai Bumbum dan Mah Meri Cultural Village untuk melihat sendiri demo perkahwinan, kraftangan anyaman, ukiran kayu, masakan tradisional, pembuatan alat permainan serta bertemu dengan usahawan Orang Asli.

Baginda turut berkenan menyampaikan saguhati kepada 55 Tok Batin seluruh Selangor berjumlah RM400 seorang.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin bersama Tengku Amir Shah berkenan melawat dan melihat aktivi di ruang pameran di Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat pada 3 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam titah sama, baginda menyeru kepada masyarakat Orang Asli supaya dapat mengatur kehidupan mereka dengan lebih baik.

“Bagi mereka yang minat bertani, diharap dapat menjalankan usaha pertanian dengan tekun dan terancang.

“Beta juga difahamkan ramai masyarakat Orang Asli yang mempunyai bakat dalam pembuatan kraf yang boleh diketengahkan dan dijadikan sebagai satu perusahaan bagi menambah pendapatan.

“Dalam hal ini, beta berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli juga Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dapat membantu melaksanakan aktiviti yang berkenaan,” titahnya.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin bersama Tengku Amir Shah berkenan melawat dan melihat aktivi di ruang pameran di Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat pada 3 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Belanjawan #Selangor2020 tidak pinggir kebajikan Orang Asal

SHAH ALAM, 1 NOV: Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal akan diwujudkan bagi menyelaras dan memantau projek dan program berkaitan Orang Asal di Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sejumlah RM500,000 diperuntuk bagi pembangunan modal insan dan kebajikan seperti membaik pulih rumah, melaksanakan program pembangunan infrastruktur serta peningkatan kesihatan dan ekonomi mereka.

“Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan usaha pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar dan di perkampungan Orang Asal,” katanya ketika membentang Belanjawan #Selangor2020 di sini hari ini.

Kerajaan Negeri turut meneruskan Biasiswa Sagong Tasi untuk anak Orang Asal di sekolah menengah yang menepati kriteria ditetapkan.

Categories
NASIONAL

15 Jenazah Orang Asal dikebumi secara Islam

GUA MUSANG, 23 JUN: Jenazah lima Orang Asal suku Batek yang meninggal dunia dipercayai akibat demam campak, disembahyangkan di Masjid Tengku Faiz Petra, Gua Musang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, hari ini.

Sembahyang jenazah itu diimamkan, Imam Othman Saufi bersama lebih 20 wakil pelbagai jabatan dan agensi kerajaan daerah ini, termasuk Pegawai Agama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Murtadha Abdullah.

Sebelum itu, 15 jenazah Orang Asal terbabit dibawa keluar dari Bilik Forensik Hospital Gua Musang jam 8.30 pagi, dibawa ke masjid itu untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Kampung Kuala Koh bagi urusan pengkebumian.

Jenazah terbabit ialah Poja Jong, 21, Romi Hamdan, 29, Nazri Rosli, 3, Jaid Keladi, 55, Safia Papan, 18, Fayah Papan, 20, Din Hamdan, 18, Mek Nab Tebu, 63, Leha Hamdan, 26, Mohd Salleh Khaizan, 1, Jelik Jong, Puspa Lee, 5, Amir Lee, 1, Haika Rahim, 22, dan Farah Rahim, 20.

Wabak yang melanda masyarakat Orang Asal Suku Batek sejak lebih sebulan lalu itu, meragut nyawa 15 mangsa dari Kampung Kuala Koh, manakala 112 lagi dijangkiti demam campak dan menerima rawatan di klinik berhampiran.

Sebanyak 14 daripada 15 jenazah itu terpaksa digali semula kubur mereka, termasuk yang ditanam secara adat kaum itu, untuk dibedah siasat di HGM bagi mencari punca jangkitan.

Murtadha ketika bercakap kepada media selepas sembahyang jenazah berkata, MAIK awal lagi dilantik untuk menguruskan semua jenazah terbabit bermula sembahyang jenazah hingga dikebumikan.

Katanya, semua urusan itu selepas proses bedah siasat selesai di HGM semalam ditanggung MAIK dan semua urusan itu berjalan ikut jadual.

Beliau berkata, sebelum itu, kesemua jenazah berkenaan juga disemak status mereka sama ada peluk Islam atau tidak, tetapi selepas disahkan perkara itu bahawa mereka semuanya Islam, diatur pengkebumian ikut Islam.

“Pengkebumian jenazah mengikut Islam juga mendapat kebenaran keluarga mangsa, setelah perbincangan bersama dijalankan baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, Kampung Kuala Koh masih berada dalam kawasan zon merah.

“Oleh itu, mereka yang tidak berkenaan tidak dibenarkan masuk ke kampung sehingga ia benar-benar selamat daripada jangkitan wabak itu,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Orang Asal ditawar masuk ILP percuma

IPOH, 27 APR: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan masyarakat Orang Asal ditawarkan menyambung pengajian ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) secara percuma.

Khabar gembira itu diumumkan Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran sebagai antara usaha untuk menggalakkan lebih ramai belia Orang Asal lepasan SPM mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membolehkan mereka memiliki kemahiran seterusnya memperoleh peluang pekerjaan.

Katanya ketika ini, bayaran memasuki ILP bagi pengajian peringkat sijil adalah RM700 merangkumi yuran pengajian di samping kelengkapan lain seperti pakaian seragam dan kasut but.

“Sekarang kita bagi kelonggaran hanya kepada Orang Asal, semua ini (bayaran RM700) akan dibiayai oleh kerajaan 100 peratus.

“Makan, minum percuma serta diberikan elaun sebanyak RM100 sebulan,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat program TVET untuk pelajar dan ibu bapa Masyarakat Orang Asal di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asal Perak di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, kira-kira 25 kilometer dari sini.

Selain itu, Kula Segaran berkata kementerian juga akan melonggarkan syarat kemasukan ke ILP bagi belia Orang Asal dengan mengecualikan keperluan lulus Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik dan satu subjek lain dalam SPM.

“Kita beri peluang besar kepada mereka, beri kelonggaran asalkan tahu baca dan menulis kita tawarkan kursus yang sesuai kepada mereka,” katanya sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai galakan luar biasa kepada Orang Asal yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Terdahulu, dalam ucapannya Kula Segaran berjanji akan memastikan masyarakat Orang Asal turut diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan demi mengurangkan kadar kemiskinan.

“Saya janji akan berusaha pastikan Orang Asal dapat kerja kerana mereka ini mustahak sekali dalam negara…99 peratus Orang Asal miskin tidak boleh terima, kita mahu lawan,” katanya.

Dalam majlis itu, Kula Segaran juga menyatakan komitmen untuk membantu mengatasi masalah telekomunikasi di Kampung Kerawat dengan membawa isu tersebut kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Saya akan balik ke Putrajaya bagi tahu menteri (Gobind Singh Deo) supaya bagi kelonggaran di sini sekurang kurangnya bina satu stesen telekomunikasi. Ini antara kita boleh buat,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Selangor contoh terbaik bela Orang Asal

OLEH AFIX REDZUAN

JELAI, 22 JAN: Tindakan Kerajaan Negeri membayar pampasan kepada Orang Asal berjumlah RM6.5 juta ketika awal pemerintahan Negeri Selangor sejak 2008 membuktikan pihaknya bersedia mengembalikan hak yang dinafikan ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor, Amirudin Shari berkata, kejayaan itu mencerminkan keupayaan Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk terus membela nasib Orang Asal tambahan kini mereka turut mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Situasi itu akan lebih mudah jika calon PAKATAN, M Manogaran berjaya memenangi kerusi Parlimen P.78 Cameron Highlands, pada 26 Januari ini.

“Pilih wakil (calon parti) dari Kerajaan Persekutuan, mampu selesaikan masalah dengan lebih mudah.

“Dahulu ketika PAKATAN tidak mentadbir Putrajaya, kita menubuhkan Badan Bertindak Orang Asal (di Selangor). Dengan kuasa yang kecil dapat memberikan beberapa kemudahan untuk kebaikan Orang Asal malah Kerajaan Negeri memberikan pampasan berjumlah RM6.5 juta kepada Orang Asal ketika itu serta menarik balik rayuan.

“Malahan sekarang kita sudah wujudkan Biasiswa Sagong Tasi, seorang pahlawan Orang Asal di Selangor yang selama ini menentang pencerobohan hak Orang Asal bagi membantu mereka melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Cameron Highlands sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) dan turut dihadiri calon, M Manogaran.

Jelasnya, hubungan baik Ahli Parlimen dan Kerajaan Persekutuan akan dapat menyelesaikan masalah seperti yang dibangkitkan Orang Asal.

“Pada Sabtu ini, jangan lupa bawa kad pengenalan dan undi calon PAKATAN. Namanya di baris keempat,” katanya.

Sebelum itu, Wakil Tok Batin dan Penduduk Kampung Simoi Baru, Shariff Cadang berharap Amirudin dan Kerajaan PAKATAN dan membantu penduduk Orang Asal terutama dalam soal pembangunan.

“Kita harap Kerajaan baharu dapat mendengar masalah kita dari segi pembangunan, rumah dan jalan.

“Jangan jadi mcm kerajaan dahulu, ada bantuan tetapi tidak memuaskan hati rakyat. Harap kerajaan sekarang dapat bantu kita,” katanya.

Kampung Simoi Baru diduduki lebih 300 Orang Asal dengan 148 daripadanya adalah pengundi berdaftar.

Dalam majlis sama, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor turut berkesempatan menghadiri majlis tahlil dan doa selamat serta beramah mesra bersama penduduk setempat.

 

 

 

Categories
NASIONAL

PAKATAN lindungi hak Orang Asal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) komited melindungi hak masyarakat Orang Asal di negara ini secara sah di sisi undang-undang.

Dalam kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, ia dibuktikan apabila
tindakan undang-undang difailkan pejabat Peguam Negara bagi pihak masyarakat Orang Asli Temiar terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, kerajaan Persekutuan sangat prihatin terhadap penafian hak Orang Asli untuk menentukan masa depan sendiri.

“Ia selaras dengan peruntukan undang-undang Persekutuan dan Negeri yang melindungi hak mereka tetapi dilanggar oleh Kelantan.

“Masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang berhak mendapat semua perlindungan yang sepatutnya daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Waytha berkata, biarpun terdapat banyak undang-undang di peringkat Persekutuan, diabaikan secara berterusan oleh Kelantan.

“Kenyataan Dasar Mengenai Pentadbiran Orang Asli Semenanjung Malaysia 1961 selain kewajiban terhadap mereka dalam perjanjian antarabangsa tetapi prinsip penentuan nasib sendiri yang menjadi aspirasi masyarakat Orang Asli telah diabaikan secara berterusan (oleh Kerajaan Negeri Kelantan).

“Banyak kes pencerobohan tanah masyarakat Pribumi berlaku tanpa persetujuan awal mereka yang melanggar cara hidup dan menafikan hak mereka untuk mempunyai identiti dan martabat sendiri sebagai rakyat,” katanya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Jabatan Peguam Negara turut memfailkan injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Thomas berkata, Kerajaan Negeri Kelantan dan agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta yang kemudian menggunakan jentera berat untuk menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan luas ditebang untuk penanaman pokok durian dan getah.

Katanya, tindakan itu diambil tanpa berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan kepada mereka, menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan sistem ekologi dan landskap Pos Simpor.

Categories
SELANGOR

RM342,000 diperuntuk bangun sistem solar di kampung Orang Asal

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 27 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM342,000 bagi melaksanakan projek perintis pemasangan sistem solar di Kampung Orang Asal Sungai Relang, di sini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, projek itu bertujuan membekalkan elektrik kepada perkampungan itu.

“Saya difahamkan, kampung ini sudah mempunyai satu sistem solar namun mereka terpaksa berkongsi dengan 12 rumah dan hanya mampu bertahan tiga jam sahaja.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan sistem solar di setiap rumah dan mampu bertahan selama lapan jam, tanpa perlu berkongsi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Tapak ke Kampung Orang Asal Sungai Relang, Hulu Gombak, di sini, semalam.

Mengulas sama ada Kerajaan Negeri akan membekalkan tenaga elektrik di perkampungan itu, Loy Sian berkata, perkara itu belum dibincangkan.

“Kos membekalkan tenaga elektrik agak tinggi sehingga RM50 juta, dan di sini cuma ada 12 rumah, saya fikir sistem solar sudah cukup membantu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Edisham Mohd Shukor berkata, pihaknya selaku agensi pelaksana memuji inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan projek perintis itu.

“Pemasangan sistem solar amat efektif, mudah dipasang dan mampu menjana elektrik dengan pantas.

“Apabila projek ini sudah siap, pihak kami akan mengadakan latihan asas kepada penduduk kampung berkenaan sistem solar dan dibantu oleh pihak Jabatan Kebajikan Orang Asli Gombak,” katanya.

Projek perintis pemasangan sistem solar dengan kapasiti 1.2kWp di setiap rumah sudah bermula sejak Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung Disember tahun ini.

Categories
SELANGOR

Kebajikan Orang Asal terus dapat pembelaan

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK,27 OKT: Kebajikan masyarakat Orang Asal di Selangor akan terus terbela terutama berkenaan pewartaan tanah bagi urusan penempatan mereka.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, sejak dulu lagi Kerajaan Negeri komited berkenaan kebajikan masyarakat Orang Asal.

“Kerajaan Negeri memahami situasi dihadapi masyarakat ini yang terpaksa berpindah kerana banyak tempat mereka dibuat pembangunan.

“Namun, Kerajaan Negeri sedang usaha mengenal pasti lagi beberapa tanah milik kerajaan untuk dijadikan penempatan masyarakat ini. Sekiranya tanah itu milik swasta , ia agak sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Tapak ke Kampung Orang Asal Sungai Relang, Hulu Gombak, di sini, semalam.

Katanya, Selangor antara negeri terawal melaksanakan pewartaan tanah masyarakat Orang Asal berbanding negeri lain.

Terdahulu, Loy Sian turut melawat ke tapak projek perintis pemasangan sistem solar di kampung berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM342,000 bagi melaksanakan projek perintis itu, bertujuan membekalkan elektrik kepada perkampungan terbabit.

Projek perintis pemasangan sistem solar dengan kapasiti 1.2kWp di setiap 12 rumah di situ sudah bermula sejak Oktober lalu, dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung Disember tahun ini.

Categories
PBT SELANGOR

Model perkampungan Orang Asal Temuan jadi tarikan pelancong

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Rumah Contoh Tradisional Orang Asal Kaum Temuan menjadi mercu tanda ikonik, di Perkampungan Orang Asal Sungai Rasau Hilir Batu 14, Puchong, di sini, sebagai tarikan buat pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

Terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), ia antara lokasi yang pasti menjanjikan pengalaman baharu dan bermakna kepada orang ramai untuk melihat secara lebih dekat suasana kehidupan sebenar masyarakat peribumi, di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya turut membantu penduduk orang Asal di kawasan terbabit menerusi projek naik taraf perkampungan untuk dijadikan produk pelancongan baharu.

Katanya, kerja pembinaan rumah contoh itu membabitkan peruntukan RM8,000 daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

“Ini adalah kerana Lokasi perkampungan orang Asal terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Malah, kedudukannya sangat strategik dan mempunyai akses mudah untuk ke tempat itu menggunakan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP),” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, pihaknya turut menjalankan kerja menaik taraf membabitkan pemasangan lampu jalan, di perkampungan itu.

“Selain itu, kerja baik pulih padang bola dibuat dengan penambahan semula rumput.

“Kita juga mengadakan Program Jalinan Kasih yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan memberikan sumbangan barangan keperluan harian kepada keluarga orang Asal di Sungai Rasau Hilir,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat akan lebih menghargai kebudayaan dan kesenian kaum orang Asal di Malaysia, seterusnya dapat melahirkan perpaduan kaum selaras hasrat MPSJ melahirkan masyarakat madani, pada masa hadapan.